Monday, September 18, 2017

PROSES-PROSES RAWATAN KEMOTERAPI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah


Kemoterapi adalah salah satu kaedah rawatan kanser yg diberikan untuk mematikan sel2 kanser di seluruh badan.  Ubat yg digunakan di dlm rawatan kemoterapi dinamakan ubat sitotoksik.  Terdapat lebih daripada 100 jenis ubat sitotoksik yg digunakan untuk merawat lebih daripada 150 jenis kanser yg dihidapi oleh manusia. Proses rawatan kemoterapi mungkin berbeza dari satu jenis kanser dgn kanser yg lain. Ia juga mungkin berbeza di pusat2 rawatan yang lain.  Proses rawatan yg diterangkan ini adalah apa yang diamalkan di tempat bertugas penulis. Berikut adalah proses-proses yang perlu dilalui oleh pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi.

1. Ada kanser yg dirawat dgn satu jenis ubat sitotoksik dan ada yg dirawat dgn lebih daripada satu jenis.Jadi proses pemberian adalah lebih kompleks jika melibatkan lebih banyak jenis ubat sitotoksik.

2. Umumnya rawatan kemoterapi diberikan 3 minggu sekali. Setiap kali rawatan kemoterapi memakan masa daripada satu hari hingga beberapa hari. Ada juga rawatan kemoterapi yg diberikan setiap minggu.

3. Umumnya satu kitaran kemoterapi adalah rawatan yg diberikan dlm masa 3 minggu. Jadi jika satu sahaja rawatan yg diberikan dlm masa 3 minggu, maka itu dikira satu kitaran. Manakala jika rawatan diberikan setiap minggu, maka seseorang pesakit perlu menerima 3 kali rawatan sebelum dikatakan sudah melangkapkan satu kitaran.

4. Setelah dikenalpasti jenis kanser dan peringkatnya, pakar kanser akan berbincang dgn rakan2 setugas utk menentukan jenis rawatan yg terbaik. Katakan selepas perbincangan, pakar kanser telah memilih rawatan kemoterapi, maka jenis ubat sitotoksik yg hendak diberikan akan ditetapkan. Jenis ubat, dos dan berapa kerap hendak diberikan ini dinamakan "chemotherapy regimen". Terdapat banyak jenis regimen yg berlainan mengikut jenis kanser yg hendak dirawat. Malahan terdapat beberapa regimen yang berbeza untuk satu-satu jenis kanser. Regimen yang menjadi pilihan utama dikenali sebagai "first line chemotherapy regimen".

5. Pesakit dan ahli keluarga akan dipanggil utk sesi penerangan dan kaunseling tentang keputusan yg telah dibuat. Ada kalanya keputusan akhir yg dipilih memerlukan keterlibatan pesakit utk membuat keputusan. Kadangkala pakar kanser melakukan kaunseling pada waktu yang sama keputusan pemeriksaan patologi dilapurkan. Setelah pesakit bersetuju, tarikh rawatan pertama akan diberikan.

6. Rawatan kemoterapi boleh diberikan di dalam wad ataupun di pusat rawatan harian. Selalunya rawatan pertama diberikan di wad. Jika rawatan diberikan di pusat rawatan harian, pesakit tidak perlu masuk ke dlm wad sebaliknya ujian darah dan rawatan akan diberikan sebagai pesakit luar. Tidak semua rawatan kemoterapi boleh diberikan di pusat rawatan harian. 

7. Pesakit akan masuk ke dalam wad pada tarikh yg telah ditetapkan. Ada hospital yg menyediakan sesi kaunseling oleh pegawai farmasi yg bertugas dlm rawatan kanser. Pegawai ini akan menerangkan secara terperinci mengenai ubat2 yg akan diberikan dan apakah yg akan dialami oleh pesakit. Terdapat juga hospital yang mempunyai pegawai farmasi onkologi (Oncology Pharmacist). Pesakit akan juga diberi buku maklumat rawatan kemoterapi utk dijadikan sumber rujukan dan rekod kesihatan (amalan Unit Ginekologi Onkologi Hosp Sultanah Bahiyah).

8. Berat badan, tinggi dan juga darah pesakit akan diambil. Branula (jarum tempat dimasukkan ubat) akan dipasang serentak. Ujian2 darah ini adalah ujian bilangan sel darah, ujian fungsi buah pinggang, ujian fungsi hati, kandungan bahan mineral dan "tumour markers". Ada juga pesakit yg perlu menjalani ujian air kencing utk mengukur tahap fungsi buah pinggang dgn lebih terperinci.

9. Melalui maklumat2 yg diperolehi daripada no 8 di atas, pakar akan menentukan samada pesakit boleh terus menerima rawatan ataupun perlu menjalani pemulihan jika ada keputusan darah mereka tidak memuaskan. Pakar ataupun pegawai farmasi akan mengira dos ubat yg akan diberikan di dlm borang kemoterapi. Jika keputusan ujian darah memuaskan dan pesakit sudah bersedia, pakar kanser akan menandatangani borang itu dan dihantar ke bahagian farmasi utk proses penyediaan ubat. 


10. Sebelum rawatan dimulakan pesakit akan diberikan ubat2an khusus  utk mengurangkan kesan sampingan ubat sitotoksik. Ini dinamakan “pre-chemo medication”.Ada juga yg perlu diberikan infusi air ke dalam saluran darah utk hidrasi sebelum diberikan ubat sitotoksik, ini dinamakan "pre-chemo hydration"

11. Setelah ubat sitotoksik disediakan dan dihantar ke wad, barulah rawatan kemoterapi dimulakan dan pesakit akan dipantau dari masa ke semasa. Pesakit juga patut memerhatikan tempat ubat sitotoksik diberikan utk sebarang masalah seperti sakit, kemerahan dan kebengkakan. Maklumkan jururawat jika berlaku kelainan di luar jangkaan seperti sesak nafas, ruam2 badan dan gatal. Ini mungkin petanda alahan kepada ubat yg diberikan.

12. Setelah tamat rawatan, pesakit akan diberikan pula ubat2an yg perlu diambil selepas rawatan utk mencegah atau mengurangkan risiko kesan sampingan  terutamanya loya dan muntah. Ubat2 ini perlu diambil semasa pulang ke rumah utk tempoh beberapa hari. Branula akan dikeluarkan sebelum pesakit pulang ke rumah. 

13. Pesakit akan dimaklumkan tentang tarikh untuk mendapatkan rawatan kemoterapi seterusnya. Tarikh temujanji untuk bertemu dgn doktor di klinik onkologi juga akan diberikan jika perlu. Pada ketika ini pesakit sepatutnya sudah tahu apakah ubat2 yg perlu diambil dan kaedah2 penjagaan diri semasa pulang ke rumah termasuk pemakanan. Sebarang kelainan seperti demam, muntah yg teruk dan tahap kesihatan yg semakin meruncing perlu diambil perhatian dan dibawa kpd pengetahuan pihak yg merawat.Terdapat juga pesakit yg menerima ubat kemoterapi melalui kemopot ("chemoport") iaitu alat yg diletakkan di bawah kulit bersambung dgn saluran darah, supaya ubat sitotoksik dpt diberikan tanpa perlu memasang branula. Pesakit ini perlu tahu kaedah penjagaan kemopot apabila pulang ke rumah utk mencegah jangkitan dan tersumbat. Kemopot akan kekal di dalam badan pesakit. 

14. Pakar kanser akan menentukan berapa kitaran kemoterapi yg perlu diberikan dan bilakah ujian keberkesanan  rawatan akan dilakukan. Pakar kanser juga akan menentukan bila rawatan ini akan dihentikan.

Rawatan yang diberikan adalah bersistematik dan tidak terburu-buru, jadi pesakit dan ahli keluarga tidak boleh mendesak supaya dipercepatkan ataupun mengambil jalan singkat. Rawatan kemoterapi memerlukan kerjasama daripada pesakit dan ahli keluarga. Pesakit perlu mempunyai pengetahuan tentang penyakit mereka dan proses rawatan yang akan diterima. Mereka juga perlu mengetahui bagaimanakah utk menjaga diri ketika rawatan dan semasa pulang ke rumah. Mereka perlu mematuhi nasihat yg diberikan oleh doktor dan tidak meninggalkan rawatan ini di tengah jalan tanpa berbincang dgn doktor yg merawat. Pesakit yg bijak, berpengetahuan luas tentang penyakit mereka dan tahu bagaimana memelihara badan ketika rawatan kemoterapi akan dapat menghadapi rawatan kemoterapi dengan lebih mudah dan mengalami kesan sampingan yang lebih ringan. Ini juga akan menyumbang kepada keberkesanan rawatan yg lebih tinggi.
  

Kemopot ("chemoport")

No comments:

Post a Comment