Untuk menjawab persoalan samada berkesan ataupun tidak rawatan
kanser moden, saya perlu menunjukkan data2 statistik. Petunjuk kepada
keberkesanan rawatan kanser sebenarnya agak kompleks tetapi saya cuba
menggunakan petunjuk yang paling mudah difahami iaitu Kadar Hidup
atraupun Survival Rate. Daripada data yg saya pilih ini, anda akan
mendapat gambaran sebenar tentang keberkesanan rawatan kanser moden.
Saya terpaksa mengambil data yang dikeluarkan daripada luar negara
kerana negara kita tidak mempunyai data kadar hidup kanser yang
menyeluruh. Proses untuk mendapatkan data kadar hidup ini bukanlah
sesuatu yang mudah kerana ia memakan masa yang sangat panjang. Walaupun
begitu, data daripada luar negara itu masih relevan untuk negara kita
kerana tidak ada perbezaan yang besar mengenai kaedah rawatan dan
kepakaran di Malaysia berbanding dengan negara-negara lain di dunia.
Kadar hidup ataupun "survival rate" penyakit kanser keseluruhannya
telah meningkat semenjak tahun 1970 an (lihat graf di bawah). Walaupun
terdapat beberapa jenis kanser yang sukar dirawat dan tidak menunjukkan
kemajuan yang memberansangkan tetapi secara keseluruhannya, kadar hidup
penyakit kanser telah meningkat dari masa ke semasa. Faktor yang paling
utama bagi menentukan kadar hidup ini adalah pada peringkat berapakah
kanser itu dikesan. Peringkat 1 kanser payudara umpamanya mempunyai
kadar hidup yang sangat tinggi dan majoriti pesakit sembuh sepenuhnya.
Kadar hidup kanser di negara kita mungkin lebih rendah tetapi ini
disebabkan oleh kanser tersebut tidak dikesan pada peringkat awal dan
ini sangat berkait rapat dengan program pencegahan kanser dan juga sikap
masyarakat di negara kita.
Data-data ini jelas menunjukkan
bahawa kanser sememangnya boleh dirawat dan disembuhkan lebih-lebih lagi
jika ianya dikesan pada peringkat awal. Apa yang menarik daripada geraf
kadar jangkahayat 5 tahun dan 10 tahun yang saya kepilkan di bawah
(geraf warna unggu) adalah jika pesakit dapat bertahan selama 5 tahun,
maka kemungkinan besar jangkahayat mereka dapat dilanjutkan sehingga 10
tahun dan peluang untuk sembuh lebih tinggi. Perhatikan kanser payudara
di dalam geraf di bawah (bar chart bewarna unggu), kadar hidup 5 tahun
adalah 87%, manakala kadar hidup 10 tahun adalah 78%. Perbezaannya hanya
9% iaitu peratusan yang gagal mencapai kadar hidup 10 tahun. Data ini
dihasilkan dengan mencampurkan semua peringkat kanser. Jika data ini
dipecahkan mengikut peringkat kanser, maka kanser di peringkat 1 tentu
akan mempunyai kadar hidup yang jauh lebih baik melebihi 90%. Saya
kepilkan contoh kadar hidup 5 tahun beberapa jenis kanser.
Tetapi mengapa kita lihat ramai yang meninggal disebabkan oleh kanser.
Mengapa ramai yang mengadu rawatan kanser tidak berkesan? Ramai yang
menerima rawatan dan kemudian meninggal. Dapat rawatan kemo/radioterapi
saja sekejap saja meninggal. Jawapan yang pertama adalah kerana ramai
dalam kalangan pesakit kanser di negara kita dikesan lewat atau lambat
menerima rawatan. Faktor kedua adalah kerana ramai yang sembuh daripada
kanser tidak tampil ke hadapan dan tidak menghebuhkan berita baik kepada
orang ramai. Apabila pesakit pergi ke hospital, rakan-rakan senasib
dengan mereka adalah pesakit-pesakit yang masih dirawat dan ramai juga
yang mengalami kanser berulang. Kemudian di klinik dan di wad juga
mereka akan lebih banyak mendengar berita kematian. Sedangkan
rakan-rakan yang sembuh sudah tidak datang mendapatkan rawatan susulan
ataupun jarak lawatan susulan itu sudah dipanjangkan. Begitu juga jika
pesakit terlibat di dalam kumpulan sokongan kanser, kebanyakan
pengalaman yang dikongsikan adalah masalah komplikasi rawatan ataupun
kanser yang berulang sebab inilah matlamat utama kumpulan ini
ditubuhkan. Tidak kurang juga pengaruh pengamal rawatan alternatif yang
memburukkan lagi persepsi masyarakat kepada rawatan kanser moden utk
mempromosi rawatan mereka.
Kesimpulannya, masyarakat kita
terdedah kepada lebih banyak berita-berita yang tidak baik mengenai
penyakit kanser dan rawatan kanser moden. Berita2 seperti ini lebih
menarik perhatian berbanding dengan berita baik yang sebenarnya lebih
banyak. Memang tabiat masyarakat kita yang lebih teruja dengan
berita-berita sedih dan dukacita. Kesan negatif daripada fenomena ini
adalah persepsi masyarakat yang salah tentang kanser dan rawatan kanser
moden. Hakikatnya memilih kaedah rawatan moden adalah tindakan yang
tepat kerana ianya disokong oleh bukti yang kukuh berbanding dengan
kaedah rawatan alternatif. Statistik yang dibentangkan ini adalah bukti
yang jelas. Walau bagaimanapun, pakar kanser masih jauh daripada
berpuashati dengan apa yang ada, masih banyak lagi usaha yang perlu
dilakukan untuk meningkatkan keberkesanan program pencegahan, pengesanan
awal dan rawatan kanser. Pada waktu yang sama sikap masyarakat kita
memainkan peranan yg sangat besar, mereka perlu berubah dan membuat
anjakan paradigma jika mahu melihat hasil rawatan yang lebih baik di
masa hadapan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
7 hb Mach 2018
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
7 hb Mach 2018
No comments:
Post a Comment