Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),Fellow GO (S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
President Malaysian Gynaecological Cancer Society
PENDAHULUAN
Kanser adalah dikategorikan
sebagai penyakit kronik yang menakutkan dan mempunyai kesan fizikal dan
psikologi yang serius jika tidak ditangani dengan betul. Contoh penyakit kronik lain adalah penyakit kencing
manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Sebenarnya tanggapan bahawa
penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pengidapnya semakin kurang relevan
kerana penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit datang dan
dirawat pada peringkat awal. Malahan banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain
yang lebih memudaratkan.Penyakit kencing manis umpamanya tidak kurang bebannya
jika tidak dikawal dengan baik kerana kencing manis boleh menyebabkan
komplikasi kepada hampir semua organ badan dan pengidapnya boleh menderita
seumur hidup. Begitu juga penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit buah
pinggang kronik yang telah membunuh berjuta-juta orang manusia setiap tahun, pengidap
penyakit-penyakit ini perlu dirawat untuk selama lamanya.Seperti yang saya
sebutkan tadi, pada hari ini pesakit kanser yang dirawat boleh sembuh
sepenuhnya dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain yang normal.
Malahan ramai bekas pesakit kanser yang bukan sahaja sembuh tetapi masih boleh
terus menyumbang kepada kemajuan negara, kepada kebajikan dan kebaikan orang
lain. Jangan jadikan mengidap kanser ini sesuatu petanda yang anda tidak
mempunyai masa depan.
BAGAIMANA
MENGHADAPI TEKANAN PSIKOLOGI AKIBAT DARI MENGHIDAP KANSER
Menjalani rawatan kanser tidak
bermakna anda mesti melupakan keseronokan hidup. Anda masih boleh berjenaka,
bergaul rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, mengadakan hubungan seksual,
melakukan aktiviti harian dan meneruskan hobi anda. Jika anda merasa ceria dan
memenuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, anda tidak akan
terlalu memikirkan masalah penyakit anda dan ini adalah sesuatu yang baik untuk
kesihatan anda.
Kebiasaannya, anda akan merasa
bingung dan tidak tentu arah setelah mengetahui tentang penyakit dan rawatan
anda. Ada harinya anda merasa yakin, penuh harapan dan boleh mengawal diri.
Pada hari-hari yang lain, anda akan berperasaan sangat negatif. Anda mungkin
merasa takut untuk menghadapi penyakit dan merasa tidak berdaya, takut akan
kematian atau apa yang berlaku di kemudian hari. Anda mungkin merasa bimbang
tentang perubahan yang akan berlaku dalam hidup anda, masalah kewangan atau
samada keluarga anda boleh menghadapi situasi ini. Walaupun anda seorang yang
selalunya penuh keyakinan, anda mungkin tidak dapat mengelak berperasaan muram
jika terus memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.
Walaupun anda boleh cuba
menyingkirkan perasaan-perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya,
adalah lebih baik jika anda belajar untuk menerimanya dan membuatkan mereka
yang rapat dengan anda menerimanya juga. Jika anda berjaya menangani
masalah-masalah emosi ini, anda akan mempunyai lebih keyakinan diri dan mampu
membuat keputusan-keputusan penting.
Sikap yang terbuka dan positif akan membuatkan anda lebih kuat dan yakin
untuk menghadapi rawatan dan menahan kesan-kesan sampingannya.
Salah satu kaedah yang penting
untuk menjaga diri anda dan melawan tekanan perasaan ialah dengan membenarkan
orang lain membantu anda.
- Berfikiran positif adalah satu sikap yang akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser. Sesungguhnya kematian itu adalah kepastian, tidak ada sesiapa yang terkecuali dan sesiapa pun tidak tahu bagaimana caranya mereka akan mati. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan pemberian tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian dan jika berupaya menghadapi ujian ini, ganjarannya tak ternilai malah lebih besar dari apa-apa saja ganjaran di dunia ini.
- Luahkan perasaan anda. Kebanyakan orang akan merasa lega, kurang takut dan tidak kesunyian setelah mereka meluahkan perasaan mereka. Cuba berkongsi perasaan anda dengan mereka yang mengambil berat tentang diri anda. Berbincanglah dengan keluarga, rakan-rakan, pesakit-pesakit kanser yang lain atau doktor keluarga anda bila anda merasa bersedia untuk berbuat demikian.
- Keluarga atau rakan-rakan anda mungkin akan merasa kekok untuk bercakap dengan anda atau menawarkan bantuan mereka. Mereka bimbang akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan anda, dan dengan itu memilih untuk berdiam diri. Hanya anda sahaja yang boleh memberitahu mereka apa yang anda mahu atau perlukan. Mungkin sukar bagi anda untuk meminta bantuan dari mereka, tetapi dengan membenarkan mereka membantu anda, anda sebenarnya membantu mereka juga.
- Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi pengalaman dan berbincang dengan orang yang sedang atau telah melalui pengalaman atau kebimbangan yang sama semasa menjalani rawatan kanser mungkin boleh membantu anda menjadi lebih tabah. Anda boleh berkongsi melalui perjumpaan dan juga melalui media sosial. Terdapat banyak kumpulan sokongan yang diwujudkan di media-media sosial yang diasaskan oleh bekas pesakit kanser sendiri. Tidak ada orang lain yang lebih memahami perasaan yang dialami oleh pesakit kanser melainkan mereka-mereka yang telah mengalaminya. Salah satu kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk tujuan ini adalah Cancer Survivors Malaysia (CSM). Saya menggalakkan anda untuk bersama kumpulan ini.
- Dapatkan rujukan kepada pakar psikologi untuk membantu menghadapi masalah emosi anda jika anda rasakan perlu. Dengan cara ini anda boleh meluahkan perasaan anda kepada seorang yang professional, terutama jika anda mendapati sukar untuk meluahkannya kepada orang lain.
- Pelajari cara-cara untuk merehatkan diri. Contohnya: mendengar muzik atau membayangkan perkara-perkara indah dalam kehidupan anda. Teknik-teknik ini boleh dicuba sebelum, semasa atau selepas kemoterapi. Anda juga boleh mencubanya dalam kehidupan seharian.
- Kaedah yang terakhir tetapi paling penting adalah melalui mendekatkan diri dengan Tuhan. Bagi anda yang berugama Islam, banyakkan berdoa, membaca al-quran, sembahyang hajat dan memuhasahab diri. Kehidupan di dunia ini cuma hanya sedetik waktu dari kehidupan sebenar di akhirat yang tiada penghujungnya. Penuhilah amalan-amalan yang baik, rajin bersedekah dan membantu orang susah. Inilah masa yang terbaik untuk mengenal diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan mengubah apa saja ketentuanNya.
SUMBANGAN YANG BOLEH DIBERIKAN
OLEH ORANG YANG MENJADI PENJAGA PESAKIT KANSER.
Sekiranya anda yang membaca
buku ini adalah salah seorang yang menjadi penjaga kepada pesakit kanser maka
saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana anda adalah di antara
manusia-manusia mulia yang sabar dan gigih membantu orang yang anda kasihi.
Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Sumbangan keluarga terdekat terhadap
perawatan dan penjagaan pesakit kanser adalah tersangat penting kerana pesakit
kanser ini memerlukan bukan saja sokongan fizikal tetapi lebih-lebih lagi
sokongan emosi dan mental. Di dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser, anda perlu mempunyai pengetahuan bagaimana mengendalikan pesakit ini terutamanya dari aspek sokongan moral dan emosi. Anda boleh membuat kesilapan menambah penderitaan emosi pesakit jika perbuatan dan perkataan anda tidak sesuai. Jadi anda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan pesakit kanser.
Berikut adalah beberapa tip
untuk anda amalkan supaya dapat mengurangkan beban penyakit kanser yang
dihadapi oleh orang tersayang.
1. SOKONGAN MENTAL DAN EMOSI
- Pesakit sedang mengalami tekanan emosi. Bersabar terhadap karenah mereka terutamanya perubahan ‘mood’ mereka.
- Berikan semangat dan harapan.
- Jangan singkirkan mereka dari aktiviti sosial anda. Galakkan mereka melibatkan diri dan lakukannya bersama-sama.
- Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan dan luahan perasaan mereka pada bila-bila masa.
- Jangan menjauhkan diri atau mengelakkan diri dari menyentuh mereka. Ingat bahawa kanser tidak boleh berjangkit, sentuhan kasih sayang boleh menjadi ubat yang mujarab untuk menghilangkan keresahan dan tekanan perasaan. Selalu memeluk mereka kerana pelukan mempunyai nilai penyembuhan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
- Temani mereka semasa menjalani rawatan jika dibenarkan.
- Temani mereka semasa perbincangan mengenai penyakit atau rawatan.
- Temani mereka dan ikuti aktiviti-aktiviti kumpulan sokongan.
- Tawarkan diri untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka
- Temani mereka semasa makan. Ini boleh meningkatkan selera makan mereka.
- Hubungi doktor jika pesakit tidak minum selama 24 jam atau tidak mengambil apa-apa makanan selama dua hingga tiga hari.
- Bantu mereka untuk datang berjumpa dengan doktor seperti meluangkan masa menghantar mereka ke hospital.
3. LAIN-LAIN
SOKONGAN
a. Jangan mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka. Kasihanilah mereka dan jadikan musibah ini untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan mereka supaya anda tidak rasa menyesal selepas pemergian mereka sebaliknya anda berasa puas dan inilah balasan yang anda terima di dunia ini. Balasan untuk anda di akhirat tentu tak ternilai besarnya.
PANDUAN BERCAKAP DENGAN PESAKIT KANSER
Berhati-berhati apabila
mengeluarkan perkataan kepada pesakit kanser. Ini adalah panduan kepada orang
yang dekat dengan pesakit kanser samada pasangan, saudara mara ataupun sahabat
baik. Ada perkataan yang pada pendangan kita sesuai tetapi tidak sesuai
dikeluarkan.Fakta-fakta ini diperolehi hasil dari soal-selidik pakar-pakar kanser dan psikologi terhadap pesakit kanser. Berikut adalah 10 ayat yang TIDAK
PATUT dan SEPATUTNYA keluar
dari mulut anda sebagai pasangan ataupun orang yang dekat dengan pesakit
kanser:
1. TIDAK PATUT: ”Saya
tidak boleh berhenti menangis dan seringkali terbangun tidur memikirkan tentang
awak”.
SEPATUTNYA: ”Saya
merasa sedih kerana anda perlu melalui semua ini. Jangan ragu-ragu untuk
menangis depan saya, bercakap dengan saya ataupun awak boleh saja tidak mahu bercakap dengan saya”
2. TIDAK PATUT: ”
Bersyukur kerana kanser yang anda hidapi bukan jenis yang itu (jenis kanser
lain yang lebih serius)”.
SEPATUTNYA: ”Beritahu
saya mengenai kanser yang anda hidapi, jika awak sudi. Saya ingin mengetahui
lebih lanjut mengenai pengalaman yang awak lalui”
3. TIDAK PATUT : ” Adakah awak merokok” seolah2 mencari punca penyebab kanser.
SEPATUTNYA: ”Saya
simpati kerana awak menghidap penyakit ini”
4. TIDAK PATUT: ” Kawan
saya mengidap penyakit kanser yang sama, saya akan ceritakan kepada awak semua
berkenaan dengannya”. Seolah anda menjadi wakil menceritakan pengalaman orang
lain.
SEPATUTNYA: ”Sahabat
saya juga mengalami penyakit kanser yang sama, adakah awak ingin menghubunginya
untuk berkongsi,?”
5. TIDAK PATUT:”Jika
ada apa-apa yang boleh saya bantu, beritahu saya”. Menambah beban pesakit
berfikir apakah bantuan yang diperlukan.
SEPATUTNYA: ”Saya
bercadang untuk masak bubur hujung minggu ini, boleh saya bawakan juga untuk
awak? Ataupun awak ada makanan lain yang saya boleh dapatkannya?". Anda membuat
cadangan dan keputusan yang spesifik.
6. TIDAK PATUT:”Saya
faham perasaan awak”. Bagaimana mungkin
orang lain memahami perasaan perasaan pesakit kanser, perasaan seseorang
pesakit tidak akan sama.
SEPATUTNYA: ”Saya tak
dapat nak bayangkan bagaimana perasaan awak”. Kenyataan ini akan membuka
peluang kepada pesakit untuk bercerita dan meluah perasaan.
7. TIDAK PATUT: ”Saya ada
dengar pakar kanser sudah boleh menyembuhkan penyakit kanser ini dengan
rawatan......” Jangan memandai membuat kenyataan yang anda sendiri tidak pasti
dan pesakit hanya menganggap ianya untuk menenangkan mereka.
SEPATUTNYA: Tanyakan soalan : "Adakah awak merasa sesuai dengan rawatan yang diberikan? Ada
ke ubat ataupun teknik rawatan baru yang boleh membantu?”
8. TIDAK PATUT: Tidak berkata apa2 ataupun SENYAP MEMBISU. Pesakit
akan menganggap anda tidak memperdulikannya ataupun tidak kisah.
SEPATUTNYA: Jika anda
tidak tahu apa yang hendak diucapkan, nyatakan kepadanya ” Saya tidak pasti apa
yang perlu saya katakan tetapi saya bersedia mendengar, ataupun apa sahaja yang
boleh membantu awak”
9. TIDAK PATUT: ”
Segalanya akan berjalan dengan baik”. Perkataan ini tidak akan memberi apa-apa
kesan kerana pesakit tahu anda hanya ingin membuatnya rasa lega sedangkan anda
sendiri tidak pasti.
SEPATUTNYA: ”Saya
sentiasa bersedia untuk membantu awak dan akan bersama awak untuk
mengharunginya”.
10. TIDAK PATUT (selepas
tamat rawatan) :”Tahniah, awak sudah selesai rawatan kemoterapi/radioterapi” ataupun " Lega sudah selesai kemoterapi/radioterapi". Fokus sebenar
pesakit adalah samada kansernya sembuh atau tidak dan bukan tamatnya
rawatan.Perasaan risau dan takut akan berterusan walaupun rawatan sudah tamat.
Kadang-kandang kegembiraan yang anda luahkan itu mungkin dianggap lega kerana
beban anda sudah dibuang. Simpan perasaan lega sebab itu kepada diri
anda sendiri.
SEPATUTNYA: Tanya
soalan terbuka ”Bagaimana perasaan awak sekarang, selepas rawatan kemoterapi?”
Anda memberi kebebasan kepada pesakit untuk menentukan respon mengikut kehendak
mereka.
APA KATA AHLI UGAMA BERKENAAN DENGAN PENYAKIT KANSER
Bagi orang-orang yang berugama
Islam , adalah menjadi kewajipan untuk menjadikan quran, hadis dan ulamak
sebagai sumber rujukan di dalam mencari jalan penyelesaian ke atas apa saja
bentuk musibah. Bab ini akan memperkatakan sedikit mengenai pandangan ugama
berkenaan dengan penyakit termasuk penyakit kanser. Isi kandungan bab ini
adalah sumbangan dari Tuan Guru Hj. Md Noor Md Saad.
Di dalam Islam, orang yang
sakit adalah dikasihi oleh Allah s.w.t.
Ada tersebut di dalam hadith kira-kira bermaksud ” Apabila Allah mengasihi
seseorang, diujinya dengan berbagai-bagai ujian untuk mendengar rayuannya”.
Seseorang yang sakit , Allah akan gugurkan dosa-dosa kecilnya seperti gugurnya
daun-daun kayu yang kering dari pokok. Orang-orang yang sakit luar biasa, Allah
jauhkan daripada fitnah kubur dan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab
dengan syarat ia hendaklah bersabar dan menerima ujian Allah itu dengan penuh
kerelaan hati.
Allah akan menguji orang-orang
yang beriman mengikut tahap keimanannya. Contoh yang paling baik adalah kisah
Nabi Ayub yang diuji dengan berbagai-bagai musibah dari kemusnahan harta benda,
kemudian kematian 3 orang anak lelakinya dan seterusnya penyakit kulit yang
sangat dahsyat ke atas dirinya sendiri sehingga terpaksa tinggal berasing di
dalam gua di padang pasir. Oleh kerana baginda bersabar, akhirnya penyakit
tersebut itu sembuh dan sihat seperti sediakala dan Allah menjanjikan baginda
syurga di akhirat kelak.
Anda mestilah menilai penyakit
yang anda hidapi dengan cara positif, ada kalanya anda terasa yang penyakit anda terlalu berat tetapi sebenarnya ada lagi orang lain yang mengalami
penyakit yang lebih berat hingga tiada penawar untuk menyembuhkannya.
Islam menkategorikan penyakit
kepada 3 jenis :
1. Penyakit yang nyata dan terang seperti penyakit kanser, penyakit
kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Penyakit di dalam kategori ini
hendaklah diubati dengan kaedah rawatan moden terbaik seperti ubat-ubatan
moden, pembedahan dan lain-lain.
2. Penyakit yang tidak nyata yakni yang tak dapat dikesan oleh apa
saja kaedah moden. Setelah segala ikhtiar tidak berhasil mencari punca penyakit
ini maka hendaklah diubatinya dengan
cara berdoa dan berjampi seperti yang dikehendaki oleh syarak berlandaskan
al-quran dan sunnah. Penghidap penyakit ini juga digalakkan untuk bersedekah
seperti sabda nabi yang bermaksud ” Peliharalah hartamu dengan membayar zakat
dan ubatilah penyakitmu dengan bersedekah”.
3. Penyakit kerana qada Allah kepada hambanya yang tidak menunaikan
tanggungjawab kepada Allah. Ubat untuk penyakit kategori ini adalah dengan
memuhasabah diri, mencari kesilapan dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta
menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
Terdapat banyak doa-doa yang
boleh diamalkan. Di antara doa-doa yang disyorkan oleh para ulamak adalah
dengan membaca ayat 82, surah Yasin. Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 100
kali sebaik-baiknya selepas sembahyang tahjud, kemudian ditiup ke dalam air dan
air ini kemudiannya disapu di bahagian badan yang berpenyakit. Walau bagaimanapun,
hendaklah diingat bahawa doa sahaja tidak mencukupi kalau tidak disertakan
dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.
Rujukan :
1.Buku Kanser Wanita: Pencegahan dan Rawatan karangan Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor , terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn Bhd.
2.http://www.prevention.com/sex/cancer-support
Saya bukan pesakit kanser tapi saya selalu memikirkan jikalau saya ada kanser.. Apa harus saya buat. Aneh..tapi itulah saya..cuba letakan diri pada kasut orang lain. Mungkin sbb saya ada beberapa teman yg mengidap penyakit kanser dan mungkin juga akibat pengaruh pembacaan saya sendiri. So..jika saya seorang pesakit kanser..of course saya akan fight habis2an..cari rawatan yg terbaik. Tetapi jikalau kanser itu ditahap 4..Maksudnya ditahap akhir.maybe saya akan berbenti mengambil rawatan dan start belajar bermuhasabah diri dan cuba terimanya dgn sepositif yg boleh . Maybe idea untuk MATI itu bukanlah idea yg buruk sangat . Kita cuma x tahu apa yg akan berlaku selepas itu. Maybe satu permulaan yg baru...siapa tahu! Jgn terlampau pikirkan bab syurga dan neraka kerana ini mungkin makin membuat kita jadi takut dan susah hati. Riangkan hati dan terima MATI itu satu episod qada dan qadar tuhan kpd kita dan bersyukur dgn apa saja Ketentuannya.lagipun bukankah mati itu perlu sebelum kita boleh mencium bau syurga! So kenapa takutkan mati!? Pasti ada yg tak beres dlm hidup kita ni sbb itu kita cemas bila ingatkan mati..seolah2 ada banyak hal yg kita masih mampu lakukan or sumbangkan...sedangkan sebenarnya..tidak. So saya nasihatkan diri sendiri supaya enjoy dgn sisa hidup yg berbaki ini..berbaik2 dgn semua orang..memaafkan dan meminta maaf kpd yg berkenaan, tingkatkan amalan..dan menanti saat kematian dgn lapang dada dan penuh dgn senyuman.
ReplyDeleteAnggap saja nasib kita ini sama dgn nasib banduan tahap akhir yg akan menerima hukuman mati yg tak tahu bila tarikh sebenar mereka akan digantung mati..mereka dikurung bertahun2 lamanya mempersiapkan diri utk hari mati mereka yg mahkamah sudah tentukan. Sekurang2nya pesakit kanser ini nasibnya lebih baik dari banduan sbb kita masih boleh lakukan byk perkara..freedom.. berbanding para banduan yg terkurung dalam jerigi besi. Mana tahu..dgn bersikap positif ini boleh merawat kanser kita itu or atleast memanjangkan jangkahayat kita...Wallahualam. Saat kita sihat kita rasa syukur..saat kita kaya kita syukur..saat kita sakit kita syukur..saat kematian kita ditentukan pun kita harus syukur. Dan bila kita dpt bersyukur dgn hati yg jujur maka saat itu kita sudah pun genggam ertikata apa itu qada dan qadar Allah swt yg sebenarnya .
Well..itu pendapat sayalah..mungkin mudah saya berkata.. X sama dgn bahu yg memikulnya.
Apapun nasihat saya pada pesakit kanser semua ..be brave..be strong..semua org ada bahagian masing2..semua org akan mati tak tahu bila dan akhir sekali.. Allah tahu apa yg terbaik utk kita. Bye.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete