Monday, December 10, 2018

BAGAIMANA MENGENAL DOKTOR BOGUS DENGAN GELARAN PALSU : ORANG AWAM WAJIB TAHU

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Masalah doktor bogus yang menggunakan gelaran Dr palsu untuk tujuan merawat pesakit sudah lama berlaku dan boleh dikatakan satu jenis penyakit baru pula yang menyerang masyarakat kita. Individu yang "berpenyakit" ini sedang merawat pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit. Orang ramai perlu tahu bagaimana untuk mengenalpasti golongan ini.
Saya hanya akan menumpukan tulisan ini kepada gelaran Dr yang digunakan oleh individu untuk memberi khidmat kesihatan ataupun merawat penyakit. Gelaran palsu yang sama juga digunakan di dalam bidang yang lain tetapi kesan doktor bogus ke atas masyarakat kita boleh dianggap paling serius.
1. Semua doktor yang sudah tamat menjalani pengajian di dalam bidang perubatan dan pergigian akan menerima gelaran Dr. Tetapi gelaran sahaja belum cukup untuk memberi lesen kepada mereka untuk merawat pesakit. Mereka perlu menamatkan latihan siswazah selama 2 tahun sebelum boleh memohon untuk mendapatkan APC ("Annual Practicing Certificate") ataupun Sijil Latihan Tahunan daripada MMC ("Malaysian Medical Council"). APC adalah umpama lesen untuk merawat pesakit termasuk melakukan prosedur yang telah ditetapkan. Doktor ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971.
2. Jika anda berjumpa dengan seorang individu yang mengaku doktor untuk merawat penyakit, anda boleh tahu beliau doktor tulin ataupun doktor bogus. Langkah pertama dapatkan nama sebenar beliau (ada yang guna nama samaran). Kemudian semak samada beliau sudah mendapat pendaftaran penuh dan memiliki APC dengan melayari laman web MMC dan masukkan nama beliau di ruang enjin pencarian (lihat imej pertama). Pautannya adalah berikut:

3. Jika nama beliau tidak tersenarai maka jelas beliau adalah DOKTOR BOGUS. Jika sekiranya nama beliau tersenarai, anda klik pada "details" untuk melihat tempat beliau bertugas dan samada APC beliau masih hidup ataupun sudah tamat tempoh dengan melihat tahun terakhir APC itu dikemaskinikan.
4. Jika beliau adalah Pengamal Perubatan Traditional dan Komplementari ataupun Perubatan Alternatif (Homeopati, Chiropraktik, Akupuntur dll), beliau juga perlu melalui proses pendaftaran yang sama tetapi dengan badan yang berbeza iaitu Traditional & Complementary Medicine Council (TCMC). Mereka perlu berdaftar dan mendapatkan sijil amalan tahunan yang sama seperti APC dan tertakluk kepada Akta 775 TCM.
5. Di dalam Akta 775 TCM, no 29 dengan jelas menyatakan bahawa Pengamal Perubatan Tradisional dan Complementari termasuk Perubatan Alternatif TIDAK BOLEH menggunakan gelaran Dr. kerana ini akan mengelirukan. Jika mereka menggunakan gelaran Dr, maka mereka telah melanggar akta 775 dan boleh diambil tindakan. Golongan ini juga termasuk di dalam kategori doktor bogus.
6. Bagi pemegang ijazah kehormat kedoktoran ataupun PhD, mereka memiliki gelaran Dr tetapi kebanyakan mereka tidak boleh melakukan amalan merawat dan melakukan prosedur ke atas pesakit kerana mereka bukan daripada aliran perubatan. Maksudnya mereka tidak memiliki APC dan berdaftar dengan MMC, jika mereka cuba merawat pesakit maka mereka juga adalah doktor bogus. Walau bagaimanapun terdapat sebilangan kecil pemegang PhD yang juga adalah doktor perubatan terutama yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti. Mereka ini layak untuk merawat pesakit seperti mana doktor2 perubatan yang lain. Jika anda menyemak nama mereka dengan MMC, nama mereka akan wujud dan memiliki APC.
7. Ramai yang boleh menipu gelaran Dr ataupun membeli sijil PhD yang palsu. Tidak kurang juga yang memperolehinya melalui scam. Jika mereka menggunakan gelaran ini untuk tujuan merawat pesakit, maka mereka tidak boleh lari daripada dikesan dengan kaedah menyemak nama mereka di laman web MMC. Jika nama mereka tidak tersenarai, jelas mereka adalah DOKTOR BOGUS.
Anda boleh membuat lapuran salahlaku doktor bogus dengan MMC ataupun TCMC, mengikut mana yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Jauhkan diri daripada doktor bogus, sanggupkah anda memperjudikan kesihatan dan nyawa di bawah seorang individu yang menipu. Jika beliau sanggup menipu gelaran, maka beliau juga mungkin sanggup menipu perkara2 lain yang lebih besar. Jika semua orang menolak golongan ini, lambat laun mereka akan lenyap daripada masyarakat kita.
DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
10hb Disember 2018






Monday, December 3, 2018

7 TANDA-TANDA ANDA SEDANG DIRAWAT OLEH PAKAR AUTA


7 TANDA-TANDA ANDA SEDANG DIRAWAT OLEH PAKAR AUTA

Selain daripada kaedah rawatan perubatan moden, terdapat banyak rawatan alternatif yang wujud di dalam negara kita. Tidak dapat dinafikan terdapat kaedah rawatan selain daripada perubatan moden yang boleh berperanan sebagai komplementari. Malangnya lebih banyak kaedah-kaedah rawatan alternatif ini diamalkan oleh pengamal yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan diri.

Perkataan Pakar Auta adalah merujuk kepada pengamal yang tidak mahir, tidak jujur, jahil dan mengamalkan kaedah rawatan alternatif yang palsu demi untuk meraih keuntungan diri sendiri. Kaedah rawatan alternatif palsu ini digunakan untuk merawat segala jenis penyakit termasuk penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan lain-lain.

Sekurang-kurangnya terdapat 7 ciri-ciri dan kaedah-kaedah amalan yang dilakukan oleh Pakar Auta supaya orang ramai dapat mengenali mereka.

     1. Menggunakan gelaran palsu samada Professor, Dr dan lain-lain yang diperolehi melalui cara yang tidak betul ataupun menipu. Pengguna yang bijak dapat mengesan perkara ini melalui pencarian online. Kadangkala gelaran ini diberikan oleh pihak lain yang salah faham tetapi Pakar Auta ini tidak membetulkan maklumat dan membiarkan gelaran itu digunakan untuk dirinya. Penggunaan gelaran adalah salah satu kaedah meningkatkan keyakinan pelanggan. Jika mereka sanggup menipu gelaran, kewibawaan mereka sebenarnya sudah hancur.

   2. Mengesahkan penyakit yang tidak wujud. Pesakit yang bertemu mereka akan diyakinkan menghidap penyakit yang direka-reka bergantung kepada kaedah rawatan yang hendak diberikan. Ada yang mengguna istilah “kekurangan chi”, “sendi tidak betul”, “masuk angin”, “tenaga dalam tidak seimbang” dan lain-lain. Ada juga yang mudah menyalahkan jin dan saka. Ada juga yang menggunakan kaedah mengesan penyakit melalui pemeriksaan mata, kedudukan tulang belakang, memeriksa tapak tangan ataupun tapak kaki. Pendek kata menggunakan kaedah tidak langsung yang pelik untuk mengesan semua jenis penyakit.

  3. Semasa menjalani rawatan ataupun selepas rawatan, jika keadaan kesihatan anda bertambah parah, mereka akan memberi alasan bahawa keadaan ini adalah normal sebelum proses penyembuhan. Mereka mungkin memberi pelbagai alasan termasuk menggunakan istilah “krisis penyembuhan”(“healing crisis”). Mereka sukar untuk mengaku rawatan mereka  tidak berkesan. Supaya kaedah rawatan mereka dianggap tidak ada cacat celanya, jika pesakit tidak sembuh, mereka lebih suka menyalahkan pesakit dan bukan rawatan yang mereka berikan sebagai punca kegagalan.

  4. Bercakap besar membesarkan kaedah rawatan mereka dengan memberi peratus kejayaan yang tinggi jauh berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh doktor perubatan. Memberikan harapan palsu kepada anda. Mereka juga gemar memburuk-burukkan kaedah rawatan moden, mengaitkan kematian pesakit dengan rawatan dan menganggap rawatan moden ini hanya merawat gejala dan bukan merawat punca penyakit. Mereka menggunakan testimoni sebagai bukti keberkesanan rawatan mereka.

  5. Menggunakan perkataan DETOK ataupun menyahtoksin sebagai matlamat rawatan ke atas pesakit-pesakit yang tidak diketahui jenis penyakit mereka. Pakar Auta ini akan menyarankan pelbagai bentuk rawatan yang kononnya boleh membuang racun di dalam badan samada dalam darah ataupun di dalam usus. Mereka tidak pula akan memberikan maklumat yang lengkap apakah nama toksin yang sedang meracuni tubuh badan pesakit. Perkataan DETOK adalah umpan yang sering digunakan oleh Pakar Auta. Hakikatnya organ badan manusia sudah mempunyai kaedah mengeluarkan bahan buangan dan toksin yang berkesan melalui kulit, paru-paru, buah pinggang dan hati.

  6.  Menggunakan alasan bahawa kaedah rawatan mereka sudah wujud berkurun-kurun lamanya. Mana mungkin ianya tidak berkesan jika sudah diamalkan semenjak nenek moyang. Mereka seolah-olah lupa bahawa teknologi berkembang dari masa ke semasa termasuk kaedah pengesanan dan rawatan penyakit. Contohnya dahulu orang pergi mengerjakan haji dengan menaiki kapal layar tetapi hari ini umat Islam menggunakan kapalterbang. Kapal layar masih lagi ada hingga ke hari ini tetapi kaedah manakah yang lebih selamat, cepat dan cekap? Jika alasan masa digunakan tentulah orang masih menggunakan kapal layar untuk ke Mekah sehingga ke hari ini.

   7. Menggunakan kaedah rawatan yang ganjil dan tidak dapat diterangkan kaitan antara kaedah rawatan tersebut dengan penyakit yang hendak dipulihkan. Dengan kaedah rawatan yang ganjil itu, mereka mendakwa boleh merawat semua jenis penyakit. Di dalam masyarakat kita,anda tentu pernah mendengar individu-individu yang kononnya dapat merawat penyakit dengan hanya menoreh ataupun mengguris kulit pada bahagian anggota yang sakit, menggunakan buah kelapa, buluh, menggunakan pistol mainan, jari telunjuk dan lain-lain lagi. Untuk meyakinkan pelanggan beragama Islam, amalan mereka itu akan diselangselikan dengan bacaan ayat al-Quran. Kos rawatan mereka adalah mengikut kehendak pelanggan dan dengan strategi ini tentu pelanggan akan membayar dengan harga yang jauh lebih besar daripada iktiar yang dilakukan oleh pengamal ini.

Ini adalah 7 ciri-ciri dan kaedah-kaedah rawatan alternatif yang perlu diketahui oleh orang ramai supaya mereka tidak termasuk di dalam kalangan yang tertipu. Pelanggan ataupun pesakit yang bijak akan menolak individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang disebutkan di atas.


Sunday, December 2, 2018

MODUS OPERANDI PENGAMAL RAWATAN ALTERNATIF MEMANCING PESAKIT KANSER



Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Kaedah rawatan kanser konvensional menggunakan kaedah pendekatan yang sistematik daripada peringkat pengesahan, menentukan peringkat kanser, rawatan dan pemantauan. Rawatan kanser konvensional terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, targeted therapy dan yang terbaru terapi imun. Matlamat yang hendak dicapai oleh rawatan konvensional adalah menyembuhkan kanser jika kanser itu berada di peringkat awal. Jika penyembuhan tidak dapat dicapai, maka matlamat utama adalah memperlahankan ketumbuhan dan memanjangkan hayat. Manakala satu lagi kumpulan adalah pesakit yang kanser mereka sudah merebak di banyak bahagian badan, matlamat yang akan disasarkan adalah mengurangkan gejala supaya hidup pesakit ini lebih selesa. Kadangkala matlamat yang berbeza ini dicapai dengan menggunakan kaedah rawatan yang sama. Apabila pakar kanser berpendapat rawatan akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan, maka kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan diatas tidak akan disyorkan. Dengan perkataan lain, pesakit ini tidak akan menerima sebarang rawatan yang boleh mematikan sel-sel kanser sebaliknya hanya ubat-ubatan yang dapat mengurangkan gejala seperti sakit, kembong perut, letih dan lain-lain. Semua pendekatan yang saya nyatakan di atas adalah berdasarkan kepada bukti kajian klinikal ataupun di dalam istilah perubatan dinamakan “evidence-based medicine”.

Satu lagi pilihan untuk merawat penyakit kanser adalah kaedah rawatan alternatif yang diberikan oleh pengamal rawatan alternatif. Terlalu banyak kaedah rawatan alternatif yang ada disediakan dan prinsip rawatan mereka adalah berbeza dengan kaedah rawatan konvensional. Walaupun ada di antara prinsip asas yang saya nyatakan diatas ada diamalkan oleh mereka, tetapi mereka tidak menggunakan prinsip yang paling penting iaitu amalan berasaskan kepada “evidence-based medicine”. Paling malang lagi, ada di antara mereka yang tidak menggunakan kaedah pengesahan kanser yang betul sehingga ramai pesakit bukan kanser dikatakan penghidap kanser. Ramai dalam kalangan pengamal ini bukan daripada aliran pengamal perubatan moden sebaliknya mereka adalah pengamal yang menggunakan prinsip naturopathy. Saya sudah menerangkan panjang lebar mengenai prinsip naturopathy di dalam tulisan saya yang lalu. Bagi pengamal perubatan moden, prinsip ini sebenarnya adalah benih-benih pseudosains kerana mereka meletakkan falsafah pada kedudukan paling tinggi yang tidak boleh diubah walaupun ianya sudah terbukti salah. Maka akibat daripada prinsip yang berbeza, mereka menolak beberapa kaedah-kaedah rawatan kanser konvensional.

Di antara golongan pengamal perubatan yang saya sebutkan di atas, terdapat golongan yang mengambil kesempatan mencari habuan wang ringgit dengan menjadikan rawatan kanser alternatif sebagai perniagaan utama. Ada dalam kalangan mereka ini tidak mendokong sebarang prinsip amalan sebaliknya hanya mengamalkan apa yang mereka faham berdasarkan kepada pendedahan yang mereka terima, selalunya melalui kursus ataupun pengajian jangkamasa pendek. Perniagaan ini tentu menguntungkan kerana bilangan penghidap kanser yang ramai dan tidak kurang juga pesakit kanser yang sudah berada pada peringkat akhir di mana kaedah rawatan konvensional sudah tidak berkesan. Di samping itu kaedah-kaedah rawatan alternatif pula sangat banyak dan kebanyakannya tidak tertakluk kepada peraturan amalan ubat-ubatan yang dikenakan oleh Penguasa ubat-ubatan. Banyak ubat-ubatan alternatif ini bukan daripada kategori ubat terkawal sebaliknya di bawah kategori makanan dan suplemen. Modal yang diperlukan untuk mendapatkan ubat-ubatan alternatif ini pula pada harga yang lebih rendah dan dapat dijual dengan harga yang tinggi. Malahan ada di antaranya adalah hasil ciptaan sendiri dan tidak kurang juga yang  hanya menggunakan suplemen dan vitamin. 

Permintaan kaedah rawatan alternatif di luar negara sememangnya tinggi sehingga mereka mampu menubuhkan klinik ataupun hospital. Kepada orang awam yang tidak arif, klinik dan hospital-hospital ini kelihatannya sama seperti klinik dan hospital yang menyediakan perkhidmatan perubatan konvensional. Pengamal-pengamalnya juga kelihatan sama dengan memperlihatkan gaya dan pendekatan yang tidak banyak berbeza dengan pengamal perubatan konvensional. Malahan ada juga yang menggunakan khidmat pengamal perubatan konvensional (yang berpaling tadah) bekerja dengan mereka. Mereka akan mengesyorkan banyak jenis rawatan alternatif yang diberikan samada melalui makan, suntikan dan rawatan fizikal. Banyak daripada ubat-ubatan dan kaedah rawatan ini belum terbukti berkesan merawat kanser ke atas manusia. Kos rawatan yang dikenakan adalah tinggi sehingga ada yang mencapai puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Untuk memajukan perniagaan, mereka mempunyai model perniagaan yang tertentu bagi menarik ramai pesakit kanser sehingga berjaya menarik pesakit daripada luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka. Jika mereka bergerak secara bersendirian, mereka seringkali menggunakan gelaran palsu samada Professor ataupun Doktor bertujuan untuk menambah keyakinan pesakit.

Salah satu sasaran pelanggan mereka adalah pesakit kanser yang berada pada peringkat lewat di mana peluang untuk sembuh adalah tipis. Kebanyakan pesakit ini sudah dirawat dengan kaedah rawatan konvensional. Pesakit-pesakit ini tentu akan mencari maklumat di dalam media sosial ataupun internet untuk mendapatkan kaedah rawatan alternatif. Pusat rawatan kanser alternatif ini akan memaparkan testimoni (ada pesakit yang memberi testimoni ini yang sudah meninggal dunia tetapi testimoni mereka masih hidup), gambar-gambar kejayaan mereka dan juga memberi data kejayaan yang kelihatan luarbiasa. Apabila bertemu dengan pengamal perubatan alternatif ini, pesakit akan melalui sesi kaunseling dan di dalam sesi kaunseling inilah mereka akan dipancing. Salah satu kaedah kaunseling yang digunakan adalah memberi data kejayaan yang tidak munasabah sehingga pesakit yakin tentang keberkesanannya. Mereka juga akan diyakinkan bahawa rawatan ini bukan sahaja berkesan tetapi bersifat semulajadi ataupun lebih selamat. Mereka juga akan mendakwa kaedah rawatan mereka adalah lebih holistik dan akan memakan masa yang panjang supaya pesakit akan terus terikat dengan mereka. Berbeza dengan kaedah kaunseling rawatan kanser konvensional di mana pesakit akan diberikan maklumat yang terperinci tentang kaedah rawatan, kesan sampingan dan apakah peluang untuk sembuh, pengamal perubatan alternatif seringkali tidak memberi maklumat terperinci tentang apakah ubat-ubatan yang digunakan serta kesan sampingan. Jika adapun data mengenai peluang untuk sembuh, mereka memberi angka yang jauh lebih baik daripada angka sebenar. Pada waktu yang sama pesakit akan diberikan maklumat palsu mengenai keburukan kaedah rawatan konvensional termasuk rawatan ini bukan merawat kanser sebaliknya membunuh pesakit kanser. Pendek kata hasil daripada kaunseling ini adalah keterujaan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan jikapun mereka gagal, mereka tidak akan menyalahkan kaedah rawatan yang mereka terima, sebaliknya menyalahkan diri sendiri kerana mendapatkan rawatan kanser konvensional terlebih dahulu. Semasa rawatan diberikan, pesakit seperti dipaksa untuk tidak berputus asa walaupun pada hakikatnya peluang untuk sembuh sudah tersangat tipis. Jika pesakit bertambah serius semasa rawatan, mereka akan mendakwa bahawa ini adalah kesan yang normal sebelum proses penyembuhan, sedangkan hakikatnya kanser semakin merebak.Pesakit tidak diberikan maklumat yang tepat mengenai peluang untuk sembuh sehingga mempunyai harapan palsu. Jika pesakit mengadu mengalami kurang gejala seperti sakit, letih dan sebagainya, mereka akan diyakinkan bahawa itu adalah petanda kanser sudah berkurangan sedangkan pada hakikatnya tidak. Melalui kaedah ini, pesakit akan meneruskan rawatan dan mengeluarkan belanja yang besar sedangkan kanser sudah tidak boleh disembuhkan. Malahan jika pesakit mendapatkan rawatan daripada pakar kanser, kualiti hidup mereka dapat diperbaiki dan mereka akan diberikan maklumat yang lebih tepat mengenai peluang untuk sembuh, di samping kos rawatan yang jauh lebih rendah.

Terdapat juga pengamal rawatan kanser alternatif ini mengambil pesakit kanser peringkat awal yang sudah dirawat dengan kaedah pembedahan oleh pakar kanser. Tetapi walaupun mereka ini sudah menjalani pembedahan, pakar kanser berpendapat adalah lebih baik pesakit ini mengambil rawatan tambahan di dalam bentuk kemoterapi ataupun radioterapi untuk meningkatkan kadar penyembuhan ataupun menurunkan kadar kejadian semula kanser. Malangnya masyarakat kita telah diberikan maklumat palsu mengenai kemoterapi sehingga ramai yang percaya kemoterapi adalah punca kematian pesakit kanser. Maka akibat daripada ketakutan ini, mereka mendapatkan khidmat pengamal perubatan alternatif yang tentu sekali akan menyokong pendirian mereka dan mengesyorkan kaedah rawatan alternatif. Maka pesakit inipun terpengaruh dan menerima rawatan alternatif sedangkan tanpa sebarang rawatan lanjutpun mereka mungkin akan sembuh ataupun bebas daripada kanser untuk jangkamasa tertentu kerana sudah menerima rawatan awal oleh pakar kanser. Pesakit-pesakit ini akan mengeluarkan belanja yang besar untuk sesuatu yang mereka tidak perlukan tetapi berkemungkinan untuk menghadapi kesan jangkamasa panjang kerana enggan menjalani rawatan kemoterapi. Fenomena ini berlaku di mana-mana termasuk di dalam negara kita.

Akhirnya ramai pesakit akan kehilangan wang yang banyak dan terpaksa berhutang ataupun memohon bantuan orang ramai untuk membiayai rawatan kanser alternatif ini. Saya ada terbaca pesakit kanser luar negara yang menghabiskan wang sehingga lebih 1 juta dolar Amerika untuk rawatan alternatif sedangkan mereka dapat menjimatkan banyak wang jika mereka dirawat oleh pakar kanser dengan kaedah rawatan konvensional. Sudahlah kanser yang dirawat tidak sembuh, gejala yang dialami tidak berkurangan, pesakit-pesakit ini akan mengalami tekanan hidup kerana kesempitan wang dan kesan ini akan dirasai oleh ahli keluarga mereka sekali. Kesan negatif rawatan kanser alternatif ini bukan setakat kehilangan wang ringgit dan kesan psikologi tetapi lebih daripada itu. Banyak kesan tidak langsung kepada masyarakat, beban kepada negara khususnya kementerian kesihatan dan ada berlaku di negara-negara lain jenayah penyeludupan ubat-ubat haram dari luar. Akibat rawatan ini juga pesakit boleh mengalami kesan sampingan dan lambat untuk mendapatkan rawatan kanser yang lebih berkesan. Pusat-pusat rawatan kanser palsu ini akan terus mengaut keuntungan dan menggunakan modus operandi yang sama ke atas pesakit-pesakit lain.

Hakikatnya, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 3 daripada kajian-kajian tersebut. Pertamanya hasil kajian yang disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit-pesakit ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis-jenis kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar. (1). Kajian kedua adalah oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease)(2). Manakala kajian ketiga adalah oleh Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.(3). Banyak lagi kajian-kajian yang sama dilakukan dan disiarkan di dalam jurnal-jurnal yang memberi kesimpulan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser menyebabkan kadar kematian akibat kanser meningkat berbanding dengan rawatan konvensional.

Apa yang saya paparkan ini adalah cerita sebenar dan perkembangan yang berlaku di luar negara di mana terdapat banyak pusat-pusat rawatan kanser alternative. Bukan calang-calang orang yang terpengaruh dengan mereka termasuk artis, orang kenamaan dan lain-lain lagi. Di antara negara-negara yang mempunyai pusat rawatan kanser alternatif seumpama ini adalah China, German, Mexico dan lain-lain. Negara kita bakal menuju ke arah yang sama jika tidak ada langkah-langkah proaktif dilakukan oleh pihak yang berkuasa dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kepada pesakit kanser, ketahuilah latar belakang orang yang merawat anda dan jangan cepat terpengaruh dengan dakwaan palsu yang diberikan oleh individu-individu yang bukan pakar di dalam merawat pesakit kanser.

Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

RUJUKAN
1. Johnson SB, et al. Use of Alternatif Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published August 2017.
2. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.
3. Han E, et al. Alternatif therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12
4. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU

5. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k

6. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc

7. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/