Friday, August 11, 2017

11 MANFAAT BANGUN AWAL

11 MANFAAT BANGUN AWAL

Agama dan Sains sependapat bahawa bangun awal membawa banyak manfaat. Waktu awal pagi lebih produktif dan lebih menyihatkan jika dibandingkan berjaga pada waktu tengah malam. Jadi seseorang yang bangun pukul 5.30 pagi dan tidur pukul 11.30 malam sebenarnya mendapat lebih manfaat berbanding dengan seseorang yang bangun pukul 7.30 pagi dan tidur pukul 1.30 pagi, walaupun waktu berjaga kedua2nya sama panjang. Selain daripada peluang untuk beribadah, ada banyak manfaat lain bangun awal (dengan syarat mendapat masa tidur yang cukup dan merancang dengan baik):

1. Kajian yang dilakukan di Negara Eropah dan Amerika mendapati pelajar2 yang bangun awal mempunyai purata gred peperiksaan yang lebih baik.

2. Individu yang bangun awal didapati mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah kerana mereka lebih bersedia dan mempunyai kehidupan yang lebih teratur.

3. Orang yang bangun awal mempunyai tenaga dan mood yang lebih baik, ini mungkin dikaitkan dengan kualiti tidur yang lebih baik dan tubuh badan yang lebih bersedia.

4. Orang yang bangun awal didapati lebih berdisiplin dan mempunyai kehidupan yang lebih terancang. Mereka mempunyai lebih masa untuk merancang apa yang perlu dilakukan pada hari tersebut.

5. Senaman pada waktu pagi lebih mudah mendapat kesempatan berbanding dengan merancang untuk bersenam pada waktu petang ataupun malam kerana kesibukan kerja dan pulang lambat. Senaman waktu pagi lebih menyihatkan dan membantu tidur yang lebih baik. Senaman membantu badan merembeskan hormone endorphins iaitu hormone yang memberi perasaan seronok dan ceria, ini mungkin meningkatkan mood anda.

6. Banyak kajian menunjukkan orang yang bangun awal mempunyai kitaran tidur yang lebih baik kerana mereka mempunyai jadual bangun dan tidur yang tetap. Tidur yang baik dan mencukupi mempunyai banyak manfaat kepada badan dari segi fizikal dan juga psikologikal.

7. Bangun awal dan pergi kerja awal bermaksud anda kurang menghadapi masalah kesesakan lalu lintas. Sampai di tempat kerja lebih awal dan kerja anda bermula dengan tenaga yang lebih baik. Ini juga mengurangkan stress.

8. Apabila sampai di tempat kerja awal, anda lebih bersedia, tidak perlu berebut di jalanraya dan meletakkan kereta. Sampai di tempat kerja yang ketika itu kurang sibuk dan anda menghadapi kurang gangguan waktu kerja. Prestasi kerja boleh menjadi lebih baik berbanding dengan orang yang bangun lewat, tergesa2 dan stress menghadapi kesesakan jalan dan kesukaran meletakkan kenderaan.

9. Orang yang bangun awal selalunya sudah menyelesaikan perkara2 penting pada hari tersebut apabila tiba waktu malam, jadi mereka mempunyai lebih masa untuk keluarga dan diri sendiri.

10. Apabila seseorang yang bangun awal mendapat manfaat daripada apa yang disebutkan di atas, minda mereka lebih sihat dan kualiti hidup mereka lebih baik. Waktu pagi yang sunyi merupakan masa terbaik untuk merehatkan otak dan bermuhasabah diri anda.

11. Bangun awal memberi lebih masa untuk mendapatkan makan pagi yang lebih baik. Anda mempunyai lebih masa menyediakan makanan dan mencari makanan yang sihat berbanding dengan orang yang tergesa2 dan kadangkala terlepas makan pagi. Tabiat makan anda lebih baik. 

Betapa ruginya orang yang bukan sahaja bangun lewat, tetapi waktu jaga yang pendek dan tidak produktif. Seorang yang bangun 2 jam lebih awal mempunyai tambahan masa sebanyak 21,900 jam (912 hari) dalam tempoh 30 tahun berbanding dengan orang yang bangun lewat.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

No comments:

Post a Comment