Wednesday, May 10, 2017

BUAH DURIAN : MITOS DAN REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah


Durian adalah pokok buah yang tergolong di dalam keluarga Durio. Perkataan durian adalah berasal daripada kulit buahnya yang berduri. Terdapat lebih kurang 30  spesis pokok durian. Cuma durian daripada spesis Durio zibethinus yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa, manakala spesis-spesis lain hanya terdapat di tempat ianya tumbuh. Buah durian juga dikenali sebagai raja segala buah kerana saiznya yang besar berduri dan mempunyai bau yang sangat kuat. Buahnya boleh membesar sehingga 1 kaki panjang dengan garisan pusat 6 inci, dengan berat di antara 1-3 kg.



FAKTA NUTRISI BUAH DURIAN

Jadual di bawah adalah fakta nutrisi yang boleh diperolehi daripada 100 gm buah durian.



JUMLAH BERAT
100 gm
Peratusan daripada keperluan sehari (%)*
Jumlah kalori
147
7.3%
Jumlah lemak
5 gm
7%
Kolesterol
0 mg
0%
Sodium
2 mg
0%
Potasium
436 mg
12%
Jumlah Karbohidrat
27 gm
9%
Serat
3.8 gm
15%
Protin
1.5 gm
3%
Vitamin A
0%
Vitamin C
32%
Kalsium
0%
Besi
2%
Vitamin B6
15%
Vitamin B12
0%
Magnesium
7%



*Berdasarkan kepada keperluan 2000 kalori diet sehari. Keperluan kalori sehari berbeza-beza mengikut aktiviti dan keperluan badan.



Memandangkan buah durian adalah buah yang sangat terkenal dan digemari oleh ramai orang terutama orang  Asia, maka terdapat banyak pendapat yang disebarkan oleh orang ramai, ada yang benar dan ada yang tidak benar.

FAKTA YANG BENAR MENGENAI DURIAN

1.   DURIAN BOLEH MENINGKATKAN BERAT BADAN. Buah durian mempunyai kalori yang tinggi. Sebiji durian yang purata beratnya 1 kg mempunyai jumlah  kalori hampir 1400 kalori, jadi mengambil sebiji buah durian sudah meliputi 70% daripada sejumlah 2000 kalori sehari yang disyorkan kepada seorang dewasa. Seulas buah durian mempunyai berat lebih kurang 40 gram ataupun 59 kalori.

2.   DURIAN KAYA DENGAN NUTRIN. Durian kaya dengan potassium, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks. Dengan ciri-ciri ini , ia mungkin dapat membantu memperbaiki kekuatan otot, memperbaiki tekanan darah, pergerakan usus dan kesihatan kulit. Ia juga boleh menyokong system saraf dan imun serta meningkatkan penghasilan sel-sel darah merah. Ia juga mengandungi asid amino tryptophan yang juga dikenali sebagai “pil tidur semulajadi” yang mungkin dapat membantu tidur.Berbanding dengan buah pisang, 100 gm durian mengandungi 436 mg potasium berbanding dengan 358 mg di dalam buah pisang. Jadi buah durian mengandungi lebih potasium berbanding dengan buah pisang.

3.   PESAKIT DIABETES MESTI MENGHADKAN PENGAMBILAN DURIAN. Disebabkan durian mempunyai kandungan gula yang tinggi yakni gula ringkas  seperti sukros, fruktos dan glukos (Indek Glisemik yang tinggi), buah ini  memang tidak sesuai diambil oleh pesakit diabetes, kecuali jika diambil dalam kuantiti yang sedikit.

4. DURIAN BOLEH MEMBERI TENAGA SEGERA. Disebabkan oleh kandungan karbohidrat yang tinggi dalam bentuk gula ringkas, ia memang boleh menjadi sumber tenaga segera. Kandungan potassium yang tinggi juga dapat mengurangkan keletihan dan melegakan tekanan mental serta kerisauan.

MITOS MENGENAI DURIAN
Berikut adalah kepercayaan yang salah ataupun mitos mengenai durian.

    1. DURIAN MENGANDUNGI KOLESTEROL YANG TINGGI. Jika dilihat di   dalam jadual fakta nutrin buah durian jelas menunjukkan bahawa sebenarnya TIDAK ADA kolesterol di dalam buah durian. Durian mengandungi lemak monotidak  tepu (monounsaturated fats) yang dapat membantu menurunkan kolesterol tidak baik iaitu LDL.

     2. DURIAN ADALAH PANAS DAN PERLU DIAMBIL DENGAN BUAH MANGGIS YANG SEJUK. Tidak ada istilah buah sejuk dan panas di dalam perubatan moden. Ianya tidak disokong oleh kajian saintifik. Tabiat mengambil buah durian bersama dengan manggis mungkin disebabkan oleh kedua-dua pokok durian dan manggis mempunyai musim buah yang sama.

     3. MEMAKAN DURIAN MENINGKATKAN NAFSU/TENAGA SEK (LIBIDO). Tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa durian meningkatkan tenaga seks.

      4.  MENGAMBIL DURIAN BERSAMA DENGAN BEER BOLEH MEMBUNUH. Tidak ada  bukti kajian saintifik yang menyokong dakwaan. Meminum alcohol sudah sememangnya memudaratkan, tetapi mengambil alcohol bersama dengan buah durian tidak menambah kemudaratan alcohol jika durian tidak diambil berlebihan. Pengambilan durian dan alkohol yang berlebihan boleh menyebabkan kembong perut dan rasa tidak selesa di bahagian perut sebab organ hati perlu bekerja lebih kuat untuk menjalankan metabolism ke atas lemak dan gula yang terkandung di dalam alcohol dan durian.

Kesimpulannya buah durian memang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi, jika diambil secara sederhana boleh menjadi sumber tenaga, mineral dan vitamin yang baik. Ia juga mengandungi lemak monotidaktepu yang lebih baik daripada lemak tepu. Mengambil sebanyak 2-3 ulas sekali makan adalah memadai tetapi disebabkan oleh ketagihan dan obses, orang ramai seringkali memakan buah durian secara berlebihan. Pengambilan durian yang berlebihan tentu tidak baik untuk kesihatan badan.
 

1 comment:

  1. Kandungan karbo tinggi ... bermakna kurang sesuai dimakan untuk pesakit kanser? Tk.

    ReplyDelete