Wednesday, September 13, 2017

APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KEMOTERAPI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Kemoterapi adalah gabungan dua perkataan iaitu Kemo (“Chemo”) merujuk kepada bahan kimia dan terapi (“therapy”) bermaksud rawatan. Walaupun perkataan itu maksudnya adalah umum tetapi apabila menyebut kemoterapi ianya lebih merujuk kepada salah satu kaedah rawatan kanser. Rawatan kemoterapi adalah salah satu rawatan sistemik iaitu ubat yang diberikan akan masuk ke dalam aliran darah dan pergi ke seluruh badan. Ianya berbeza dengan rawatan seperti pembedahan mengeluarkan kanser dan rawatan radioterapi yang lebih bersifat setempat. Ada beberapa maklumat penting yang perlu difahami oleh orang ramai mengenai rawatan kemoterapi.

1. Rawatan Kemoterapi adalah salah satu kaedah rawatan kanser sistemik, iaitu merawat seluruh badan.

2. Rawatan kemoterapi boleh diberikan melalui beberapa kaedah iaitu suntikan ke dalam saluran darah, suntikan dalam otot, suntikan ke dalam rongga badan dan melalui makan.

3. Ubat yang digunakan di dalam rawatan kemoterapi dinamakan ubat sitotoksik. Sitotoksik (”cytotoxic”) adalah gabungan dua perkataan iaitu sito (”cyto”) dan toksik (”toxic”). Sito merujuk kepada sel hidup, manakala toksik adalah toksin yang mematikan ataupun merencatkan sel. Ubat sitotoksik bukan sahaja boleh merawat kanser tetapi juga digunakan di dalam rawatan penyakit lain seperti rheumatoid arthritis dan multiple sclerosis.

4. Dalam konteks rawatan kanser, ubat sitotoksik adalah ubat yang digunakan untuk mematikan sel-sel kanser. Ubat sitotoksik juga boleh merencat pembiakan sel kanser.Jadi rawatan kemoterapi adalah rawatan merawat kanser yang menggunakan ubat sitotoksik.

5. Banyak ubat sitotoksik diperolehi daripada tumbuhan. Tumbuhan menggunakan bahan kimia yang ada di dalam dirinya untuk melawan serangan daripada kulat, bakteria, virus dan juga serangga. Ahli sains berjaya mengenalpasti bahan aktif yang terdapat di dalam tumbuh2an ini. Contohnya pokok Camptotheca digunakan untuk membuat ubat topotecan, kulit pokok yew digunakan untuk membuat Paclitaxel, pokok Catharanthus roseus untuk membuat vinca alkaloid, pokok Podophyllum spp untuk membuat etoposide dan banyak lagi.

6. Ubat sitotoksik ini mematikan sel kanser dengan cara mengganggu proses kitaran sel (”cell cycle”) dan banyak di antaranya merosakkan DNA (baka) ataupun mengganggu fungsi DNA sel-sel kanser. Ubat sitotoksik yang bertindak dengan cara yang sama akan dikumpulkan dalam kumpulan yang sama. Contohnya ubat cyclophosphamide dan ifosfamide bertindak dengan mengikat dua rantai molekul DNA sel kanser dan kedua2 ubat ini dikumpulkan dalam kumpulan yang dikenali sebagai agen Alkylating (”Alkylating agents”). Terdapat sekurang-kurangnya 7 kumpulan ubat sitotoksik yang setiap kumpulan ini mengandungi banyak jenis ubat. Di dalam kumpulan agent alkylating sahaja terdapat 13 jenis ubat. Terdapat lebih daripada 100 jenis ubat sitotoksik yang digunakan untuk merawat kanser yang dihidapi oleh manusia.

7. Ahli sains mengeluarkan bahan kimia aktif daripada tumbuh-tumbuhan ataupun sumber asli dan dijadikan ubat sitotoksik untuk merawat kanser. Bahan kimia ini akan diuji ke atas haiwan ataupun lapisan sel kanser dalam makmal (kajian praklinikal) dan kemudian jika ada kesan positif barulah akan dilanjutkan ke ujian klinikal fasa 1, 2 dan 3 sebelum boleh digunakan untuk rawatan ke atas manusia. Proses kajian yang dijalankan ini adalah panjang memakan masa bertahun2 kerana ahli sains perlu memastikan ubat ini betul2 berkesan. Ahli sains juga akan mengkaji apakah kombinasi terbaik ubat2 sitotoksik untuk merawat kanser2 tertentu. Kanser-kanser yang berlainan akan menjalani kajian yang berlainan. Terdapat juga ubat sitotoksik yang boleh merawat lebih daripada satu jenis kanser. Kesan sitotoksik tidak akan diperolehi jika tumbuhan ini diproses sendiri dalam bentuk mentah ataupun dijadikan serbuk, kapsul ataupun direbus tanpa kepakaran ahli sains dan teknologi makmal. Ini disebabkan di dalam tumbuh-tumbuhan itu terdapat berpuluh2 ataupun beratus2 bahan kimia lain yang ada di antaranya menjadi penawar. Di samping itu jenis dan kuantiti/dos bahan aktif yang digunakan juga tidak diketahui, berkemungkinan terlalu sedikit ataupun terlalu banyak. Tambahan pula, jika diambil secara makan ataupun minum, banyak bahan2 kimia aktif ini akan dimusnahkan oleh jus perut dan usus sebab itulah kebanyakan ubat sitotoksik diberikan melalui suntikan.

8. Terdapat beberapa tujuan rawatan kemoterapi diberikan iaitu sebagai rawatan utama kanser (untuk menyembuhkan), mengecilkan kanser sebelum pembedahan boleh dilakukan, mengurangkan gejala akibat kanser (rawatan paliatif), untuk mengurangkan kadar kanser berulang selepas pesakit diberi rawatan utama (adjuvan), meningkatkan keberkesanan rawatan radioterapi (diberikan bersama radioterapi) dan merawat kanser berulang. Pakar kanser akan menentukan tujuan rawatan diberikan.

9. Di dalam banyak keadaan penyakit kanser lebih berkesan dirawat dengan menggunakan lebih daripada satu jenis ubat sitotoksik.Jika dua jenis ubat sitotoksik dipilih, ianya hendaklah daripada kumpulan yang berbeza. Jadi pakar kanser menggunakan prinsip membunuh sel kanser dengan kaedah serangan daripada sudut2 yang berbeza. Ada juga pesakit kanser yang diberikan 3 jenis ubat sitotoksik. 

10. Ubat sitotoksik lebih berkesan bertindak ke atas sel-sel yang cepat membiak. Disebabkan sel-sel kanser cepat membiak, maka sel-sel inilah yang lebih mudah dihapuskan. Walau bagaimanapun terdapat sel-sel normal di dalam badan yang membiak secara cepat seperti sel di lapisan mulut, usus, sel rambut dan sel-sel darah. Jadi sel-sel ini akan terkesan dengan rawatan kemoterapi sebab itulah rawatan kemoterapi mempunyai tempoh rihat untuk memberi peluang sel-sel ini pulih. Ubat sitotoksik yang berbeza boleh memberikan kesan sampingan yang berbeza.

11. Pakar kanser dilatih untuk menentukan jenis ubat sitotoksik yang patut diberikan, berapakah dos yang sesuai, jangkamasa rawatan dan berapa kitaran rawatan kemoterapi perlu diberikan.

12. Sebelum pesakit dirawat, mereka akan diberikan kaunseling dan apabila faham barulah akan diberikan tarikh untuk memulakan rawatan.

13. Umumnya rawatan kemoterapi diberikan setiap 3 minggu dan ini dinamakan satu kitaran. Ada juga ubat kemoterapi diberikan seminggu sekali iaitu hari pertama, ke-8 dan ke-15, dalam keadaan ini pesakit ini dikatakan sudah selesai 1 kitaran apabila sudah menerima kesemua 3 kali rawatan. Umumnya pesakit akan diberikan 3 kitaran kemoterapi sebelum ujian keberkesanan dilakukan. Hanya jika disahkan berkesan barulah kitaran ke-4 dimulakan.

14. Pakar kanser dilatih untuk memaksimakan kesan rawatan ke atas kanser dan meminimakan kesan sampingan ke atas sel-sel yang normal. Rawatan pencegahan dan persediaan akan diberikan sebelum dan selepas rawatan kemoterapi diberikan. Walaupun pesakit tidak suka kepada kesan sampingan ubat sitotoksik, tetapi secara logiknya, wujudnya kesan samping adalah petanda ubat sitotoksik itu melakukan tugasnya. Adalah sesuatu yang luar biasa jika seseorang pesakit tidak ada langsung mengalami kesan sampingan.Ini mungkin disebabkan ubat itu tidak berkesan ataupun dos ubat yang diberikan itu jauh lebih rendah daripada dos berkesan ("therapeutic dose"). Jadi pesakit sepatutnya lebih bimbang mengapa ia tidak mengalami apa2 kesan sampingan.

15. Sebelum memulakan setiap kitaran kemoterapi, ujian darah akan dilakukan bagi memastikan sel-sel darah mencukupi, fungsi buah pinggang, fungsi hati dan bahan mineral di dalam badan adalah mencukupi. Ini bagi memastikan pesakit bersedia daripada segi fizikal untuk menghadapi rawatan kemoterapi. 

16. Jika pesakit mengikut nasihat pakar kanser dan mengamalkan kaedah penjagaan diri sebelum, semasa dan selepas rawatan kemoterapi diberikan, maka kesan sampingan dapat diminimakan. Terdapat ubat sitotoksik yang mempunyai penawar bagi mengurangkan kesan sampingan yang disebabkan olehnya. Contohnya ubat Mesna yang digunakan untuk meminimakan kesan sampingan ke atas pundi kencing (radang pundi kencing) akibat rawatan menggunakan ubat ifosfamide. Ubat Amifostine adalah penawar untuk kesan sampingan ke atas buah pinggang yang disebabkan oleh ubat cisplatin. Ubat-ubat ini dikenali sebagai "chemoprotector". Jikapun pesakit-pesakit mengalami kesan sampingan yang agak serius, hampir kesemua kesan2 ini akan sembuh sepenuhnya selepas tamat menerima rawatan walaupun proses pemulihan ini memakan masa. Sel-sel darah akan kembali normal dan rambut akan tumbuh semula. Ada juga kesan sampingan yang agak memakan masa untuk pulih seperti kebas pada kaki dan tangan (hanya ubat2 tertentu).

17. Semasa proses pemantauan, pakar kanser akan menentukan samada perlu kekal dengan ubat yang sama, perlu dikurangkan dos, ditangguhkan, ditukar kepada ubat yang lain ataupun dihentikan rawatan. Pakar kanser akan membuat pertimbangan manfaat:mudarat di dalam memilih keputusan ini. Adakalanya pakar kanser akan menghentikan rawatan jika didapati mudarat melebihi manfaat dan kanser sudah tidak mampu dipulihkan.

18. Hari ini penyelidik sedang giat menjalankan kajian bagi mendapatkan ubat sitotoksik yang dapat bertindak secara khusus kepada sel kanser tanpa menjejaskan sel-sel normal. Sedikit masa lagi kita akan diperkenalkan dengan ubat-ubat sitotoksik seumpama ini. Di samping itu ubat sitotoksik yang lebih berkesan juga ditemui dari masa ke semasa. Inilah salah satu sebab mengapa rawatan kanser moden menjadi semakin berkesan dari masa ke semasa dan dapat memanjangkan hayat lebih ramai penghidap kanser jika dibandingkan dengan rawatan kemoterapi di masa yang lampau.

No comments:

Post a Comment