Friday, May 12, 2017

KEMATIAN, PENYAKIT DAN TEMBAKAU





Di sepanjang sejarah kemanusiaan, manusia mengalami banyak episod serangan wabak penyakit berjangkit dan dengan adanya teknologi perubatan sains, sedikit sebanyak ianya dapat dikawal. Kebersihan, imunisasi, jaring/kelambu nyamuk dan agen antimicrobial adalah diantara ikhtiar yang  membuahkan hasil dalam mengurangkan kadar kematian akibat daripada penyakit taun, cirit-birit  disenteri, penyakit cacar, campak, HIV, tibi dan banyak lagi penyakit berjangkit.  Kejayaan yang sama diperlukan bagi mengawal penyakit tidak berjangkit yang menyerang seluruh dunia pada hari ini. Penyakit tidak berjangkit ini telah mendominasi masalah kesihatan di negara-negara berpendapatan tinggi pada masa lampau tetapi pada hari ini ianya telah menjadi beban besar kepada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah. Penyakit-penyakit ini adalah kanser paru-paru, chronic obstructive pulmonary disease, penyakit jantung  dan lain-lain masalah yang dikaitkan dengan merokok.

Lapuran terbaru daripada The Lancet menggunakan data daripada Kajian Beban Penyakit Global (Global Burden  of Disease Study) telah membantu menambah maklumat mengenai kesan merokok terhadap manusia di dunia terutamanya daripada aspek anggaran kadar kematian  dan juga kecacatan yang diakibatkan oleh merokok. Lapuran ini sangat membimbangkan. Di dalam tahun 2015 , merokok menyumbang lebih daripada 10% daripada punca kematian manusia di dunia, membunuh lebih daripada 6 juta manusia dengan kehilangan global hampir 150 juta “disability-adjusted life-years” (DALY). 1 DALY  bermaksud kehilangan 1 tahun hidup yang sihat. Kadar merokok dan akibat daripadanya telah menurun  di kebanyakan negara-negara yang kaya, sebaliknya masa depan kematian akibat daripada merokok di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah adalah semakin besar. Di dunia pada hari ini, seorang daripada setiap 4 orang lelaki dan sejumlah 933 juta orang adalah perokok, 80% daripada perokok tinggal di negara-negara yang berpendapatan sederhana dan rendah. Separuh daripada ini ataupun setengah billion orang dijangka akan mati pada usia lebih muda (kematian pramatang) akibat daripada merokok melainkan jika mereka berhenti merokok. Walaupun kadar prevalen merokok menunjukkan pengurangan di negara yang berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk negara-negara yang paling tinggi kadar merokok seperti di China dan India, beban akibat merokok tetap meningkat disebabkan oleh peningkatan bilangan penduduk dunia menyebabkan jumlah perokok (ukuran kuantitiatif) juga meningkat.

Tanggungjawab menangani bencana kesihatan global ini jatuh kepada bahu syarikat tembakau antarabangsa, yang jelas memikul tanggungjawab ke atas hidup manusia berkaitan dengan tabiat merokok. Contohnya lihatlah lapuran tahunan terkini daripada British American Tobacco (BAT) yang membentangkan pertumbuhan pasaran dan keuntungan 5 syarikat tembakau antarabangsa yang menguasai 55 negara dunia. Di dalam tahun 2016, BAT menjual 665 bilion rokok, menjana keuntungan sebanyak 5.2 bilion pound sterling ( RM 29 bilion ringgit Malaysia), menunjukkan peningkatan pendapatan di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyatakan sokongan terhadap garispanduan polisi kawalan tembakau yang berkesan seperti cukai, mengharamkan iklan tembakau, polisi kawasan larangan merokok dan  melindungi tajaan syarikat tembakau terhadap kepentingan tertentu, walau bagaimanapun di kebanyakan negara, melaksanakan garispanduan ini masih terlalu jauh. Sepertimana yang berlaku di Negara-negara yang kaya, prosedur undang-undang kawalan tembakau selalunya tersekat serta lambat, ancaman yang tidak benar akibat daripada langkah kawalan, keterlibatan syarikat tembakau di dalam  aktiviti social, ancaman tindakan undang-undang daripada syarikat tembakau dan di beberapa buah negara, ekonomi mereka bergantung kepada pertumbuhan perniagaan tembakau dan akhir sekali wujudnya konflik kepentingan.

Kegagalan mengurangkan beban merokok di sesebuah Negara adalah petanda beberapa kelemahan, di antaranya adalah gagal menyedari kesan merokok ke atas kesihatan dan gagal melaksanakan polisi kawalan merokok yang diwar-warkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Hari ini, wabak merokok telah diekspot daripada negara-negara kaya kepada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah, terlepas daripada  radar, dan negara-negara ini tidak mampu untuk menangani beban ini disebabkan oleh keutamaan yang berbeza, kekurangan sumber manusia dan kewangan. Kadar kematian akibat merokok akan meningkat di seluruh dunia sehingga kawalan tembakau dijadikan sebagai keutamaan di dalam menentukan kemajuan, pelaburan dan penyelidikan.


Penterjemah : Dato' Dr.Mohd Rushdan

Terjemahan daripada tulisan John Britton, Death, disease and tobacco. The Lancet. Volume 389, No. 10082, p1861–1862, 13 May 2017  

http://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736%2817%2930867-X/fulltext#.WRWiIzOI4d8.facebook

Wednesday, May 10, 2017

BUAH DURIAN : MITOS DAN REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah


Durian adalah pokok buah yang tergolong di dalam keluarga Durio. Perkataan durian adalah berasal daripada kulit buahnya yang berduri. Terdapat lebih kurang 30  spesis pokok durian. Cuma durian daripada spesis Durio zibethinus yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa, manakala spesis-spesis lain hanya terdapat di tempat ianya tumbuh. Buah durian juga dikenali sebagai raja segala buah kerana saiznya yang besar berduri dan mempunyai bau yang sangat kuat. Buahnya boleh membesar sehingga 1 kaki panjang dengan garisan pusat 6 inci, dengan berat di antara 1-3 kg.



FAKTA NUTRISI BUAH DURIAN

Jadual di bawah adalah fakta nutrisi yang boleh diperolehi daripada 100 gm buah durian.



JUMLAH BERAT
100 gm
Peratusan daripada keperluan sehari (%)*
Jumlah kalori
147
7.3%
Jumlah lemak
5 gm
7%
Kolesterol
0 mg
0%
Sodium
2 mg
0%
Potasium
436 mg
12%
Jumlah Karbohidrat
27 gm
9%
Serat
3.8 gm
15%
Protin
1.5 gm
3%
Vitamin A
0%
Vitamin C
32%
Kalsium
0%
Besi
2%
Vitamin B6
15%
Vitamin B12
0%
Magnesium
7%



*Berdasarkan kepada keperluan 2000 kalori diet sehari. Keperluan kalori sehari berbeza-beza mengikut aktiviti dan keperluan badan.



Memandangkan buah durian adalah buah yang sangat terkenal dan digemari oleh ramai orang terutama orang  Asia, maka terdapat banyak pendapat yang disebarkan oleh orang ramai, ada yang benar dan ada yang tidak benar.

FAKTA YANG BENAR MENGENAI DURIAN

1.   DURIAN BOLEH MENINGKATKAN BERAT BADAN. Buah durian mempunyai kalori yang tinggi. Sebiji durian yang purata beratnya 1 kg mempunyai jumlah  kalori hampir 1400 kalori, jadi mengambil sebiji buah durian sudah meliputi 70% daripada sejumlah 2000 kalori sehari yang disyorkan kepada seorang dewasa. Seulas buah durian mempunyai berat lebih kurang 40 gram ataupun 59 kalori.

2.   DURIAN KAYA DENGAN NUTRIN. Durian kaya dengan potassium, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks. Dengan ciri-ciri ini , ia mungkin dapat membantu memperbaiki kekuatan otot, memperbaiki tekanan darah, pergerakan usus dan kesihatan kulit. Ia juga boleh menyokong system saraf dan imun serta meningkatkan penghasilan sel-sel darah merah. Ia juga mengandungi asid amino tryptophan yang juga dikenali sebagai “pil tidur semulajadi” yang mungkin dapat membantu tidur.Berbanding dengan buah pisang, 100 gm durian mengandungi 436 mg potasium berbanding dengan 358 mg di dalam buah pisang. Jadi buah durian mengandungi lebih potasium berbanding dengan buah pisang.

3.   PESAKIT DIABETES MESTI MENGHADKAN PENGAMBILAN DURIAN. Disebabkan durian mempunyai kandungan gula yang tinggi yakni gula ringkas  seperti sukros, fruktos dan glukos (Indek Glisemik yang tinggi), buah ini  memang tidak sesuai diambil oleh pesakit diabetes, kecuali jika diambil dalam kuantiti yang sedikit.

4. DURIAN BOLEH MEMBERI TENAGA SEGERA. Disebabkan oleh kandungan karbohidrat yang tinggi dalam bentuk gula ringkas, ia memang boleh menjadi sumber tenaga segera. Kandungan potassium yang tinggi juga dapat mengurangkan keletihan dan melegakan tekanan mental serta kerisauan.

MITOS MENGENAI DURIAN
Berikut adalah kepercayaan yang salah ataupun mitos mengenai durian.

    1. DURIAN MENGANDUNGI KOLESTEROL YANG TINGGI. Jika dilihat di   dalam jadual fakta nutrin buah durian jelas menunjukkan bahawa sebenarnya TIDAK ADA kolesterol di dalam buah durian. Durian mengandungi lemak monotidak  tepu (monounsaturated fats) yang dapat membantu menurunkan kolesterol tidak baik iaitu LDL.

     2. DURIAN ADALAH PANAS DAN PERLU DIAMBIL DENGAN BUAH MANGGIS YANG SEJUK. Tidak ada istilah buah sejuk dan panas di dalam perubatan moden. Ianya tidak disokong oleh kajian saintifik. Tabiat mengambil buah durian bersama dengan manggis mungkin disebabkan oleh kedua-dua pokok durian dan manggis mempunyai musim buah yang sama.

     3. MEMAKAN DURIAN MENINGKATKAN NAFSU/TENAGA SEK (LIBIDO). Tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa durian meningkatkan tenaga seks.

      4.  MENGAMBIL DURIAN BERSAMA DENGAN BEER BOLEH MEMBUNUH. Tidak ada  bukti kajian saintifik yang menyokong dakwaan. Meminum alcohol sudah sememangnya memudaratkan, tetapi mengambil alcohol bersama dengan buah durian tidak menambah kemudaratan alcohol jika durian tidak diambil berlebihan. Pengambilan durian dan alkohol yang berlebihan boleh menyebabkan kembong perut dan rasa tidak selesa di bahagian perut sebab organ hati perlu bekerja lebih kuat untuk menjalankan metabolism ke atas lemak dan gula yang terkandung di dalam alcohol dan durian.

Kesimpulannya buah durian memang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi, jika diambil secara sederhana boleh menjadi sumber tenaga, mineral dan vitamin yang baik. Ia juga mengandungi lemak monotidaktepu yang lebih baik daripada lemak tepu. Mengambil sebanyak 2-3 ulas sekali makan adalah memadai tetapi disebabkan oleh ketagihan dan obses, orang ramai seringkali memakan buah durian secara berlebihan. Pengambilan durian yang berlebihan tentu tidak baik untuk kesihatan badan.
 

Monday, May 8, 2017

5 RISIKO MENAIKI KAPALTERBANG



Kemalangan udara sebenarnya bukan ancaman yang besar kepada pengguna kerana jika dibandingkan dengan menaiki kenderaan awam yang lain, menaiki kapalterbang sebenarnya adalah paling selamat. Mengikut kajian, risiko sebarang kemalangan udara adalah kurang daripada 1 di dalam 300,000 penerbangan manakala risiko kemalangan udara yang menyebabkan kematian adalah 1 di dalam 3 juta penerbangan. Jika dibandingkan dengan pengangkutan awam, risiko kematian akibat menonggang motosikal adalah 3000 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan menaiki kapalterbang. Manakala risiko mati akibat kemalangan memandu kereta dan  trak adalah 100 kali ganda dan 2 kali ganda jika menaiki keretapi berbanding dengan menaiki kapalterbang.

Menggunakan kapalterbang mempunyai masalahnya yang tersendiri dan risiko menghadapi masalah ini bergantung kepada kekerapan menggunakan  kapalterbang. Risiko terhadap individu yang jarang-jarang menggunakan kapalterbang (occasional travellers) tentu lebih rendah berbanding dengan petugas kabin, pilot dan individu yang sering menggunakan kapalterbang.

Terdapat 5 risiko menaiki kapalterbang yang mungkin orang ramai tidak sedar. Berikut adalah risiko-risiko tersebut:

  1. Menyebarkan jangkitan penyakit berjangkit. Disebabkan oleh kesesakan dan penumpang yang terdiri daripada pelbagai golongan dan negara-negara yang berbeza, penyakit berjangkit mudah disebarkan dari satu tempat ke tempat yang lain. Individu juga mudah dijangkiti penyakit berjangkit kerana kesesakan di lapangan terbang dan juga di dalam kabin kapalterbang. Seseorang mempunyai risiko dijangkiti penyakit selesema sebanyak 100 kali lebih tinggi berbanding dengan orang biasa. Penyakit merbahaya daripada satu benua boleh dibawa ke benua lain sehingga boleh menyebabkan pandemic di sesuatu benua. Melakukan perancangan teliti sebelum mengembara adalah penting. Ketahui mengenai status penyakit berjangkit negara-negara yang hendak dilawati dan dapatkan nasihat doktor. Pencegahan seperti mengambil vaksin, melindungi diri daripada terdedah kepada organisma penyebab, pengambilan ubat pencegah jangkitan dan lain-lain langkah dapat mengurangkan risiko jangkitan.

  1. Risiko darah beku di saluran darah kaki. Keadaan ini dinamakan deep vein thrombosis (DVT) di mana saluran vena di kaki tersumbat akibat pengumpulan darah beku. Darah beku ini terjadi akibat daripada kurang pergerakan kaki yang dibiar berdiri lama di tempat duduk. Otot-otot kaki yang mengecut akan membantu mengembalikan darah daripada kaki ke jantung, tetapi jika otot-otot ini dibiarkan berehat terlalu lama, maka mekanisma pengempam darah balik ke jantung akan terjejas. Akibat daripada masalah ini, aliran darah menjadi perlahan dan darah beku terbentuk. Darah beku ini boleh terlepas dan pergi ke paru-paru mengakibatkan pulmonary embolism. Pulmonary embolism boleh menyebabkan kematian. DVT lebih kerap berlaku ke atas penumpang yang gemuk, kurang meminum air dan hamil. Penumpang boleh mengurangkan risiko DVT dengan melakukan senaman kaki yang tetap, mengambil air yang cukup dan boleh menggunakan stokin khas untuk mencegah DVT. Sila dapatkan nasihat doktor jika anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat DVT dan hamil sebelum menaiki kapalterbang.



  1. Pencemaran bunyi dan gangguan pendengaran. Penumpang kapalterbang terdedah kepada bunyi bising terutamanya bunyi yang datang daripada enjin kapalterbang. Tempat duduk di belakang adalah kawasan yang paling bising kerana berdekatan dengan enjin. Di katakan kesan bunyi daripada perbualan biasa adalah sebanyak 60 desibel, bunyi yang datang daripada kelab malam pula adalah sebanyak 100 desibel, manakala tempat duduk belakang kapalterbang boleh menerima kesan bunyi sehingga 85-100 desibel. Had pendedahan selamat kesan bunyi adalah 85 desibel selama 8 jam ataupun 88 desibel selama 4 jam. Walau bagaimanapun kesan bunyi ini adalah minima ke atas individu yang menggunakan kapalterbang sebagai pengangkutan yang sekali sekali sekala. Kesan ini lebih bermakna ke atas pilot, petugas kabin dan juga pengembara yang sering menggunakan pengangkutan ini untuk mengembara.

  1. Jet lag adalah gangguan tidur akibat daripada perubahan zon waktu yang berlaku secara pantas. Badan anda telah mempunyai jam biologi yang menentukan waktu jaga dan tidur. Apabila berlaku perubahan zon waktu yang mendadak, badan anda tidak mampu untuk mengubah jam biologi sehingga waktu siang di zon yang baru dianggap malam dan ini menyebabkan anda mengalami masalah tidur. Jika berlaku secara kerap ia boleh menyebabkan tekanan perasaan dan lain-lain masalah psikologi termasuk kemurungan dan psikotik. Anda boleh membuat penyesuaian tingkahlaku sebelum , semasa dan selepas melakukan perjalanan udara bagi mengurangkan kesan jet lag ini. Di antaranya adalah (1) Memilih jadual penerbangan yang boleh sampai di destinasi pada awal petang sehingga pukul 10 malam waktu setempat, (2) Semasa berlepas, tukar waktu di jam tangan anda dengan zon waktu tempat destinasi, (3) Elakkan mengambil alcohol ataupun kafein sekurang-kurangnya 3-4 jam sebelum masuk tidur kerana kedua2nya adalah peransang dan mencegah tidur, (4) Semasa sampai di destinasi, elakkan mengambil makanan yang berat (biskut dan cokolat adalah OK), (5) Elakkan melakukan senaman berat sebelum ataupun berhampiran dengan waktu tidur, (6) Menggunakan earplugs dan penutup mata untuk mengurangkan kesan bunyi dan cahaya  semasa tidur, (7) Cuba keluar ke bawah sinaran matahari jika mampu kerana cahaya matahari adalah peransang yang kuat untuk mengawal jam biologi anda (tinglal di dalam bilik boleh membuat jet lag anda lebih teruk)


  1. Terdedah kepada Sinaran Kosmik. Semasa di udara tinggi di angkasa, anda terdedah kepada pelbagai jenis sinaran yang datangnya daripada angkasa lepas yang berupa bendasing bertenaga kebanyakannya adalah zarah proton. Lagi lama anda mengembara menaiki kapalterbang, lagi tinggi pendedahan kepada sinaran kosmik ini. Contohnya jika anda menaiki kapalterbang daripada Washington DC ke Beijing, dikatakan anda berkemungkinan untuk terdedah kepada sinaran kosmik ini sebanyak 100 microsievert iaitu bersamaan dengan dos satu ujian X-Ray dada. Petugas kabin dan pilot adalah golongan yang lebih berisiko tinggi untuk terdedah kepada sinaran kosmik ini. Walaupun ada lapuran peningkatan risiko menghidap kanser payudara dalam kalangan petugas kabin, Belem ada cukup bukti yang ianya akibat daripada pendedahan kepada sinaran kosmik. Bagi penumpang yang tidak menggunakan kapalterbang terlalu kerap, mereka tidak perlu khuatir kerana risiko ini adalah sangat rendah. Tidak ada cara untuk mencegah diri daripada terkena sinaran kosmik kerana ianya tidak dapat dilihat dan tidak ada kaedah untuk menangkis sinaran ini.


Walaupun 5 masalah kesihatan ini boleh dialami oleh penumpang kapalterbang, risikonya adalah rendah terutamanya ke atas individu yang menggunakan kapalterbang secara sekali sekala (ocasional travellers) seperti kebanyakan kita.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah