Saturday, April 16, 2016

STEM CELLS (SEL-SEL STEM): MITOS DAN REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG (UKM), Fellow GO (S'pore),AM
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

SEL STEM : MITOS DAN REALITI

MEMAHAMI SEL, TISU DAN ORGAN

Sebelum anda mempelajari apakah itu sel stem, adalah lebih baik anda mengetahui sedikit sebanyak fakta mengenai sel, tisu dan organ. Sel adalah unit terkecil yang membentuk sesuatu organisme yang hidup. Terdapat juga organisma yang terdiri dari hanya satu sel sahaja seperti bakteria, mereka dikatakan hidupan uniselular (“unicellular”). Manusia dijadikan dari berjuta-juta sel dan dikenali sebagai hidupan multiselular (“multicellular”). Terdapat banyak jenis sel-sel di dalam badan manusia dan apabila sel-sel yang mempunyai fungsi yang sama  dikumpulkan akan membentuk tisu, contohnya tisu otot yang boleh memanjang dan memendek bagi membantu pergerakan anggota badan. Tisu-tisu yang memiliki ciri-ciri yang sama pula apabila dikumpulkan akan membentuk organ. Contohnya tisu otot jantung akan membentuk sebuah organ jantung. 

Setiap sel mengandungi selaput luar yang berfungsi sebagai dinding yang akan bertanggungjawab menapis bahan-bahan keluar dan masuk ke dalam sel. Di bahagian dalam sel terdapat bahagian yang dinamakan sitoplasma yang merupakan komponen terbesar sesuatu sel (lihat rajah 1). Di dalam sitoplasma inilah terdapat organ-organ kecil ataupun organel (“organelle”)  yang mempunyai fungsi-fungsi khusus seperti mengangkut protin, membuang bahan buangan sel dan sebagainya. Contoh organ-organ kecil ini adalah Mitokondria yang berbentuk bulat bujur berfungsi menghasilkan tenaga kepada sel. Organ-organ kecil yang lain adalah ribosom yang berfungsi di dalam proses pembentukan protin. Organ kecil atau organel yang paling menonjol dan sangat penting di dalam sitoplasma adalah nukleus. Nukleus berbentuk bulat dan mempunyai selaputnya sendiri yang dinamakan selaput nukleus. Selaput ini penting untuk menghalang sebarang bahan kimia yang terdapat di dalam sitoplasma daripada merosakkan bahan baka di dalamnya. Di dalam nucleus inilah terdapatnya kromosom iaitu struktur yang dibentuk oleh molekul yang dinamakan DNA singkatan kepada “deoxyribonucleic acid” (lihat  rajah 1.0) . Pada DNA inilah terletaknya bahan baka ataupun gen yang menentukan ciri-ciri fizikal dan fungsi sesuatu organism. Molekul DNA ini terdiri dari dua lengan yang berbentuk spiral berbelit . Semasa proses pembahagian sel, DNA boleh menjalani duplikasi (“duplication”) supaya apabila pembahagian sel berlaku, anak sel akan mempunyai bilangan DNA yang sama. Perkataan kromosom merujuk kepada satu struktur yang kompleks yang mengandungi molekul DNA yang bergabung dengan protin-protin khusus yang berfungsi memegang molekul DNA tersebut. Protin-protin ini juga berperanan mengawal fungsi DNA, jadi apabila menyebut kromosom ianya merujuk satu struktur di dalam nucleus yang mengandungi molekul DNA di dalamnya. Satu kromosom membawa satu molekul DNA. Di dalam nukleus sel matang, kromosom wujud berpasangan. Terdapat 23 pasang kromosom di dalam sel yang matang ataupun berjumlah 46 kromosom semuanya.


Terdapat dua jenis sel di dalam badan manusia iaitu sel-sel germa dan sel-sel somatik. Sel-sel germa adalah sel yang dihasilkan oleh kelenjar ovari dan kelenjar testis. Sel germa yang matang bagi wanita dikenali sebagai ovum, manakala sel germa bagi lelaki dinamakan sel sperma. Sel-sel germa ini bertanggungjawab menjalani proses persenyawaan bagi menghasilkan embrio/janin. Sel-sel somatik pula adalah sel-sel yang lain selain dari sel-sel germa seperti sel darah, sel kulit, sel rambut dan lain-lain. Sel-sel germa mempunyai separuh kandungan DNA atau kromosom jika dibandingkan dengan sel-sel somatik. Jumlah bilangan kromosom di dalam satu sel somatik adalah 46 manakala di dalam sel germa pula terdapat 23 kromosom. Apabila dua sel germa bercantum maka terbentuklah sel yang mengandungi sejumlah 46 DNA/kromosom dan sel-sel ini akan membahagi untuk membentuk seorang individu baru yang berbeza. Ciri-ciri individu baru ini tentulah merupakan percampuran dari kedua-dua ciri-ciri ibu dan bapanya.

Rajah 1.0 : Ilustrasi (A) menunjukkan struktur yang membentuk satu sel manakala (B) menunjukkan kromosom yang terdapat di dalam nucleus, kromosom mengandungi DNA iaitu molekul yang berbelit-belit dan mengandungi bahan baka ataupun gen.



SEL STEM

Sel stem adalah sejenis sel somatik yang istimewa, ia berkeupayaan untuk mendifferensiasi (berubah bentuk) dan membahagi dengan sendiri dan dengan kaedah rangsangan yang betul berserta dengan faktor-faktor pembiak (“growth factors”) ianya boleh berkembang menjadi sel-sel khusus tertentu yang akan menjadi tisu-tisu dan organ badan. Sel-sel stem ini memerlukan media dan faktor pembiak di dalam makmal yang canggih untuk hidup, ia tidak boleh dihasilkan di luar makmal dalam betuk krim, bahan makanan apatah lagi disapu begitu sahaja di permukaan kulit. Sel stem adalah sel yang belum matang dan apabila menjadi matang ianya boleh menjadi sel-sel matang yang khusus seperti sel kulit , sum-sum tulang, sel jantung dan sel saraf. Setiap organ badan mempunyai sel-sel stemnya yang tersendiri dan bersedia untuk bertukar menjadi sel matang jika sel-sel matang yang ada telah rosak ataupun mati. Walau bagaimanapun terdapat banyak tisu dan organ badan yang tidak boleh dihasilkan semula (regenerasi) secara semulajadi ataupun kadar regenerasi yang sangat perlahan seperti sel otot jantung, sel otak, sel paru-paru dan  sel saraf. 

Prinsip penggunaan sel stem adalah dengan mengambil (ekstrak) sel stem dari sumbernya, kemudian meransang sel-sel stem ini supaya ianya akan berkembang menjadi sel-sel matang yang kelak menjadi tisu-tisu anggota badan tertentu. Kemudian ianya akan diberikan kepada individu tersebut. Memandangkan sel-sel stem tersebut diambil dari individu itu sendiri, maka sel-sel matang ataupun tisu-tisu yang terhasil nanti tentu mempunyai ciri-ciri genetik yang sama dan boleh digunakan untuk tujuan pemindahan tisu atau organ jika sekiranya diperlukan. Apabila tisu atau organ yang hendak dipindah atau didermakan itu mempunyai persamaan genetik, maka proses pemindahan organ berkemungkinan besar akan berjaya dan risiko penolakannya (rejeksi) menjadi minima.

JENIS-JENIS SEL STEM

Terdapat tiga jenis utama sel stem iaitu:

   1. Sel stem multipoten: sel stem ini boleh berkembang hanya kepada sel-sel matang yg tertentu sahaja. Contohnya sel stem yang diperolehi dari sum-sum tulang hanya boleh berkembang menjadi sel darah.

  2. Sel stem pluripotent adalah sel stem yang boleh berkembang menjadi semua jenis sel di dalam badan. Sel stem jenis ini selalunya diambil dari embrio peringkat blastosis. Walau bagaimanapun hari ini sel stem pluripoten ini telah boleh dihasilkan dari sel somatik seorang dewasa dengan kaedah kejuruteraan genetic di mana sel tersebut diransang dengan memindahkan gene tertentu ke dalam DNA nya sehingga sel matang itu boleh kembali menjadi sel stem yang asal. Sel stem yang dihasilkan melalui kaedah ini dikenali sebagai iPSC (“induced pluripotent stem cells”). Ianya ditemui pada tahun 2006 oleh Shinya Yamanaka.

   3. Sel stem totipoten adalah sel stem yang diambil dari peringkat awal embrio (peringkat 2 sel) yang boleh berkembang menjadi seorang manusia. Penggunaan sel stem totipotent adalah sebahagian dari asas proses pengklonan (cloning).

SUMBER-SUMBER SEL STEM

Sebelum kita mempelajari dengan lebih lanjut mengenai sel stem, adalah penting untuk kita mengetahui dari manakah sumber-sumber sel stem ini diperolehi.Terdapat beberapa sumber sel-sel stem yang boleh diperolehi untuk tujuan penyelidikan dan juga perubatan.

Berikut adalah sumber-sumber sel stem yang boleh diambil dengan kaedah-kaedah tertentu  (lihat rajah 2 dan 3):

a.   Sel-sel di dalam sum-sum tulang, darah dan juga darah tali pusat bayi.Sel-sel stem ini dikenali sebagai sel stem multipoten bermaksud setiap sel-sel stem ini hanya boleh bertukar kepada sel-sel matang di dalam sistem sel tertentu sahaja contohnya sel darah. Sel-sel stem dari darah tali pusat boleh disimpan dan digunakan satu hari nanti. Sel-sel stem ini boleh dibiak dan berkembang menjadi sel darah putih, sel darah merah ataupun sel-sel pembeku darah.

b. Sel-sel dari Blastosis  iaitu peringkat embrio yang dihasilkan melalui persenyawaan di antara sperma dengan ovum. Sumber embrio ini diperolehi dari lebihan embrio yang tidak digunakan semasa rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Dikatakan bahawa Blastosis adalah peringkat embrio yang paling kaya dengan sel stem dimana setiap sel di dalam blastosis adalah sel stem dan berkeupayaan untuk berkembang menjadi apa sahaja jenis sel matang dan tisu badan . Sel-sel stem dari Blastosis dikatakan mempunyai ciri-ciri pluripoten yakni setiap sel-sel ini boleh berubah kepada sebarang sel-sel serta tisu-tisu badan. Sel stem yang diambil dari embrio dikenali sebagai sel stem embrionik (“embyonic cell stem”). Jika sel-sel stem ini diambil daripada embrio yang lebih awal contohnya pada peringkat 2 sel, ianya dikenali sebagai sel stem totipoten kerana sel-sel ini boleh membiak dan berkembang menjadi keseluruhan individu.

c.  Sel-sel germa (germ cells). Sel-sel germa boleh diperolehi dari embrio yang telah melekat (implan) di selaput dinding rahim (endometrium). Sel-sel germa ini boleh digunakan untuk menghasilkan sperma bagi tujuan rawatan masalah kesuburan. Sel-sel stem  sperma ini juga boleh diperolehi dari kelenjar testis kanak-kanak yang menghidap kanser sebelum menerima rawatan kemoterapi. Di anggarkan 1 dalam 650 kanak-kanak di dunia menghidap kanser dan rawatan kanser ke atas mereka akan memusnahkan sel-sel germa yang menghasilkan sperma bagi lelaki ataupun ovum bagi perempuan. Budak lelaki yang belum mencapai akhil baligh belum mampu menghasilkan sperma. Sebelum mereka menjalani rawatan kemoterapi, sel-sel stem yang boleh bertukar menjadi sel sperma ini akan diambil dan dibekukan dan kemudian dipindahkan kembali kepada mereka selepas sembuh dari rawatan kemoterapi  supaya nanti dapat digunakan kemudian hari apabila kanak-kanak ini sudah dewasa dan berkeinginan untuk mendapat anak dari darah daging mereka sendiri.

d.   Sel stem dari air ketuban (cecair amniotic) merupakan satu penemuan terbaru Ahli Sains. Sel-sel stem di dalam air ketuban ini adalah kepunyaan bayi di dalam kandungan. Ahli Sains telah mendapati bahawa 1% dari sel-sel yang terdapat di dalam air ketuban adalah sel-sel stem yang berkemampuan untuk bertukar menjadi sel-sel khusus seperti sel otot, tulang, hati, saraf dan lain-lain. Penemuan ini akan menambah sumber sel-sel stem terutamanya dari jenis sel stem pluripoten. Air ketuban ini boleh diperolehi ketika bayi di dalam kandungan lagi melalui kaedah amniosentesis.

e. Sel-sel matang manusia dewasa dapat diambil dan menjalani proses ransangan untuk bertukar menjadi sel stem. Kaedah ini ditemui oleh Saintis Jepun bernama Prof Shinya Yamanaka dari Universiti Kyoto, Jepun. Beliau menggunakan kaedah kejuruteraan genetic dengan memindahkan gen yang bertanggungjawab ke atas perkembangan serta differensiasi sel stem dan memasukkannya ke dalam sel matang (menggunakan vector virus) sehingga boleh berlaku perkembangan songsang dari sel matang balik kepada sel stem. Sel stem ini juga dikenali sebagai iPSC (“induced pluripotent stem cells”). Dua jenis sel yang sering digunakan untuk tujuan ini adalah sel dari sum-sum tulang dan sel fibroblast. Beliau menerima anugerah “Nobel Prize” pada tahun 2012 hasil dari penemuan ini.

Pengambilan sel stem  dari sum-sum tulang dan darah telah diamalkan sekian lama dan sumber ini kurang melibatkan isu etika dan agama. Perkhidmatan penyimpanan sel-sel stem dari darah tali pusat (“umbilical cord blood”) telah mula beroperasi di negara kita. Terdapat syarikat-syarikat yang mengendalikan proses penyimpanan sel-sel stem ini untuk tujuan pengubatan di masa hadapan jika sekiranya diperlukan.  Sel stem yang diperolehi dari darah tali pusat mempunyai keupayaan untuk bertukar kepada lebih banyak jenis sel dan tisu jika dibandingkan dengan sel-sel stem yang diambil dari orang dewasa termasuk sum-sum tulang. Sel stem dari darah tali pusat ini boleh digunakan pada masa hadapan jika sekiranya penderma itu sendiri mengalami penyakit-penyakit tertentu yang memerlukan pemindahan sel-sel darah seperti penyakit leukaemia, limfoma, menerima rawatan radioterapi dan kemoterapi.

Sumber sel stem dari embrio telah menjadi tajuk perdebatan dan perbincangan yang hangat kerana ianya melibatkan etika dan juga hukum agama. Sila rujuk Fatwa Majlis Kebangsaan AgamaIslam Malaysia mengenai pandangan ulamak mengenai penggunaan sel stem.

POTENSI KEGUNAAN SEL STEM

Tidak dapat dinafikan memang terdapat banyak potensi kegunaan sel stem di dalam bidang perubatan tetapi secara amnya potensi  ini masih belum diterokai sepenuhnya. Kita masih berada pada peringkat awal dan masih banyak kajian perlu dilakukan. Di antara kegunaan sel stem yang telah dan sedang diamalkan adalah pemindahan sel-sel stem hemopoitik (darah) bagi menggantikan sel-sel darah yang hilang atau rosak disebabkan oleh rawatan radioterapi, kemoterapi ataupun penyakit kanser seperti leukaemia dan limfoma. Manakala lain-lain aplikasi teknologi sel stem masih lagi di dalam peringkat kajian.

Berikut adalah beberapa potensi kegunaan sel stem di dalam bidang perubatan (lihat rajah 3)

A. Menggantikan sel-sel yang telah musnah akibat penyakit. Hari ini sel-sel darah yang hilang akibat rawatan kanser ataupun penyakit kanser boleh digantikan dengan sel-sel darah baru yang diperolehi melalui teknologi sel stem. Potensi aplikasi teknologi sel stem di dalam menggantikan sel-sel yang hilang atau mati adalah sangat luas. Contohnya menghasilkan sel kulit untuk menggantikan kulit yang hilang akibat kebakaran,  memindahkan sel-sel pankreas kepada pesakit diabetes, sel-sel saraf pesakit Parkinson dan sel-sel hati pesakit yang mengalami kerosakan hati. Terdapat lapuran hasil kajian terhadap haiwan yang menunjukkan bahawa sel-sel stem dari sum-sum tulang boleh digunakan untuk menghasilkan sel-sel otak. Satu hari nanti , ini mungkin menjadi satu realiti ke atas manusia dan mungkinkah satu hari nanti penyakit-penyakit sistem saraf seperti Penyakit Parkinson’s dan Penyakit Alzeimer’s akan dapat dirawat melalui pemindahan sel-sel otak. Kajian ke atas haiwan telah berjaya menggantikan sel-sel beta di pancreas untuk mengubati penyakit diabetes. Satu hari nanti kita akan dapat melihat pengidap diabetes sembuh sepenuhnya apabila teknologi sel stem ini dapat membiak sel-sel beta yang menghasilkan insulin. Pesakit jantung yang mengalami masalah otot jantung yang sudah mati, boleh menggunakan kaedah pemindahan sel-sel jantung yang baru melalui teknologi sel stem. Stem sel yang diperolehi dari lemak dikatakan boleh membentuk sel lemak, sel tulang, sel rawan, sel otot dan meransang pembentukan salur darah baru. Pengambilan sel stem dari lemak memerlukan banyak proses makmal untuk tujuan penulinan dan pembiakan. Kajian ke atas haiwan yang mengalami arthritis menunjukkan ianya merencat proses keradangan yang menjadi penyebab kehilangan sel rawan menunjukkan kesan positif tetapi kesan ke atas manusia belum dapat dipastikan lagi. Kajian ke atas manusia sedang dijalankan  di UK menggunakan sel stem dari sum-sum tulang yang membentuk rawan dikenali sebagai sel stem mesenchymal. Sel2 ini diambil dan dibiakkan di dalam makmal, kemudiannya di suntik masuk ke dalam sendi pesakit.Hasil kajian ini belum lagi diperolehi.(Klik di sini untuk maklumat lanjut) 

B. Rawatan gen ke atas pesakit-pesakit yang mempunyai kelainan gen/baka. Jika pesakit terebut mengalami kekurangan gen-gen tertentu, gen-gen tersebut boleh dimasukkan ke dalam sel stem untuk memulihkan sel tersebut. Kaedah ini dinamakan terapi gen sel stem ( “Stem cell gene therapy”). Salah satu kejayaan awal kaedah ini adalah merawat pesakit kanser yang mengalami masalah sel-sel darah yang terlalu sensitif terhadap rawatan kemoterapi. Apabila mereka menerima rawatan kemoterapi, bilangan sel-sel darah mereka turun dengan mendadak dan ini akan memudharatkan. Kajian menunjukkan , sel-sel darah  mereka kekurangan gen yang boleh memberi kekebalan terhadap ubat kemoterapi. Dengan memasukkan gen tersebut di dalam sel-sel stem mereka, sel-sel darah yang lebih kebal telah dapat dihasilkan dan diberikan kepada pesakit-pesakit ini untuk mencegah kehilangan sel-sel darah akibat rawatan kemoterapi.

C. Sel-sel stem ini boleh dirangsang dan melalui proses yang kompleks mereka boleh berkembang menjadi organ-organ badan tertentu. Ini boleh digunakan untuk tujuan pemindahan organ. Ini mungkin akan menjadi kenyataan satu masa nanti.

D. Rawatan kesuburan (infertility) menggunakan sel-sel stem bagi sel-sel germa.

E. Sel stem dan ujian ubat (“drug testing”). Teknologi sel stem mempunyai potensi yang sangat baik untuk digunakan di dalam bidang farmaseutikal. Keselamatan sesuatu ubat dapat diuji dengan melakukan ujian ke atas sel stem sebelum ujian keselamatan ini dilakukan ke atas haiwan dan manusia. Ujian keberkesanan ubat juga boleh dilakukan dengan cara yang sama, contohnya ujian keberkesanan ubat anti-kanser ke atas sel-sel kanser yang dihasilkan melalui teknologi sel stem. Sel-sel kanser ini kemudiannya boleh didedahkan kepada ubat anti-kanser dan melihat keberkesanan ubat tersebut, sebelum ubat anti-kanser ini diberikan kepada pesakit.

Rajah 2. Konsep kegunaan sel stem. Jika sel stem diambil dari embrio ianya dikenali sebagai sel stem embrionik (“embryonic stem cell”). Sel dari embrio peringkat 8 sel  dan peringkat embrio yang lebih awal dikatakan mempunyai ciri-ciri totipoten bermaksud setiap sel di dalamnya boleh membiak dan  menjadi organisma yang lengkap. Sel-sel dari dalam Blastosis dikatakan mempunyai sifat pluripoten dimana setiap sel-sel ini boleh berubah kepada sebarang sel-sel di dalam badan tetapi ianya tidak boleh menjadi organisma yang lengkap. Sel-sel stem juga boleh diperolehi dari sum-sum tulang dan darah tali pusat. Sel-sel stem yang diambil ini akan dimasukkan ke dalam piring kultur yang mengandungi bahan-bahan nutrin dan faktor-faktor tumbesaran. Melalui kaedah yang sangat kompleks sel-sel stem ini boleh menjalani differensiasi kepada sel-sel tertentu seperti sel-sel darah, sel saraf dan juga sel-sel mesenchyma (contoh sel tulang, rawan, otot,kulit dan lain-lain).


Rajah 3 : Konsep dan penghasilan "Induced Pluripoten Stem Cells" (iPSCs)



Rajah 4 : Di antara potensi kegunaan sel-sel stem pada masa kini dan masa hadapan.


APLIKASI “INDUCED PLURIPOTENT STEM CELLS” (iPSCs)

Penemuan kaedah meransang sel dewasa yang matang untuk kembali kepada bentuk sel stem telah ditemui oleh Ahli Saintis Jepun iaitu Prof Shinya Yamanaka pada tahun 2006. Sel stem ini dikenali sebagai iPSC. Penemuan ini sebenarnya adalah sangat penting tetapi masih di peringkat awal untuk digunakan di dalam kehidupan manusia. Apa yang menarik di dalam penemuan iPSCs ini adalah ianya diperolehi dari pesakit sendiri dan tidak akan timbul isu etika sepertimana sel-sel stem yang lain yang diperolehi dari embrio ataupun sumber manusia lain. Walau bagaimanapun teknologi menghasilkan iPSC  ini adalah sangat kompleks dan memerlukan  teknologi dan makmal yang  canggih. Teknologi memindahkan gen ini juga memerlukan virus dan ahli-ahli sains masih mengkaji kaedah yang lebih baik, cekap dan selamat untuk menghasilkan iPSC. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa iPSC mempunyai banyak persamaan dengan sel-sel stem embrionik jadi potensi kegunaan iPSC di masa hadapan adalah sama seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Potensi masa depan penggunaan iPSC adalah banyak dan di antaranya adalah untuk tujuan penyelidikan memahami penyakit dengan lebih tepat, teknologi ubat-ubatan dan juga terapi pemindahan sel (“cell replacement therapy”). Menghasilkan sel-sel berpenyakit di luar badan dan kemudiannya mengkaji sifat dan ciri-ciri sel-sel ini untuk mencari kaedah rawatan yang terbaik. Ianya juga boleh digunakan untuk menguji keberkesanan ubat dan sejauh mana ianya selamat digunakan ke atas manusia. Di samping itu teknologi iPSC boleh mengubati banyak jenis penyakit (penyakit Alzeimer’s, penyakit Parkinson, Penyakit jantung, diabetes, dan lain-lain) . Contohnya sel-sel jantung seorang dewasa yang menghidap penyakit jantung boleh diambil dan ditukarkan kepada iPSC yang kemudiannya dapat diransang untuk membentuk sel-sel jantung yang boleh berfungsi dan dipindahkan kepada pesakit. Penemuan kaedah untuk menghasilkan sel iPSC kepada sel beta di pancreas telah disiarkan dan anda boleh membacanya di link ini. Pendek kata banyak lagi potensi iPSC yang boleh diaplikasikan di dalam bidang perubatan di masa hadapan. Walau bagaimanapun pada hari ini teknologi ini masih baru dan semuanya masih di dalam peringkat kajian makmal dan haiwan. Masih banyak isu-isu yang perlu ditangani sebelum ianya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

PERKATAAN SEL STEM (STEM CELLS) DI DALAM PRODUK KECANTIKAN DAN SUPLEMEN

Perkataan “stem cell” telah menjadi sebutan ramai disebabkan oleh kecanggihan teknologi yang dikaitkan dengannya. Ramai orang yang mempunyai latarbelakang sains dapat memahami apakah yang dikatakan sel stem dan bagaimana ianya diperolehi dan apakah potensi masa depannya. Melalui pemahaman ini mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk menggunakan nama ini bagi tujuan melariskan jualan dan   mencipta produk yang kononnya boleh meransang sel stem. Produk-produk ini termasuk nutrisi sel stem (stem cells nutrition), sel stem kosmetik (cosmetic stem cells), sel stem suplemen, plant stem cells (sel stem tumbuhan) dan lain-lain lagi. Kesemua produk-produk ini menggunakan label “stem cells” untuk tujuan melariskan jualan sedangkan pada hakikatnya tidak terdapat sel stem sebenar di dalam produk-produk ini. Sel stem nutrisi umpamanya menggunakan suplemen  yang kononnya dapat meransang sel stem di dalam badan untuk aktif dan boleh mencegah, menyembuhkan penyakit serta boleh memberi kesihatan dan memperlahankan proses penuaan. Dakwaan ini tidak langsung berasaskan kepada bukti kajian saintifik yang kukuh, malah dianggap satu bentuk penipuan yang sangat serius. Pihak peniaga menggunakan bukti testimoni semata-mata untuk mengelirukan pengguna sedangkan testimoni adalah bukti keberkesanan yang sangat lemah. Begitu juga sel stem kosmetik yang diaplikasikan pada kulit kononnya untuk tujuan mengembalikan keremajaan dan mengurangkan kerdut di kulit badan dan muka. Majoriti produk-produk ini tidak langsung mengandungi sel stem, ianya gimik semata-mata. Jadi perkataan “stem cells” yang digunakan itu tidak ada kena mengena dengan produk yang dipasarkan. Jelas ianya hanya strategi untuk menarik pembeli membeli produk tersebut. Apabila membaca tulisan mereka di dalam laman web,mungkin ramai yang akan terpengaruh kerana bahasa serta istilah-istilah saintifik yang digunakan seolah-olah penulis adalah seorang pakar sel stem. Sedangkan jika anda memahami apakah itu sel stem, maka anda akan sedar banyak maklumat ditulis tidak berasaskan bukti kajian saintifik yang kukuh sebaliknya hanya teori dan andaian semata-mata. Jikapun mereka menampilkan kertas-kertas kajian, ianya adalah kajian kecil yang dijalankan di makmal dan testimoni belaka. Dr.John Sanderson MD, seorang penyelidik sel stem pernah berkata “most of stem cell cosmetic has nothing to do with stem cells”. Beliau dan beberapa ahli sains sel stem ada mengwujudkan blog bagi memberi penjelasan sebenar mengenai sel stem di pautan ini.

Di samping menggunakan label "stem cells", terdapat juga produk yang kononnya menggunakan sel stem tumbuhan ataupun buah-buahan. Sekali lagi penggunaan perkataan stem cells disalahgunakan kerana sel stem tumbuhan hanya untuk manfaat tumbuh-tumbuhan dan tidak mempunyai fungsi ke atas haiwan. Sedangkan di dalam satu spesis yang samapun sel stem masih lagi di peringkat kajian dan masih belum dapat dimanfaatkan  manusia (selain dari untuk tujuan pemindahan sel-sel darah), inikan pula sel-sel stem yang datangnya dari tumbuh-tumbuhan.

Jikapun ada kajian menggunakan teknologi sel stem untuk tujuan kosmetik, kajian tersebut tidak mengandungi sel stem sebenar sebaliknya adalah bahan yang terdapat di dalam media untuk meransang sel stem seperti faktor tumbesaran (“growth factors”) dan cytokines.Growth factors dan cytokine ini juga dikenali secara kolektifnya sebagai “biosignal”. Bahan-bahan ini sememangnya diperlukan di dalam teknologi pembangunan sel stem tetapi mereka hanyalah bahan peransang dan bukan sel stem. Growth factor dan cytokines ini pula berbeza-beza dari mana sumbernya diambil samada dari sum-sum tulang, sel lemak ataupun sel fibroblast dan tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk tujuan meransang pembiakan sel stem di anggota badan yang lain. Jikapun ianya digunakan, proses ransangan ini perlu dilakukan di dalam makmal di bawah kondisi yang optimum. Ia tidak akan membawa apa-apa kesan jika disapu pada bahagian kulit, apatah lagi jika dimakan atau diminum. Dari segi fakta sains, memang sel-sel stem dari sum-sum tulang boleh membahagi dan mendiferensiasi kepada pelbagai sel di samping dapat menghasilkan “growth factors” dan cytokine yang dapat meransang penyembuhan, penggantian sel-sel mati dan anti-inflamatori.  Sel-sel fibroblast pula dapat menghasilkan kolagen, elastin dan matrik yang merupakan komponen utama kulit. Walaupun dari segi faktanya agak jelas dan mudah difahami tetapi hakikatnya sehingga ke hari ini fakta ini belum dapat diterjemahkan kepada aplikasi klinikal dan memanfaatkan manusia. Manakala sel-sel stem lemak pula boleh menghasilkan cytokine yang pro-inflamatori iaitu ciri-ciri yang boleh mempercepatkan proses penuaan kulit, jadi tidak sesuai untuk kesihatan kulit. Ianya juga dikaitkan dengan ransangan sel kanser. Kesemua maklumat ini diperolehi melalui kajian makmal yang kecil dan juga ujikaji ke atas haiwan. Di dalam kajian-kajian ini sel-sel stem ataupun biosignal yang digunakan diberikan secara suntikan. Jikapun ada kajian yang menggunakan kaedah aplikasi pada kulit ataupun lain-lain organ ianya adalah kajian ke atas kulit atau tisu yang tercedera. Kulit yang normal mempunyai selaput luar yang tebal dan tidak memungkinkan penyerapan biosignal yang bermakna apabila disapu ke atas permukaannya.

Terdapat kajian-kajian penggunaan sel stem ke atas rawatan penyakit ataupun untuk tujuan kosmetik, tetapi ianya bukan kajian besar dan banyak kajian-kajian tersebut masih di peringkat makmal, kajian ke atas haiwan ataupun sebilangan kecil manusia. Terdapat banyak kertas-kertas kajian yang menggunakan perkataan sel stem secara tidak tepat dengan menampakkan seolah-olah kajian itu adalah kajian terapeutik tetapi sebenarnya hanya kajian fasa 1 atau 2 yang masih awal, ini dibuktikan oleh kajian yang dilakukan oleh Scott CT yang menilai ketepatan penggunaan istilah sel stem untuk pesakit jantung di dalam kertas2 kajian yang telah disiarkan (rujukan di sini) . Ada yang meletakkan nama “stem cells” di dalam tajuk kertas kajian yang seolah-olah ianya mengenai sel stem tetapi sebenarnya menggunakan sel mononuklear yang diperolehi dari sum-sum tulang, contohnya seperti di link ini . Sel mononuclear bukanlah sel stem. Hasil kajian-kajian yang kecil ini akan diwar-warkan oleh media dan menimbulkan salah faham anggota masyarakat tentang sel stem dan pada masa yang sama kesempatan ini akan digunakan oleh ahli perniagaan untuk menggunakan perkataan sel stem di dalam label produk mereka. Kebimbangan penyalahgunaan istilah dan fenomena pengaruh media masa yang mengelirukan orang ramai ini telah disuarakan oleh  American Society for Aesthetic Plastic Surgery (ASAPS) dan American Society of Plastic Surgeons (ASPS). ASAPS dan ASPS telah mengeluarkan kenyataan yang sebahagiannya berbunyi beginiTerms such as "stem cell therapy" or "stem cell procedure" should be reserved to describe those treatments or techniques where the collection, concentration, manipulation, and therapeutic action of the stem cells is the primary goal, rather than a passive result, of the treatment. For example, standard fat grafting procedures that do transfer some stem cells naturally present within the tissue should be described as fat grafting procedures, not stem cell procedures. The marketing and promotion of stem cell procedures in aesthetic surgery is not adequately supported by clinical evidence at this time”. Pautannya di sini . Begitu juga sel stem supplemen yang kononnya dapat meransang penghasilan sel-sel stem dan memberi kesihatan kepada manusia, pihak FDA telah memberi amaran bahawa FDA tidak pernah meluluskan dakwaan-dakwaan seumpama itu dan menurut mereka : "There are no scientific and clinical studies that would support or back up its health and therapeutic claims".

KESIMPULAN

Sel stem adalah sel-sel yang wujud di dalam badan manusia dan merupakan sel-sel yang belum menjalani perkembangan dan differensiasi kepada sel induk yang matang. Sel-sel stem ini boleh diperolehi dari pelbagai sumber daripada embrio manusia, darah tali pusat, sum-sum tulang dan yang terbaru adalah dari sel-sel matang manusia dewasa yang diproses. Penemuan kaedah meransang sel matang kembali kepada sel stem adalah teknologi yang terbaru dan sel-sel stem yang terhasil dari teknologi ini dikenali sebagai iPSCs (“induced pluripotent stem cells”). Penggunaan sel-sel stem untuk manfaat manusia masih terhad kepada penggunaan sel-sel stem darah untuk tujuan menggantikan sel darah yang hilang akibat kanser ataupun kesan samping rawatan kanser. Aplikasi sel stem untuk kegunaan lain seperti memindahkan tisu dan organ, merawat penyakit, mengkaji ciri-ciri sel yang berpenyakit, kajian ubatan dan lain-lain memang berpotensi besar tetapi masih lagi di peringkat kajian awal dan belum lagi dapat digunakan untuk manfaat manusia. Penggunaan perkataan sel stem di dalam produk suplemen, produk kosmetik dan juga perkataan nutrisi sel stem adalah semata-mata untuk tujuan perniagaan dan pada hakikatnya tidak mengandungi sel stem dengan erti kata yang sebenarnya. Satu lagi gimik yang digunakan adalah mendakwa ada supplement ataupun produk-produk tertentu yang boleh meransang sel-sel stem dan memberi kesihatan kepada pengguna dengan mengambilnya dalam bentuk minuman ataupun makanan. Pakar-pakar sains yang mempelopori teknologi sel stem tidak pernah mendakwa bahawa perkara ini benar dan bukan ini sebenarnya matlamat teknologi sel-sel stem dicipta. Dakwaan seumpama ini dibuat oleh individu yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan hanya merujuk hasil-hasil kajian makmal yang kecil dan membuat andaian sendiri tanpa ada bukti kajian saintifik yang kukuh tentang manfaatnya kepada  kesihatan manusia. Adalah sangat menyedihkan ramai pengguna terpengaruh dan tertipu sehingga perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk mengambil produk-produk ini. Semoga rencana ini dapat dijadikan pembuka mata kepada orang ramai tentang  apakah sebenarnya sel stem dan apakah kegunaan serta aplikasi yang dikaitkan dengannya.


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN BUKAN MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI.



No comments:

Post a Comment