Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Setiap
makhluk di dunia ini memerlukan makanan untuk hidup. Di dalam istilah sains,
perkataan nutrisi sering digunakan, apakah ertinya nutrisi. Nutrisi adalah
pengambilan dan penggunaan bahan makanan (Practise of consuming and utilizing
foods). Sains nutrisi (nutritional science) adalah kajian mengenai bagaimana
badan memecahkan makanan dan bagaimana badan bertindakbalas terhadap makanan
yang dipecahkan ini termasuk apakah yang berlaku kepada elemen-elemen yang
terdapat di dalam makanan ini apabila ianya masuk ke aliran darah dan bertindak
di sel-sel. Ini termasuk peranan bahan-bahan nutrisi tadi ke atas metabolisma
dan proses fisiologi badan seseorang manusia. Makanan yang kita ambil perlu
mengandungi bahan-bahan nutrisi yang seimbang seperti karbohidrat, protin,
lemak, vitamin, mineral dan air. Setiap unsur-unsur ini
mempunyai peranan yang sangat khusus ke atas badan kita Ada di antaranya boleh
dihasilkan oleh badan dan ada juga yang hanya boleh diperolehi daripada
makanan. Kita perlu mengambil makanan untuk membesar dengan sempurna, untuk
fungsi sistem pembiakan yang normal, makanan juga perlu untuk memberi tenaga fizikal
dan juga tenaga minda kita. Sebahagian
daripada unsur-unsur nutrisi di dalam makanan kita sangat perlu untuk tujuan fungsi
organ yang normal. Tidak kurang pentingnya adalah makanan yang kita makan perlu
untuk memberi kekuatan kepada badan melawan penyakit dan mencegah dari
menghidap penyakit berjangkit, penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing
manis, kanser dan lain-lain. Secara amnya, bahan makanan yang kita makan
terdiri dari 2 kategori utama sumber nutrien, iaitu makronutrien
(karbohidrat,lemak,protin) dan mikronutrien (bahan mineral dan vitamin). Makanan
yang kita ambil hendaklah mempunyai keseimbangan dari segi kandungan
makronutrien dan mikronutrien supaya sistem badan dapat berfungsi dengan normal.
Pemakanan yang sihat memainkan peranan yang sangat
penting ke atas kesihatan ibu hamil. Prinsip pemakanan bagi wanita yang hamil
adalah sama seperti yang disebutkan di atas. Ketika trimester kedua dan ketiga
kehamilan, keperluan kalori setiap hari meningkat bagi menampung tumbesaran
bayi di dalam kandungan. Makanan yang dimakan oleh si-ibu adalah sumber utama
bahan nutrin kepada anak di dalam kandungan. Walau bagaimanapun, ianya bukan
bermakna seseorang wanita itu perlu menggandakan kuantiti makanan kerana ini
boleh menyebabkan masalah kegemukan yang lebih memudharatkan. Secara purata,
seseorang ibu hamil hanya perlu mengambil tambahan sebanyak 300-400 kalori
berbanding dengan sebelum mereka hamil (bersamaan dengan segelas susu skim dan
separuh sandwich). Sebagai garispanduan, jumlah kalori yang perlu diambil oleh
ibu hamil pada trimester pertama, kedua dan ketiga adalah 1,800, 2,200 dan
2,400 kalori sehari. Ibu hamil juga
perlu mengambil tambahan mikronutrien untuk mengekalkan fungsi badan yang
normal. Sila rujuk jadual di bawah untuk
mengetahui mengenai mikronutrien-mikronutrien utama yang diperlukan oleh wanita
hamil dan bayi di dalam kandungan.
Bahan nutrin (mikronutrin) utama untuk ibu hamil dan bayi
di dalam kandungan (sumber rujukan : ACOG)
NUTRIN
(keperluan harian)
|
MANFAAT KEPADA IBU DAN BAYI DI DALAM KANDUNGAN
|
SUMBER TERBAIK
|
Kalsium
(1,000
mg)
|
Membantu
membina tulang dan gigi yang sihat
|
Susu,keju,
yogurt, sardin
|
Zat
besi (27mg)
|
Membantu
pembentukan dan fungsi sel darah merah supaya di dalam menyediakan oksigen
kepada bayi di dalam kandungan
|
Daging
merah, kacang peas, bijirin, jus prun
|
Vitamin
A
(770
ug)
|
Membentuk
kulit dan mata yang sihat. Membantu pertumbuhan tulang
|
Karot,
sayur hijau pekat, kentang
|
Vitamin
C
(85
mg)
|
Membantu
kesihatan gusi, gigi dan tulang. Membantu badan menyerap zat besi
|
Buah
limau, brokoli, tomato, strawberi
|
Vitamin
D (200-400 IU)
|
Membantu
membina tulang dan gigi bayi
|
Sinaran
matahari, susu, ikan salmon
|
Vitamin
B6
(1.9
mg)
|
Membantu
membina sel darah merah. Membantu badan menggunakan protin, lemak dan
karbohidrat.
|
Daging
lembu,hati,pisang,bijirin (cereals)
|
Vitamin
B12
(2.6ug)
|
Mempertahankan
sistem saraf dan diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.
|
Hati,
daging,ikan, ayam, susu
|
Folat
(600 ug)
|
Diperlukan
untuk menghasilkan darah dan protin. Membantu enzim untuk berfungsi.
|
Sayur
hijau, hati, jus limau, kacang
|
Sebenarnya, waktu yang paling baik di dalam penjagaan
makanan adalah sebelum seseorang wanita itu menjadi hamil. Apabila seseorang
wanita itu hamil dengan keadaan pemakanan yang sudah sempurna, kehamilannya
akan lebih mudah dan berjalan dengan lebih baik. Di kebanyakan negara maju,
perkhidmatan penjagaan pra-kehamilan (pre-pregnancy care) adalah sangat
dititikberatkan, di mana wanita-wanita yang merancang untuk hamil akan dijemput
untuk menghadiri sesi pemeriksaan dan kaunseling bagaimana membuat persediaan
dari segi fizikal dan mental untuk hamil. Klinik-klinik pra-kehamilan ini juga
sudah mula ujud di negara kita. Di waktu yang sama, wanita-wanita yang
mengalami masalah kesihatan yang serius akan menjalani pemeriksaan dan
kaunseling bagi menentukan samada mereka selamat untuk hamil. Ada di kalangan
wanita ini yang tidak dibenarkan untuk hamil disebabkan risiko kehamilan itu
sangat tinggi. Melalui klinik pra-kehamilan ini, kita dapat memastikan hanya
wanita-wanita yang bersedia dan sihat sahaja dapat hamil , maka dengan ini
risiko kehamilan serta kematian ibu dan anak dapat dikurangkan.
Setiap wanita hamil perlu mengambil cukup buah-buahan dan
sayur-sayuran setiap hari. Sayuran dan buah-buahan yang mempunyai warna cerah
(kuning,merah) mengandungi banyak vitamin dan mikronutrin yang berkhasiat.
Sayuran dan buah-buahan juga dapat memudahkan proses pembuangan air besar yang
sering dihadapi oleh wanita hamil. Sayuran-sayuran dan buah-buahan ini
hendaklah bersih, segar dan tidak disediakan dengan tambahan minyak, gula dan
garam yang banyak. Di samping buah-buahan dan sayuran, sumber makanan dari bijirin
seperti nasi, gandum, roti dan pasta juga merupakan makanan yang menyihatkan.
Sumber-sumber micronutrin boleh juga didapati dari pil-pil sumplemen. Adalah
digalakkan setiap wanita mengambil suplemen Asid Folik sebanyak 400microgram
setiap hari semenjak sebelum hamil sehinggalah trimester pertama kehamilan bagi
mengurangkan risiko kecacatan anak yang dikenali sebagai neural tube defect. Pada waktu yang sama, pengambilan pil-pil
suplemen atau makanan tambahan lain secara sewenang-wenangnya tidak juga digalakkan
kerana ada sebahagian dari bahan-bahan mineral dan vitamin ini boleh
memudaratkan seperti pengambilan vitamin A yang berlebihan boleh menyebabkan
kecacatan anak di dalam kandungan. Sila
dapatkan nasihat Pakar Obstetriks jika berhajat mengambil sebarang suplemen. Kehamilan
diketahui menyebabkan seseorang wanita itu kehilangan kalsium dan vitamin D.
Pengambilan kalsium di dalam bentuk susu adalah digalakkan semasa hamil. Ambil
susu rendah lemak, 2 gelas setiap hari bagi menampung kehilangan mineral
kalsium. Pertubuhan O&G Amerika (ACOG) mengesyorkan pengambilan vitamin D
sebanyak 10 microgram sehari terutama oleh wanita-wanita hamil yang
berisiko tinggi untuk kekurangan vitamin
D (wanita Asia,Afrika, wanita yang kurang terdedah dengan cahaya matahari,
wanita yang mempunyai BMI>30). Di
samping mikronutrien, seorang wanita hamil juga memerlukan cukup makronutrien
seperti karbohidrat, lemak dan protin. Sumber makronutrien ini boleh didapati
daripada daging samada daging haiwan ataupun ikan. Sumber protin juga boleh
didapati dari bijirin dan tauhu. Elakkan mengambil sumber protin yang
mengandungi tinggi kandungan lemak dan elakkan memasak dengan menggunakan
banyak minyak, garam dan gula. Salah satu sumber protin yang sangat baik adalah
telur yang mempunyai protein berkualiti tinggi. Telur juga murah serta mempunyai
18 jenis vitamin dan mineral. Salah satu bahan nutrin yang terkandung di dalam
telur adalah kolin (choline), kolin dikatakan penting untuk pertumbuhan otak
anak.
Elakkan dari mengambil sumber protein yang mentah seperti
ikan, kerang, siput yang tidak dimasak dengan sempurna. Sumber protein ini
hendaklah dimasak dengan sempurna kerana jika tidak dimasak dengan sempurna, ia
mudah dicemari oleh bakteria dan akan memudharatkan kesihatan ibu hamil. Wanita
hamil juga tidak digalakkan mengambil bahan-bahan dari ikan-ikan besar seperti
ikan tongkol, tuna dan ikan yu yang diketahui mengandungi tinggi bahan logam
terutama raksa. Kandungan raksa yang tinggi ini bukan sahaja boleh menjejaskan
kesihatan ibu hamil tetapi juga bahan-bahan logam ini boleh sampai kepada bayi
di dalam kandungan dan memberi kesan buruk kepada kesihatannya. Ikan yang baik dimakan adalah ikan air tawar
seperti sardin dan salmon yang mempunyai tinggi kandungan asid lemak omega 3.
Asid lemak omega 3 adalah penting untuk perkembangan sistem saraf bayi.
Telur yang tidak dimasak dengan sempurna, juga boleh
menjadi sumber penyakit kepada ibu hamil. Susu dan jus yang tidak dinyah kuman
(unpasteurized) juga tidak digalakkan di atas alasan yang sama. Jika makanan
yang tidak dimakan dan disimpan di dalam peti sejuk, sila pastikan ianya tidak
terdedah di luar peti sejuk lebih dari 2 jam sebelum disediakan atau dimakan
semula. Jangkitan ke atas ibu boleh menjejaskan kesihatan anak di dalam
kandungan samada melalui kesan tidak langsung ataupun jangkitan itu boleh
merebak dan menjangkiti bayi di dalam kandungan. Di samping memilih makanan
yang baik, amalan-amalan yang dapat mengurangkan kesan negatif makanan ke atas
wanita hamil adalah membasuh tangan sebelum makan, memasak makanan sehingga
sempurna dan membasuh sayur serta buahan sebelum disediakan. Pendek kata,
amalan pemakanan semasa hamil tidak jauh bezanya dengan amalan ketika tidak
hamil yakni mendapat makanan yang seimbang, cukup kandungan air, makronutrien
dan mikronutrien, di samping mengelakkan diri dari mengambil makanan yang
tercemar dan mempunyai kandungan logam yang tinggi.
Semua ibu hamil dilarang untuk mengambil alkohol, merokok
dan menyalahgunaan dadah. Mereka juga tidak digalakkan mengambil banyak minuman
dan makanan yang mengandungi kafein. Walaupun terdapat pertikaian mengenai
kesan kafein terhadap kehamilan, kebanyakan pertubuhan kesihatan menghadkan
pengambilan kafein kepada 200mg sehari (satu cawan kopi atau 2 cawan teh cair).
Pengambilan kafein yang terlalu tinggi pernah dikaitkan dengan risiko keguguran
dan kelahiran bayi tidak cukup bulan (pra-matang).
Mengidam adalah sesuatu tabiat yang sering dihadapi oleh
wanita yang hamil. Kebanyakan dari makanan yang diidamkan adalah tidak memudharatkan.
Walau bagaimana pun terdapat juga ibu-ibu hamil yang mengalami pika (pica),
pika adalah ketagihan atau mengidam sesuatu yang bukan bahan makanan seperti
tanah liat, pasir dan lain-lain. Pika boleh memudharatkan ibu hamil kerana ia
akan mengganggu pengambilan dan penyerapan makanan. Ibu-ibu hamil yang
mengalami pika perlu dirujuk kepada Pakar untuk rawatan dan kaunseling.
No comments:
Post a Comment