Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG (UKM),FGO(S'PORE),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
PENDAHULUAN
Pokok ketum (Malaysia) ataupun kratom (Thailand) merupakan pokok berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose. Ia adalah salah satu ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama. Pokok ketum pertama kalinya dikenalpasti pada tahun 1839 oleh pakar botani Belanda, Pieter Korthals dan penulisan tentang tumbuhan ini telah disiarkan semenjak tahun 1897. Pokok ketum selalunya boleh tumbuh sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 kaki. Batang pokok ketum boleh membesar sehingga 15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci lebar. Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk tujuan pengubatan. Terdapat lebih 40 jenis compound ataupun bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl. Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline dan sebagainya.
Alkaloid adalah
sekumpulan bahan kimia yang mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis
alkaloid yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan pengubatan,
menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalarial,
penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai kesan
psikotropik. Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak
dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang.
Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk tujuan menghilangkan stress dan
untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di dalam daun ketum ini terdapat banyak
bahan kimia yang boleh memberi kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal
hinggalah kesan psikologi termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).
Salah satu compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid adalah mitragynine. Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum. Apa yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di mana pokok ketum ini membiak. Pokok ketum yang tumbuh di negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi, manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau, kepekatannya menjadi rendah. Mitragynine ini dikatakan 13 kali lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di saraf tunjang. Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%. Di dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant) sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat. Dos rendah adalah daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram. Jika diambil pada dos melebihi 15gram, seseorang akan mengalami kesan sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor (hampir tidak sedar diri). Terdapat juga lapuran kejadian sawan selepas mengambil daun ketum melebihi 15 gram. Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.
KEGUNAAN
Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak digunakan oleh pengubatan moden. Malah kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan tidak ada maklumat terperinci mengenainya. Secara traditionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia. Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok). Jika diambil seperti minuman teh , jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit. Ia seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti keradangan (inflammatory). Lain-lain kegunaan adalah seperti dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid.Ada juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah seperti opiod. Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin. Pada asalnya pengambilan daun ketum ini dianggap sebagai budaya orang kampong dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan kesalahan dan baik untuk kesihatan. Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine. Di samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste). Banyak produk daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya sangat mudah ditanam di sekitar rumah. Di selatan Thailand, cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan seakan-akan arak. Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun ubat penahan sakit.
KESAN
SAMPINGAN
Seperti yang dinyatakan tadi daun ketum mengandungi banyak jenis bahan kimia ataupun phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar untuk dibuat kajian. Secara umumnya, kesan pengambilan daun ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil ataupun “dose-dependent”. Pada kadar dos yang rendah, ia boleh meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin. Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering kesan khayal dan keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir sehingga 1-1.5 jam. Pengamal daun ketum mendakwa lebih bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu sek meningkat. Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg mitragynine menunjukkan ransangan otot, diikuti dengan pening, hilang perseimbangan badan dan mengeletar. Mekanisma aktiviti ransangan ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas. Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa. Kemudiannya kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam. Kesan-kesan ini disebabkan oleh dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan 7-hydroxymitragynine. Pengambilan daun ketum secara tetap boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa satu minggu. Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh berlaku. Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan kerosakan hati. Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l. Jika daun ketum digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Kes kematian telah dilapurkan ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai ubat herba). Satu kajian "case series" kematian akibat pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9 kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan), campuran ini dikenali sebagai “Krypton”.
Untuk mendapat rasa
bersemangat dan seronok/khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar dikunyah
serentak. Selepas mengunyah, dan menelan, pengamal akan meminum air suam
ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10 kali di dalam satu
hari.
Kesan sosial pengambilan daun ketum adalah
membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat ketagihan dadah yang
lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan sosialnya tidak boleh
dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum dianggap sudah menjadi budaya
dalam kalangan masyarakat tertentu. Ianya juga diamalkan oleh golongan-golongan
agamawan yang akan menjadi tauladan kepada ahli-ahli masyarakat yang lain.
Dengan berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan,
cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah, individu
yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami ketagihan dan
kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan ubat batuk. Daun
ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain kepada penagih morfin,heroin dan lain2 yang kurang
berkemampuan kerana harganya yang murah dan mudah diperolehi. Dengan kelonggaran
peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum, kita tidak
boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap masyarakat jika budaya ini
dibiarkan berkembang. Tidak hairan mengapa ia bakal memberi kesan sosial yang
lebih serius dari penyalahgunaan dadah-dadah yang lain.
UNDANG-UNDANG
PENGAMBILAN DAUN KETUM
Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug Conventions. Daun ketum, dan/atau mitragynine dan/atau 7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden. Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand. Di negeri Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya mengharamkan penanaman pokok ketum. Di New Zealand, daun ketum dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations. Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap sebagai “drug of concern”. Pada bulan Jun 2015, FDA telah membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil, hilang nafsu seks, sembelit, hiperpigmentasi kulit, loya, muntah dan gejala withdrawal yang berat“. Disebabkan ketum tidak pernah diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden. Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952. Sesiapa yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali. Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952 yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali ataupun hukuman mati mandatori. Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum masih lagi di bawah akta racun 1952.
FATWA
DAUN KETUM
Daun ketum boleh dianggap sebagai bahan
yang boleh memabukkan/mengkhayalkan serta boleh memudaratkan. Berikut adalah
petikan daripada Irsyad Al-Fatwa ke 124 (Majlis fatwa pejabat mufti Wilayah
Persekutuan):
Kami
nukilkan di sini fatwa dari majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah mengenai dadah
Syabu dan jenis-jenis dadah baru yang lain yang mana daun ketum juga boleh
dimasukkan sekali kerana ‘illah yang sama iaitu memabukkan/mengkhayalkan
serta memudaratkan.
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah membincangkan Hukum
Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain.
Muzakarah telah memutuskan bahawa dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru
yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ecstasy, katamine dan
Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).
Oleh
itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain
adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini
seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau
membenarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya adalah juga
diharamkan.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah
meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dalam isu penanaman pokok ketum ini, kami
lebih cenderung kepada untuk dielakkannya kerana berbeza penggunaannya dengan
bab yang lain di mana ianya lebih kepada mudarat dan juga mafsadah.
Keduanya,
sekalipun niat baik dan tujuan yang jelas bagi tujuan farmaseutikal/perubatan,
tetapi isu tahap kawalan agar tidak terarah kepada penyalahgunaannya begitu
mencabar untuk dipertahankan. Sudah barang tentu akan di ambil kesempatan dan
peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ketiganya,
dalam suasana amat sukar menangani isu dadah dan seumpamanya, jika ia dibiarkan
untuk pokok ketum ditanam secara berleluasa, maka ia boleh menyukarkan untuk
proses pembasmian salah guna dadah.
Seterusnya
kami berpendapat bahawa masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh
dikormesialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan yang
lumayan bagi menggantikan daun ketum dalam skala yang besar. Akhir kalam,
semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Malaysia dari segala bala-bencana
serta memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Wassalam.
Untuk
maklumat lanjut mengenai Irsyad Al-Fatwa ke 124 ini sila layari laman web DI SINI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke
12 pada tahun 2013 juga memfatwakan penyalahgunaan daun ketum dan
produk-produknya sebagai haram. KLIK DI PAPARAN INI UNTUK MAKLUMAT LANJUT.
Wakil
PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sendiri pernah menyarankan supaya
Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa haram ke atas penyalahgunaan daun
ketum, klik di paparan ini untuk membaca.
KESIMPULAN
Daun
ketum mengandungi lebih 40 jenis bahan kimia dan di antaranya terdapat beberapa
jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid. Bahan alkaloid yang paling
utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri Psikotropik
bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan
kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang. Disebabkan oleh terlalu
banyak bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun
ketum dalam bentuk mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada fizikal dan
juga mental seseorang. Walaupun ianya mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi manfaat tersebut bukan melalui kaedah memproses sendiri secara semberono, apatah lagi mencampurkan bahan-bahan lain. Kesan sampingan yang dibawa oleh ketum tidak boleh dipandang ringan terutamanya
yang berkaitan dengan kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal
mengalami masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa
jika daun ketum ini dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Daun ketum ini
bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan
kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga ada racun tersembunyi
yang boleh memudaratkan pengamalnya di dalam jangkamasa panjang. Malahan jika
pengamalnya mengambil pada dos yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan
bahan-bahan kimia yang lain termasuk ubat-ubat dari kategori opioid, boleh
menyebabkan kesan sampingan serius jangkamasa pendek termasuk kematian. Jika
ianya hendak digunakan untuk tujuan pengubatan, maka ahli sains perlu mengambil
ataupun mengekstrak bahan-bahan ubatan tersebut satu persatu dan ditentukan dos
serta kaedah pengambilan yang sesuai, sama seperti ubat-ubatan moden yang lain.
Kesimpulannya pengambilan daun ketum tanpa kawalan boleh berpotensi menyebabkan
bermacam masalah kesihatan fizikal, ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan
masyarakat negara kita. Ketagihan daun ketum boleh menjadi tapak permulaan
kepada ketagihan dadah-dadah lain yang lebih kuat dan memudaratkan. Saya tidak
bersetuju jika disamakan daun ketum ini
dengan buah anggur yang boleh dijadikan arak kerana buah anggur adalah jelas
halal dimakan kerana ianya bersih dan bebas dari bahan kimia terlarang. Ianya
menjadi haram apabila sudah melalui proses bertukar menjadi arak. Sedangkan
daun ketum adalah jelas sudah mengandungi bahan kimia yang memudaratkan jika
dimakan secara mentah tanpa melalui proses pengubahsuaian. Kita berharap
ahli-ahli sains akan membuat kajian saintifik yang lebih mendalam ke atas
potensi manfaat dan mudarat daun ketum di masa hadapan.
KEMASKINI 9HB FEB 2018: FDA baru mengeluarkan kenyataan pada 6hb Feb 2018 yang mengatakan bahawa ketum adalah opioid kerana kompoun yang terdapat di dalamnya mempunyai tarikan yang kuat ke atas reseptor opiod, berikut adalah petikan beberapa perenggan kenyataan FDA : .....
"Taken in total, the scientific evidence we’ve evaluated about kratom
provides a clear picture of the biologic effect of this substance.
Kratom should not be used to treat medical conditions, nor should it be
used as an alternative to prescription opioids. There is no evidence to
indicate that kratom is safe or effective for any medical use. And
claiming that kratom is benign because it’s “just a plant” is
shortsighted and dangerous. After all, heroin
is an illegal, dangerous, and highly-addictive substance containing the
opioid morphine, derived from the seed pod of the various opium poppy
plants.Further, as the scientific data and adverse event reports have
clearly revealed, compounds in kratom make it so it isn’t just a plant –
it’s an opioid"..........
https://en.wikipedia.org/wiki/Mitragyna_speciosa
http://drwanrushidi.blogspot.my/2009/11/ketum-kebaikan-keburukan-dan-penagihan.html?m=1
"Import Alert
54-15". FDA. 28 February 2014. Retrieved 18 April 2014.
Takayama, Hiromitsu; Ishikawa, Hayato; Kurihara, Mika et
al. "Studies on the Synthesis and Opioid Agonistic Activities of Mitragynine-Related
Indole Alkaloids: Discovery of Opioid Agonists Structurally Different from
Other Opioid Ligands". Journal
of Medicinal , (2002). Chemistry45 (9): 1949–56. doi:10.1021/jm010576e.PMID 11960505..
,
Adkins, Jessica E.;
Edward W. Boyer; Christopher R. McCurdy (2011-05-01). "Mitragyna speciosa,
a psychoactive tree from Southeast Asia with opioid activity". Current Topics in Medicinal
Chemistry 11 (9): 1165–1175. doi:10.2174/156802611795371305.PMID 21050173.)
Abuse potential and
adverse cognitive effects of mitragynine (kratom).
Yusoff NH1, Suhaimi FW1, Vadivelu RK1,2, Hassan Z1, Rümler A3, Rotter A3, Amato D3, Dringenberg HC4,Mansor SM1, Navaratnam V1, Müller CP3.
https://www.drugs.com/article/kratom.html
http://www.bharian.com.my/node/12372
https://www.fda.gov/NewsEvents/Newsroom/PressAnnouncements/ucm595622.htm
RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. SEBARANG PENGAMBILAN BAHAN-BAHAN DI DALAM RENCANA INI PERLU MENDAPAT KEIZINAN DARI PENULIS TERLEBIH DAHULU.