Sunday, July 22, 2018

KEKEBALAN KEMOTERAPI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Setiap pesakit kanser mempunyai keunikan tersendiri. Di samping itu kanser daripada jenis yang sama kadangkala memiliki ciri-ciri yang berbeza di dalam tubuh pesakit yang berbeza. Jadi ada faktor dalaman pesakit itu sendiri dan juga sifat kanser yang menentukan samada penyakit kanser itu dapat dirawat dengan rawatan kemoterapi.
Seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan kemoterapi yakni sel-sel kanser tidak dapat dimatikan dengan ubat antikanser. Terdapat banyak sebab mengapa ini berlaku. Umumnya seseorang itu dikatakan mengalami kekebalan ubat antikanser jika tidak ada sebarang kesan pengurangan kanser semasa rawatan diberikan. Ia juga dikatakan kebal jika kanser datang kembali tidak sampai 6 bulan selesai menjalani rawatan kemoterapi).
Terdapat banyak sebab mengapa seseorang pesakit kanser mengalami kekebalan ubat antikanser, di antaranya adalah:
1. Ubat antikanser tidak dapat sampai ke lokasi kanser disebabkan oleh sistem pengangkutan yang terjejas (contoh: kurang bekalan darah) ataupun ada halangan.
2. Ubat antikanser perlu berinteraksi dengan protin tertentu di permukaan sel kanser. Ia perlu masuk ke dalam sel dan mematikan sel kanser. Jika ubat antikanser tidak dapat masuk ataupun hanya dapat masuk dalam masa yang singkat, ia tidak dapat mematikan sel kanser dengan berkesan. Untuk mematikan sel kanser, kadar kemasukan ubat antikanser ke dalam sel hendaklah lebih cepat daripada kadar pengeluaran.
3. Sel-sel kanser dapat memperbaiki kecederaan memulihkan diri mereka akibat ubat anti-kanser. Kebanyakan sel-sel kanser tidak mampu memperbaiki dirinya apabila diberikan ubat antikanser sebab itu sel-sel ini mati. Proses kematian sel dinamakan apoptosis. Sel kanser yang kebal ini mempunyai keupayaan untuk menghalang apoptosis dengan menghasilkan bahan anti-apoptotik.
4. Sel kanser boleh menghasilkan banyak salinan gene yang menghasilkan enzim untuk merencat proses metabolisma ubat antikanser sehingga bentuk aktif ubat tersebut tidak dapat dihasilkan.
5. Sel-sel kanser yang sudah terdedah kepada ubat sitotoksik boleh mengubah dirinya menjadi kebal melalui proses penyesuaian diri. Salah satu punca berlakunya keadaan ini adalah apabila rawatan kemoterapi tergendala dan pesakit berhenti menerima rawatan di tengah jalan. Ianya juga boleh berlaku jika dos dan kekerapan rawatan tidak diberikan dengan betul. Ini memberi masa kepada sel-sel kanser untuk menjadi kebal.
6. Sel-sel kanser dapat mencari jalan ataupun mekanisma melemahkan ubat sitotoksik ("drug inactivation") yang sampai kepada mereka.
Terdapat banyak lagi mekanisma bagaimana seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan ubat antikanser. Selalunya kanser pada peringkat yang lewat ataupun sudah merebak ke banyak anggota badan lebih mudah mengalami kekebalan ubat antikanser. Begitu juga jika kanser tersebut daripada jenis yang ganas.
Rawatan kemoterapi oleh pakar kanser yang terlatih juga akan dapat mengurangkan kadar kejadian kekebalan antikanser. Menggunakan lebih daripada satu jenis ubat antikanser juga adalah salah satu cara mengurangkan kadar kekebalan. Kanser yang dikesan pada peringkat awal mempunyai risiko kekebalan ubat antikanser yang lebih rendah.
Jika seseorang pesakit mengalami kekebalan ubat antikanser, pakar kanser akan mempertimbangkan untuk memberi ubat antikanser yang lain ataupun dikenali sebagai "second line chemoterapy". Banyak kajian sedang dilakukan oleh Ahli Sains untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai mekanisma kekebalan terhadap ubat antikanser dan bagaimana mengatasinya. Hari ini Ahli Sains sudah berupaya menghasilkan beberapa jenis ubat antikanser yang lebih berkesan untuk merawat pesakit yang mengalami kekebalan kemoterapi.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
23hb Julai 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor

Pautan : https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10211739162302391


No comments:

Post a Comment