Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Salah
satu persoalan penting yang sering diajukan oleh pesakit kepada pakar kanser
adalah adakah rawatan kanser yang mereka jalani telah berkesan merawat mereka.
Pesakit kanser juga suka membandingkan kanser yang mereka hidapi dengan
pesakit-pesakit lain sedangkan mereka tidak menyedari bahawa setiap jenis
kanser mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Malahan kanser yang sama boleh
mempunyai ciri-ciri yang berbeza di dalam tubuh badan orang yang berbeza.
Apabila
pakar kanser diajukan soalan mengenai apakah peluang untuk sembuh dan adakah
rawatan kanser yang diperolehi ini berkesan, jawapan yang akan diberikan
berpandukan kepada pengalaman dan yang lebih penting adalah berdasarkan kepada
maklumat yang diperolehi daripada kajian-kajian yang telah dijalankan.
Peluang
untuk sembuh daripada sesuatu jenis kanser bergantung kepada banyak faktor dan
faktor ini dikenali sebagai faktor prognostik (“prognostic factors”). Setiap
kanser mempunyai faktor-faktor prognostiknya sendiri. Walau bagaimanapun salah
satu faktor prognostik yang sama untuk semua jenis kanser adalah peringkat
kanser (“stage of cancer”). Pesakit yang mengalami kanser peringkat 1 mempunyai
peluang untuk sembuh yang lebih besar daripada peringkat 4. Faktor2 prognostik
yang lain bergantung kepada jenis kanser, contohnya kanser Rahim, selain
daripada peringkat kanser, faktor2 prognostik yang lain adalah usia pesakit,
saiz kanser, gred kanser, samada sel-sel kanser sudah merebak ke saluran limpa dan
lain-lain. Pesakit yang berusia lebih daripada 70 tahun mempunyai kadar
penyembuhan yang lebih rendah berbanding dengan yang berusia lebih muda.
Bayangkan pada hari ini terdapat lebih daripada 150 jenis kanser, tentu sekali
setiap kanser ini mempunyai faktor-faktor prognostiknya sendiri. Melalui
keujudan factor-faktor prognostic inilah pakar kanser akan merancang rawatan
yang akan diberikan dan dapat mengagak peluang seseorang untuk sembuh ataupun
tidak.
Terdapat
dua jenis faktor prognostik iaitu faktor prognostik yang baik (“good prognostic
factors”) dan factor prognostik yang tidak baik (“poor prognostic factors”).
Jika pesakit kanser mempunyai banyak faktor prognostik yang baik, maka
peluangnya untuk sembuh adalah lebih baik. Contohnya peringkat 1 dan usia muda
adalah dua faktor prognostik yang baik kepada pesakit kanser Rahim. Pesakit
yang mempunyai banyak faktor prognostik yang baik juga mempunyai kadar kejadian
kanser berulang yang lebih rendah. Terdapat banyak lagi factor-faktor
prognostik yang sebahagiannya ditentukan melalui kaedah penyiasatan yang
mendalam dan canggih, tidak perlu untuk saya nyatakannya kerana terlalu banyak. Manakala faktor prognostik yang tidak baik adalah faktor-faktor yang jika ujud kepada pesakit dan kanser yang dihidapi, kadar penyembuhan akan lebih rendah dan kemungkinan kanser itu untuk berulang adalah lebih tinggi. Ada pesakit yang berada pada peringkat 1 kanser, tetapi mempunyai faktor prognostik yang tidak baik, maka pesakit ini dikatakan memiliki peringkat awal yang berisiko tinggi ("high risk early stage"). Selalunya pesakit ini akan dicadangkan untuk menjalani rawatan tambahan.
BAGAIMANA PAKAR
MENILAI KEBERKESANAN RAWATAN KANSER
Terdapat
beberapa kaedah bagaimana pakar kanser menilai keberkesanan rawatan kanser
iaitu:
1.
Penilaian
secara tidak langsung. Melalui sejarah yang diambil daripada pesakit tentang
kualiti hidup mereka. Bagaimana selera makan, berat badan dan juga sejauh mana
mereka aktif bergerak di dalam satu hari. Seseorang pesakit yang terpaksa
menghabiskan banyak masa di tempat tidur disebabkan tidak mampu untuk aktif
melakukan aktiviti mungkin merupakan salah satu petunjuk tidak langsung yang
rawatan kanser kurang berkesan (melainkan jika beliau sedang di dalam proses rawatan kerana itu mungkin salah satu kesan sampingan yang bersifat sementara).
2. Kaedah
penilaian secara langsung dilakukan dengan menjalankan pemeriksaan fizikal,
melakukan ujian darah dan ujian pengimejan. Kadangkala terdapat ketulan yang
boleh diukur oleh pakar kanser, maka saiz ketulan ini akan menjadi petunjuk
tentang keberkesanan rawatan kanser. Ujian darah yang mengukur tumour markers
juga boleh digunakan sebagai petunjuk tetapi tidak semua pesakit kanser
mempunyai tumour markers. Melakukan
pengimejan diagnostic seperti CT scan, MRI dan juga PET scan adalah beberapa
kaedah yang digunakan oleh pakar kanser untuk tujuan menilai keberkesanan
rawatan dan untuk tujuan mengesan kanser yang berulang.
Melalui
penilaian-penilaian di atas maka pakar kanser boleh mengkategorikan pesakit
kepada beberapa golongan berikut :
Kategori 1: Pesakit yang bertindakbalas
sepenuhnya (“complete response”) di mana semua kanser yang dirawat telah hilang
sepenuhnya.
Kategori 2: Pesakit yang bertindakbalas separa
penuh (“partial response”) di mana selepas rawatan kanser, masih terdapat baki
ketulan walaupun lebih kecil daripada asal.
Kategori 3: Pesakit yang bertahan (“stable
disease”) iaitu selepas rawatan kanser, kanser itu kekal pada tahap asal, tidak
banyak berubah, tidak menjadi sedikit ataupun tidak bertambah banyak.
Kategori 4: Pesakit yang mengalami kanser
berterusan (“Progressive disease”) di mana kanser terus merebak dan menjadi
lebih banyak walaupun diberi rawatan kanser. Ada juga yang menamakan kanser
seperti ini sebagai kanser refraktori (“refractory disease”).
SEMBUH DARIPADA KANSER
Semua
Pakar Kanser dan Pesakit ingin supaya rawatan kanser yang diberikan itu akan
menghilangkan kanser sepenuhnya (“complete response”). Walau bagaimanapun apa
yang lebih penting kepada pakar kanser adalah berapa lama keadaan ini boleh
dipertahankan sebab adalah suatu yang mendukacitakan jika hanya selepas beberapa bulan
bebas daripada kanser, kanser itu datang semula. Jarak masa di antara tamat
rawatan serta bebas daripada kanser hingga kanser itu berulang dinamakan “Disease
Free Interval” (DFI). Ada yang mengalami DFI yang singkat untuk hanya beberapa
bulan, dan ada juga yang mengalami DFI yang panjang selama beberapa tahun.
Pakar kanser sentiasa berharap DFI ini berpanjangan selama sekurang-kurangnya 10
tahun kerana jika ini berlaku maka kemungkinan besar pesakit ini akan sembuh sepenuhnya. Terdapat banyak faktor yang
menentukan DFI ini selain daripada factor-faktor prognostic yang saya sebutkan
tadi dan ianya di luar skop penulisan ini. Pesakit yang berada pada peringkat 1
mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih tinggi, contohnya pesakit kanser
Rahim (endometrium) peringkat 1A, gred 1 mempunyai kadar penyembuhan sebanyak
lebih 90% tetapi jika berada pada peringkat 3, kadar penyembuhannya akan turun
mendadak kepada mungkin hanya 15-30%. Jadi adalah tidak benar jika ada pihak
yang mengatakan rawatan kanser moden tidak dapat menyembuhkan kanser. Begitu
juga kanser payudara, kanser prostat, limfoma, leukemia dan lain-lain kanser
yang mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi dengan syarat kanser tersebut
dikesan pada peringkat awal. Di samping itu terdapat juga kanser yang ganas dan
sukar dirawat seperti kanser paru-paru, kanser pancreas dan kanser
hati. Disebabkan oleh sifat kanser itu yang ganas ataupun kesukaran untuk
mengesan kanser itu di peringkat awal, maka rawatannya sukar.
Seperti
yang saya sebutkan tadi umumnya pesakit kanser yang berada pada peringkat awal
mempunyai peluang sembuh yang lebih tinggi lebih-lebih lagi jika mereka
menghidap kanser daripada jenis yang kurang ganas. Kebanyakan pesakit-pesakit
kanser yang sembuh sepenuhnya jarang menonjolkan diri mereka jadi masyarakat
akan lebih terdedah kepada pesakit-pesakit kanser yang menghidap kanser pada
peringkat lewat. Apabila ini berlaku, masyarakat akan salah faham dan
mengganggap kanser tidak boleh disembuhkan kerana ramai pesakit kanser yang
mereka temui mengalami kanser berulang, gagal dirawat ataupun meninggal dunia.
Begitu juga di dalam kumpulan sokongan kanser, kebanyakan pesakit yang
menyertai kumpulan-kumpulan ini adalah dalam kalangan pesakit kanser peringkat
lewat ataupun sedang mengalami kanser berulang. Jika kanser itu tidak dapat
disembuhkan sepenuhnya, pakar kanser akan cuba merawat supaya jangkahayat
pesakit dapat dipanjangkan kepada beberapa tahun sehingga mungkin 15-20 tahun.
Terdapat ramai pesakit kanser yang hidup lama walaupun kanser tidak hilang
sepenuhnya.Data-data yang akan saya bentangkan selepas ini akan memberi gambaran kadar penyembuhan kanser, kebanyakan pesakit yang mampu meneruskan kehidupan untuk selama 5 tahun bebas kanser akan dapat terus hidup untuk selama 10 tahun dan sembuh sepenuhnya.
KADAR HIDUP (SURVIVAL
RATE) PENYAKIT KANSER
Salah
satu ukuran kepada keberkesanan rawatan kanser adalah Kadar Hidup (“Survival
Rate”) iaitu mengukur jangkamasa hayat yang pesakit itu boleh hidup selepas
dirawat. Kadar Hidup diukur dengan beberapa kaedah, diantaranya adalah mengukur
berapa peratus pesakit yang masih hidup selama 5 tahun, ini dikenali sebagai
Kadar Hidup 5 tahun (“5 years survival rate”). Disebabkan oleh kaedah rawatan
kanser yang lebih baik, hari ini pakar kanser menggunakan Kadar Hidup selama 10
tahun, malahan ada yang 20 tahun untuk menilai keberkesanan rawatan kanser.
Kadar hidup tidak mengira samada pesakit bertindakbalas sepenuhnya ataupun
pesakit-pesakit daripada kategori 2,3 dan 4 di atas. Kadar hidup bergantung
kepada jenis kanser, peringkat kanser dan juga keujudan faktor-faktor
prognostik yang saya sebutkan tadi. Semakin rendah kadar hidup, semakin agresif
sesuatu kanser itu. Faktor kepakaran pakar kanser dan jenis rawatan yang
diberikan boleh mempengaruhi kadar hidup pesakit kanser. Faktor pesakit juga
sangat penting bagi menentukan kadar hidup, pesakit yang datang lewat menerima
rawatan, pesakit yang tidak mengikut jadual rawatan yang betul dan pesakit yang
mempunyai system pertahanan badan yang lemah mempunyai kadar hidup yang lebih
rendah.
Kadar hidup keseluruhan sesuatu jenis kanser adalah kadar hidup yang diukur ke atas semua pesakit kanser tidak kira peringkat kanser mereka. Contohnya kanser payudara, kadar hidup 5 tahun kanser payudara sebanyak 80% bermaksud jika dikumpulkan 100 orang penghidap kanser payudara tidak kira peringkat kanser mereka, 80% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Walau bagaimanapun jika dipecahkan bilangan penghidap kanser payudara ini berdasarkan kepada peringkat kanser, maka data yang akan diperolehi adalah berbeza kerana kanser payudara peringkat 1 mempunyai kadar hidup 5 tahun hampir 100%, manakala jika pesakit itu berada pada peringkat 3, kadar hidup 5 tahunnya jatuh kepada 72%. Apa yang ingin saya sampaikan adalah jika anda tidak faham cara pengiraannya, anda akan keliru dengan data-data ini seolah-olah tidak konsisten. Pesakit kanser payudara peringkat 4 mungkin merasa lega sebab kadar hidup 5 tahun kanser payudara adalah 80% sedangkan yang sebenarnya kadar hidup 5 tahun kanser payudara peringkat 4 adalah hanya 22%. Sebagai pesakit kanser, anda patut tahu jenis kanser, peringkat kanser dan apakah factor-faktor prognostik yang ada miliki sebelum anda membandingkan dengan orang lain. Dapatkan maklumat ini daripada pakar kanser anda. Kadar hidup yang dinyatakan ini adalah pencapaian selepas menerima rawatan kanser moden. Kadar hidup akan menjadi jauh lebih rendah jika pesakit tidak menerima rawatan ataupun memilih rawatan alternatif.
Kadar hidup keseluruhan sesuatu jenis kanser adalah kadar hidup yang diukur ke atas semua pesakit kanser tidak kira peringkat kanser mereka. Contohnya kanser payudara, kadar hidup 5 tahun kanser payudara sebanyak 80% bermaksud jika dikumpulkan 100 orang penghidap kanser payudara tidak kira peringkat kanser mereka, 80% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Walau bagaimanapun jika dipecahkan bilangan penghidap kanser payudara ini berdasarkan kepada peringkat kanser, maka data yang akan diperolehi adalah berbeza kerana kanser payudara peringkat 1 mempunyai kadar hidup 5 tahun hampir 100%, manakala jika pesakit itu berada pada peringkat 3, kadar hidup 5 tahunnya jatuh kepada 72%. Apa yang ingin saya sampaikan adalah jika anda tidak faham cara pengiraannya, anda akan keliru dengan data-data ini seolah-olah tidak konsisten. Pesakit kanser payudara peringkat 4 mungkin merasa lega sebab kadar hidup 5 tahun kanser payudara adalah 80% sedangkan yang sebenarnya kadar hidup 5 tahun kanser payudara peringkat 4 adalah hanya 22%. Sebagai pesakit kanser, anda patut tahu jenis kanser, peringkat kanser dan apakah factor-faktor prognostik yang ada miliki sebelum anda membandingkan dengan orang lain. Dapatkan maklumat ini daripada pakar kanser anda. Kadar hidup yang dinyatakan ini adalah pencapaian selepas menerima rawatan kanser moden. Kadar hidup akan menjadi jauh lebih rendah jika pesakit tidak menerima rawatan ataupun memilih rawatan alternatif.
Di samping kadar hidup, salah satu lagi matlamat merawat kanser adalah untuk memberi kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakit-pesakit kanser. Pesakit kanser yang telah dirawat diharapkan dapat meneruskan hidup mereka seperti biasa, kurang tekanan fizikal dan emosi, termasuk boleh kembali aktif di dalam apa sahaja aktiviti rutin termasuk daripada aspek seksual. Kadangkala pakar kanser tidak meneruskan rawatan apabila mendapati rawatan yang diberikan itu akan lebih memudaratkan. Terdapat pesakit yang dirawat hanya untuk tujuan mengurangkan gejala-gejala akibat kanser, manakala kanser yang dihidapi itu sudah tidak boleh disembuhkan lagi. Kaedah rawatan yang memfokuskan kepada gejala dan kualiti hidup ini dinamakan penjagaan paliatif ("palliative care"). Tajuk tentang penjagaan paliatif ini adalah sangat panjang dan memerlukan ruangan lain untuk disampaikan.
ADAKAH RAWATAN KANSER HARI INI LEBIH BAIK
ADAKAH RAWATAN KANSER HARI INI LEBIH BAIK
Rawatan
kanser moden yang diberikan kepada pesakit kanser adalah sama di seluruh dunia.
Jika adapun perbezaan, mungkin ianya lebih kepada pendekatan dan juga pengalaman
seseorang pakar kanser. Keseragaman ini disebabkan pakar-pakar kanser di
seluruh dunia didedahkan kepada maklumat yang sama tentang hasil kajian
terhadap kanser. Terdapat banyak jurnal-jurnal kanser yang dikongsikan oleh semua
pakar kanser seluruh dunia di samping terdapatnya konferen-konferen
antarabangsa yang mengumpulkan semua pakar-pakar terkenal seluruh dunia untuk
membentangkan hasil kajian dan juga pendapat mereka. Terdapat banyak pusat latihan kanser di seluruh dunia yang menghasilkan
ramai pakar-pakar kanser yang kemudiannya kembali ke negara masing-masing untuk
berkhidmat kepada rakyat negara mereka. Di negara kita juga terdapat beberapa
buah hospital yang menyediakan perkhidmatan rawatan kanser dan juga sebagai
pusat latihan. Kesimpulannya, kualiti perkhidmatan rawatan kanser di negara
kita tidak jauh bezanya dengan di negara-negara lain di dunia. Apa yang
membezakan adalah daripada segi bilangan pusat rawatan dan juga pakar-pakar
yang mampu untuk menampung pesakit kanser. Kecekapan kaedah pencegahan dan
pengesanan kanser di peringkat awal juga penting bagi memastikan pesakit dapat
dikesan pada peringkat awal. Di samping itu faktor kesedaran dan sikap rakyat dan
pesakit-pesakit kanser juga sangat kritikal kerana salah satu punca mengapa
kanser sukar dirawat adalah pengesanan yang lambat dan datang lewat untuk mendapatkan rawatan.
Kajian
menunjukkan bahawa pesakit kanser pada hari ini dapat hidup 6 kali lebih
panjang daripada pesakit kanser 40 tahun yang lalu. Untuk mendapatkan data
mengenai kadar hayat penyakit kanser, kajian perlu dilakukan dan selalunya
memakan masa yang sangat panjang. Negara kita mempunyai data kanser yang
dilapurkan melalui Pendaftaran Kanser Kebangsaan (National Cancer Registry) dan
lapuran dikeluarkan secara berkala. Walau bagaimanapun data daripada
Pendaftaran Kanser Kebangsaan kita masih lagi bersifat kuantitatif iaitu hanya
mengenai bilangan dan insiden penyakit kanser, kita masih belum mempunyai data
lengkap mengenai kadar hayat penyakit kanser. Jadi di dalam rencana ini saya
akan mengambil data-data yang disiarkan oleh pertubuhan-pertubuhan kanser
antarabangsa. Terdapat kajian-kajian kecil yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji
tempatan mengenai kadar hayat penyakit kanser di Malaysia tetapi terhad kepada
beberapa jenis kanser sahaja contohnya kanser payudara, kanser usus besar dan
kanser pangkal Rahim.
Kadar
hidup penyakit kanser di negara-negara maju telah menunjukkan peningkatan
contohnya di United Kingdom, terdapat peningkatan 2 kali ganda semenjak
40 tahun yang lalu. Kini purata 50% pesakit kanser di United Kingdom dapat
hidup lebih daripada 10 tahun, keseluruhannya (jika dicampurkan ke semua jenis kanser dan peringkat). Walau bagaimanapun ada jenis-jenis
kanser yang sangat agresif dan tidak menunjukkan kadar yang lebih tinggi
contohnya kanser hati dan kanser pancreas. Terdapat pula kanser yang kadar
hidupnya meningkat kepada lebih daripada 95% seperti kanser testis. Umumnya
lebih daripada 80% daripada kanser yang dihidapi oleh penduduk di UK dapat
hidup lebih daripada 10 tahun.
Amerika adalah Negara yang mempunyai penurunan kadar kematian kanser yang paling tinggi di antara negara-negara maju disebabkan oleh keberkesanan program mengesan kanser di peringkat awal dan juga keperihatinan pakar serta pesakit untuk mendapat rawatan pada peringkat awal. Kajian oleh Pertubuhan Kanser Amerika juga menunjukkan bahawa bilangan pesakit kanser payudara yang mati akibat kanser telah menurun sebanyak 40% semenjak 25 tahun yang lalu ataupun melibatkan pengurangan kematian akibat kanser seramai 322,000 orang (DeSantis CE et al). Kadar hidup 5 tahun kanser prostat di Amerika meningkat daripada 68% kepada 99% daripada tahun 1975-2012.
Di negara Australia juga menunjukkan keberkesanan rawatan kanser yang lebih baik. Kadar hidup 5 tahun penyakit kanser (semua jenis kanser dikumpulkan bersama) di Australia adalah 68%. Manakala kadar hidup pesakit kanser payudara adalah 90% untuk sekurang-kurangnya selama 5 tahun pada tahun 2009-2013 dan kadar ini meningkat berbanding dengan 72% pada tahun 1984-1988. Kemungkinan untuk hidup selama lebih 10 tahun di Australia adalah 83% jika menghidap kanser payudara. Peningkatan kadar hidup kanser ini adalah juga hasil daripada perkembangan kaedah rawatan kanser yang semakin baik. Kanser prostat adalah di antara kanser yang mempunyai kadar hidup dan kadar penyembuhan yang paling tinggi selepas rawatan diberikan sehingga lebih 90% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 15 tahun, di samping rawatan yang berkesan, kebanyakan kes kanser prostat dirawat pada peringkat awal.
Amerika adalah Negara yang mempunyai penurunan kadar kematian kanser yang paling tinggi di antara negara-negara maju disebabkan oleh keberkesanan program mengesan kanser di peringkat awal dan juga keperihatinan pakar serta pesakit untuk mendapat rawatan pada peringkat awal. Kajian oleh Pertubuhan Kanser Amerika juga menunjukkan bahawa bilangan pesakit kanser payudara yang mati akibat kanser telah menurun sebanyak 40% semenjak 25 tahun yang lalu ataupun melibatkan pengurangan kematian akibat kanser seramai 322,000 orang (DeSantis CE et al). Kadar hidup 5 tahun kanser prostat di Amerika meningkat daripada 68% kepada 99% daripada tahun 1975-2012.
Di negara Australia juga menunjukkan keberkesanan rawatan kanser yang lebih baik. Kadar hidup 5 tahun penyakit kanser (semua jenis kanser dikumpulkan bersama) di Australia adalah 68%. Manakala kadar hidup pesakit kanser payudara adalah 90% untuk sekurang-kurangnya selama 5 tahun pada tahun 2009-2013 dan kadar ini meningkat berbanding dengan 72% pada tahun 1984-1988. Kemungkinan untuk hidup selama lebih 10 tahun di Australia adalah 83% jika menghidap kanser payudara. Peningkatan kadar hidup kanser ini adalah juga hasil daripada perkembangan kaedah rawatan kanser yang semakin baik. Kanser prostat adalah di antara kanser yang mempunyai kadar hidup dan kadar penyembuhan yang paling tinggi selepas rawatan diberikan sehingga lebih 90% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 15 tahun, di samping rawatan yang berkesan, kebanyakan kes kanser prostat dirawat pada peringkat awal.
Kajian
menggunakan data daripada WHO daripada tahun 1987-2013 yang dibentangkan pada tahun 2016 telah menunjukkan bahawa
kadar kematian akibat kanser payudara telah menurun dalam kalangan 39 daripada
47 negara yang dikaji. Kajian kadar hidup kanser payudara di Malaysia yang dilapurkan
pada tahun 2000-2005 menunjukkan kadar hidup 5 tahun adalah 49.4%. Seperti yang saya sebutkan diawal penulisan tadi, kadar hidup
yang lebih rendah ini disebabkan oleh cara pengiraan kadar hidup yang
mencampurkan semua peringkat kanser payudara. Jadi negara yang mempunyai
program pengesanan kanser yang lebih baik dan sikap penduduknya yang lebih terdidik
akan mengesan lebih banyak kanser di peringkat yang lebih awal. Apabila
peratusan kanser peringkat awal tinggi, maka kadar hidup keseluruhannya juga
akan tinggi. Inilah yang berlaku kepada Malaysia di mana kesedaran dan
pengesanan peringkat awal kanser payudara rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju walaupun mutu rawatan kanser payudara di negara kita setaraf
dengan negara-negara maju (Abdullah
NA, et al). Kadar hidup kanser usus besar di Malaysia menunjukkan peningkatan
daripada 40% (1997-2000) kepada 53% (2000-2004). Kadar hidup akan dapat
ditingkatkan jika lebih ramai pesakit dikesan pada peringkat awal (kadar hidup
5 tahun kanser usus bergantung kepada peringkat; peringkat 1(90%), 2(80%),
3(30-60%) dan 4(5-10%)(Veetil SK, et al ). Kadar hidup penyakit kanser serviks
pula adalah 71% untuk 5 tahun dalam kalangan pesakit kanser yang dikesan pada
tahun 2000-2003, wanita yang berusia kurang daripada 45 tahun mempunyai kadar
hidup yang lebih baik daripada wanita yang berusia lebih 45 tahun (85.2 versus
63.8%). Kaum Cina (73.8%) didapati mempunyai kadar hidup yang paling tinggi
berbanding dengan kaum India (69.5%) dan Melayu (59.2%). Salah satu punca
mengapa kaum melayu mempunyai kadar hidup yang paling rendah adalah kerana
sikap dan pengaruh rawatan alternative dalam kalangan orang melayu. Kaum melayu
juga datang lewat untuk mendapatkan rawatan di hospital. (Muhamad NA, et al).
Daripada
data-data yang dibentangkan di sini jelas menunjukkan peningkatan kadar hidup
kebanyakan penyakit kanser di negara-negara maju. Manakala di negara-negara
membangun, perlu dipertingkatkan program pencegahan dan pengesanan awal kanser
di samping meningkatkan kesedaran rakyat
mereka tentang pentingnya kanser dikesan dan dirawat pada peringkat awal.
Jadual
1 : Kadar hidup 5 tahun beberapa jenis kanser yang dihidapi oleh manusia
selepas menerima rawatan
KADAR
HIDUP 5 TAHUN (5 YEARS SURVIVAL)
|
|||||
Peringkat
1
|
Peringkat
2
|
Peringkat
3
|
Peringkat
4
|
||
1
|
Kanser
payudara
|
100%
|
81-92%
|
54-67%
|
20%
|
2
|
Kanser
Paru-paru (non small cell)
|
45-49%
|
30%
|
5-14%
|
1-2%
|
3
|
Kanser
Prostat
|
100%
|
90-100%
|
90-100%
|
29%
|
4
|
Kanser
Usus besar
|
90%
|
80%
|
30-60%
|
5-10%
|
5
|
Kanser
Serviks
|
80-93%
|
58-63%
|
32-35%
|
15-16%
|
6
|
Kanser
Rahim
|
75-88%
|
69%
|
47-58%
|
15-17%
|
Jadual
1 di atas adalah kadar hidup selama 5 tahun kanser-kanser yang utama jika
pesakit mendapatkan rawatan daripada pakar kanser. Data-data ini boleh jadi
berbeza daripada seorang pesakit dan pesakit yang lain kerana terdapat faktor
prognostik yang berbeza walaupun peringkat kanser yang sama. Data ini
diperolehi melalui kajian ke atas beribu-ribu pesakit untuk jangkamasa yang
panjang. Terdapat perbezaan kadar hidup mengikut peringkat kanser di antara negara-negara
tetapi perbezaannya tidak terlalu ketara. Pesakit yang boleh hidup lebih
daripada 5 tahun mempunyai peluang yang lebih cerah untuk hidup lebih panjang
mungkin 10, 15 tahun ataupun pulih sepenuhnya jika semua kanser telah dihapuskan.
Walaupun kadar hidup dan keberkesanan rawatan kanser dengan kaedah moden bertambah baik, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Masih ramai pesakit kanser yang tidak dapat disembuhkan terutamanya kanser-kanser yang ganas dan kanser yang berada pada peringkat lewat. Rawatan kanser moden hari ini juga memberi kesan kepada sel-sel badan yang normal dan kesan sampingan yang dialami oleh pesakit kadangkalanya agak serius. Sebenarnya pakar-pakar kanser masih belum berpuashati dengan kaedah-kaedah rawatan kanser moden yang ada pada hari ini tetapi terpaksa akur bahawa inilah yang terbaik yang kita miliki pada waktu ini. Ahli sains sedang giat menjalankan kajian untuk menghasilkan ubat antikanser dan kaedah rawatan kanser yang lebih baik. Banyak kaedah-kaedah rawatan baru yang dikaji dan mempunyai masa depan yang sangat baik seperti ubatan yang tergolong di dalam kategori "targeted therapy" contohnya "PARP inhibitors" dan terdapat juga kaedah rawatan menggunakan sistem imun yang dikenali sebagai terapi imun ("immunotherapy"). Ahli sains juga cuba mengujudkan vaksin yang dapat digunakan untuk merawat kanser. Teknologi nano juga sedang menjalani penyelidikan yang intensif untuk merawat kanser. Vaksin dan teknologi nano akan dapat memastikan sel-sel kanser dimatikan secara lebih selektif supaya lebih berkesan dan kurang kesan sampingan ke atas sel-sel normal. Kajian-kajian ini masih dalam peringkat awal dan kebanyakannya masih lagi dalam peringkat pra-klinikal. Masa depan rawatan kanser menggunakan kaedah moden semakin cerah dan pastinya peluang penyembuhan pesakit-pesakit kanser di masa hadapan akan bertambah baik jika dibandingkan dengan masa sekarang.
KESAN RAWATAN ALTERNATIF KE ATAS PENYAKIT KANSER
KESAN RAWATAN ALTERNATIF KE ATAS PENYAKIT KANSER
Data-data yang saya
bentangkan di atas adalah hasil daripada perkhidmatan rawatan kanser moden.
Rawatan kanser moden yang diberikan pada hari ini adalah berdasarkan kepada
bukti kajian saintifik yang dijalankan oleh ahli sains yang melibatkan kajian
pra-klinikal sehinggalah lengkap kajian klinikal. Walau bagaimanapun tidak
kurang juga pesakit-pesakit kanser yang mendapatkan rawatan alternative daripada
pengamal rawatan alternative. Adakah rawatan alternative dapat menyembuhkan
kanser ataupun dapat memanjangkan hayat pesakit kanser. Saya akan mengulas
persoalan ini di dalam rencana ini.
Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 5 daripada kajian2 tersebut.
Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit2 ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis2 kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar.
Kajian oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease).
Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.
Joseph K, et al menjalankan analisis yang sama mendapati pesakit kanser payudara yang enggan dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional. Kadar hidup selama 5 tahun (5 years survival) menurun daripada 81.9% (menerima rawatan konvensional) kepada 43.2% (rawatan alternatif).
Semakan sistematik
terhadap bukti2 kajian saintifik ke atas kaedah rawatan alternatif menunjukkan
belum ada bukti yang meyakinkan bahawa mana2 kaedah rawatan alternatif dapat
menggantikan kaedah rawatan konvensional sebagai rawatan utama kanser payudara.
Walaupun terdapat bukti bahawa memilih rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser memudaratkan pesakit, namun disebabkan salah faham, budaya dan juga pengaruh yang kuat oleh kepercayaan bahawa rawatan alternatif ini adalah semulajadi, selamat dan tidak mengandungi bahan kimia, ramai pesakit terpengaruh dan memilih kaedah rawatan ini. Faktor memilih kaedah rawatan alternatif ini boleh menjadi salah satu punca mengapa kadar hidup dan penyembuhan penyakit kanser lebih rendah di kalangan kaum tertentu.
Rencana ini bukan bermaksud untuk mengagung2kan kaedah rawatan kanser konvensional, sebaliknya adalah untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perbandingan kaedah rawatan berdasarkan kepada disiplin ilmu perubatan moden. Sama seperti anda memilih dua bilah pisau untuk memotong, satu yang tajam dan satu lagi yang tumpul. Walaupun tajam, ada juga bahan2 yang tidak mampu untuk dipotong, begitu jugalah rawatan kanser moden yang ada pada hari ini. Kajian masih diteruskan dan masih terlalu banyak ilmu Allah yang perlu digali. Pesanan yang ingin saya sampaikan adalah bertemulah pakar di dalam bidang penyakit berkenaan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang terbaik.
KESIMPULAN
Pakar kanser mempunyai kaedah-kaedah yang sistematik untuk menilai keberkesanan rawatan kanser. Penilaian ini adalah penting bagi menentukan samada rawatan itu perlu diteruskan ataupun digantikan dengan rawatan yang lain. Salah satu kayu ukur keberkesanan rawatan kanser adalah jangkamasa hidup pesakit kanser ataupun kadar hidup (“survival rate”). Terdapat banyak lagi petunjuk yang digunakan. Matlamat paling besar seorang pakar kanser adalah ingin melihat pesakitnya sembuh sepenuhnya daripada kanser iaitu jika pesakit itu diistiharkan bebas daripada kanser lebih daripada 10 tahun. Walau bagaimanapun terdapat banyak factor yang menentukan peluang pesakit kanser untuk sembuh, di antaranya adalah peringkat kanser, jenis kanser, usia pesakit dan lain-lain lagi. Peringkat kanser adalah petunjuk yang sangat penting bagi menentukan peluang pesakit kanser untuk hidup lebih lama ataupun sembuh sepenuhnya. Pesakit yang berada pada peringkat awal terutamanya peringkat 1 mempunyai peluang untuk sembuh yang sangat tinggi berbanding dengan peringkat 3 dan 4. Jadi kadar hidup keseluruhan sesuatu kanser itu bergantung kepada peratusan pesakit-pesakit yang dapat dikesan pada peringkat awal. Kajian telah menunjukkan bahawa hasil daripada program pencegahan kanser dan saringan kanser yang berkesan, lebih ramai pesakit kanser dapat dikesan pada peringkat awal. Kesedaran masyarakat juga penting untuk mendapatkan rawatan awal dan tidak menangguhkan rawatan kerana terpengaruh dengan pengamal-pengamal perubatan alternatif. Ini adalah beberapa faktor mengapa kadar hidup dan kadar penyembuhan kanser di negara-negara maju lebih tinggi daripada negara-negara mundur dan membangun. Kajian juga telah menunjukkan bahawa menggunakan kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser boleh menurunkan kadar hidup dan juga kadar penyembuhan kanser. Walaupun jelas kaedah rawatan kanser moden jauh lebih berkesan daripada rawatan alternatif, pakar-pakar kanser masih lagi belum berpuashati dengan apa yang ada pada hari ini. Kaedah rawatan kanser moden hari ini masih memerlukan penambahbaikan dan kajian masih lagi diteruskan oleh ahli-ahli sains samada memperbaiki kaedah yang sedia ada ataupun mencari kaedah-kaedah lain melawan kanser.
RUJUKAN
DeSantis CE, Ma J, Sauer AG,et al. Breast cancer
statistics, 2017, racial disparity in mortality by state. CA:A Cancer Journal
for Clinicians, 2017; 67(6): 439-448.
Abdullah NA, Wan Mahiyuddin WR, Muhammad NA, et al. Survival Rate of Breast Cancer Patients in Malaysia: A Population-based Study. Asian Pac J Cancer Prev, 2013;14(8),4591-4594
Veetil SK, Lim KG, Chaiyakunapruk N, Abu Hasan MR. Colorectal cancer in Malaysia: Its burden and implications for a multiethnic country, Asian Journal of Surgery, 2017;40:481-489
Muhamad NA, Kamaluddin MA, Adon MY, et al. Survival Rates of Cervical Cancer Patients in Malaysia, Asian Pac J Cancer Prev, 2015;16(7):3067-3072
Johnson SB, et al. Use of Alternative Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145. Published August 2017.
Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternative therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.
Han E, et al. Alternative therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12
Joseph K, et al. Outcome analysis of breast cancer patients who declined evidence-based treatment. World J Surg Oncol. 2012; 10: 118.
Gerber B, et al. Complementary and alternative therapeutic approaches in patients with early breast cancer: a systematic review.Breast Cancer Research and Treatment,February 2006, Volume 95, Issue 3, pp 199–209.
No comments:
Post a Comment