Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
PENDAHULUAN
WHO menganggarkan
lebih kurang 80% daripada populasi negara2 membangun masih mengamalkan
pengambilan produk2 kesihatan yang bersumberkan tumbuhan. Kos pengubatan yang
tinggi ubat moden menyebabkan ramai yang beraleh kepada kaedah alternatif ini.
Walau bagaimanapun fenomena ini membimbangkan pengamal perubatan moden yang
melihat trend ini sebagai sesuatu yang menuju ke belakang kerana kebanyakan
kaedah rawatan alternatif ini tidak pernah dibuktikan berkesan dan ianya
digunakan sewenang-wenangnya tanpa kawalan. Mengikut disiplin
perubatan moden, sesuatu jenis ubat ataupun apa sahaja produk kesihatan perlu
menjalani beberapa peringkat kajian ataupun penyelidikan sebelum ianya boleh
didakwa berkesan dan digunakan oleh orang ramai. Terdapat 2 kategori besar
kajian saintifik iaitu KAJIAN PRAKLINIKAL dan KAJIAN KLINIKAL. Kajian Klinikal
adalah kajian ke atas manusia untuk melihat bagaimana tubuh badan manusia
berinteraksi dan bertindakbalas dengan ubat tersebut. Sebelum kajian klinikal
dijalankan, produk ataupun ubat-ubatan tersebut perlu menjalani ujian
praklinikal terlebih dahulu supaya ianya selamat diuji ke atas manusia. Kajian
di dalam makmal adalah salah satu contoh kajian praklinikal. Dikatakan hanya
10% sahaja kajian praklinikal akan berjaya dipilih untuk memasuki kajian
klinikal. Kajian klinikal pula dibahagikan kepada 4 fasa iaitu fasa 1, fasa 2,
fasa 3 dan fasa 4. Jangkamasa kajian ini mungkin boleh berlanjutan selama
beberapa tahun dan hanya selepas berjaya di dalam fasa 3 kajian klinikal barulah
permohonan untuk digunakan ke atas pengguna dilakukan. Fasa 4 pula adalah fasa
pemantauan produk tersebut yang sudah digunakan oleh orang ramai ataupun
pesakit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bab ini sila baca tulisan saya di
pautan ini.
Tujuan saya menulis rencana
ini adalah untuk menerangkan kepada pembaca mengenai kajian makmal keatas
ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai kajian pra-klinikal bagi menguji
keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan tersebut samada dari sumber alam
semulajadi ataupun sintetik, sebelum kajian klinikal dijalankan. Seringkali
hasil kajian makmal ini diwar-warkan kepada masyarakat sehingga wujud salah
sangka sehingga ada ahli masyarakat yang terus membuat kesimpulan yang bahan
ini berkesan kepada manusia sedangkan ianya baru sahaja dikaji pada peringkat
praklinikal. Ahli-ahli perniagaan pula mengambil kesempatan untuk menghasilkan
sendiri bahan-bahan ini dengan cara merebus, membuat seperti minuman teh, kapsul,
jus dan lain-lain bentuk untuk tujuan komersial. Fenomena ini adalah sangat
mendukacitakan kerana ianya bakal memudaratkan pengguna terutamanya
pesakit-pesakit. Untuk tujuan memberi kefahaman mengenai kajian makmal ataupun
kajian praklinikal ini, saya akan mengambil contoh DAUN BELALAI GAJAH yang
sememangnya pernah menjalani kajian makmal. Saya juga akan menjelaskan
kedudukan DAUN RERAMA yang juga didakwa boleh mengubati pelbagai jenis
penyakit. Kedua-dua tumbuhan ini mempunyai latarbelakang penggunaan yang agak
sama.
POKOK
BELALAI GAJAH
Pokok belalai gajah
ataupun Clinacanthus nutans adalah salah satu jenis tumbuhan yang dikatakan
mempunyai unsur2 pengubatan. Pada awalnya ia digunakan untuk merawat gigitan
ular berbisa, kemudiannya digunakan untuk merawat jangkitan virus pada kulit
(herpes zoster ataupun kayap).Pokok Clinacanthus terletak di bawah keluarga
Acanthaceae dan terdapat dua sepsis
Clinacanthus iaitu Clinacanthus nutans
dan Clinacanthus siamensis. Kedua2 sepsis ini didapati di Asia Tenggara. C.
nutan ataupun belalai gajah ataupun Snake Grass adalah pokok belukar yang
tumbuh menegak sehingga 1 meter, digunakan dengan meluas oleh penduduk
Thailand, Malaysia dan China. Nama belalai gajah diambil daripada sifat
batangnya yang melengkung bagi menampung berat daun. Di Thailand ianya dikenali
sebagai Saled Pangpon Tua Mea ataupun Phaya Yor.
PENGGUNAAN
TRADISIONAL POKOK BELALAI GAJAH
Secara tradisional,
hanya bahagian daun belalai gajah sahaja digunakan untuk mengubati penyakit.
Daun dimakan secara mentah, sebagai sayur ataupun jus yang dicampurkan bersama
jus apel, teh hijau ataupun air tebu. Ia juga kadangkala disediakan dalam
bentuk minuman teh. Daun yang kering digunakan untuk disapu pada bahagian kulit
yang dijangkiti virus kayap manakala daun segar digunakan untuk merawat patukan
ular tedung senduk. Ianya juga digunakan untuk merawat gigitan serangga dan
ruam di kulit. Kebelakangan ini daun belalai gajah ini digunakan oleh rakyat
Malaysia kononnya untuk merawat kanser. Walau bagaimanapun keberkesanan daun
belalai gajah ini ke atas penyakit kanser
manusia masih belum lagi dibuktikan oleh kajian klinikal. Lain2 dakwaan
keberkesanan daun belalai gajah adalah di dalam rawatan penyakit diabetes,
sakit sendi, ubat sakit, anti-keradangan dan juga antioksidan.
Akibat daripada
dakwaan kemujaraban daun belalai gajah, ianya telah dikomersialkan dan
dihasilkan di dalam bentuk teh herba, kapsul, pil , krim dan pati. Walaupun
ahli sains telah berjaya mengesan banyak bahan kimia mungkin melebihi 20 jenis
daripada daun pokok belalai gajah ini, kajian keberkesanan pengambilan daun
belalai gajah ini belum lagi meyakinkan dan banyak kesan positif yang
dilapurkan adalah berasaskan kepada testimoni semata2.
Kesan positif yang
boleh diyakini adalah untuk tujuan merawat penyakit kulit jangkitan virus
herpes jika dibandingkan dengan placebo. Tetapi jika dibandingkan dengan kaedah
rawatan moden, kaedah rawatan moden menggunakan krim acyclovir didapati lebih
berkesan. Kesan keracunan telah dikesan ke atas haiwan tetapi tidak ada kajian
ke atas manusia. Kesan antioksidan dari daun belalai gajah juga telah
dibuktikan tetapi kesan pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen telah
menujukkan keputusan yang tidak memberangsangkan, malahan amalan ini boleh
memudaratkan kesihatan manusia.
Ujian kesan antipembiakan
sel juga telah dijalankan tetapi adalah ujian makmal dan ujian makmal itu
menunjukkan ekstrak daun belalai gajah yang diproses dengan clorofom dan
methanol mempunyai kesan antipembiakan
sel ataupun antiproliferatif. Ini bermaksud terdapat tanda-tanda ianya boleh
mematikan sel-sel yang membiak termasuk sel-ssel kanser, meskipun hanya ditemui
di dalam kajian makmal.
Kesan antivenom
(penawar bisa patukan) yang didakwa dimiliki daripada ekstrak daun belalai
gajah ini tidak pernah dibuktikan di dalam kajian makmal jadi ianya sangat
meragukan.
Manakala kesan
klinikal antikeradangan, anti diabetic dan antikanser tidak pernah dibuktikan
melalui kajian klinikal kerana setakat ini hanya kajian makmal ataupun
praklinikal sahaja yang dijalankan. Manakala kajian klinikal ke atas manusia
masih sangat kecil dan tidak dapat digunakan untuk mengesahkan apa2 keberkesanan
daun belalai gajah selain daripada untuk tujuan rawatan jangkitan virus herpes
ke atas kulit.
BAGAIMANA
EKSTRAK (PATI) POKOK BELALAI GAJAH DIPEROLEHI UNTUK TUJUAN KAJIAN MAKMAL
Kajian makmal yang
dilakukan oleh ahli sains ke atas tumbuhan dan herba bukanlah sesuatu yang
mudah dilakukan. Ianya memerlukan kepakaran dan teknologi makmal yang canggih
untuk mengekstrak bahan aktif daripada sumber-sumber semulajadi ini dan
kemudiannya barulah ujian keberkesanan dapat dilakukan. Makmal yang menjalankan
kajian tersebut pula perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa
ubatan contohnya FDA. Makmal tersebut perlu memperolehi taraf GLP singkatan
kepada “Good Laboratory Practices” yang menetapkan piawaian yang sangat ketat.
Syarat-syarat untuk mendapat taraf GLP boleh diperolehi dari laman web ini (http://www.accessdata.fda.gov/scripts/cdrh/cfdocs/cfcfr/CFRSearch.cfm?CFRPart=58)
Bab ini akan
menerangkan proses yang perlu dijalankan sebelum pati daripada sumber tumbuhan
dan herba dapat dipisahkan dan diuji di dalam makmal. Ramai dalam kalangan ahli
perniagaan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan hanya dengan
merebus, menjadikannya serbuk, jus ataupun kapsul melalui cara mudah.
Bahan2 kimia yang
diperlukan untuk tujuan ekstraksi dan pemprosesan belalai gajah adalah seperti
senarai berikut:
1,1-diphenyl-2-picrylhydrazyl (DPPH) radical,
galvinoxyl radical, 6-hydroxy-2,5,7,8-tetramethylchroman-2-carboxylic acid
(Trolox), phosphate buffer saline (PBS), trypan blue,
3-(4,5-Dimethylthiazol-2-yl)-2,5-diphenyltetrazolium bromide (MTT),10x
trypsin-EDTA solution , Hydrogen
peroxide and sodium nitroprusside (SNP), hydrogen peroksida dan Sodium
nitroprusside.
BAHAN UJIKAJI
Sebagai mewakili sel dan organ badan manusia, haiwan seperti
tikus digunakan terlebih dahulu kerana adalah sesuatu yang tidak beretika jika bahan-bahan
ini diuji terus keatas manusia kerana dikhuatiri kesan sampingan yang serius
akan dialami. Di samping itu memberi ubat yang belum disahkan berkesan adalah
sesuatu yang melanggar etika perubatan kerana sudah ada ubat yang berkesan
merawat penyakit tersebut.
Jika sekiranya ahli Sains ingin menguji keberkesanan sesuatu
bahan kimia yang diektrak dari tumbuhan ke atas penyakit kanser umpamanya,
mereka boleh menggunakan lapisan sel-sel kanser (“cancer cell lines”) yang
diperolehi daripada bank sel-sel kanser yang disimpan. Di Malaysia, belum lagi
terdapat bank sel-sel kanser seumpama ini jadi kita perlu membelinya dari luar negara
seperti dari bank sel-sel kanser di Amerika. Bank sel-sel kanser ini menyimpan
sel-sel kanser sebenar yang dihidapi oleh manusia untuk tujuan kajian. Ianya
diperolehi dari pesakit-pesakit kanser yang memberi kebenaran supaya sebahagian
daripada sample sel-sel kanser mereka disimpan untuk tujuan kajian. Makmal bank
sel-sel ini juga menyimpan sel-sel haiwan yang dibiak untuk tujuan
penyelidikan.
Ahli-ahli sains juga boleh meransang penyakit kanser ke atas
haiwan yang diuji dan ubat ataupun ekstrak bahan aktif dari sumber asal boleh
digunakan ke atas haiwan ini dan melihat keberkesanannya. Sel-sel kanser juga
dapat disuntik kepada haiwan dan kemudian ubat yang hendak diuji akan diberikan
kepada haiwan ini untuk melihat keberkesanannya. Haiwan yang sering digunakan
untuk ujian praklinikal ini adalah tikus.
Di antara jenis-jenis lapisan sel-sel kanser yang terdapat di
bank sel kanser di Amerika (American Type Culture Collection, ATCC,
Rockville,MD) adalah seperti berikut:
Human liver hepatocellular carcinoma (HepG2), human
neuroblastoma cell line (IMR-32), human lung cancer cell line (NCI-H23), human
gastric cancer cell line (SNU-1), human colon adenocarcinoma cell line
(LS-174T), human erythroleukemia cell line (K-562), human cervical cancer cell
line (HeLa), and human Burkitt's lymphoma cell line (Raji)
Walaupun sel-sel ini
adalah sel-sel kanser sebenar tetapi ianya tidak boleh dianggap seratus peratus
mewakili sel yang ada di dalam tubuh badan manusia kerana sel di dalam tubuh
badan manusia mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dan banyak factor yang
mempengaruhi sifat dan fungsinya. Sebab itulah hasil kajian ke atas sel-sel yang
dilakukan di dalam makmal tidak boleh dibuat andaian mudah yang ianya sama jika
dilakukan di dalam tubuh manusia. Inilah sebabnya kajian klinikal fasa 1, 2 dan
3 perlu dilakukan dahulu sebelum keberkesanan dapat dibuktikan.
PEMPROSESAN
POKOK BELALAI GAJAH UNTUK KAJIAN MAKMAL
Berikut adalah
peringkat-peringkat pokok belalai gajah diproses untuk mendapatkan ektrak
daripadanya:
1. Pokok
belalai gajah (C.nutans) dikenalpasti dahulu, kerana terdapat banyak sepsis
belalai gajah. Spesis belalai gajah yang dikaji adalah Clinacanthus nutans
2. Daun
belalai gajah yang segar dipetik dan dikeringkan di dalam oven di bawah suhu
40-45 darjah Celsius
3. Daun
kering kemudian dijadikan serbuk
4. Serbuk
daun kering ini kemudiannya direndam di dalam chloroform, methanol dan air pada
suhu bilik. Bahan-bahan ini adalah pelarut dan 3 larutan akan dihasilkan dengan
setiap satunya menggunakan pelarut yang berbeza.
5. Ektrak
dari setiap larutan ini akan diasingkan dan dimasukkan ke dalam botol gelas
yang bersih. Ianya akan ditapis dengan menggunakan kertas Whatman No 1.
6. Hasil
turasan dari 3 larutan ini akan dikeringkan dengan menggunakan mesin perawapan
ataupun pengering beku.
7. Semua
ektraks ini akan disimpan di bawah suhu 20 darjah Celsius.
8. Selepas
itu barulah ektrak ini digunakan untuk menguji kesan ataupun sifatnya sebagai
antioksidan dan juga antikanser/antiproliferatif.
UJIAN
ANTIPROLIFERATIF ATAUPUN ANTI KANSER
Ektrak yang telah
diperolehi daripada proses yang dinyatakan di atas akan digunakan untuk menguji
samada ianya mempunyai kesan ke atas sel-sel kanser. Untuk tujuan tersebut, ekstrak
ini akan dicampurkan dengan lapisan sel-sel kanser (cancer cell line) tertentu
untuk melihat tindakbalas sel-sel kanser tersebut. Berikut adalah beberapa
peringkat ujian makmal yang dilakukan ke atas sel-sel kanser:
a. Ektrak
yang terhasil akan disediakan di dalam beberapa konsentrasi/kepekatan bagi
mewakili dos yang digunakan.
b. Hasil
ektraksi tadi akan digunakan untuk menguji aktiviti antiproliferatif dengan
menggunalan MTT assay.
c. Sel-sel
kanser (6000 sel dalam setiap 1 ml) akan dimasukkan ke dalam 96 bekas plate
yang mempunyai tapak yang rata
d. Ekstrak yg
mempunyai konsentrasi berbeza tadi akan dicampurkan dengan lapisan sel kanser
dan dibiarkan selama 76 jam.
e. Bekas plate tersebut akan di sentrifuj
(diputar) selama 10 minit dan mendakannya akan dibuang.
f. Sel-sel
yang hidup dan mati akan dikesan dan dibandingkan dengan control iaitu sel-sel
yang tidak didedahkan kepada ektrak.
g. Kadar
perencatan pembiakan sel-sel kanser akan ditentukan untuk melihat
keberkesanannya, di samping menentukan kepekatan ektrak yang optima untuk
memberi kesan yang maksima.
Ujian makmal ke atas
ektrak daun belalai gajah ini menunjukkan ianya hanya berkesan ke atas lapisan sel
HeLa (human cervical cancer cell line) dan K-562(human elektroleukemia cells)
sahaja. Ianya tidak berkesan ke atas lapisan sel-sel kanser yang lain. Pada
kepekatan ekstrak sebanyak 100ug/mL ia mampu merencat 80-90% daripada pembiakan
sel-sel kanser tadi.
Ujian kesan membunuh
sel-sel dapat juga dilakukan ke atas sel-sel manusia yang normal di dalam
makmal. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan lapisan sel-sel manusia yang
diperolehi daripada sel-sel lapisan dinding saluran darah vena talipusat bayi.
Ektrak daripada
belalai gajah yang diperolehi ini akan dianalisa untuk menentukan apakah bahan
aktif yang terdapat di dalamnya. Kajian makmal telah mendapati terdapat 14 jenis bahan kimia aktif yang terkandung di
dalamnya dan bahan kimia yang paling utama adalah 1, 2-benzenedicarboxylic acid, mono (2-ethylhexyl) ester.
Bahan kimia ini dipercayai mempunyai aktiviti antimicrobial, antioksidan dan
antiproliferatif. Masih lagi kajian praklinikal, ahli sains akan memperolehi
bahan-bahan kimia aktif tersebut pula untuk melakukan ujian yang sama sehingga
memperolehi maklumat yang dikehendaki iaitu kadar keberkesanan, dos yang
diperlukan, kaedah pemberian dan kesan sampingan. Selepas peringkat ini barulah
ahli sains akan menguji bahan ini ke atas manusia di dalam kajian klinikal
bermula dengan kajian klinikal fasa 1.
Begitulah terperincinya
kajian makmal yang dilakukan untuk melihat kesan ekstrak daripada sesatu sumber
samada sumber tersebut daripada tumbuhan, herba ataupun bahan kimia yang
dihasilkan secara sintetik di dalam makmal. Ujian-ujian di atas adalah ujian makmal
dan jika didapati mempunyai kesan positif barulah ujian fasa 1 akan dilakukan
iaitu ujian ke atas sekumpulan kecil manusia. Selepas kejayaan fasa 1 barulah
dilanjutkan kepada fasa 2 kajian klinikal sehinggalah ujian klinikal fasa 3
yang akan menggunakan ramai manusia untuk melihat keberkesanan sebenar
bahan-bahan ini di dalam menyembuhkan penyakit. Setelah lengkap ujian klinikal
fasa 3 dan didapati berkesan serta selamat diambil oleh pesakit barulah
syarikat farmaseutikal ataupun institusi yang menjalankan kajian ini memohon
kebenaran daripada Penguatkuasa Ubatan untuk dipasarkan dan digunakan oleh
manusia. Hasil-hasil kajian ini akan disiarkan di dalam jurnal-jurnal perubatan
antarabangsa untuk dikongsi oleh ahli-ahli sains dan pakar-pakar perubatan di
seluruh dunia. Kajian-kajian klinikal ini boleh memakan masa bertahun-tahun
melihatkan beratus-ratus , malahan mungkin sehingga beribu-ribu orang manusia
sebelum disahkan berkesan dan selamat digunakan.
DAUN
RERAMA DAN DAKWAAN KHASIAT
Daun rerama (Red
Butterfly Wing) ataupun nama saintifiknya Christia Vespertilionis mempunyai
sejarah dan kajian yang sama seperti belalai gajah. Pokok daun rerama banyak
didapati di negara Asia seperti Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia
dan lain-lain. Ia boleh tumbuh hingga kepada ketinggian 60-120 cm, daun muda
bewarna unggu, manakala daun matang bewarna hijau pekat dengan garis-garis
hijau muda. IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural
Resources) telah mengkategorikan tumbuhan ini sebagai sepsis yang terancam.
Dilapurkan bahawa bahan kimia yang terdapat dari pokok rerama adalah alkaloid,
triterpenes, asid lemak, phenols, rantai panjang alkohol, palmitine,
corynoxidine, pheophorbid-a, ursolic acid, flavonoid glycosides, steroid dan
banyak lagi. Pheophorbid-a yang terkandung di dalamnya pernah dikesan mempunyai
ciri-ciri antiproliferatif dalam kajian makmal.
Daun rerama pernah menjalani kajian makmal oleh ahli sains Universiti
Putra Malaysia dan kenyataan resmi pihak university tentang hasil kajian ini
ada disiarkan dan jelas menyatakan bahawa ianya baru sahaja menjalani kajian
makmal menggunakan lapisan sel-sel kanser dan baru hendak melangkah kepada
ujian ke atas haiwan (http://www.upm.edu.my/berita/details/daunreramabm). Ini bermaksud daun rerama belum lagi
menjalani kajian klinikal untuk menguji keberkesanannya kepada penyakit yang
dihidapi oleh manusia. Mengikut dakwaan orang ramai, daun rerama ini boleh
mengubati kanser, penyakit SLE, denggi, malaria,gigitan ular, merawat kepatahan
tulang, penyakit tibi, angin ahmar, kencing manis, masalah usus, campak dan
lain-lain, tetapi tidak satupun dakwaan ini adalah berasaskan kepada bukti
kajian klinikal. Ianya hanya berasaskan kepada testimoni atau bukti anekdotal
semata-mata. Kajian makmal yang dijalankan ada menunjukkan kesan
antiproliferatif dan anti keradangan tetapi kajian makmal ini adalah kajian
praklinikal. Kajian makmal ke atas sel-sel kanser adalah ke atas kanser
kelenjar tiroid dan neuroendocrine tumour. Kaedah mengekstrak pati daun rerama
untuk tujuan kajian makmal adalah sama seperti daun belalai gajah walaupun
menggunakan bahan kimia dan pelarut yang berbeza. Malahan Ahli Sains yang
menerajui kajian di UPM ini sendiri iaitu A.Prof Dr.Latifah Saiful Yazan ada
membuat kenyataan “Pihak UPM tidak bertanggungjawab dengan dakwaan beberapa
pengusaha produk berasaskan daun rerama yang mengaitkan produk mereka amat
berkesan untuk pelbagai penyakit. Masih terlalu awal untuk membuat satu rumusan
sehinggalah penyelidikan ke atas manusia dapat dijalankan”.
MENGAPA HASIL KAJIAN MAKMAL/PRA-KLINIKAL TIDAK BOLEH
DIGUNAKAN SEBAGAI ALASAN UNTUK MERAWAT PESAKIT
Berikut adalah beberapa alasan mengapa hasil kajian
Praklinikal TIDAK boleh digunakan sebagai alasan untuk diambil oleh pesakit
dan orang ramai:
- Ujian praklinikal adalah ujian yang dijalankan di luar badan manusia dan ada yang dilakukan ke atas haiwan. Persekitaran dalam badan manusia adalah jauh lebih kompleks.
- Peringkat awal kajian praklinikal adalah hanya menguji ekstrak secara kasar dan belum mengenalpasti apakah bahan kimia atau unsure-unsur spesifik yang berkesan kerana terdapat banyak bahan kimia daripada ekstrak tumbuhan.tersebut.
- Ujian Praklinikal belum mendapatkan maklumat tepat mengenai apakah dos ataupun kuantiti ubat yang berkesan dan selamat diambil oleh manusia. Ia hanya berasaskan kepada kajian ke atas haiwan.
- Ujian praklinikal belum lagi ujian yang membuktikan keberkesanan dan selamat jika diambil oleh manusia. Ianya mungkin selamat diambil oleh haiwan.
- Ujian praklinikal belum lagi membandingkan keberkesanannya dengan kaedah rawatan standard yang sedang diamalkan, jadi kita belum lagi mengetahui samada ianya lebih berkesan ataupun kurang berkesan.
- Ujian praklinikal belum lagi memberi kepastian terhadap kaedah pemberian yang terbaik kepada manusia. Tidak semua ubatan boleh diambil melalui makan ataupun minum disebabkan oleh faktor asid perut, enzim penghadaman dan sistem penyerapan di dalam usus. Contohnya majoriti ubat-ubat antikanser hanya berkesan diberikan melalui suntikan.
- Ujian praklinikal belum lagi dapat menentukan kesan sampingan jika diambil oleh manusia, ianya mungkin hanya selamat digunakan ke atas haiwan.
- Ujian praklinikal belum dapat mengesahkan kesan sampingan jangkapanjang ke atas manusia serta kesan mudarat ke atas anak di dalam kandungan.
- Menggunakan hasil kajian praklinikal untuk terus merawat pesakit adalah tindakan yang tidak beretika dan bakal memudaratkan pesakit.
KESIMPULAN
Ahli Sains dan Pakar
Perubatan sangat teliti sebelum mendakwa sesuatu produk kesihatan samada di
dalam bentuk sintetik ataupun yang diperolehi daripada tumbuhan dan herba
berkesan merawat sesuatu jenis penyakit. Ini bagi memastikan bahawa
pesakit-pesakit tidak mendapat kesan buruk daripada mengamalkan sesuatu kaedah
rawatan yang belum terbukti berkesan. Di samping itu dakwaan palsu ini juga
seringkali menyebabkan pesakit lambat untuk mendapatkan rawatan yang terbukti
berkesan. Bagi menentukan keberkesanan produk-produk kesihatan ini, kajian
klinikal perlu dijalankan. Peringkat yang paling awal kajian klinikal dinamakan
kajian praklinikal iaitu kajian makmal yang dilakukan samada ke atas haiwan
(in-vivo) ataupun ke atas lapisan-lapisan sel di luar tubuh badan manusia
(in-vitro). Proses mengektrak bahan-bahan aktif yang terdapat di dalam sumber
asli sesuatu produk kesihatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kajian
makmal dilakukan supaya hanya bahan aktif tersebut sahaja yang dapat diambil
dan diuji. Ini disebabkan kerana di dalam sumber asli produk kesihatan tersebut
terdapat banyak jenis bahan-bahan kimia yang mempunyak kesan yang berbeza ke
atas sel-sel ataupun badan manusia. Ahli sains juga perlu menentukan apakah
kuantiti ataupun dos bahan aktif yang yang diperlukan untuk memberi kesan yang
bermakna, di samping kesan sampingan yang boleh timbul pada dos tertentu. Walaupun
kajian makmal menunjukkan kesan positif terhadap sel-sel di luar badan manusia ataupun
haiwan yang diuji, ianya masih belum dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan
ke atas manusia kerana kajian klinikal perlu dilakukan dahulu. Kajian-Kajian
klinikal yang lebih lanjut adalah kajian fasa 1, 2, 3 da 4. Kajian-kajian
klinikal ini akan menentukan dos, tahap keberkesanan, kaedah pemberian dan juga
kesan sampingan yang boleh berlaku ke atas manusia. Kesan-kesan ini akan
dibandingkan dengan control ataupun golongan-golongan yang tidak mengambil
produk ujikaji tersebut. Setelah kajian fasa 3 berjaya membuktikan keberkesanan
serta keselamatan ubat atau bahan kimia tersebut barulah permohonan untuk
kelulusan penggunaannya ke atas pesakit diperolehi. Begitulah proses
penghasilan produk kesihatan daripada peringkat kajian sehinggalah kepada
peringkat pemasaran dan penggunaan pesakit. Kajian fasa 4 pula adalah
pemantauan ke atas penggunaan produk oleh pesakit dan orang ramai. Kajian
keatas keberkesanan pokok belalai gajah dan daun rerama menunjukkan bahawa
ianya masih berada pada peringkat kajian makmal ataupun praklinikal. Sehingga
hari ini sepatutnya tidak ada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa kedua-dua
tumbuhan ini dapat merawat penyakit seperti yang didakwa iaitu kanser,
jangkitan, diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Tidak dinafikan terdapat
tanda-tanda awal bahawa terdapat bahan di dalam kedua-dua tumbuhan ini yang
mempunyai kesan merencat pembahagian sel dan keradangan, tetapi kajian lanjut
perlu dilakukan untuk mengenalpasti apakah bahan tersebut, kuantiti yang perlu
digunakan serta kaedah pemberian serta kesan sampingannya sebelum ianya disahkan
berkesan dan selamat digunakan oleh orang ramai. Semua pesakit-pesakit yang
sudah disahkan menghidapi penyakit hendaklah mendapatkan rawatan daripada
doctor serta pakar-pakar perubatan moden yang terlatih di dalam bidang penyakit
berkenaan. Rawatan awal akan mencegah anda daripada mendapat komplikasi serius jadi
anda akan memperolehi kembali kesihatan badan, jika tidak anda boleh merana
sepanjang hayat.
RUJUKAN
Yong YK, Tan JJ, The
SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative
effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med,
2013; 462751.
(https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)
Alam A,
Ferdosh S, Ghafoor K, et al. Clinacanthus nutans: A review of the medicinal uses, pharmacology and phytochemistry Asian Pacific Journal of Tropical Medicine Volume 9, Issue 4, April 2016, Pages 402–409
Yong YK, Tan JJ, The
SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative
effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med,
2013; 462751.
(https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)
Yahaya R, Dash GK,
Abdullah Syafiq M, Mathews A. Clinacanthus nutans Lindau: An Useful Medicinal
Plant of South East Asia. Inter J of Pharmacognosy and Phytochemical Research,
2015; 7(6):1244-1250
Mai CW, Yap KSI, Kho
MT, et al. Mechanisms Underlying the Anti-Inflammatory effects of Clinacanthus
nutans Lindau Extracts: Inhibition of cytokine production and toll-like
receptors-4 Activation. Front. Pharmacol., 02
February 2016 | http://dx.doi.org/10.3389/fphar.2016.00007
Bunawan H, Bunawan
SN, Baharum SN. The red butterfly wing (christia vespertilionis): A Promising
cancer cure in Malaysia. Inter J of Pharm and Pharmaceutical Sc, 2015;7(8)
Dash GK. An Appraisal
of Christia vespertilionis (L.F.) Bakh. F: A Promising Medicinal Plant. Int J
of Pharmacognosy and Phytochem Research, 2016; 8(6): 1037-1039
http://alt.medicine.com.my/2013/07/sabah-snake-grass-warning/
http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1995764516300116
I had absolutely no symptoms or warnings that I had cancer. In March 2007 I suddenly felt like I had diarrhea but it was all blood and I went to the ER. I bled profusely through the rectum for an hour or so until they got it stopped. The doctor did a colonoscopy and found a stage II cancer, i was devastated when my doctor broke the sad news to me because i thought that was the end for me because i have heard so much news about how cancer have stolen away the lives of patients. With time i developed a 'belly' when all my life my abdomen was flat. I was still in my search for a cure after undergoing chemo and radiation thrice Until a friend of mine directed me to doctor Amber and advised me to try alternative medicine, which i did because then my doctor was no longer helpful at all and i had given up on myself. I got the herbal medicine which was relatively small in size, which i took for 10 weeks. For the past two and half years, I have had two additional colonoscopies and two CT scans, plus blood tests. So far, no recurrence, i am indeed really grafeful to GOD and Dr.Amber who stood by me and made all this happen through his medicine. Never give up hope and if you find yourself in the situation i was some years ago you can also contact him too via his personal email drambermurray@gmail.com
ReplyDelete