Monday, August 22, 2016

LAETRILE - VITAMIN B17 DAN ANTI-KANSER: MITOS ATAU REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G, Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah.

SEJARAH LAETRILE

Dakwaan Laetrile ataupun Amygdalin ataupun ada yang memanggilnya vitamin B17 dengan rawatan kanser bukanlah perkara baru. Dikatakan bahawa kompoun ini ditemui semenjak tahun 1830. Pertama kalinya digunakan di Rusia sebagai bahan antikanser. Rekod pertama penggunaan bahan ini di Amerika Syarikat adalah pada tahun 1920 an. Pada tahun 1920an, Dr. Ernst T.Krebs Sr (Ahli Kimia) mengemukakan teori bagaimana Amygdalin boleh membunuh sel kanser. Teori beliau tidak konsisten dengan fakta biokimia dan semenjak itu telah menjalani pengubahsuaian sekurang-kurangnya  dua kali oleh anak beliau yang bernama Ernst T.Kreb Jr. Dr.Ernst T. Krebs Sr pada mulanya menggunakan ekstrak biji aprikot yang diberikan secara makan untuk tujuan ubat tetapi beliau dapati ianya terlalu toksik kepada manusia kerana ia mengandungi Amygdalin yang boleh ditukarkan oleh bakteria di dalam usus kepada sianida. Kemudiannya anak beliau telah mendakwa berjaya menghasilkan satu bentuk amygdalin yang kurang toksik dikenali sebagai Laetrile. Penyelidikan yang besar telah dilakukan oleh ahli sains kanser untuk menguji samada Laetrile dapat merawat kanser. Banyak kajian ke atas haiwan dalam tahun 1970an menunjukkan tidak ada unsur antikanser daripada Laetrile, walaupun bahan ini digunakan oleh lebih 70,000 orang di Amerika pada tahun 1978, samada secara bersendirian ataupun bersama dengan rawatan metabolik. Semakan ke atas rekod perubatan pesakit yang didakwa menggunakan Laetrile untuk merawat kanser mereka mendapati tidak ada cukup bukti keberkesanan Laetrile. Hampir semua pesakit pernah menerima rawatan konvensional kanser semasa mencuba Laetrile. Malahan terdapat banyak kes keracunan sianida yang dilapurkan di dalam terbitan jurnal yang dikaitkan dengan pengambilan laetrile. Rencana ini akan menerangkan dengan jelas tentang hakikat laetrile ataupun Amygdalin ini dari perspektif perubatan moden.

APAKAH LAETRILE, AMYGDALIN DAN VITAMIN B17

Perkataan Laetrile adalah daripada kombinasi dua perkataan iaitu “laevorotatory dan mandelonitrile”. Ianya adalah bahan kimia yang ditulinkan daripada kompaun yang dikenali sebagai amygdalin. Amygdalin pula adalah kompoun yang ditemui di dalam biji apricot,almond/badam dan buah plum. Ianya juga boleh ditemui di dalam tumbuhan lain seperti kacang lima (lima beans), semanggi dan sekoi. Jadi Amygdalin adalah kompoun asal yang diperolehi dari tumbuhan yang juga dikenali sebagai cyanogenic glucoside iaitu bahan yang mengandungi sejenis gula dan boleh dimetabolismakan kepada sianida (asid hidrosianida). Seperti yang dinyatakan di atas, perkataan Laetrile sebenarnya dicipta oleh anak kepada Dr.Ernst T. Krebs yang mendakwa dapat menghasilkan bentuk Amygdalin yang kurang toksik. Di dalam amygdalin asli, 2 molekul glukos digabungkan dengan kompoun mandelonitrile, manakala kompoun yang dihasilkan oleh Dr.Ernst T.Krebs Junior hanya mengandungi satu molekul gula (dinamakan Laetrile). Di samping itu ikatan kimia gula tersebut berbeza di antara amygdalin asal dan laetrile. Walau bagaimanapun, hakikatnya ahli sains telah mendapati bahawa label Laetrile yang digunakan di dalam produk yang dipasarkan hari ini dan diberikan kepada pesakit sebenarnya adalah Amygdalin. Pada hari ini terdapat dua jenis Laetrile iaitu yang dipatenkan, satu dihasilkan di Amerika Syarikat yang mempunyai nama kimia mandelonitrile-beta-glucuronide (semi-sintetik) dan satu lagi Laetrile yang dihasilkan di Mexico dengan nama kimia mandelonitrile beta-D-gentiobioside yang dihasilkan dari biji aprikot yang dihancurkan. Mandelonitrile dimetabolismakan kepada sianida ( dalam bentuk asid hidrosianida) dan inilah yang didakwa mengandungi ciri-ciri antikanser utama, walaupun terdapat dua lagi bahan hasil pemecahan amygdalin (prunasin dan benzaldehyde) yang juga mungkin mempunyai ciri-ciri antikanser.

Perkataan Vitamin B17 pula adalah nama yang diberikan oleh Krebs Jr pada tahun 1970 ke atas sekumpulan kompoun yang terdiri dari amygdalin dan juga bahan-bahan kimia yang dihasilkan daripadanya. Beliau mendakwa Laetriles ataupun amygdalin mewakili vitamin baru yang berkurangan di dalam badan pesakit kanser. Rupa-rupanya nama vitamin digunakan untuk tujuan mengelak dari tindakan kawalan FDA kerana jika bahan-bahan yang menggunakan nama vitamin digunakan, pihak FDA tidak mengenakan undang-undang ketat berbanding dengan jika digunakan perkataan ubat. Walau bagaimanapun Amygdalin tidak memenuhi ciri-ciri vitamin dan tidak ada bukti bahawa ianya diperlukan untuk fungsi badan yang normal seperti vitamin-vitamin yang lain.

KEKELIRUAN LAETRILE DAN ANTI KANSER

Pada awalnya, Laetrile didakwa dapat membunuh sel-sel kanser melalui tindakan enzim beta-glucosidase (enzim ini terdapat di dalam sel yang normal dan juga sel kanser). Enzim ini memisahkan molekul gula di dalam amygdalin dan molekul gula yang dinamakan mandelonitrile dibebaskan. Mandelonitrile ini dikatakan dimetabolismakan menjadi sianida dan membunuh sel-sel di sekitarnya. Dr.Kreb mendakwa bahawa kanser sel mengandungi lebih banyak enzyme beta-glucosidase dari sel-sel normal. Di samping itu, kanser sel tidak mempunyai enzim penawar (rhodanese) keracunan sianida seperti sel-sel normal, akibatnya sel-sel kanser akan mati dan sel-sel normal dilindungi. Walau bagaimanapun kajian saintis mendapati sebenarnya hanya terdapat sedikit enzim glucosidase di dalam tisu, malahan kandungan penawar keracunan sianida (rhodanese) adalah sama di dalam sel kanser dan sel normal. Pada tahun 1955, apabila mendapati teori mereka dapat disangkal oleh ahli sains, Dr.Krebs dan Krebs Jr telah mengubahsuai teori untuk mempertahankan teori mereka dengan mengatakan sebenarnya sel kanser mempunyai lebihan enzim beta-glucuronidase dan bukannya beta-glucosidase, malangnya teori tersebut juga dapat disangkal oleh ahli sains kerana kajian menunjukkan bahawa kandungan beta-glucuronidase di dalam sel kanser dan sel normal adalah juga sama banyak. Di samping itu, enzim glucuronidase tidak berkesan ke atas Amygdalin kerana gulanya diikat dengan ikatan glucoside. Glucuronidase hanya berkesan ke atas Laetrile ciptaan Kreb Jr. kerana gulanya diikat dengan ikatan glucuronide. Pada tahun 1970 Kreb Jr menukar teori mereka mengenai Laetrile sebagai antikanser dengan mendakwa bahawa kanser adalah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin dan ianya dapat dicegah dengan Laetrile. Beliau menamakan laetrile sebagai vitamin B17 dan mendakwa inilah vitamin yang  bertanggungjawab mencegah kanser. Rupa-rupanya langkah menggunakan nama vitamin B17 ini digunakan untuk tujuan lain iaitu untuk mengabui pihak FDA seperti yang diterangkan di atas kerana jika sesuatu bahan itu diberi dengan nama vitamin, maka ianya termasuk di dalam kategori “dietary supplement” yang tidak memerlukan kelulusan FDA. Kesimpulannya terdapat terlalu banyak keraguan yang timbul dari dakwaan Laetrile dan ciri-ciri anti-kanser semenjak awal lagi dan ini menyebabkan wujud keraguan yang serius ke atas orang yang menemui Laetrile. Sehingga hari ini teori yang dikemukakan oleh Dr.Kreb tidak pernah dibuktikan samada di dalam ujian makmal mahupun ke atas haiwan. Walaupun ada kajian makmal ataupun in-vitro dilakukan menunjukkan terdapat kemungkinan kesan positif sebagai antikanser, ianya adalah kajian kecil fasa pra-klinikal yang belum dibuktikan bermanfaat kepada pesakit kanser. Tambahan pula, mekanisma bagaimana sel-sel kanser itu dimatikan tidak dapat dijelaskan dan dibuktikan dengan konklusif.

KAJIAN KE ATAS LAETRILE DAN ANTI-KANSER

Walaupun kepada ahli sains moden, dakwaan laetrile sebagai antikanser adalah sesuatu yang sangat meragukan, namun ada dalam kalangan ahli sains yang melakukan kajian untuk mengkaji keberkesanan bahan ini disebabkan terdapat banyak dakwaan anekdotal ataupun testimoni termasuk dakwaan penduduk di sebuah perkampungan di Pakistan yang hidup panjang kononnya disebabkan mengamal pengambilan sumber amygdalin yang tinggi. Laetrile boleh diberikan secara pil, suntikan intravena ataupun suntikan di dalam otot. Selalunya ianya diberikan dalam bentuk suntikan intravena dan diikuti dengan rawatan seterusnya (maintenance therapy) dengan ubat makan. Kajian dijalankan lebih 20 tahun, semenjak pertengahan tahun 1950 an untuk melihat bukti keberkesanan laetrile sebagai antikanser. Ujian keatas haiwan dilakukan pertama kalinya dalam tahun 1950 an dan kajian ini pula adalah kajian perbandingan secara tertutup (blinded trial) di antara haiwan yang menghidap kanser, di dalam semua kajian yang dijalankan didapati laetrile tidak menunjukkan kesan antikanser. Jikapun ada kajian yang mendakwa menunjukkan hasil yang positif, kajian tersebut mempunyai kelemahan kerana tidak dilakukan “blinded trial” di samping metodologi yang meragukan. Kajian ke atas manusia pernah dilakukan semenjak tahun 1981 tetapi keputusan kajian itu tidak menunjukkan bahawa laetrile dapat merawat kanser. Banyak testimoni dan lapuran anecdotal ditemui mengenai laetrile, malah pihak FDA dan National Cancer Institutes pernah bersama-sama membuat penyiasatan ke atas 12 sejarah klinikal yang dihantar oleh Dr.Ernesto Contreras, ketua Klinik Laetrile di Tijuana, Mexico. Melalui semakan dan penyiasatan, mereka dapati terdapat banyak kelemahan dan isu yang sangat meragukan seperti diagnosa kanser yang tidak lengkap atau diagnisa tidak disahkan dengan ujian histopatologi, rawatan susulan yang singkat, kaedah menentukan keberkesanan yang tidak objektif dan kebanyakan pesakit telah menerima rawatan konvensional bersama dengan Laetrile. Pada tahun 1978, National Cancer Institute telah melakukan semakan yang lebih besar melibatkan rekod-rekod kes melalui kajian soal-selidik ke atas semua pengamal-pengamal perubatan di Amerika yang berjumlah lebih 450,000 orang. Dipercayai dianggarkan seramai 75,000 orang Amerika mengambil Laetrile pada ketika itu,tetapi melalui maklumbalas yang diterima, hanya 93 kesan positif yang diterima. Daripada angka tersebut 26 kes tidak mempunyai cukup maklumat untuk dibuat penilaian lanjut. Daripada baki 67 kes, ahli panel mendapati tidak terdapat bukti keberkesanan laetrile dan 6 kes lagi mungkin ada kesan positif. Ahli panel berpendapat tidak ada cukup bukti kukuh laetrile dapat merawat kanser.

Berdasarkan kepada hasil semakan 6 kes yang ada kesan positif yang disebutkan tadi, National cancer institute juga telah mengambil initiatif untuk melakukan ujian klinikal ke atas pesakit kanser secara prospektif untuk melihat samada ada ataupun tidak kesan antikanser dan juga kajian toksikologi. Kajian ini adalah kajian fasa 1 yang kecil. Enam pesakit kanser yang sudah tidak boleh dirawat (incurable cancer) telah dipilih dan diberikan suntikan intravenous amygdalin diikuti dengan ubat makan amygdalin. Lima dari enam pesakit tidak mengalami kesan toksik. Seorang pesakit mengalami keracunan sianida kerana memakan biji almond mentah semasa diberikan rawatan amygdalin. Kajian keberkesanan juga dilakukan (kajian fasa 2) ke atas 178 pesakit yang sama (kanser terminal dan sudah tidak ada rawatan diberikan tetapi masih aktif), mereka diberikan laetrile (suntikan selama 21 hari diikuti dengan ubat makan) , rawatan vitamin A,C dan E, B kompleks dan mineral di samping menjalani rawatan kalori rendah diet (tidak mengambil telur, daging, kafein, alcohol, produk tepung). Kebanyakan pesakit-pesakit ini mengalami kanser payudara, kanser usus besar dan kanser paru-paru. Selepas 3 bulan, 90% pesakit mengalami kanser yang merebak ke tempat lain. Selepas 8 bulan, 80% pesakit meninggal dunia. Keputusan ini sama sahaja dengan kumpulan pesakit yang tidak menerima sebarang rawatan. Pengkaji menulis bahawa hasil dari kajian ini, tidak ada langsung bukti keberkesanan dari segi penyembuhan, pengurangan, pengstabilan kanser, pengurangan gejala-gejala akibat kanser ataupun memanjangkan tempoh hayat.

Satu lapuran semakan dan penilaian besar melibatkan 200 rujukan oleh Cochrane database systematic review telah membuat kesimpulan bahawa dakwaan bahawa laetrile ataupun amygladin mempunyai manfaat kepada pesakit kanser tidak disokong oleh data klinikal yang kukuh. Terdapat risiko kesan sampingan yang membimbangkan daripada keracunan sianida selepas pengambilan laetrile ataupun amygladin terutama jika diambil secara makan. Pertimbangan risiko dan manfaat ke atas laetrile ataupun amygdalin sebagai rawatan kanser adalah jelas negative (risiko lebih dari manfaat).

Disebabkan oleh kekurangan bukti keberkesanan Laetrile keatas rawatan kanser, maka ianya tidak sesuai digunakan untuk kajian fasa 3 kerana ini akan dianggap tidak beretika kerana kegagalan di dalam kajian fasa 1 dan 2. Dengan fakta ini juga boleh disimpulkan bahawa hingga ke hari ini belum ada bukti klinikal yang kukuh bahawa Laetrile memberi manfaat kepada pesakit kanser.

KESAN TOKSIK LAETRILE

Dos ataupun kuantiti untuk mengambil laetrile pula tidak diketahui kerana tidak ada bukti keberkesanan dan kadar dos yang optima yang perlu diambil walaupun 1 pil laetrile mengandungi 500 mg kompoun. Ada yang mengesyorkan ambil 1 pil sehari dan tingkatkan hingga 6 biji sehari. Di samping tidak diketahui dos, dos di mana kesan sampingan boleh berlaku juga tidak diketahui dengan jelas. Terdapat kes keracunan mengakibatkan kematian keatas bayi yang berusia 11 bulan mengambil 500mg Laetrile sebab ibubapa bayi tersebut menganggap tidak merbahaya mengambil “vitamin”. Terdapat juga budak-budak dan orang dewasa yang mengalami keracunan sianida walaupun mengambil laetrile pada dos yang disyorkan.Terdapat kes kematian dilapurkan akibat keracunan sianida ke atas wanita yang mengamalkan 1 gram laetrile dan biji aprikot yang dihancurkan. Biji aprikot boleh meransang transformasi laetrile kepada sianida. Keracunan sianida hanya boleh berlaku jika laetrile diambil di dalam bentuk makan kerana enzim beta-glucosidase yang dihasilkan oleh bakteria di dalam usus akan memecahkan amygdalin kepada sianida. Laetrile yang diberikan dalam bentuk suntikan intravena akan dikeluarkan kesemuanya di dalam air kencing tanpa menghasilkan sianida (ini adalah salah satu fakta yang boleh digunakan untuk membuktikan bahawa laetrile tidak mempunyai apa2 kesan ke atas badan). Di antara kesan sampingan pengambilan laetrile adalah gejala dan tanda-tanda keracunan sianida seperti loya, muntah, sakit kepala, pening, kerosakan saraf & otot, kerosakan hati, tekanan darah yang tidak normal, demam, keliru, koma dan mati. Kesan sampingan ini lebih sering berlaku jika diambil di dalam bentuk makan dan ianya boleh menjadi lebih serius jika diambil bersamanya biji badam mentah, memakan beberapa jenis buah dan sayuran seperti buah peach, bean sprouts, daun saderi dan karot. Kesan sampingan laetrile juga lebih serius jika diambil bersama dengan dos yang tinggi vitamin C.

ADAKAH LAETRILE DILULUSKAN UNTUK RAWATAN KANSER

Tidak ada mana-mana institusi kanser berwibawa  dunia yang mengiktiraf Laetrile / Amygdalin /Vitamin B17 sebagai salah satu kaedah rawatan kanser yang berkesan. FDA tidak meluluskan laetrile sebagai kaedah rawatan kanser di Amerika Syarikat. FDA Commissioner Donald Kennedy pernah berkata : “ This review about Laetriles has affirmed my conviction that Laetrile is a major health fraud in the US today and that there is no evidence of its safety and effectiveness”. Kenyataan beliau ini disokong oleh banyak pertubuhan kanser dunia termasuk American Cancer Society. Australian and New Zealand Cancer Counsil juga menyokong pendapat lain-lain pertubuhan kanser mengenai laetriles dan kanser malah kerajaan Australia telah mengharamkan pengimportan biji aprikot yang mentah samada berkulit ataupun tidak ke negara mereka. Memorial Sloan Kettering Cancer Centre (MSKCC) juga membuat kenyataan yang sama bahawa sehingga hari ini belum cukup bukti untuk menggunakan Laetriles ataupun Amygdalin di dalam rawatan kanser walaupun ada beberapa kajian makmal yang menunjukkan kesan positif, kajian lanjut perlu dilakukan untuk pengesahan. MSKCC selanjutnya membuat kenyataan bahawa setakat hari ini Amygdalin dianggap toksik dan tidak sesuai digunakan untuk tujuan merawat kanser.

KESIMPULAN

Laetrile ataupun bentuk tulin Amygdalin yang diperolehi dari biji buah aprikot telah didakwa sebagai antikanser semenjak tahun 1840 an lagi. Walau bagaimanapun melalui kajian dan penilaian yang intensif, hingga ke hari ini tidak ada bukti kukuh bahawa pengambilan Laetrile ataupun Amygdalin boleh mencegah dan merawat sebarang kanser. Disebabkan tidak ada bukti keberkesanan Laetrile ataupun Amygdalin di dalam merawat kanser walaupun kajian fasa 1 dan 2 telah dilakukan, maka bahan ini tidak sesuai untuk diuji di dalam fasa 3 kajian saintifik. Kajian fasa 2 juga telah membuat rumusan bahawa tidak ada bukti keberkesanan dari segi penyembuhan, pengurangan, pengstabilan kanser, pengurangan gejala-gejala akibat kanser ataupun memanjangkan tempoh hayat pesakit. Perkataan vitamin B17 yang digunakan untuk menggantikan laetrile ataupun Amygdalin tidak mempunyai asas yang kukuh kerana Laetrile ataupun Amygdalin tidak memenuhi ciri-ciri vitamin dan ciri-ciri bahan keperluan asas untuk kesihatan badan. Jadi istilah Vitamin B17 ini bolehlah dianggap gimik ataupun helah semata-mata. Banyak badan kanser antarabangsa berpendapat bahawa pengambilan Laetrile ataupun Amygdalin ataupun Vitamin B17 membawa lebih banyak mudarat dari manfaat terutamanya jika diambil secara makan/pil. Kesan sampingan akibat dari pengambilan Laetrile adalah sama seperti kesan toksik pengambilan sianida dan kesan sampingan ini akan berganda jika rawatan Laetrile (samada jenis suntikan intravena ataupun makan) digabungkan dengan pengambilan biji buah aprikot ataupun almond/badam yang mentah. Jikapun pengamal Laetrile/Amygdalin/Vitamin B17 tidak mengalami sebarang kesan sampingan, tidak ada nilai-nilai pengubatan yang terdapat di dalam bahan-bahan ini. Di samping isu keberkesanan, tidak siapa mengetahui apakah dos optima yang perlu diambil dan apakah dos bahaya yang boleh menyebabkan keracunan. Isu yang perlu diambil kira oleh pengguna adalah kos yang perlu dibelanjakan ke atas produk ini kerana kos yang tinggi, dikatakan harga sebotol Vitamin B17 sahaja boleh mencecah RM350 untuk 90 biji untuk jenis yang kononnya asli dari Mexico dan ribuan ringgit jika ianya di dalam bentuk suntikan.

RUJUKAN

United States Food and Drug Administration: Laetrile, A Commisioner’s Decision. Washington. DC, Department of Health, Education and Welfare, Food and Drug Administration, 1978.

Dorr RT, Paxinos J: The current status of laetrile.Ann Intern Med 89;389-397, 1978

Fenselau C, Pallante S, Batzinger RP, et al. Mandelonitrile beta-glucuronide: Synthesis and characterization. Science, 1977; 198:625-627

Jee J, Yoshikawa F, Pont L, et al: Assay of amygdalin dosage forms from Mexico. J Pharm Sci, 1978;67:438-440

Kreb ET Jr: The nirtiloside (Vitamin B17):Their nature, occurrence and metabolic significance. J Appt Nutr , 1970; 22:75-86

Green DM. The vitamin fraud in cancer quackery. West J Med 1975; 122:345-348

National Cancer Institute: Chronology of National Cancer Institute studies of laetrile. Press release. National Cancer Institute. Bethesda, 1981, April 30

Laetrile: Unproven Methods of Cancer Management. CA-A-Cancer Journal For Clinicians,1991;41(3):187-192

Relman AS: Laetrilomania-again (letter). N Eng J Med, 1978;298:215-216

Ellison NM, Byar DP, Newell GR: Special report on Laetrile: The NCI Laetrile review: Results of the National Cancer Institute’s retrospective laetrile analysis. 1978; 299:549-552

Moertel CG, Fleming TR, Rubin J , et al: A clinical trial of amygdalin (Laetrile) in the treatment of human cancer. 1982; N Engl J Med, 306:201-206

Suchard JR, Wallace KL, Gerkin RD.
Acute cyanide toxicity caused by apricot kernel ingestion..Ann merg Med1998; 32:742

Rubino MJ, Davidoff F. Cyanide poisoning from apricot seeds.JAMA.124. 1979; 241:359
.
Milazzo S, Lejeune S, Ernst E. Laetrile for cancer: a systematic review of the clinical evidence.
Support Care Cancer.2007; 15, 583–595.

Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, Kvols L, Sarna G, Koch R, Currie VE, Young CW, Jones SE,
Davignon JP. A clinical trial of amygdalin (laetrile) in the treatment of human cancer.
NEJM.1982; vol.306, no.4, 201-206

Willhite CC: Congenital malformation induced by laetrile. 1982;215:1513-1515

http://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/cam/patient/laetrile-pdq#section/_3

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0032851/

http://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.3322/canjclin.22.4.245/abstract

Milazzo S, Ernst E, Lejeune S, Boehm K, Horneber M. Laetrile treatment for cancer. Cochrane Database Syst Rev. 2011;(11):CD005476.

http://www.cancer.org.au/content/cancer_control_policy/Submissions%20to%20Government/CCA%20submission%20FSANZ%20P1016%20-%20Hydrocyanic%20acid%20in%20Apricot%20Kernels%20&%20other%20Foods.pdf

https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/amygdalin


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN UNTUK MENGAMBIL BAHAN DARI RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

No comments:

Post a Comment