Friday, April 14, 2017

ULTRASOUND 2D,3D DAN 4D: YANG MANA PILIHAN ANDA ?


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah 

PEMERIKSAAN ULTRASOUND
Ultrasound adalah mesin yang menggunakan gelombang bunyi berfrequensi tinggi yang dikeluarkan daripada hujung probe ke anggota badan yang hendak diperiksa. Melalui pantulan balik gelombang bunyi ini ke mesin ultrasound, mesin ini akan menghasilkan imej yang dapat dilihat di monitor. Imej yang dihasilkan adalah di dalam bentuk hitam putih, di mana kawasan hitam mewakili bahagian badan yang mengandungi air/cecair, manakala kawasan putih mewakili tisu-tisu pejal seperti tulang, organ dalam badan dan lain-lain. Imej-imej yang dipaparkan di skrin ultrasound ini juga boleh disimpan di dalam bentuk digital ataupun dicetak untuk simpanan doktor ataupun pesakit. Ultrasound tidak menggunakan radioaktif dan ianya selamat ke atas ibu dan bayi. Ultrasound 2D menghasilkan imej dua dimensi dan imej yang dapat dilihat adalah berbentuk keratan rentas di mana bahagian dalam organ dan badan bayi dapat dilihat dengan jelas. Organ-organ ini dapat dilihat dan diukur saiznya. Struktur-struktur yang bergerak juga dapat diiihat dan jika ujian ini dilakukan bersama dengan ujian Doppler, aliran darah dapat dikesan.

Ultrasound 3D pula adalah menggunakan prinsip yang sama dengan ultrasound 2D tetapi melalui kecanggihan teknologi moden, imej yang dihasilkan adalah imej 3D, iaitu lebih mirip kepada rupa bentuk organ ataupun bayi yang dilhat secara hidup. Apabila imej 3 dimensi yang dihasilkan ini dapat bergerak, maka ianya dikenali sebagai imej 4D. Mesin ultrasound 4D adalah mesin ultrasound yang dapat menghasilkan imej 3 dimensi bayi di dalam kandungan dan mempamerkan pergerakannya sekali. Persoalannya adakah pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D ini lebih bermanfaat daripada ultrasound 2D ke atas ibu hamil. Ikuti penjelasan saya di bawah.
 

        Imej ultrasound 2D. Perhatikan organ dalam badan bayi yang dapat dilihat dan dianalisa oleh doktor sakitpuan
PEMERIKSAAN ULTRASOUND KEHAMILAN

Pemeriksaan ultrasound ke atas ibu hamil adalah salah satu ujian yang sangat sering dilakukan oleh doktor. Ultrasound menjadi pilihan disebabkan oleh peralatannya yang lebih kecil dan mudah dilakukan. Di samping itu, ultrasound adalah kaedah pemeriksaan radiology yang paling selamat kerana ia tidak menyebabkan anak di dalam kandungan terdedah kepada radiasi seperti mana pemeriksaan CT scan dan X-Ray. Terdapat banyak kegunaan pemeriksaan ultrasound ke atas ibu yang hamil, di antaranya adalah untuk menentukan usia kandungan, untuk menentukan kedudukan janin, menentukan bilangan janin dan usia kandungan. Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan untuk mengesan kecacatan anak di dalam kandungan. Lain-lain kegunaan ultrasound adalah untuk menentukan kandungan air ketuban, memantau tumberaran bayi di dalam kandungan dan juga membantu doktor untuk melakukan prosedur ke atas kandungan seperti mengambil sampel air ketuban, mengambil sampel darah janin dan lain-lain lagi. 


APAKAH ULTRASOUND PILIHAN DOKTOR SAKITPUAN

Walaupun pada hari ini sudah terdapat ultrasound 3D dan 4D, pemeriksaan ultrasound yang paling penting adalah pemeriksaan ultrasound 2D kerana dengan pemeriksaan ini, doktor dapat melihat organ-organ dalam badan bayi dan jika dilakukan ujian doppler, ianya juga dapat mengukur aliran darah tali pusat untuk menentukan kesihatan bayi dan boleh membantu doktor di dalam mengenalpasti kaedah terbaik untuk merawat bayi. Pemeriksaan untuk mengesan kecacatan organ dalam bayi juga adalah menggunakan ultrasound 2D. Pemeriksaan ini dinamakan “detailed scan”. Ultrasound 3D dan 4D hanya dapat menunjukkan rupabentuk luaran bayi tetapi tidak dapat menunjukkan dengan teliti keadaan organ dalam badan bayi. Jadi jika diberi pilihan di antara ultrasound 2D, 3D ataupun 4D, tentulah pemeriksaan ultrasound 2D sepatutnya menjadi pilihan kerana ia mampu memberi lebih banyak maklumat mengenai keadaan anak di dalam kandungan. Sehingga hari ini, ujian ultrasound 2D adalah pilihan utama doktor sakipuan manakala ultrasound 3D dan 4D hanya sebagai pilihan kedua ataupun untuk tujuan menunjukkan kepada ibu tentang rupa dan pergerakan anak yang lebih semulajadi. Di samping itu ujian ultrasound 3D dan 4D juga dapat mengesan kelainan ataupun kecacatan bahagian luar anak seperti ketumbuhan di bahagian leher, sumbing, kecacatan tangan atau kaki dan lain-lain. Pemeriksaan ultrasound 2D juga dapat mengesan kelainan-kelainan di bahagian luar bayi seperti di atas walaupun tidak sejelas pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D. Hari ini terdapat pula ultrasound HD live yang merupakan penambahbaikan imej daripada ultrasound 4D di mana imej bayi lebih jelas dengan pencahayaan yang lebih baik. Sedikit masa lagi mungkin ultrasound 5D pula menjadi trend. Walau apapun jenis ultrasound yang bakal diperkenalkan, ianya pasti mempunyai kebaikan dan keburukan.
Melakukan ultrasound tanpa sebab ataupun hanya untuk tujuan melihat rupa anak adalah tidak digalakkan kerana walaupun ujian ini selamat, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk mendedahkan anak kepada gelombang bunyi tanpa sebab. Pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D memerlukan kemahiran yang lebih tinggi dan masa yang lebih panjang, jadi pendedahan bayi terhadap gelombang bunyi mungkin lebih lama. Di samping itu ujian ultrasound pula bukan 100% tepat, terdapat banyak kelainan ataupun kecacatan kecil yang tidak dapat dikesan. Ibu-ibu hamil hendaklah mendapatkan nasihat doktor sakitpuan sebelum ingin mendapatkan pemeriksaan ultrasound. Elakkan daripada terpengaruh dengan promosi-promosi daripada syarikat ataupun individu-individu untuk melakukan pemeriksaan 3D dan 4D yang tentu sekali menelan belanja yang lebih mahal. Jika anda ingin merakamkan gambar bayi anda, anda
mempunyai cukup masa untuk melakukannya apabila ia dilahirkan, malahan ini lebih bermakna kerana anda menyimpan memori gambar ataupun video anak anda yang sebenar-benarnya.


KESIMPULAN

Setakat buku ini ditulis, pemeriksaan ultrasound 2D masih merupakan pilihan utama kepada doktor sakitpuan di dalam menentukan kesihatan, kenormalan dan juga usia anak di dalam kandungan. Di samping memerlukan masa yang lebih lama dan kepakaran menggunakannya, pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D tidak dapat digunakan untuk melihat organ dalam badan bayi dengan lebih jelas jika dibandingkan dengan  ultrasound 2D. Ultrasound 3D, 4D dan mungkin 5D masih lagi tidak dapat mengambil aleh peranan ultrasound 2D di dalam menentukan kesihatan dan rawatan anak di dalam kandungan serta ibu yang hamil. Walau bagaimanapun kedua-dua ultrasound 2D dan yang lebih canggih (3D,4D,5D) dapat dilakukan bersama jika diminta oleh pesakit. Mesin yang lebih canggih tidak semestinya lebih berguna daripada mesin yang kurang canggih.Wanita hamil disyorkan supaya tidak menjalani pemeriksaan ultrasound tanpa sebab kerana ianya mungkin membawa lebih mudarat daripada manfaat. Sila dapatkan nasihat doctor sakitpuan sebelum menjalani ujian ultrasound tidak kira ultrasound 2D, 3D ataupun 4D.

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL MANA-MANA BAHAGIAN RENCANA INI UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS.

Monday, April 3, 2017

DURIAN BELANDA MERAWAT KANSER: FAKTA ATAU AUTA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD, MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

Saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai punca terjadinya kanser dan bagaimana pakar kanser merawat kanser di dalam bab yang lalu. Pada hari ini terlalu banyak dakwaan ubat antikanser yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyakkannya tidak diketahui asal usul dakwaan tersebut. Walaupun ada di antara dakwaan tersebut mempunyai asas tetapi kebenarannya belum lagi terbukti kerana ianya berasaskan kepada kajian awal ataupun kajian praklinikal. Sepatutnya ahli-ahli sains yang menjalankan kajian praklinikal tidak mengheboh-hebohkan hasil kajian kerana ia akan memberi kesan kepada persepsi dan salah faham sehingga ada dalam kalangan orang awam yang terus mengambilnya sebagai satu bukti kebenaran. Apa yang dikuatiri adalah jika maklumat ini diterima oleh orang yang berkepentingan untuk meraih keuntungan dan mereka akan menghasilkan sendiri produk kesihatan yang kemudiannya didakwa boleh mencegah dan merawat kanser.

Di dalam bab ini saya akan menerangkan apakah sebenarnya khasiat buah durian belanda dan adakah ianya benar-benar boleh mencegah dan merawat penyakit kanser. Sebelum membaca bab ini saya sangat menganjurkan anda untuk membaca berkenaan dengan kaedah membuktikan keberkesanan di sini dan bab mengenai testimoni supaya mendapat gambaran yang jelas bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan ataupun ubat-ubatan.

DURIAN BELANDA

Durian belanda juga dikenali sebagai Graviola dan dalam bahasa Inggeris dipanggil soursop. Ianya adalah buah berduri bewarna hijau yang pokoknya boleh didapati di negara Afrika, Amerika Selatan dan juga di Asia Tenggara. Mempunyai isi yang lembut bewarna putih dan rasanya masam-masam manis. Nama saintifik pokok ini adalah Annona muricata. Seperti mana buah-buahan dan tumbuhan lain, terdapat banyak bahan kimia yang terkandung di dalamnya, salah satu kompoun yang dikatakan aktif di dalam buah durian belanda adalah annonaceous acetogenins. Terdapat banyak jenis bahan kimia yang dikategorikan di bawah acetogenins ini termasuk Annonacin, Bullatacin, Isoquinolin dan lain-lain. Pada awalnya daun dan buah durian belanda ini digunakan oleh penduduk Afrika dan Amerika Selatan untuk tujuan merawat jangkitan virus serta parasit, sakit sendi dan kemurungan. Mungkin disebabkan banyak dakwaan pengubatan tentang pokok ini, maka ahli sains telah membuat kajian. Apabila ahli sains hendak menjalankan kajian terhadap sesuatu jenis tumbuhan ataupun buah-buahan, mereka akan terlebih dahulu melakukan pencarian maklumat dan setelah mendapat cukup maklumat baharulah mereka akan merancang untuk melakukan kajian. Kajian peringkat awal dinamakan kajian praklinikal yang hanya bertujuan untuk melihat adakah bukti keberkesanan ke atas sel-sel di luar badan manusia sebelum diuji ke atas manusia. Peringkat praklinikal ini pula terbahagi kepada dua iaitu peringkat menggunakan bahan mentah untuk menentukan terdapatnya kesan positif dan bahan uji yang digunakan adalah haiwan ataupun lapisan-lapisan sel kanser ("cancer cell-line") yang dilakukan di dalam makmal. Setelah mendapati ada kesan positif, ahli sains kemudiannya akan menentukan apakah bahan kimia aktif ("extracts") yang tersebut dan proses penulinan mengeluarkan bahan tersebut dilakukan. Menggunakan ekstrak tersebut, ahli sains akan melakukan ujian yang sama dan daripada situ barulah ahli sains dapat mengesan tindakbalas sel terhadap ekstrak bahan kimia tersebut serta sebarang kesan sampingan. Pada peringkat praklinikal ini, kesan ke atas manusia belum lagi diketahui jadi hasil daripada kajian praklinikal ini tidak boleh langsung digunakan sebagai alasan untuk diamalkan oleh manusia. Kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan terlebih dahulu.

KAJIAN KE ATAS DURIAN BELANDA

Kajian yang dilakukan ke atas pokok durian belanda telah dilapurkan di dalam jurnal seawal tahun 1996 tetapi sehingga hari ini hanya kajian praklinikal sahaja yang dilakukan. Kajian-kajian tersebut pula menggunakan ekstrak durian belanda dan bukannya pokok serta buah durian belanda mentah ataupun yang dijadikan serbuk ataupun jus. Di dalam kajian tersebut , lapisan sel-sel yang disimpan di dalam makmal digunakan dan bukannya ke atas manusia. Lapisan sel-sel kanser ini pula bukan mewakili semua jenis kanser, tetapi sel-sel kanser hati, usus besar dan payudara. Bilangan kajian yang dijalankan pula sangat terhad dan jika menggunakan injin pencarian Pubmed, kurang daripada 10 sahaja kertas kajian mengenai durian belanda dan kanser yang disiarkan. Kesemuanya adalah kajian praklinikal yang dijalankan di dalam makmal. Belum terdapat kajian klinikal yang ke atas manusia yang dijalankan setakat ini. Adalah sama sekali tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa terdapat terlalu banyak kajian tentang keberkesanan durian belanda ke atas penyakit kanser. Di dalam semua laman web Pertubuhan Kanser di seluruh dunia juga tidak ada yang bersetuju dengan dakwaan durian belanda sebagai antikanser, contohnya di dalam laman web Cancer Research UK ada diletakkan kenyataan bahawa ”  Many sites on the internet advertise and promote graviola capsules as a cancer cure, but none of them are supported by any reputable scientific cancer organisations”. Manakala di dalam laman web CancerNetwork pula dinyatakan : ” Despite the absence of supportive data, graviola, like many herbal products, is heavily promoted to cancer patients on the Internet, often with false claims of cure. Patients should be cautioned against herbal supplement use when on treatment”.

Dakwaan yang mengatakan buah durian belanda mempunyai kekuatan 10,000 kali lebih kuat melawan kanser daripada rawatan kemoterapi pula adalah sangat mengelirukan. Dakwaan ini dibuat berdasarkan kepada kajian yang dilakukan pada tahun 1996 yang menggunakan ekstrak daripada biji buah durian belanda. Kajian makmal itu dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser usus besar. Proses mengekstrak bahan kimia pula adalah menggunakan teknologi makmal dan daripada 5 kompoun baru yang ditemui, kompoun yang dinamakan cis-annonacin didapati memberi kesan positif merencat sel yang membiak. Ubat kemoterapi yang dibandingkan pula adalah Adriamycin yang pada hari ini sudah jarang digunakan oleh pakar kanser. Sudahlah ianya kajian makmal, kanser yang dikaji pula hanya kanser usus dan hanya melibatkan satu jenis ubat kemoterapi. Daripada hasil kajian seumpama ini, adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan jika ianya digunakan untuk tujuan mempromosi “kehebatan” buah durian belanda di dalam merawat kanser. Masih terlalu awal dakwaan tersebut boleh dilakukan kerana kajian praklinikal pun belum lengkap, apatah lagi kajian klinikal fasa 1 dan seterusnya. Hari ini peniaga menjual jus dan kapsul buah durian belanda yang tidak diketahui apakah sebenarnya isi kandungannya. Mungkin yang ada di dalamnya adalah pewarna, perasa dan pengawet. Jika pun ada pati durian belanda, mungkin daripada isinya dan bukan daripada bijinya. Walau bagaimanapun mengambil buah durian belanda termasuk meminum jus segar tulin durian belanda secara sederhana adalah baik sebagai sumber air, vitamin, mineral dan serat. Ia hanya dapat memberi bekalan untuk sumber-sumber tersebut tetapi bukan untuk tujuan merawat apa-apa jenis penyakit.

KESAN SAMPINGAN PENGAMBILAN PRODUK DURIAN BELANDA

Hari ini amalan mengambil produk durian belanda ini di dapati meluas lebih-lebih lagi ketika musim kempen makan buah durian belanda dan promosi mengaitkan  durian belanda dengan rawatan kanser. Seperti biasa, kempen-kempen seumpama ini akan berakhir dan kemudiannya akan diganti pula dengan kempen produk "antikanser" yang lain pula. Seorang Penyelidik daripada AIBMR Life Sciences telah menulis kebimbangan beliau terhadap kesan sampingan pengambilan produk durian belanda terutamanya daripada salah satu kompoun yang bernama annonacin yang berpotensi menyebabkan kerosakan saraf (neurotoxicity). Satu lagi kompoun adalah isoquinolin yang juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf pusat, kedua-dua kompoun ini boleh menembusi lapisan otak dan ditemui terutamanya di bahagian daun dan isi buah  durian belanda. Kajian epidemiologi telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan di antara pengambilan buah durian belanda dengan kadar kejadian penyakit Parkinson’s yang luar biasa ("atypical Parkinson's disease"), contohnya  di pulau Guam , kepulauan utara Mariana, Western New Guinea dan Semenanjung Kli di Jepun. Perubahan diet penduduk di pulau Guam khususnya pengurangan pengambilan produk yang berasaskan durian belanda telah mengurangkan kadar kejadian penyakit Parkinson tersebut. Dakwaan ini disokong oleh beberapa kajian makmal yang dilakukan seperti yang tersenarai di dalam rujukan di bawah.

KESIMPULAN

Durian belanda telah menjadi salah satu daripada banyak jenis tumbuhan dan buah-buahan yang didakwa boleh mencegah dan merawat kanser. Ia sebenarnya adalah sejenis pokok buah seperti mana buah-buahan yang lain, mengandungi antioksidan dan jika dikaji dengan mendalam memang akan mengandungi pelbagai bahan kimia. Kajian terhadap khasiat durian belanda memang ada dijalankan tetapi sangat terhad lebih-lebih lagi kajian sebagai agen antikanser. Kesemua kajian tersebut adalah kajian praklinikal yang dijalankan di dalam makmal terhadap lapisan sel. Malahan ahli sains tidak menggunakan durian belanda yang mentah, jus ataupun kapsul, sebaliknya ahli sains perlu mengeluarkan (mengekstrak) bahan kimia khusus yang aktif daripada biji durian belanda untuk menjalankan kajian tersebut.  Kanser yang terlibat di dalam kajian tersebut pula hanya terhad kepada kanser usus dan kanser payudara. Walaupun ada kesan positif tetapi proses mengesahkan keberkesanan masih terlalu jauh dan disebabkan oleh potensi kesan sampingan yang boleh disebabkan oleh produk durian belanda ini, saya sangat ragu bahawa kajian peringkat klinikal ke atas manusia akan dilakukan.  Pendek kata, setakat ini tidak ada bukti bahawa durian belanda boleh digunakan untuk merawat kanser dengan berkesan. Ramai pakar perubatan dan pertubuhan kanser dunia bimbang terhadap penyebaran maklumat palsu mengenai khasiat durian belanda kerana menyedari kepalsuan fakta tersebut di samping potensi ianya boleh menyebabkan kesan sampingan iaitu kerosakan sistem saraf ("atypical Parkinson's disease") kepada pengamal durian belanda secara berlebihan. 

RUJUKAN



Rieser MJ, Gu ZM, Fang XP, et al. Five novel mono-tetrahydrofuran ring acetogenins from seeds of Annona muricata. J. Nat Prod, 1996; 59(2):100-8

Champy P, Hoglinger GU, Feger J, et al. Annonacin, a lipophilic inhibitor of mitochondrial complex I, induces nigral and striatal neurodegeneration in rats: possible relevance for atypical parkinsonism in Guadeloupe. J Neurochem, 2004; 88(1):63-9

Champy P, Guerineau V, Laprevote O. MALDI-TOF MS profiling of annonaceous acetogenins in Annona muricata products for human consumption. Molecules, 2009; 14(12):5235-46

Melot A, Guerineau Eng V, Champy P, et al. Qualification of acetogenins in Annona muricata linked to atypical parkinsonism in Guadeloupe. Moy Disord, 2005;20(12):1929-33

Caparros Lefebvre D, Elbaz A. Possible relation of atypical parkinsonism in the French West Indies with consumption of tropical plants: a case-control study. Caribbean Parkinsonism Study Group. Lancet, 1999; 354(9175):281-6

Sunday, January 8, 2017

KHASIAT BELALAI GAJAH DAN DAUN RERAMA: FAKTA ATAU AUTA

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah


PENDAHULUAN

WHO menganggarkan lebih kurang 80% daripada populasi negara2 membangun masih mengamalkan pengambilan produk2 kesihatan yang bersumberkan tumbuhan. Kos pengubatan yang tinggi ubat moden menyebabkan ramai yang beraleh kepada kaedah alternatif ini. Walau bagaimanapun fenomena ini membimbangkan pengamal perubatan moden yang melihat trend ini sebagai sesuatu yang menuju ke belakang kerana kebanyakan kaedah rawatan alternatif ini tidak pernah dibuktikan berkesan dan ianya digunakan sewenang-wenangnya tanpa kawalan. Mengikut disiplin perubatan moden, sesuatu jenis ubat ataupun apa sahaja produk kesihatan perlu menjalani beberapa peringkat kajian ataupun penyelidikan sebelum ianya boleh didakwa berkesan dan digunakan oleh orang ramai. Terdapat 2 kategori besar kajian saintifik iaitu KAJIAN PRAKLINIKAL dan KAJIAN KLINIKAL. Kajian Klinikal adalah kajian ke atas manusia untuk melihat bagaimana tubuh badan manusia berinteraksi dan bertindakbalas dengan ubat tersebut. Sebelum kajian klinikal dijalankan, produk ataupun ubat-ubatan tersebut perlu menjalani ujian praklinikal terlebih dahulu supaya ianya selamat diuji ke atas manusia. Kajian di dalam makmal adalah salah satu contoh kajian praklinikal. Dikatakan hanya 10% sahaja kajian praklinikal akan berjaya dipilih untuk memasuki kajian klinikal. Kajian klinikal pula dibahagikan kepada 4 fasa iaitu fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan fasa 4. Jangkamasa kajian ini mungkin boleh berlanjutan selama beberapa tahun dan hanya selepas berjaya di dalam fasa 3 kajian klinikal barulah permohonan untuk digunakan ke atas pengguna dilakukan. Fasa 4 pula adalah fasa pemantauan produk tersebut yang sudah digunakan oleh orang ramai ataupun pesakit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bab ini sila baca tulisan saya di pautan ini.

Tujuan saya menulis rencana ini adalah untuk menerangkan kepada pembaca mengenai kajian makmal keatas ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai kajian pra-klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan tersebut samada dari sumber alam semulajadi ataupun sintetik, sebelum kajian klinikal dijalankan. Seringkali hasil kajian makmal ini diwar-warkan kepada masyarakat sehingga wujud salah sangka sehingga ada ahli masyarakat yang terus membuat kesimpulan yang bahan ini berkesan kepada manusia sedangkan ianya baru sahaja dikaji pada peringkat praklinikal. Ahli-ahli perniagaan pula mengambil kesempatan untuk menghasilkan sendiri bahan-bahan ini dengan cara merebus, membuat seperti minuman teh, kapsul, jus dan lain-lain bentuk untuk tujuan komersial. Fenomena ini adalah sangat mendukacitakan kerana ianya bakal memudaratkan pengguna terutamanya pesakit-pesakit. Untuk tujuan memberi kefahaman mengenai kajian makmal ataupun kajian praklinikal ini, saya akan mengambil contoh DAUN BELALAI GAJAH yang sememangnya pernah menjalani kajian makmal. Saya juga akan menjelaskan kedudukan DAUN RERAMA yang juga didakwa boleh mengubati pelbagai jenis penyakit. Kedua-dua tumbuhan ini mempunyai latarbelakang penggunaan yang agak sama.


POKOK BELALAI GAJAH

Pokok belalai gajah ataupun Clinacanthus nutans adalah salah satu jenis tumbuhan yang dikatakan mempunyai unsur2 pengubatan. Pada awalnya ia digunakan untuk merawat gigitan ular berbisa, kemudiannya digunakan untuk merawat jangkitan virus pada kulit (herpes zoster ataupun kayap).Pokok Clinacanthus terletak di bawah keluarga Acanthaceae   dan terdapat dua sepsis Clinacanthus iaitu  Clinacanthus nutans dan Clinacanthus siamensis. Kedua2 sepsis ini didapati di Asia Tenggara. C. nutan ataupun belalai gajah ataupun Snake Grass adalah pokok belukar yang tumbuh menegak sehingga 1 meter, digunakan dengan meluas oleh penduduk Thailand, Malaysia dan China. Nama belalai gajah diambil daripada sifat batangnya yang melengkung bagi menampung berat daun. Di Thailand ianya dikenali sebagai Saled Pangpon Tua Mea ataupun Phaya Yor.

PENGGUNAAN TRADISIONAL POKOK BELALAI GAJAH

Secara tradisional, hanya bahagian daun belalai gajah sahaja digunakan untuk mengubati penyakit. Daun dimakan secara mentah, sebagai sayur ataupun jus yang dicampurkan bersama jus apel, teh hijau ataupun air tebu. Ia juga kadangkala disediakan dalam bentuk minuman teh. Daun yang kering digunakan untuk disapu pada bahagian kulit yang dijangkiti virus kayap manakala daun segar digunakan untuk merawat patukan ular tedung senduk. Ianya juga digunakan untuk merawat gigitan serangga dan ruam di kulit. Kebelakangan ini daun belalai gajah ini digunakan oleh rakyat Malaysia kononnya untuk merawat kanser. Walau bagaimanapun keberkesanan daun belalai gajah ini ke atas penyakit kanser  manusia masih belum lagi dibuktikan oleh kajian klinikal. Lain2 dakwaan keberkesanan daun belalai gajah adalah di dalam rawatan penyakit diabetes, sakit sendi, ubat sakit, anti-keradangan dan juga antioksidan.

Akibat daripada dakwaan kemujaraban daun belalai gajah, ianya telah dikomersialkan dan dihasilkan di dalam bentuk teh herba, kapsul, pil , krim dan pati. Walaupun ahli sains telah berjaya mengesan banyak bahan kimia mungkin melebihi 20 jenis daripada daun pokok belalai gajah ini, kajian keberkesanan pengambilan daun belalai gajah ini belum lagi meyakinkan dan banyak kesan positif yang dilapurkan adalah berasaskan kepada testimoni semata2.

Kesan positif yang boleh diyakini adalah untuk tujuan merawat penyakit kulit jangkitan virus herpes jika dibandingkan dengan placebo. Tetapi jika dibandingkan dengan kaedah rawatan moden, kaedah rawatan moden menggunakan krim acyclovir didapati lebih berkesan. Kesan keracunan telah dikesan ke atas haiwan tetapi tidak ada kajian ke atas manusia. Kesan antioksidan dari daun belalai gajah juga telah dibuktikan tetapi kesan pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen telah menujukkan keputusan yang tidak memberangsangkan, malahan amalan ini boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Ujian kesan antipembiakan sel juga telah dijalankan tetapi adalah ujian makmal dan ujian makmal itu menunjukkan ekstrak daun belalai gajah yang diproses dengan clorofom dan methanol  mempunyai kesan antipembiakan sel ataupun antiproliferatif. Ini bermaksud terdapat tanda-tanda ianya boleh mematikan sel-sel yang membiak termasuk sel-ssel kanser, meskipun hanya ditemui di dalam kajian makmal.

Kesan antivenom (penawar bisa patukan) yang didakwa dimiliki daripada ekstrak daun belalai gajah ini tidak pernah dibuktikan di dalam kajian makmal jadi ianya sangat meragukan.

Manakala kesan klinikal antikeradangan, anti diabetic dan antikanser tidak pernah dibuktikan melalui kajian klinikal kerana setakat ini hanya kajian makmal ataupun praklinikal sahaja yang dijalankan. Manakala kajian klinikal ke atas manusia masih sangat kecil dan tidak dapat digunakan untuk mengesahkan apa2 keberkesanan daun belalai gajah selain daripada untuk tujuan rawatan jangkitan virus herpes ke atas kulit.

BAGAIMANA EKSTRAK (PATI) POKOK BELALAI GAJAH DIPEROLEHI UNTUK TUJUAN KAJIAN MAKMAL

Kajian makmal yang dilakukan oleh ahli sains ke atas tumbuhan dan herba bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ianya memerlukan kepakaran dan teknologi makmal yang canggih untuk mengekstrak bahan aktif daripada sumber-sumber semulajadi ini dan kemudiannya barulah ujian keberkesanan dapat dilakukan. Makmal yang menjalankan kajian tersebut pula perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ubatan contohnya FDA. Makmal tersebut perlu memperolehi taraf GLP singkatan kepada “Good Laboratory Practices” yang menetapkan piawaian yang sangat ketat. Syarat-syarat untuk mendapat taraf GLP boleh diperolehi dari laman web ini (http://www.accessdata.fda.gov/scripts/cdrh/cfdocs/cfcfr/CFRSearch.cfm?CFRPart=58)

Bab ini akan menerangkan proses yang perlu dijalankan sebelum pati daripada sumber tumbuhan dan herba dapat dipisahkan dan diuji di dalam makmal. Ramai dalam kalangan ahli perniagaan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan hanya dengan merebus, menjadikannya serbuk, jus ataupun kapsul melalui cara mudah.

Bahan2 kimia yang diperlukan untuk tujuan ekstraksi dan pemprosesan belalai gajah adalah seperti senarai berikut:
1,1-diphenyl-2-picrylhydrazyl (DPPH) radical, galvinoxyl radical, 6-hydroxy-2,5,7,8-tetramethylchroman-2-carboxylic acid (Trolox), phosphate buffer saline (PBS), trypan blue, 3-(4,5-Dimethylthiazol-2-yl)-2,5-diphenyltetrazolium bromide (MTT),10x trypsin-EDTA solution , Hydrogen peroxide and sodium nitroprusside (SNP), hydrogen peroksida dan Sodium nitroprusside.

BAHAN UJIKAJI

Sebagai mewakili sel dan organ badan manusia, haiwan seperti tikus digunakan terlebih dahulu kerana adalah sesuatu yang tidak beretika jika bahan-bahan ini diuji terus keatas manusia kerana dikhuatiri kesan sampingan yang serius akan dialami. Di samping itu memberi ubat yang belum disahkan berkesan adalah sesuatu yang melanggar etika perubatan kerana sudah ada ubat yang berkesan merawat penyakit tersebut.

Jika sekiranya ahli Sains ingin menguji keberkesanan sesuatu bahan kimia yang diektrak dari tumbuhan ke atas penyakit kanser umpamanya, mereka boleh menggunakan lapisan sel-sel kanser (“cancer cell lines”) yang diperolehi daripada bank sel-sel kanser yang disimpan. Di Malaysia, belum lagi terdapat bank sel-sel kanser seumpama ini jadi kita perlu membelinya dari luar negara seperti dari bank sel-sel kanser di Amerika. Bank sel-sel kanser ini menyimpan sel-sel kanser sebenar yang dihidapi oleh manusia untuk tujuan kajian. Ianya diperolehi dari pesakit-pesakit kanser yang memberi kebenaran supaya sebahagian daripada sample sel-sel kanser mereka disimpan untuk tujuan kajian. Makmal bank sel-sel ini juga menyimpan sel-sel haiwan yang dibiak untuk tujuan penyelidikan.

Ahli-ahli sains juga boleh meransang penyakit kanser ke atas haiwan yang diuji dan ubat ataupun ekstrak bahan aktif dari sumber asal boleh digunakan ke atas haiwan ini dan melihat keberkesanannya. Sel-sel kanser juga dapat disuntik kepada haiwan dan kemudian ubat yang hendak diuji akan diberikan kepada haiwan ini untuk melihat keberkesanannya. Haiwan yang sering digunakan untuk ujian praklinikal ini adalah tikus.

Di antara jenis-jenis lapisan sel-sel kanser yang terdapat di bank sel kanser di Amerika (American Type Culture Collection, ATCC, Rockville,MD) adalah seperti berikut:

Human liver hepatocellular carcinoma (HepG2), human neuroblastoma cell line (IMR-32), human lung cancer cell line (NCI-H23), human gastric cancer cell line (SNU-1), human colon adenocarcinoma cell line (LS-174T), human erythroleukemia cell line (K-562), human cervical cancer cell line (HeLa), and human Burkitt's lymphoma cell line (Raji)

Walaupun sel-sel ini adalah sel-sel kanser sebenar tetapi ianya tidak boleh dianggap seratus peratus mewakili sel yang ada di dalam tubuh badan manusia kerana sel di dalam tubuh badan manusia mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dan banyak factor yang mempengaruhi sifat dan fungsinya. Sebab itulah hasil kajian ke atas sel-sel yang dilakukan di dalam makmal tidak boleh dibuat andaian mudah yang ianya sama jika dilakukan di dalam tubuh manusia. Inilah sebabnya kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan dahulu sebelum keberkesanan dapat dibuktikan.



PEMPROSESAN POKOK BELALAI GAJAH UNTUK KAJIAN MAKMAL

Berikut adalah peringkat-peringkat pokok belalai gajah diproses untuk mendapatkan ektrak daripadanya:

1.   Pokok belalai gajah (C.nutans) dikenalpasti dahulu, kerana terdapat banyak sepsis belalai gajah. Spesis belalai gajah yang dikaji adalah Clinacanthus nutans
2.   Daun belalai gajah yang segar dipetik dan dikeringkan di dalam oven di bawah suhu 40-45 darjah Celsius
3.   Daun kering kemudian dijadikan serbuk
4.   Serbuk daun kering ini kemudiannya direndam di dalam chloroform, methanol dan air pada suhu bilik. Bahan-bahan ini adalah pelarut dan 3 larutan akan dihasilkan dengan setiap satunya menggunakan pelarut yang berbeza.
5.   Ektrak dari setiap larutan ini akan diasingkan dan dimasukkan ke dalam botol gelas yang bersih. Ianya akan ditapis dengan menggunakan kertas Whatman No 1.
6.   Hasil turasan dari 3 larutan ini akan dikeringkan dengan menggunakan mesin perawapan ataupun pengering beku.
7.   Semua ektraks ini akan disimpan di bawah suhu 20 darjah Celsius.
8.   Selepas itu barulah ektrak ini digunakan untuk menguji kesan ataupun sifatnya sebagai antioksidan dan juga antikanser/antiproliferatif.

UJIAN ANTIPROLIFERATIF ATAUPUN ANTI KANSER

Ektrak yang telah diperolehi daripada proses yang dinyatakan di atas akan digunakan untuk menguji samada ianya mempunyai kesan ke atas sel-sel kanser. Untuk tujuan tersebut, ekstrak ini akan dicampurkan dengan lapisan sel-sel kanser (cancer cell line) tertentu untuk melihat tindakbalas sel-sel kanser tersebut. Berikut adalah beberapa peringkat ujian makmal yang dilakukan ke atas sel-sel kanser:

a.   Ektrak yang terhasil akan disediakan di dalam beberapa konsentrasi/kepekatan bagi mewakili dos yang digunakan.
b.   Hasil ektraksi tadi akan digunakan untuk menguji aktiviti antiproliferatif dengan menggunalan MTT assay.
c.   Sel-sel kanser (6000 sel dalam setiap 1 ml) akan dimasukkan ke dalam 96 bekas plate yang mempunyai tapak yang rata
d.   Ekstrak yg mempunyai konsentrasi berbeza tadi akan dicampurkan dengan lapisan sel kanser dan dibiarkan selama 76 jam.
e.    Bekas plate tersebut akan di sentrifuj (diputar) selama 10 minit dan mendakannya akan dibuang.
f.    Sel-sel yang hidup dan mati akan dikesan dan dibandingkan dengan control iaitu sel-sel yang tidak didedahkan kepada ektrak.
g.   Kadar perencatan pembiakan sel-sel kanser akan ditentukan untuk melihat keberkesanannya, di samping menentukan kepekatan ektrak yang optima untuk memberi kesan yang maksima.

Ujian makmal ke atas ektrak daun belalai gajah ini menunjukkan ianya hanya berkesan ke atas lapisan sel HeLa (human cervical cancer cell line) dan K-562(human elektroleukemia cells) sahaja. Ianya tidak berkesan ke atas lapisan sel-sel kanser yang lain. Pada kepekatan ekstrak sebanyak 100ug/mL ia mampu merencat 80-90% daripada pembiakan sel-sel kanser tadi.

Ujian kesan membunuh sel-sel dapat juga dilakukan ke atas sel-sel manusia yang normal di dalam makmal. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan lapisan sel-sel manusia yang diperolehi daripada sel-sel lapisan dinding saluran darah vena talipusat bayi.

Ektrak daripada belalai gajah yang diperolehi ini akan dianalisa untuk menentukan apakah bahan aktif yang terdapat di dalamnya. Kajian makmal telah mendapati terdapat  14 jenis bahan kimia aktif yang terkandung di dalamnya dan bahan kimia yang paling utama adalah 1, 2-benzenedicarboxylic acid, mono (2-ethylhexyl) ester. Bahan kimia ini dipercayai mempunyai aktiviti antimicrobial, antioksidan dan antiproliferatif. Masih lagi kajian praklinikal, ahli sains akan memperolehi bahan-bahan kimia aktif tersebut pula untuk melakukan ujian yang sama sehingga memperolehi maklumat yang dikehendaki iaitu kadar keberkesanan, dos yang diperlukan, kaedah pemberian dan kesan sampingan. Selepas peringkat ini barulah ahli sains akan menguji bahan ini ke atas manusia di dalam kajian klinikal bermula dengan kajian klinikal fasa 1.

Begitulah terperincinya kajian makmal yang dilakukan untuk melihat kesan ekstrak daripada sesatu sumber samada sumber tersebut daripada tumbuhan, herba ataupun bahan kimia yang dihasilkan secara sintetik di dalam makmal. Ujian-ujian di atas adalah ujian makmal dan jika didapati mempunyai kesan positif barulah ujian fasa 1 akan dilakukan iaitu ujian ke atas sekumpulan kecil manusia. Selepas kejayaan fasa 1 barulah dilanjutkan kepada fasa 2 kajian klinikal sehinggalah ujian klinikal fasa 3 yang akan menggunakan ramai manusia untuk melihat keberkesanan sebenar bahan-bahan ini di dalam menyembuhkan penyakit. Setelah lengkap ujian klinikal fasa 3 dan didapati berkesan serta selamat diambil oleh pesakit barulah syarikat farmaseutikal ataupun institusi yang menjalankan kajian ini memohon kebenaran daripada Penguatkuasa Ubatan untuk dipasarkan dan digunakan oleh manusia. Hasil-hasil kajian ini akan disiarkan di dalam jurnal-jurnal perubatan antarabangsa untuk dikongsi oleh ahli-ahli sains dan pakar-pakar perubatan di seluruh dunia. Kajian-kajian klinikal ini boleh memakan masa bertahun-tahun melihatkan beratus-ratus , malahan mungkin sehingga beribu-ribu orang manusia sebelum disahkan berkesan dan selamat digunakan.


DAUN RERAMA DAN DAKWAAN KHASIAT

Daun rerama (Red Butterfly Wing) ataupun nama saintifiknya Christia Vespertilionis mempunyai sejarah dan kajian yang sama seperti belalai gajah. Pokok daun rerama banyak didapati di negara Asia seperti Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan lain-lain. Ia boleh tumbuh hingga kepada ketinggian 60-120 cm, daun muda bewarna unggu, manakala daun matang bewarna hijau pekat dengan garis-garis hijau muda. IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources) telah mengkategorikan tumbuhan ini sebagai sepsis yang terancam. Dilapurkan bahawa bahan kimia yang terdapat dari pokok rerama adalah alkaloid, triterpenes, asid lemak, phenols, rantai panjang alkohol, palmitine, corynoxidine, pheophorbid-a, ursolic acid, flavonoid glycosides, steroid dan banyak lagi. Pheophorbid-a yang terkandung di dalamnya pernah dikesan mempunyai ciri-ciri antiproliferatif dalam kajian makmal.  Daun rerama pernah menjalani kajian makmal oleh ahli sains Universiti Putra Malaysia dan kenyataan resmi pihak university tentang hasil kajian ini ada disiarkan dan jelas menyatakan bahawa ianya baru sahaja menjalani kajian makmal menggunakan lapisan sel-sel kanser dan baru hendak melangkah kepada ujian ke atas haiwan (http://www.upm.edu.my/berita/details/daunreramabm). Ini bermaksud daun rerama belum lagi menjalani kajian klinikal untuk menguji keberkesanannya kepada penyakit yang dihidapi oleh manusia. Mengikut dakwaan orang ramai, daun rerama ini boleh mengubati kanser, penyakit SLE, denggi, malaria,gigitan ular, merawat kepatahan tulang, penyakit tibi, angin ahmar, kencing manis, masalah usus, campak dan lain-lain, tetapi tidak satupun dakwaan ini adalah berasaskan kepada bukti kajian klinikal. Ianya hanya berasaskan kepada testimoni atau bukti anekdotal semata-mata. Kajian makmal yang dijalankan ada menunjukkan kesan antiproliferatif dan anti keradangan tetapi kajian makmal ini adalah kajian praklinikal. Kajian makmal ke atas sel-sel kanser adalah ke atas kanser kelenjar tiroid dan neuroendocrine tumour. Kaedah mengekstrak pati daun rerama untuk tujuan kajian makmal adalah sama seperti daun belalai gajah walaupun menggunakan bahan kimia dan pelarut yang berbeza. Malahan Ahli Sains yang menerajui kajian di UPM ini sendiri iaitu A.Prof Dr.Latifah Saiful Yazan ada membuat kenyataan “Pihak UPM tidak bertanggungjawab dengan dakwaan beberapa pengusaha produk berasaskan daun rerama yang mengaitkan produk mereka amat berkesan untuk pelbagai penyakit. Masih terlalu awal untuk membuat satu rumusan sehinggalah penyelidikan ke atas manusia dapat dijalankan”.




MENGAPA HASIL KAJIAN MAKMAL/PRA-KLINIKAL TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI ALASAN UNTUK MERAWAT  PESAKIT

Berikut adalah beberapa alasan mengapa hasil kajian Praklinikal TIDAK boleh digunakan sebagai alasan untuk diambil oleh pesakit dan orang ramai:

  1. Ujian praklinikal adalah ujian yang dijalankan di luar badan manusia dan ada yang dilakukan ke atas haiwan. Persekitaran dalam badan manusia adalah jauh lebih kompleks.
  2. Peringkat awal kajian praklinikal adalah hanya menguji ekstrak secara kasar dan belum mengenalpasti apakah bahan kimia atau unsure-unsur spesifik yang berkesan kerana terdapat banyak bahan kimia daripada ekstrak tumbuhan.tersebut.
  3. Ujian Praklinikal belum mendapatkan maklumat tepat mengenai apakah dos ataupun kuantiti ubat yang berkesan dan selamat diambil oleh manusia. Ia hanya berasaskan kepada kajian ke atas haiwan.
  4. Ujian praklinikal belum lagi ujian yang membuktikan keberkesanan dan selamat jika diambil oleh manusia. Ianya mungkin selamat diambil oleh haiwan.
  5. Ujian praklinikal belum lagi membandingkan keberkesanannya dengan kaedah rawatan standard yang sedang diamalkan, jadi kita belum lagi mengetahui samada ianya lebih berkesan ataupun kurang berkesan.
  6. Ujian praklinikal belum lagi memberi kepastian terhadap kaedah pemberian yang terbaik kepada manusia. Tidak semua ubatan boleh diambil melalui makan ataupun minum disebabkan oleh faktor asid perut, enzim penghadaman dan sistem penyerapan di dalam usus. Contohnya majoriti ubat-ubat antikanser hanya berkesan diberikan melalui suntikan.
  7. Ujian praklinikal belum lagi dapat menentukan kesan sampingan jika diambil oleh manusia, ianya mungkin hanya selamat digunakan ke atas haiwan.
  8. Ujian praklinikal belum dapat mengesahkan kesan sampingan jangkapanjang ke atas manusia serta kesan mudarat ke atas anak di dalam kandungan.
  9. Menggunakan hasil kajian praklinikal untuk terus merawat pesakit adalah tindakan yang tidak beretika dan bakal memudaratkan pesakit.

KESIMPULAN

Ahli Sains dan Pakar Perubatan sangat teliti sebelum mendakwa sesuatu produk kesihatan samada di dalam bentuk sintetik ataupun yang diperolehi daripada tumbuhan dan herba berkesan merawat sesuatu jenis penyakit. Ini bagi memastikan bahawa pesakit-pesakit tidak mendapat kesan buruk daripada mengamalkan sesuatu kaedah rawatan yang belum terbukti berkesan. Di samping itu dakwaan palsu ini juga seringkali menyebabkan pesakit lambat untuk mendapatkan rawatan yang terbukti berkesan. Bagi menentukan keberkesanan produk-produk kesihatan ini, kajian klinikal perlu dijalankan. Peringkat yang paling awal kajian klinikal dinamakan kajian praklinikal iaitu kajian makmal yang dilakukan samada ke atas haiwan (in-vivo) ataupun ke atas lapisan-lapisan sel di luar tubuh badan manusia (in-vitro). Proses mengektrak bahan-bahan aktif yang terdapat di dalam sumber asli sesuatu produk kesihatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kajian makmal dilakukan supaya hanya bahan aktif tersebut sahaja yang dapat diambil dan diuji. Ini disebabkan kerana di dalam sumber asli produk kesihatan tersebut terdapat banyak jenis bahan-bahan kimia yang mempunyak kesan yang berbeza ke atas sel-sel ataupun badan manusia. Ahli sains juga perlu menentukan apakah kuantiti ataupun dos bahan aktif yang yang diperlukan untuk memberi kesan yang bermakna, di samping kesan sampingan yang boleh timbul pada dos tertentu. Walaupun kajian makmal menunjukkan kesan positif terhadap sel-sel di luar badan manusia ataupun haiwan yang diuji, ianya masih belum dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan ke atas manusia kerana kajian klinikal perlu dilakukan dahulu. Kajian-Kajian klinikal yang lebih lanjut adalah kajian fasa 1, 2, 3 da 4. Kajian-kajian klinikal ini akan menentukan dos, tahap keberkesanan, kaedah pemberian dan juga kesan sampingan yang boleh berlaku ke atas manusia. Kesan-kesan ini akan dibandingkan dengan control ataupun golongan-golongan yang tidak mengambil produk ujikaji tersebut. Setelah kajian fasa 3 berjaya membuktikan keberkesanan serta keselamatan ubat atau bahan kimia tersebut barulah permohonan untuk kelulusan penggunaannya ke atas pesakit diperolehi. Begitulah proses penghasilan produk kesihatan daripada peringkat kajian sehinggalah kepada peringkat pemasaran dan penggunaan pesakit. Kajian fasa 4 pula adalah pemantauan ke atas penggunaan produk oleh pesakit dan orang ramai. Kajian keatas keberkesanan pokok belalai gajah dan daun rerama menunjukkan bahawa ianya masih berada pada peringkat kajian makmal ataupun praklinikal. Sehingga hari ini sepatutnya tidak ada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa kedua-dua tumbuhan ini dapat merawat penyakit seperti yang didakwa iaitu kanser, jangkitan, diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Tidak dinafikan terdapat tanda-tanda awal bahawa terdapat bahan di dalam kedua-dua tumbuhan ini yang mempunyai kesan merencat pembahagian sel dan keradangan, tetapi kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengenalpasti apakah bahan tersebut, kuantiti yang perlu digunakan serta kaedah pemberian serta kesan sampingannya sebelum ianya disahkan berkesan dan selamat digunakan oleh orang ramai. Semua pesakit-pesakit yang sudah disahkan menghidapi penyakit hendaklah mendapatkan rawatan daripada doctor serta pakar-pakar perubatan moden yang terlatih di dalam bidang penyakit berkenaan. Rawatan awal akan mencegah anda daripada mendapat komplikasi serius jadi anda akan memperolehi kembali kesihatan badan, jika tidak anda boleh merana sepanjang hayat.

RUJUKAN

Yong YK, Tan JJ, The SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med, 2013; 462751. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)

Alam A, Ferdosh S, Ghafoor K, et al. Clinacanthus nutans: A review of the medicinal uses, pharmacology and phytochemistry Asian Pacific Journal of Tropical Medicine Volume 9, Issue 4, April 2016, Pages 402–409

Yong YK, Tan JJ, The SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med, 2013; 462751. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)

Yahaya R, Dash GK, Abdullah Syafiq M, Mathews A. Clinacanthus nutans Lindau: An Useful Medicinal Plant of South East Asia. Inter J of Pharmacognosy and Phytochemical Research, 2015; 7(6):1244-1250

Mai CW, Yap KSI, Kho MT, et al. Mechanisms Underlying the Anti-Inflammatory effects of Clinacanthus nutans Lindau Extracts: Inhibition of cytokine production and toll-like receptors-4 Activation. Front. Pharmacol., 02 February 2016 | http://dx.doi.org/10.3389/fphar.2016.00007

Bunawan H, Bunawan SN, Baharum SN. The red butterfly wing (christia vespertilionis): A Promising cancer cure in Malaysia. Inter J of Pharm and Pharmaceutical Sc, 2015;7(8)

Dash GK. An Appraisal of Christia vespertilionis (L.F.) Bakh. F: A Promising Medicinal Plant. Int J of Pharmacognosy and Phytochem Research, 2016; 8(6): 1037-1039

http://alt.medicine.com.my/2013/07/sabah-snake-grass-warning/


http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1995764516300116