Tuesday, July 24, 2018

BENARKAH KELADI TIKUS BOLEH RAWAT KANSER


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Pokok keladi tikus ataupun nama saintifiknya Typhonium flagelliforme adalah ahli di bawah keluarga pokok Araceae. Ia boleh tumbuh sehingga ketinggian 30 cm dan mempunyai daun berbentuk tiga segi. Penduduk di Asia Tenggara, India dan China menggunakan pokok ini sebagai rawatan alternatif penyakit kanser. Ia dikatakan boleh merawat penyakit kanser payudara, paru-paru, hati, prostat, pancreas, pangkal Rahim dan leukemia. Ia juga digunakan sebagai detoksifikasi, dimakan untuk merawat batuk dan sesak nafas. Untuk menyedapkan rasa, ia dicampurkan dengan madu. Kadangkala daunnya diambil secara mentah. Rantingnya juga dikatakan mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antioksidan (1). Di dalam rencana ini saya akan menulis berkenaan adakah benar pokok keladi tikus dapat merawat kanser.



Rajah : Pokok keladi tikus

Pencarian maklumat mengenai kajian pokok keladi tikus melalui injin pencarian Pubmeb telah menemui 22 kajian yang kebanyakannya berkaitan dengan kesan ke atas sel kanser. Terdapat juga kajian mengenai kesan farmakologikal  daripada ekstrak daun keladi tikus ke atas batuk, mengeluarkan kahak dan juga asma. Kajian daripada ekstrak yang diperolehi daripada akar, ranting dan daun pokok keladi tikus juga telah dijalankan. Kajian ini adalah untuk melihat kesan sitotoksik ataupun kesan merencat pembiakan sel. Ekstrak menggunakan chloroform dan hexane didapati mempunyai kesan sitotoksik yang lemah. Ekstrak daripada akar dan ubi pokok keladi tikus juga menunjukkan kesan sitotoksik yang ringan, manakala kesan daripada daun lebih lemah. Kesan sitotoksik yang dikaji ini adalah ke atas sel leukemia (murine P388 laukaemia cells) (2).
 
Kajian mengesan sebatian kimia di dalam akar pokok keladi tikus telah menemui beberapa kompoun seperti Glucopyranosyl, Octadecadiene, coniferin, sitosterol dan daucosterol (3). Kajian kesan ekstrak keladi tikus ke atas lapisan sel kanser paru-paru, mendapati terdapat bukti perencatan sel-sel kanser daripada ekstrak yang mengandungi  phytol, hexadecenoic acid, hexadecane dan pheophorbide. Kajian mendapati kesan antipembiakan sel ini hanya dapat diperolehi jika kesemua ekstrak ini digabungkan dan tidak ada mana-mana satu sebatian kimia ini yang boleh bertindak bersendirian(4). Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak keladi tikus dapat bertindak sebagai penggalak kematian sel ataupun kesan apoptotic. Kajian ini menggunakan ekstrak daripada ubi pokok ini ke atas sel-sel leukemia di dalam tikus. Ekstrak daripada daun keladi tikus walaupun mempunyai kesan yang sama tetapi sangat lemah.(5) 
 
Setakat ini pokok keladi tikus hanya dikaji di dalam makmal dan penemuan ciri-ciri antikanser sememangnya ujud tetapi lemah. Di samping itu kajian-kajian ini masih di dalam peringkat praklinikal. Kajian-kajian yang dilakukan ini menggunakan kaedah makmal yang kompleks untuk mengekstrak sebatian kimia yang aktif daripada pokok keladi tikus dan bukan melalui proses biasa seperti yang dilakukan oleh penjual ubat. Walaupun terdapat kesan positif terhadap sel kanser, kajian yang lebih besar ke atas manusia perlu dijalankan untuk mengesahkan keberkesananya. Setakat ini kesan positif kepada manusia hanya diperolehi daripada testimoni dan lapuran kes. Pesakit-pesakit ini pula ada yang telah menerima kaedah rawatan moden dan sukar untuk mengesahkan kesan langsung daripada produk keladi tikus. Berdasarkan keputusan kajian praklinikal yang mendapati kesan antikanser yang lemah, saya merasa sangat ragu kajian praklinikal ini dapat diluluskan untuk diteruskan kepada kajian klinikal.

KESIMPULAN

Pokok keladi tikus ataupun Typhonium flagelliforme mempunyai sebatian kimia yang berpotensi digunakan untuk melegakan beberapa gejala kesihatan. Ekstrak daripada pokok ini juga didapati mempunyai kesan antipembiakan sel dan juga mengalakkan kematian sel. Kajian yang dilakukan adalah ke atas lapisan sel kanser ataupun haiwan di dalam makmal. Jadi kesan ekstrak keladi tikus hanya dikesan pada peringkat kajian praklinikal. Hanya beberapa jenis kanser sahaja yang didapati berkesan termasuk leukemia dan paru-paru. Kajian ahli sains juga mendapati bahawa ekstrak daripada ranting dan akar pokok memberi kesan yang lebih besar daripada daun pokok keladi tikus. Perlu diingat bahawa semua kajian ini tidak cukup untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan ke atas manusia dan penghidap kanser. Tambahan pula ahli sains perlu menentukan dos dan juga kaedah pemberian yang berkesan. Mengambil keladi tikus dalam bentuk herba, jamu, rebus, kapsul dan lain-lain seperti yang diproses oleh orang awam tidak akan berkesan kerana perlu melalui halangan asid di dalam perut. Kajian lanjut perlu dilakukan iaitu kajian fasa 1, 2 dan 3 untuk mengesahkan khasiat pokok keladi tikus. Semua pesakit kanser hendaklah berjumpa dengan pakar kanser dan mendapatkan rawatan kanser daripada mereka. Sehingga hari ini pokok keladi tikus belum boleh menggantikan kaedah rawatan kanser moden untuk merawat kanser.

RUJUKAN

  1. Mohan S, Abdul AB, Wahab SIA, Al-Zubairi AS, El hassan MM, Yousif M. Antibacterial and Antioxidant Activities of Typhonium Flagelliforme (Lodd.) Blume Tuber. American Journal of Biochemistry and Biotechnology. 2008; 4 (4): 402-407
  2. Choo CY, Chan KL, Takeva K, Itokawa H. Cytotoxic activity of Thphonium flagelliforme. Phytother Res, 2001; 15(3):260-2.
  3. Huang P, Karagianis G, Materman PG, Chemical constituents from Thyphonium flagelliforme. Zhong Yao Cai, 2004; 27(3):173-5)
  4. Fatima A, Yee HF. In Silico Screening of Mutated K-Ras Inhibitors from Malaysian Typhonium flagelliforme for Non-Small cell lung cancer. Advances in Bioinformatics, 2014, http://dx.doi.org/10.1155/2014/431696).
  5. Mankaran S, Dinesh K, Deepak S, Gurmeet S. Typhonium Flagelliforme: A Multipurpose Plant. International research journal of phamarcy, 2013 DOI: 10.7897/2230-8407.04308)


No comments:

Post a Comment