Friday, May 6, 2016

PENJAGAAN KULIT WANITA: MITOS DAN REALITI

Dr.Ushma S Neill PHD
Perunding Editorial, Molecular Metabolism
Memorial Sloan-Kettering Cancer Centre
New York, USA
Skin care in the aging female: myths and truths
Disiarkan dalam Journal of Clinical Investigation
Citation: J Clin Invest. 2012;122(2):473–477. doi:10.1172/JCI6197


Penterjemah: Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Kebanyakan rawatan kulit yang disediakan oleh pengendali spa dan pusat kecantikan adalah untuk membersihkan kulit dan meningkatkan kelembapan kulit untuk sementara. Tetapi mendakwa ianya juga dapat membersihkan organ lain selain dari kulit adalah dakwaan yang keterlaluan. Jadi saya mengambil keputusan untuk melakukan satu tugasan demi kerana pembaca JCI untuk menentukan samada produk kecantikan kulit muka dan lain-lain rawatan topical adalah berbaloi diamalkan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan menghilangkan kedutan. Dan untuk mengkaji samada adakah benar rawatan topikal pada kulit ini mempunyai kesan sistemik termasuk membersihkan hati seseorang. Untuk melaksanakan tugasan ini, saya telah berbual dengan 4 orang Pakar Kulit (Dermatologist) dan 2 orang pakar Estetik (Estheticians,Pakar kecantikan). Berikut adalah pandangan mereka bagaimana kaedah terbaik untuk mengekalkan kulit anda pada keadaan yang terbaik mungkin.

PANDANGAN PAKAR ESTETIK

Memandangkan bahawa kulit adalah organ yang terbesar di dalam tubuh badan anda, kebanyakan anda tentu bersetuju bahawa menjaga kesihatan kulit adalah penting. Pada hakikatnya, kajian oleh industri penjagaan kulit telah melapurkan bahawa penduduk Amerika telah membelanjakan sejumlah 43 billion dollar Amerika setiap tahun untuk Krim topikal, suntikan botok dan rawatan spa.
Untuk mengetahui lebih berkenaan dengan fasial, saya berbual dengan dua orang Pakar Estetik (Pakar kecantikan, mereka tidak mahu disiarkan identiti) di spa mereka di Kotaraya New York. Saya juga ada membaca rencana di dalam blog Pakar Estetik dan juga rencana mengenai penjagaan kulit di dalam internet. Menurut Pakar Estetik tersebut, rawatan fasial yang professional melibatkan langkah-langkah berikut: 

1. Pembersihan/penyucian kulit yang teliti (thorough cleansing of the skin)
2. Analisa kulit oleh petugas fasial (facialist)
3. Pengelupasan (exfoliation)
4. Membuang (ekstrak) “blackhead”, sumbatan pada liang kulit (pores) dan mungkin juga jerawat
5. Urutan muka
6. Rawatan mask
7. Aplikasi serum, pelembap dan sunscreen

Semasa berbual dengan seorang petugas fasial (facialist), beliau berkata dengan menganalisa keadaan kulit seseorang mereka dapat mengetahui jenis kulit dan apakah keperluan kulit jenis tersebut. Beliau mendakwa ramai orang menggunakan produk yang salah untuk jenis kulit mereka dan ini menyebabkan kulit menjadi sensitif. Walau bagaimanapun, seorang Pakar Estetik pula berkata di dalam blog bahawa Pakar Estetik lebih mengetahui mengenai jenis produk yang sesuai untuk kulit. Tanpa latihan dan pengetahuan seperti Pakar Estetik yang bertauliah, anda tidak akan mampu untuk mengetahui apakah produk terbaik untuk kulit, kaedah analisis kulit itu akan menjadi sesuatu yang sia-sia. Di mana-mana bahagian kosmetik dan juga gedung produk kecantikan, kita akan dapati terdapat banyak pilihan dengan kaedah pemasaran serta pakej yang sangat mengujakan sehingga boleh menarik perhatian saintis sekalipun. Inilah yang akan menarik anda kepada Pakar Estetik lagi dan lagi – kesan tarikan psikologi yang besar terhadap anda. Mereka mendakwa bahawa kesan manfaat fasial adalah bukan sahaja untuk kesihatan kulit tetapi juga untuk kesihatan mental dan fizikal. Malah ada Pakar Estetik yang mendakwa bahawa”tekanan atau stress yang dialami setiap hari akan ditonjolkan oleh kulit anda, jadi mengambil masa satu jam untuk relak dan fokus kepada diri anda sendiri dapat membantu merehatkan mental dan fizikal anda”. Tentu sekali, fasial adalah tanda kemewahan kerana duit dan masa yang anda perlu laburkan, tetapi fikirkan pula tentang hakikat yang anda akan bebas dari gangguan talipon, email yang sering mengganggu hidup anda. Tentu ada manfaat rehat, relaksasi dan pemulihan.

Pada pandangan dan pengalaman saya, di dalam banyak-banyak langkah fasial yang dinyatakan komponen yang paling besar sumbangan kepada relaksasi adalah urutan muka. Pakar Estetik meneruskan hujah beliau iaitu “urutan boleh membantu anda relak dan mengurangkan hormon stres anda iaitu kortisol. Jika kortisol dibiarkan mengamuk di dalam diri anda, ia hanya akan memudaratkan anda,  tambahan pula, urutan juga meransang hormon oksitosin iaitu salah satu hormon badan yang boleh membuat anda merasa bagus (feel-good hormones)”. Walau bagaimanapun dakwaan Pakar Estetik mengenai Kortisol  tidak sepenuhnya benar, kerana kajian terbaru menunjukkan bahawa kesan terapi urutan (massage therapy) ke atas kandungan hormon kortisol adalah sangat minimum dan di dalam banyak kes, ianya boleh dikatakan tidak ada langsung. Begitu juga dengan kenyataan tentang hormon oksitosin yang tidak tepat sama sekali, 2 kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada langsung kesan urutan (sentuhan) ke atas tahap hormon oksitosin. Jadi dakwaan Pakar Estetik ini boleh ditolak.

Pakar Estetik juga mendakwa bahawa fasial memberi manfaat pengubatan iaitu mengawal sistem imun, detoksifikasi, mengurangkan pengumpulan cecair badan, pengelupasan kulit dan memperbaiki aliran limpa. Kandungan antioksidan di dalam produk kecantikan yag digunakan semasa fasial dapat melawan radikal bebas yang dapat membantu mengeluarkan bahan pencemar dari dalam badan. Aliran arus elektrik digunakan kononnya untuk memperbaiki aliran darah, meningkatkan kandungan kolagen dan elastin, membuang toksin dan bakteria, menggalakan aliran limpa, pengelupasan sel-sel kulit yang mati dan meningkatkan penyerapan produk Estetik kulit. Inilah di antara dakwaan-dakwan Pakar Estetik.  Saya sangat ragu-ragu dengan dakwaan ini.

PANDANGAN PAKAR KULIT (DERMATOLOGIST)

Memandangkan banyak dakwaan-dakwaan Pakar Estetik mengenai manfaat kesihatan yang diperolehi dari rawatan topikal kulit, saya telah menemui 4 Pakar Kulit ataupun Pakar Dermatologi (Dermatologist); 3 orang adalah ahli akademik (Dr.George Cotsarelis, Dr.John R. Stanley dan Dr.Michael Detmar) manakala seorang lagi adalah jiran saya dari Fifth Avenue, Dr. Adarsh Mudgil (Rajah 1).

Rajah 1: Pakar Dermatologi (George Cotsarelis, John R. Stanley, Michael Detmar dan Adarsh Mudgil)

Kita mulakan dengan sapuan primer kulit (quick primer on skin): sejauh manakah produk topikal yang disapu pada kulit dapat meresap masuk ke dalam? (Lihat rajah 2). Sebenarnya, bahan khusus di dalam produk penjagaan kulit yang baik mungkin boleh menembusi lapisan sel-sel mati stratum corneum (lapisan paling luar) dan boleh meransang pembiakan sel-sel basal keratinocytes, tetapi kebanyakan krim tidak dapat menembusi lapisan epidermis, maksudnya ia tidak dapat sampai ke lapisan dermis yang mengandungi saluran darah. Protin dan kolagen tidak akan dapat menembusi walaupun lapisan paling luar. Semua Pakar Dermatologi bercakap mengenai retinoid iaitu bahan kimia yang mempunyai hubungan dengan vitamin A dan rata-rata berpendapat ianya boleh menembusi lapisan epidermis masuk ke dermis hingga ke dalam saluran darah dan boleh memberi kesan sistemik. Pada hakikatnya, tretinoin (juga dikenali sebagai retinoic acid ataupun Retin-A) selalu digunakan untuk rawatan banyak masalah kulit seperti photoaging (kesan penuaan kulit akibat terdedah kepada sinaran ultra unggu (uv light), jerawat dan penyakit psoriasis.

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengajukan pertanyaan kepada Pakar-Pakar Dermatologi ini iaitu adakah mungkin produk kulit yang digunakan oleh petugas spa dapat membersihkan hati saya. Kesemua Pakar Dermatologi yang saya temui ini mengatakan TIDAK. Dr.Michael Detmar memberi komen, “dengan konsentrasi kandungan kompoun yang digunakan di spa adalah tidak mungkin ianya akan sampai ke hati untuk menyucikannya.Saya rasa kenyataan itu seperti dari seorang pengamal ajaran sesat ataupun bomoh berbanding dengan realiti”. Terdapat 2 pengecualian iaitu 1. Steroid jika diaplikasikan pada bahagian kulit boleh meresap masuk ke dalam sistem aliran darah dan merencat axis adrenal-pituitari dan 2. Karbon Tetraklorida (Carbon Tetrachloride) boleh menembusi kulit tetapi ianya adalah toksik kepada hati, ianya juga adalah kompoun yang mungkin tidak ada di dalam produk kecantikan topikal di spa. Jadi kesimpulannya, saya boleh katakan bahawa adalah mustahil untuk membersihkan hati (cleance the liver) di spa kerana saya beranggapan bahawa apa-apa produk topikal yang digunakan di spa tidak berupaya untuk menembusi lapisan kulit untuk masuk ke dalam aliran darah apatah lagi untuk pergi ke organ hati, kerana jika ini berlaku bahan-bahan ini sudah dikira sebagai sejenis dadah/ubat yang memerlukan regulasi dari FDA.


Rajah 2: Kulit manusia terdiri dari 2 lapisan iaitu epidermis di bahagian paling luar dan dermis dengan tisu penyokong, folikel rambut, salur darah dan salur limpa.


Kita tukar tajuk perbincangan daripada kesan produk kecantikan kulit terhadap organ hati kepada tajuk kesan produk topikal kepada kulit muka. Saya bertanyakan kepada Pakar Dermatologi ini, adakah apa-apa manfaat perubatan melakukan fasial. Dr.Mudgil berkata “saya tidak akan mengesyorkan fasial kepada pesakit saya”. Apabila kulit anda mengalami pigmentasi hitam, petugas fasial (facialist) akan memicit keluar apa sahaja yang ada termasuk jerawat, yang boleh menyebabkan lebih mudarat termasuk kesan parut yang lebih kehitaman dan mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih. Dua lagi Pakar Dermatologi bersetuju dengan pendapat Dr.Mudgil tetapi Dr. Stanley mempunyai pendapat yang sedikit berbeza, beliau berpendapat fasial boleh membuang sel-sel kulit yang mati (desquamation of dead cells). Lapisan sel-sel mati ini adalah serpihan strateum corneum (Strateum corneum flakes) dan jika kulit menjadi sedikit bersisik, fasial boleh menghilangkannya. Terdapat beberapa fasial yang Pakar Dermatologi boleh lakukan iaitu menggunakan asid Glikolik (Glycolic acid) yang boleh menyebabkan keradangan kulit (inflammation), dengan keradangan ini kulit mengalami sedikit kebengkakan (oedema) dan dengan sedikit kebengkakan ini kulit anda kelihatan lebih tegang dan kedut yang sedikit boleh hilang walaupun untuk sementara.

Mengenai pendapat Pakar Estetik yang mendakwa fasial boleh memberi manfaat kesihatan yang besar seperti regulasi sistem imun, detoksifikasi, mengurangkan pengumpulan cecair badan, meransang sistem aliran limpa, pengelupasan dan mengurangkan stres, Dr. Stanley berpendapat ada sedikit kebenaran iaitu fasial mengurangkan stres. Beliau berkata “relaksasi mungkin boleh mengawal sistem imun tetapi fasial tidak akan mempunyai kesan langsung ke atas sel-sel imun”. Seperti yang kita katakan tadi, terdapat percanggahan pendapat mengenai kandungan air/cecair badan, mereka berkata fasial mengurangkan pengumpulan air sedangkan pada pandangan Pakar Dermatologi, fasial menyebabkan keradangan dan kebengkakan kulit. Pandangan kita lebih munasahab kerana kekurangan air akan menyebabkan kulit kelihatan kering dan berkedut.

Mengenai kesan fasial ke atas kandungan cecair badan dan pengaliran cecair limpa, sukar untuk mendapat pandangan yang sama kerana Pakar-pakar dermatologi yang ditemuduga tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Pakar Estetik. Badan kita sudah mempunyai sistem kawalan air termasuk oleh organ ginjal. Seseorang yang normal tidak akan menghadapi masalah aliran limpa di bahagian kulit muka, dan jika pun mereka menghadapi masalah aliran limpa, bagaimana fasial dapat mengatasinya? Dr. Detsmar membuat andaian mungkin proses penuaan dan pendedahan kulit kepada cahaya matahari merosakkan salur limpa dan menyebabkan kuantiti salur limpa berkurangan untuk mengawal kandungan cecair di luar salur darah. Aliran limpa memang terdapat pada bahagian kulit untuk mengimbangkan kandungan cecair yang keluar dari salur darah, tetapi bagaimana fasial dapat memperbaiki sistem aliran limfa menjadi tandatanya. Jikapun fasial berkesan memperbaiki aliran limpa dan mengurangkan pengumpulan cecair, apakah ini ada kaitan dengan kesihatan kulit, kulit nampak lebih remaja dan badan menjadi lebih sihat ?

KAJIAN SAINTIFIK

Saya mengambil keputusan untuk melakukan kajian ke atas diri saya sendiri di mana saya menyuruh Dr.Mudgil untuk menganalisa kulit saya sebelum dan selepas menjalani fasial (saya tidak memberitahu beliau apa yang telah saya lakukan terhadap kulit muka saya). Tujuannya adalah untuk melihat adakah perbezaan sebelum dan selepas fasial dilakukan. Dr. Mudgil membuat analisa dan berkata “awak bernasib baik untuk mempunyai pigmentasi yang seimbang di kulit muka, jadi kulit anda nampak sangat keremajaan (youthful)- awak memiliki kulit seorang yang berusia 20-an walaupun usia sebenar awak adalah pertengahan atau lewat 30-an. Adalah sukar untuk mengatakan usia seseorang yang berkulit lebih gelap seperti orang Asia dan Afrika berdasarkan kepada kulit mereka. Kulit awak adalah sangat normal, jadi saya tidak pasti samada akan dapat memberi tahu perbezaan kulit awak ketika lawatan akan datang”.

Melalui nasihat dari beberapa rakan saya yang “beauty-conscious”, saya memilih sebuah spa yang dikendalikan oleh seorang Pakar Dermatologi di Manhattan untuk mendapatkan khidmat asas Fasial. Petugas Fasial saya (seorang Pakar Estetik yang tidak mahu disiarkan identitinya) mendakwa “kulit anda mengalami sedikit kongesi (congestion) pada zon T dan anda mengalami sedikit dehidrasi (kekurangan air), saya boleh katakan yang anda mengalami kombinasi kulit yang berminyak di zon T dan kekeringan di tempat-tempat lain, hidung dan pipi anda juga mengalami kerosakan cahaya matahari (“sun damage”)”. Petugas Fasial tersebut mencadangkan saya mula menggunakan bahan pengelupas (exfoliator) iaitu  beads ataupun enzim untuk membantu  mencerahkan kulit dan membawa sel-sel baru naik (brighten the skin and bring new cells up). Beliau juga menyuruh saya menggunakan  krim mata, kerana “anda kelihatan sedikit kekeringan di bahagian itu”. “Anda tidak ada kedutan kulit yang serius, tetapi anda mesti pastikan ianya cukup hidrasi supaya kedutan tidak kelihatan”, katanya lagi.

Saya kembali menemui Dr.Mudgil sehari selepas melakukan fasial untuk melihat samada Pakar Dermatologi ini dapat mengesan sebarang kelainan terhadap kulit saya (tanpa mengetahui yang saya sudah menjalani fasial). Beliau dapati, apa yang telah saya lakukan ke atas kulit saya itu adalah tidak ketara (subtle). Merujuk kepada wujudnya kemerahan di bahagian kening saya, Dr.Mudgil membuat andaian bahawa saya melakukan sesuatu yang menyebabkan pengelupasan kulit (Exfoliative)- mungkin seperti menggunakan bahan kimia untuk pengelupasan (chemical peeling ). Apabila saya berterus terang yang saya telah menjalani fasial dan memberitahu beliau bahawa Pakar Estetik melakukan analisa kulit saya iaitu jenis kulit yang bercampur (combined skin type), Dr.Mudgil berkata “ sebenarnya setiap orang mempunyai jenis kulit yang bercampur, dan saya boleh katakan bahawa kulit awak adalah sangat normal di keseluruhannya. Kawasan muka manusia yang paling banyak kandungan kelenjar minyak adalah di bahagian zon T – di bahagian hidung mungkin paling banyak kelenjar minyak. Apabila saya bertanyakan beliau adakah kesan kerosakan cahaya matahari di bahagian hidung dan pipi, beliau tidak bersetuju dengan Pakar Estetik tadi dengan berkata: “ Kulit awak adalah di antara kulit yang paling minima kerosakan akibat cahaya matahari yang seusia dengan awak pernah saya temui di klinik”. Kesimpulannya, Pakar Dermatologist menyanggah hampir ke semua analisis yang dilakukan oleh Pakar Estetik.

Pertemuan saya dengan Dr.Mudgil berakhir dengan sedikit tip iaitu : “ Jangan dapatkan perkhidmatan fasial kerana ia boleh melakukan lebih kerosakan dari kebaikan”. Jadi apakah pilihan saya? Beliau mencadangkan saya menggunakan pelembat kulit muka yang mengandungi SPF 15 di dalamnya, walaupun jika musim hujan dan bersalji. Beliau juga menasihati saya supaya membasuh muka dua kali sehari dengan pembasuh muka (“mild multipurpose acne wash”), walaupun jika saya tidak mempunyai jerawat. Penggunaan retinoid pada waktu malam boleh dipertimbangkan apabila saya mempunyai cukup alasan kemudian hari.

KECANTIKAN ADALAH SETEBAL KULIT

Saya mengambil keputusan untuk bertanyakan Pakar-Pakar Dermatologi mengenai produk penjagaan kulit dan bagaimana untuk menjaga kulit supaya kekal sihat dan nampak remaja, kali ini memberi fokus kepada produk topikal yang boleh diperolehi di premis-premis kecantikan ataupun farmasi. Setiap pakar menegaskan bahawa kaedah yang paling penting untuk tujuan penjagaan kulit adalah menggunakan sunscreen setiap hari terutama yang mengandungi titanium dioxide ataupun zinc oxide, yang merupakan pelindung fizikal (physical blocker) kepada sinaran cahaya matahari. Dr.Stanley memberi komen bahawa” sun protection is the single most important thing to ensure your skin looks good for a long time. All the other thing to ensure you could do to your skin are so minor compared to sun protection- and it’s not just sunscreen: clothing and hats and just not baking in the sun”.

Bagaimana pula dengan produk lain seperti pencuci muka (facial cleansers)? Dr.Cotsarelis berkata orang ramai suka menggunakan sabun yang diwar-warkan 99.44% tulin. Beliau berkata “berapa ramai pesakit yang berjumpa dengan kami di klinik dengan kulit yang kering dan mengelupas terutama ketika musim sejuk disebabkan oleh penggunaan sabun, orang Amerika suka mandi berlebih-lebihan,menyebabkan kulit mereka menjadi kering”. Tujuan penggunaan sabun adalah untuk menghapuskan minyak di permukaan kulit, tetapi sebenarnya kulit kita memerlukan sedikit minyak dan kelembapan. Jika setiap orang menggunakan sabun pelembab, kita boleh mengurangkan bilangan pesakit ke klinik. Anda patut menggunakan Vaseline pada waktu malam untuk menanggalkan makeup, gunakan kertas tisu untuk membuang lebihan dan mengwujudkan perlindungan serta menjadikan kulit sentiasa lembap.

Pakar Dermatologi berpendapat bahawa kulit di bawah mata seseorang adalah paling nipis dan akan lebih mudah menampakkan reaksi jika disapu produk-produk kecantikan ataupun rawatan kulit. Jadi lebih elok jika digunakan produk yang hanya mengandungi pelembap di bahagian bawah kulit. Dr. Cotsarelis berpendapat, Vaseline boleh digunakan juga.

Adakah perbezaan jenis produk kecantikan kulit untuk wanita yang berusia  50 ke bawah dengan 50 tahun ke atas, memandangkan terlalu banyak usaha mempromosikan produk kosmetik kepada wanita yang lebih berusia. Pakar Dermatologi berkata ini adalah tidak logik, setengah orang kelihatan seperti berusia 50 tahun sedangkan mereka baru berusia 30 tahun. Manakala ada pula yang tidak kelihatan berusia seperti 50 tahun sehingga usia mereka mencecah 60 tahun. Faktor jenis kulit adalah lebih relevan untuk menentukan bagaimana kulit anda kelihatan dan bukan usia anda. Jika kulit anda jenis kering, ada produk yang khusus untuk kulit jenis ini, tidak kira samada anda berusia 35 ataupun 55 tahun. Dr.Cotsarelis berpendapat perbezaan yang paling ketara di antara kulit orang muda dan tua adalah sejauh mana kesan pendedahan kepada cahaya matahari. Pendedahan matahari menyebabkan kehilangan kolagen dan elastin, yang berfungsi menegangkan kulit anda. Begitu juga kesan graviti turut memainkan peranan mempengaruhi bagaimana kulit anda kelihatan. Jadi tentu sekali jika anda mempunyai kulit yang kendur, berkerut dan banyak tompok kehitaman, anda akan mendapat lebih manfaat dengan rawatan laser, pengelupas dan dari krim topikal.

Bagaimana pula dengan produk yang ada label semulajadi ataupun organik, adakah ianya lebih berkesan atau lebih selamat untuk disapu pada permukaan kulit. Tidak semestinya natural ataupun semulajadi itu lebih selamat ataupun lebih berkesan. Contohnya terdapat asid Kaustik (caustic acid) di dalam limau yang boleh menyebabkan masalah kulit. Jus dari limau juga boleh menyebabkan fotodermatitis apabila bahagian kulit yang dibasahi oleh jus ini didedahkan kepada sinaran ultraunggu dari matahari.  Semua ini adalah produk semulajadi (natural). Natural/semulajadi tidak bermakna ianya selamat jika disapu pada kulit anda. Racun ivy yang diperolehi dari daun dan ranting pokok ivy jika disapu pada bahagian kulit boleh menyebabkan ruam dan alahan pada kulit yang serius. Ini adalah produk semulajadi.

Akhir sekali saya bertanya kepada Pakar-Pakar Dermatologi ini tentang adakah krim topikal dapat mengurangkan kedutan pada kulit wanita yang lanjut usia. Mereka menyebut retinoid. Dr. Mudgil berkata “retinoid adalah penting untuk digunakan untuk tujuan itu, dan terdapat formulasi yang tidak terlalu kering seperti yang digunakan untuk rawatan jerawat. Manakala Dr. Detmar berkata “anda dengan mudah mengurangkan kedutan yang halus dengan penggunaan pelembap. Kebanyakan produk-produk kosmetik adalah terdiri dari beberapa jenis pelembap yang berbeza, ia dapat mengurangkan kedutan yang nipis (fine lines) sebanyak 15-20%.  Penggunaan retinoid setiap hari boleh mencegah kedutan, ia masuk ke dalam kulit dan bertindak ke atas extracellular matrix – iaitu kolagen dan fiber elastin.
Pengajaran terakhir: GUNAKAN SUNCREEN, VASELINE DAN RETINOIDS, JANGAN PEDULIKAN FASIAL, JANGAN SAPU RACUN IVY DAN JUS CITRUS ATAS KULIT ANDA DAN JANGAN  TERPENGARUH DENGAN PAKEJ PRODUK KECANTIKAN YANG MENGANCAM SERTA MAHAL.

Ushma S. Neill. Skin Care in the aging female: myths and truths. J Clin Invest. 2012;122(2):473–477. doi:10.1172/JCI61978

Rencana ini adalah terjemahan dari rencana asal yang ditulis di dalam bahasa Inggeris oleh Dr. Ushma S.Neill (rujukan di atas). Ianya bukan pendapat saya ataupun pendapat mana-mana pertubuhan dan institusi.

Sunday, May 1, 2016

TESTIMONI,TESTIMONI,TESTIMONI........

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM













Testimoni adalah dakwaan atau pengakuan seseorang mengenai sesuatu perkara atau mengenai seseorang yang dibuat berdasarkan kepada pengalaman sendiri ataupun orang lain, untuk tujuan menyakinkan orang lain bahawa sesuatu dakwaan itu benar ataupun tidak. Testimoni seringkali dihasilkan di dalam bentuk tulisan, percakapan, rakaman suara ataupun rakaman video. Terdapat banyak keadaan di mana testimoni digunakan seperti untuk tujuan laporan peribadi, hujah peguambela atau pendakwa di mahkamah, testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan, penyiaran lapuran kes perubatan  dan lain-lain lagi. Untuk ruangan yang terhad ini saya hanya akan menumpukan perbincangan kita kepada testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan yang sering digunakan oleh orang ramai dan juga pengeluar produk untuk tujuan menyakinkan pengguna.Tidak dapat dinafikan bahawa testimoni mempunyai peranannya di dalam membuktikan ketepatan sesuatu fakta kerana banyak kajian lanjut dilakukan sebagai lanjutan dari hasil pemerhatian ataupun testimoni.Banyak penemuan sains bermula dari pemerhatian, contohnya penemuan penisilin yang dicetuskan oleh pemerhatian kesan kulat terhadap pembiakan bakteria di dalam plat kaca telah mencetuskan kajian saintifik sehingga terhasilnya antibiotik penisilin. Walau bagaimanapun persoalannya adakah testimoni ataupun pemerhatian ini sudah cukup untuk diterima sebagai bukti keberkesanan dan kemudiannya diamalkan? Ikuti kupasan ringkas tajuk ini.

BAGAIMANA SAINS MEMBUKTIKAN KEBERKESANAN SESUATU PRODUK

Produk kesihatan merangkumi ubat-ubatan (makan,suntikan,semburan dan lain2), alatan ataupun prosedur yang bertujuan untuk mencegah, menyembuh ataupun merawat sesuatu jenis penyakit.Untuk mengaitkan keberkesanan sesuatu produk ke atas sesuatu penyakit, ada LIMA perkara yang perlu difahami tentang penyakit:

1. Terdapat penyakit boleh sembuh sendiri tanpa rawatan, maksudnya tubuh badan seseorang itu boleh menyembuhkan penyakit yang dihadapi contohnya jangkitan penyakit, jangkitan yang ringan dapat dihapuskan oleh sistem pertahanan badan tanpa ubatan. Banyak lagi penyakit yang boleh sembuh sendiri.

2. Terdapat penyakit yang bertindakbalas agak lambat terhadap rawatan yang diberikan.

3. Di dalam perubatan terdapat keadaan yang dinamakan kelainan psikosomatik ("psychosomatic disorders") iaitu gejala fizikal (seperti sakit kepala, sakit badan, sakit perut, sakit sendi, dan lain-lain) dialami oleh seseorang yang tidak mengalami masalah sakit fizikal tetapi sebenarnya sedang menghidapi masalah emosi, psikologi ataupun mental.

4. Sebelum sesuatu produk digunakan untuk merawat sesuatu penyakit, penyakit tersebut hendaklah disahkan dahulu oleh doktor dengan kaedah yang tepat berdasarkan kepada teknologi perubatan yang diamalkan.

5. Kesan plasebo adalah fenomena yang boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja yang mengadu sakit. Kesan plasebo adalah fenomena di mana pesakit merasa sembuh dari masalah kesihatan yang dialami walaupun diberi sesuatu benda yang menyerupai ubat sedangkan di dalamnya tidak ada langsung unsur pengubatan (pesakit tidak menyedari perkara ini) seperti hanya mengandungi gula, air kosong, air garam dan lain-lain (termasuk jampi, urutan) yang tidak ada kena mengena dengan penyakit yang hendak disembuhkan. Pesakit merasa lega sebab keyakinan yang tinggi terhadap benda tersebut. Pesakit ini sebenarnya mengalami kesan psikosomatik. Kesan plasebo kadangkala boleh menjadi ubat untuk masalah kelainan psikosomatik.

Dengan kesedaran wujudnya 5 fakta di atas di samping pengetahuan tentang ilmu biostatistik, ahli-ahli sains perubatan akan menggunakan kaedah kajian saintifik untuk menentukan samada sesuatu produk tersebut berkesan ataupun tidak berkesan. Kajian saintifik juga bertujuan menolak kemungkinan kesan positif itu disebabkan oleh faktor plasebo. Rencana mengenai kaedah pembuktian dan kajian saintifik ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana tulisan saya di sini. Ringkasnya, ahli sains perlu melaksanakan beberapa peringkat kajian  (mengikut urutan dari awal hingga akhir)  iaitu pemerhatian, hipotesis, kajian pra-klinikal (makmal dan kajian haiwan), kajian fasa 1, kajian fasa 2, kajian fasa 3 dan kajian fasa 4. Setelah berjaya membuktikan keberkesanan produk itu di dalam kajian fasa 3, barulah produk tersebut boleh dicadangkan kepada Penguatkuasa Ubatan untuk tujuan diluluskan bagi kegunaan orang ramai.Di dalam setiap fasa-fasa kajian ini, keberkesanan ubat, kesan sampingan jangka-pendek ubat terhadap manusia serta anak di dalam kandungan, dos ubat yang optima (minima dan maksima) serta kesan sampingan jangkapanjang akan dikaji dan melibatkan ramai responden dan masa yang panjang. Perbandingan kesan ubat akan dilakukan ke atas dua kumpulan responden iaitu kumpulan yang akan diberi ubat yang diuji dan kumpulan yang diberikan plasebo, apabila kedua-dua kumpulan ini tidak mengetahui apakah yang mereka ambil (ubat ataupun plasebo), maka kajian ini dinamakan "Double blind Prospective Randomized Control Trial". Di dalam banyak2 kaedah pembuktian keberkesanan, "double blind prospective control trial" adalah metodologi kajian yang terbaik. Ahli biostatistik akan memastikan bilangan sampel yang optima serta menjalankan ujian biostatistik untuk melihat samada ubat yang digunakan itu memang berkesan merawat penyakit yang dikaji ataupun disebaliknya. Setelah kajian selesai, barulah pengkaji dan pakar statistik ("statistician") akan membuat rumusan samada ubat tersebut benar-benar berkesan ataupun sebaliknya.

DI MANAKAH KEDUDUKAN TESTIMONI

Testimoni hanyalah kenyataan atau dakwaan oleh seseorang terhadap kesan sesuatu produk ke atas kesihatan dirinya yang berdasarkan kepada pengalaman, kepercayaan serta ingatan  tanpa mengambil kira 5 pekara yang saya sebutkan di atas. Di dalam istilah perubatan, testimoni boleh disamakan dengan "anecdotal evidences" iaitu kaedah pembuktian yang paling lemah dan tidak boleh digunakan untuk tujuan meyakinkan pengguna apatah lagi untuk tujuan amalan mencegah ataupun merawat penyakit. Jika testimoni ini dikaitkan dengan peringkat kajian saintifik, ia sebenarnya hanya layak ditempatkan dalam peringkat pemerhatian (observation) iaitu sebelum kajian pra-klinikal boleh dimulakan (sila baca rencana tulisan saya ini untuk keterangan lanjut mengenai kajian saintifik). Dengan perkataan lain, testimoni hanyalah hasil pemerhatian yang mungkin sekadar cukup untuk meransang ahli sains melakukan kajian pra-klinikal, testimoni tidak memberi apa-apa makna dari segi keberkesanan produk. Seseorang yang memberi testimoni boleh mengatakan apa sahaja yang beliau mahu berdasarkan kepada kepercayaan dan tahap ingatan yang beliau miliki. Seseorang yang membuat testimoni tidak boleh lari dari mempunyai kepentingan ke atas produk yang hendak dipasarkan dan pada setiap keadaan hanya testimoni yang baik sahaja akan dikongsikan.Pengeluar produk ataupun pengedar produk akan hanya mencari pengguna-pengguna yang mendapat kesan positif untuk mewar-warkan produk tersebut sedangkan mungkin lebih ramai yang tidak mendapat sebarang manfaat ataupun mengalami kesan sampingan, tetapi tidak diheboh-hebohkan. Jikapun ada kesan positif dari produk tersebut, tanpa kajian saintifik yang disebutkan di atas, tidak mungkin dapat membuktikan dengan tepat adanya kaitan di antara produk dan kesan ("causal relationship") kerana pengguna tersebut mungkin akan sembuh walaupun tanpa mengambil sebarang produk atau pengguna tersebut hanya mendapat manfaat kesan plasebo ataupun mungkin pengguna tersebut sudah mengambil ubat-ubatan lain yang kesan positifnya agak lambat. Di samping itu, terdapat banyak keadaan di mana pesakit belum lagi disahkan menghidap penyakit tersebut ataupun hanya didakwa oleh pengamal perubatan alternatif. Saya kerapkali berhadapan dengan pesakit yang mengaku menghidap kanser tetapi tidak pernah menjalani ujian pengesahan kanser. Sebaliknya diagnosa tersebut dilakukan oleh pengamal perubatan alternatif ataupun pesakit itu sendiri yang mendiagnosa dirinya sendiri berpandukan kepada buku dan internet. Apabila penyakit belum disahkan lagi, mana mungkin pesakit ataupun perawat boleh mendakwa ada ubat untuk merawat. 

KESIMPULAN

Di dalam mengenalpasti keberkesanan sesatu produk kesihatan, adalah amat penting kepada pengguna untuk memahami proses-proses pembuktian yang tepat supaya mereka tidak mudah terpedaya. Perkataan testimoni mungkin bunyinya hebat tetapi hakikatnya perkataan ini adalah perkataan yang paling banyak mengelirukan orang ramai dan menyebabkan salah faham serta pembaziran wang yang sia-sia. Testimoni hanya boleh digunakan sebagai alasan awal bagi kita membuat penyiasatan ataupun kajian lanjut untuk membuktikan keberkesanan.Testimoni tidak pernah diiktiraf sebagai satu kaedah pembuktian yang bermakna untuk dijadikan alasan untuk beramal.  Jangan mudah terpedaya dengan testimoni lebih-lebih lagi jika ianya dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik yang serius seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit darah tinggi, penyakit kanser, penyakit ginjal dan lain-lain. Kesilapan anda terpengaruh dengan testimoni boleh menyebabkan bukan sahaja anda kehilangan wang ringgit, tetapi yang lebih serius, penyakit anda menjadi lebih parah, anda mengalami kesan sampingan produk tersebut dan mungkin anda serta ahli keluarga anda boleh kehilangan nyawa. Saya menyeru kepada pengguna dan pengeluar-pengeluar produk kesihatan supaya bersikap jujur dan berhati-hati apabila menggunakan testimoni di dalam mempromosi produk kesihatan kerana anda boleh menjadi sebab musabab kemudaratan orang lain.Semoga rencana ini bermanfaat.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.


Saturday, April 16, 2016

STEM CELLS (SEL-SEL STEM): MITOS DAN REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG (UKM), Fellow GO (S'pore),AM
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

SEL STEM : MITOS DAN REALITI

MEMAHAMI SEL, TISU DAN ORGAN

Sebelum anda mempelajari apakah itu sel stem, adalah lebih baik anda mengetahui sedikit sebanyak fakta mengenai sel, tisu dan organ. Sel adalah unit terkecil yang membentuk sesuatu organisme yang hidup. Terdapat juga organisma yang terdiri dari hanya satu sel sahaja seperti bakteria, mereka dikatakan hidupan uniselular (“unicellular”). Manusia dijadikan dari berjuta-juta sel dan dikenali sebagai hidupan multiselular (“multicellular”). Terdapat banyak jenis sel-sel di dalam badan manusia dan apabila sel-sel yang mempunyai fungsi yang sama  dikumpulkan akan membentuk tisu, contohnya tisu otot yang boleh memanjang dan memendek bagi membantu pergerakan anggota badan. Tisu-tisu yang memiliki ciri-ciri yang sama pula apabila dikumpulkan akan membentuk organ. Contohnya tisu otot jantung akan membentuk sebuah organ jantung. 

Setiap sel mengandungi selaput luar yang berfungsi sebagai dinding yang akan bertanggungjawab menapis bahan-bahan keluar dan masuk ke dalam sel. Di bahagian dalam sel terdapat bahagian yang dinamakan sitoplasma yang merupakan komponen terbesar sesuatu sel (lihat rajah 1). Di dalam sitoplasma inilah terdapat organ-organ kecil ataupun organel (“organelle”)  yang mempunyai fungsi-fungsi khusus seperti mengangkut protin, membuang bahan buangan sel dan sebagainya. Contoh organ-organ kecil ini adalah Mitokondria yang berbentuk bulat bujur berfungsi menghasilkan tenaga kepada sel. Organ-organ kecil yang lain adalah ribosom yang berfungsi di dalam proses pembentukan protin. Organ kecil atau organel yang paling menonjol dan sangat penting di dalam sitoplasma adalah nukleus. Nukleus berbentuk bulat dan mempunyai selaputnya sendiri yang dinamakan selaput nukleus. Selaput ini penting untuk menghalang sebarang bahan kimia yang terdapat di dalam sitoplasma daripada merosakkan bahan baka di dalamnya. Di dalam nucleus inilah terdapatnya kromosom iaitu struktur yang dibentuk oleh molekul yang dinamakan DNA singkatan kepada “deoxyribonucleic acid” (lihat  rajah 1.0) . Pada DNA inilah terletaknya bahan baka ataupun gen yang menentukan ciri-ciri fizikal dan fungsi sesuatu organism. Molekul DNA ini terdiri dari dua lengan yang berbentuk spiral berbelit . Semasa proses pembahagian sel, DNA boleh menjalani duplikasi (“duplication”) supaya apabila pembahagian sel berlaku, anak sel akan mempunyai bilangan DNA yang sama. Perkataan kromosom merujuk kepada satu struktur yang kompleks yang mengandungi molekul DNA yang bergabung dengan protin-protin khusus yang berfungsi memegang molekul DNA tersebut. Protin-protin ini juga berperanan mengawal fungsi DNA, jadi apabila menyebut kromosom ianya merujuk satu struktur di dalam nucleus yang mengandungi molekul DNA di dalamnya. Satu kromosom membawa satu molekul DNA. Di dalam nukleus sel matang, kromosom wujud berpasangan. Terdapat 23 pasang kromosom di dalam sel yang matang ataupun berjumlah 46 kromosom semuanya.


Terdapat dua jenis sel di dalam badan manusia iaitu sel-sel germa dan sel-sel somatik. Sel-sel germa adalah sel yang dihasilkan oleh kelenjar ovari dan kelenjar testis. Sel germa yang matang bagi wanita dikenali sebagai ovum, manakala sel germa bagi lelaki dinamakan sel sperma. Sel-sel germa ini bertanggungjawab menjalani proses persenyawaan bagi menghasilkan embrio/janin. Sel-sel somatik pula adalah sel-sel yang lain selain dari sel-sel germa seperti sel darah, sel kulit, sel rambut dan lain-lain. Sel-sel germa mempunyai separuh kandungan DNA atau kromosom jika dibandingkan dengan sel-sel somatik. Jumlah bilangan kromosom di dalam satu sel somatik adalah 46 manakala di dalam sel germa pula terdapat 23 kromosom. Apabila dua sel germa bercantum maka terbentuklah sel yang mengandungi sejumlah 46 DNA/kromosom dan sel-sel ini akan membahagi untuk membentuk seorang individu baru yang berbeza. Ciri-ciri individu baru ini tentulah merupakan percampuran dari kedua-dua ciri-ciri ibu dan bapanya.

Rajah 1.0 : Ilustrasi (A) menunjukkan struktur yang membentuk satu sel manakala (B) menunjukkan kromosom yang terdapat di dalam nucleus, kromosom mengandungi DNA iaitu molekul yang berbelit-belit dan mengandungi bahan baka ataupun gen.



SEL STEM

Sel stem adalah sejenis sel somatik yang istimewa, ia berkeupayaan untuk mendifferensiasi (berubah bentuk) dan membahagi dengan sendiri dan dengan kaedah rangsangan yang betul berserta dengan faktor-faktor pembiak (“growth factors”) ianya boleh berkembang menjadi sel-sel khusus tertentu yang akan menjadi tisu-tisu dan organ badan. Sel-sel stem ini memerlukan media dan faktor pembiak di dalam makmal yang canggih untuk hidup, ia tidak boleh dihasilkan di luar makmal dalam betuk krim, bahan makanan apatah lagi disapu begitu sahaja di permukaan kulit. Sel stem adalah sel yang belum matang dan apabila menjadi matang ianya boleh menjadi sel-sel matang yang khusus seperti sel kulit , sum-sum tulang, sel jantung dan sel saraf. Setiap organ badan mempunyai sel-sel stemnya yang tersendiri dan bersedia untuk bertukar menjadi sel matang jika sel-sel matang yang ada telah rosak ataupun mati. Walau bagaimanapun terdapat banyak tisu dan organ badan yang tidak boleh dihasilkan semula (regenerasi) secara semulajadi ataupun kadar regenerasi yang sangat perlahan seperti sel otot jantung, sel otak, sel paru-paru dan  sel saraf. 

Prinsip penggunaan sel stem adalah dengan mengambil (ekstrak) sel stem dari sumbernya, kemudian meransang sel-sel stem ini supaya ianya akan berkembang menjadi sel-sel matang yang kelak menjadi tisu-tisu anggota badan tertentu. Kemudian ianya akan diberikan kepada individu tersebut. Memandangkan sel-sel stem tersebut diambil dari individu itu sendiri, maka sel-sel matang ataupun tisu-tisu yang terhasil nanti tentu mempunyai ciri-ciri genetik yang sama dan boleh digunakan untuk tujuan pemindahan tisu atau organ jika sekiranya diperlukan. Apabila tisu atau organ yang hendak dipindah atau didermakan itu mempunyai persamaan genetik, maka proses pemindahan organ berkemungkinan besar akan berjaya dan risiko penolakannya (rejeksi) menjadi minima.

JENIS-JENIS SEL STEM

Terdapat tiga jenis utama sel stem iaitu:

   1. Sel stem multipoten: sel stem ini boleh berkembang hanya kepada sel-sel matang yg tertentu sahaja. Contohnya sel stem yang diperolehi dari sum-sum tulang hanya boleh berkembang menjadi sel darah.

  2. Sel stem pluripotent adalah sel stem yang boleh berkembang menjadi semua jenis sel di dalam badan. Sel stem jenis ini selalunya diambil dari embrio peringkat blastosis. Walau bagaimanapun hari ini sel stem pluripoten ini telah boleh dihasilkan dari sel somatik seorang dewasa dengan kaedah kejuruteraan genetic di mana sel tersebut diransang dengan memindahkan gene tertentu ke dalam DNA nya sehingga sel matang itu boleh kembali menjadi sel stem yang asal. Sel stem yang dihasilkan melalui kaedah ini dikenali sebagai iPSC (“induced pluripotent stem cells”). Ianya ditemui pada tahun 2006 oleh Shinya Yamanaka.

   3. Sel stem totipoten adalah sel stem yang diambil dari peringkat awal embrio (peringkat 2 sel) yang boleh berkembang menjadi seorang manusia. Penggunaan sel stem totipotent adalah sebahagian dari asas proses pengklonan (cloning).

SUMBER-SUMBER SEL STEM

Sebelum kita mempelajari dengan lebih lanjut mengenai sel stem, adalah penting untuk kita mengetahui dari manakah sumber-sumber sel stem ini diperolehi.Terdapat beberapa sumber sel-sel stem yang boleh diperolehi untuk tujuan penyelidikan dan juga perubatan.

Berikut adalah sumber-sumber sel stem yang boleh diambil dengan kaedah-kaedah tertentu  (lihat rajah 2 dan 3):

a.   Sel-sel di dalam sum-sum tulang, darah dan juga darah tali pusat bayi.Sel-sel stem ini dikenali sebagai sel stem multipoten bermaksud setiap sel-sel stem ini hanya boleh bertukar kepada sel-sel matang di dalam sistem sel tertentu sahaja contohnya sel darah. Sel-sel stem dari darah tali pusat boleh disimpan dan digunakan satu hari nanti. Sel-sel stem ini boleh dibiak dan berkembang menjadi sel darah putih, sel darah merah ataupun sel-sel pembeku darah.

b. Sel-sel dari Blastosis  iaitu peringkat embrio yang dihasilkan melalui persenyawaan di antara sperma dengan ovum. Sumber embrio ini diperolehi dari lebihan embrio yang tidak digunakan semasa rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Dikatakan bahawa Blastosis adalah peringkat embrio yang paling kaya dengan sel stem dimana setiap sel di dalam blastosis adalah sel stem dan berkeupayaan untuk berkembang menjadi apa sahaja jenis sel matang dan tisu badan . Sel-sel stem dari Blastosis dikatakan mempunyai ciri-ciri pluripoten yakni setiap sel-sel ini boleh berubah kepada sebarang sel-sel serta tisu-tisu badan. Sel stem yang diambil dari embrio dikenali sebagai sel stem embrionik (“embyonic cell stem”). Jika sel-sel stem ini diambil daripada embrio yang lebih awal contohnya pada peringkat 2 sel, ianya dikenali sebagai sel stem totipoten kerana sel-sel ini boleh membiak dan berkembang menjadi keseluruhan individu.

c.  Sel-sel germa (germ cells). Sel-sel germa boleh diperolehi dari embrio yang telah melekat (implan) di selaput dinding rahim (endometrium). Sel-sel germa ini boleh digunakan untuk menghasilkan sperma bagi tujuan rawatan masalah kesuburan. Sel-sel stem  sperma ini juga boleh diperolehi dari kelenjar testis kanak-kanak yang menghidap kanser sebelum menerima rawatan kemoterapi. Di anggarkan 1 dalam 650 kanak-kanak di dunia menghidap kanser dan rawatan kanser ke atas mereka akan memusnahkan sel-sel germa yang menghasilkan sperma bagi lelaki ataupun ovum bagi perempuan. Budak lelaki yang belum mencapai akhil baligh belum mampu menghasilkan sperma. Sebelum mereka menjalani rawatan kemoterapi, sel-sel stem yang boleh bertukar menjadi sel sperma ini akan diambil dan dibekukan dan kemudian dipindahkan kembali kepada mereka selepas sembuh dari rawatan kemoterapi  supaya nanti dapat digunakan kemudian hari apabila kanak-kanak ini sudah dewasa dan berkeinginan untuk mendapat anak dari darah daging mereka sendiri.

d.   Sel stem dari air ketuban (cecair amniotic) merupakan satu penemuan terbaru Ahli Sains. Sel-sel stem di dalam air ketuban ini adalah kepunyaan bayi di dalam kandungan. Ahli Sains telah mendapati bahawa 1% dari sel-sel yang terdapat di dalam air ketuban adalah sel-sel stem yang berkemampuan untuk bertukar menjadi sel-sel khusus seperti sel otot, tulang, hati, saraf dan lain-lain. Penemuan ini akan menambah sumber sel-sel stem terutamanya dari jenis sel stem pluripoten. Air ketuban ini boleh diperolehi ketika bayi di dalam kandungan lagi melalui kaedah amniosentesis.

e. Sel-sel matang manusia dewasa dapat diambil dan menjalani proses ransangan untuk bertukar menjadi sel stem. Kaedah ini ditemui oleh Saintis Jepun bernama Prof Shinya Yamanaka dari Universiti Kyoto, Jepun. Beliau menggunakan kaedah kejuruteraan genetic dengan memindahkan gen yang bertanggungjawab ke atas perkembangan serta differensiasi sel stem dan memasukkannya ke dalam sel matang (menggunakan vector virus) sehingga boleh berlaku perkembangan songsang dari sel matang balik kepada sel stem. Sel stem ini juga dikenali sebagai iPSC (“induced pluripotent stem cells”). Dua jenis sel yang sering digunakan untuk tujuan ini adalah sel dari sum-sum tulang dan sel fibroblast. Beliau menerima anugerah “Nobel Prize” pada tahun 2012 hasil dari penemuan ini.

Pengambilan sel stem  dari sum-sum tulang dan darah telah diamalkan sekian lama dan sumber ini kurang melibatkan isu etika dan agama. Perkhidmatan penyimpanan sel-sel stem dari darah tali pusat (“umbilical cord blood”) telah mula beroperasi di negara kita. Terdapat syarikat-syarikat yang mengendalikan proses penyimpanan sel-sel stem ini untuk tujuan pengubatan di masa hadapan jika sekiranya diperlukan.  Sel stem yang diperolehi dari darah tali pusat mempunyai keupayaan untuk bertukar kepada lebih banyak jenis sel dan tisu jika dibandingkan dengan sel-sel stem yang diambil dari orang dewasa termasuk sum-sum tulang. Sel stem dari darah tali pusat ini boleh digunakan pada masa hadapan jika sekiranya penderma itu sendiri mengalami penyakit-penyakit tertentu yang memerlukan pemindahan sel-sel darah seperti penyakit leukaemia, limfoma, menerima rawatan radioterapi dan kemoterapi.

Sumber sel stem dari embrio telah menjadi tajuk perdebatan dan perbincangan yang hangat kerana ianya melibatkan etika dan juga hukum agama. Sila rujuk Fatwa Majlis Kebangsaan AgamaIslam Malaysia mengenai pandangan ulamak mengenai penggunaan sel stem.

POTENSI KEGUNAAN SEL STEM

Tidak dapat dinafikan memang terdapat banyak potensi kegunaan sel stem di dalam bidang perubatan tetapi secara amnya potensi  ini masih belum diterokai sepenuhnya. Kita masih berada pada peringkat awal dan masih banyak kajian perlu dilakukan. Di antara kegunaan sel stem yang telah dan sedang diamalkan adalah pemindahan sel-sel stem hemopoitik (darah) bagi menggantikan sel-sel darah yang hilang atau rosak disebabkan oleh rawatan radioterapi, kemoterapi ataupun penyakit kanser seperti leukaemia dan limfoma. Manakala lain-lain aplikasi teknologi sel stem masih lagi di dalam peringkat kajian.

Berikut adalah beberapa potensi kegunaan sel stem di dalam bidang perubatan (lihat rajah 3)

A. Menggantikan sel-sel yang telah musnah akibat penyakit. Hari ini sel-sel darah yang hilang akibat rawatan kanser ataupun penyakit kanser boleh digantikan dengan sel-sel darah baru yang diperolehi melalui teknologi sel stem. Potensi aplikasi teknologi sel stem di dalam menggantikan sel-sel yang hilang atau mati adalah sangat luas. Contohnya menghasilkan sel kulit untuk menggantikan kulit yang hilang akibat kebakaran,  memindahkan sel-sel pankreas kepada pesakit diabetes, sel-sel saraf pesakit Parkinson dan sel-sel hati pesakit yang mengalami kerosakan hati. Terdapat lapuran hasil kajian terhadap haiwan yang menunjukkan bahawa sel-sel stem dari sum-sum tulang boleh digunakan untuk menghasilkan sel-sel otak. Satu hari nanti , ini mungkin menjadi satu realiti ke atas manusia dan mungkinkah satu hari nanti penyakit-penyakit sistem saraf seperti Penyakit Parkinson’s dan Penyakit Alzeimer’s akan dapat dirawat melalui pemindahan sel-sel otak. Kajian ke atas haiwan telah berjaya menggantikan sel-sel beta di pancreas untuk mengubati penyakit diabetes. Satu hari nanti kita akan dapat melihat pengidap diabetes sembuh sepenuhnya apabila teknologi sel stem ini dapat membiak sel-sel beta yang menghasilkan insulin. Pesakit jantung yang mengalami masalah otot jantung yang sudah mati, boleh menggunakan kaedah pemindahan sel-sel jantung yang baru melalui teknologi sel stem. Stem sel yang diperolehi dari lemak dikatakan boleh membentuk sel lemak, sel tulang, sel rawan, sel otot dan meransang pembentukan salur darah baru. Pengambilan sel stem dari lemak memerlukan banyak proses makmal untuk tujuan penulinan dan pembiakan. Kajian ke atas haiwan yang mengalami arthritis menunjukkan ianya merencat proses keradangan yang menjadi penyebab kehilangan sel rawan menunjukkan kesan positif tetapi kesan ke atas manusia belum dapat dipastikan lagi. Kajian ke atas manusia sedang dijalankan  di UK menggunakan sel stem dari sum-sum tulang yang membentuk rawan dikenali sebagai sel stem mesenchymal. Sel2 ini diambil dan dibiakkan di dalam makmal, kemudiannya di suntik masuk ke dalam sendi pesakit.Hasil kajian ini belum lagi diperolehi.(Klik di sini untuk maklumat lanjut) 

B. Rawatan gen ke atas pesakit-pesakit yang mempunyai kelainan gen/baka. Jika pesakit terebut mengalami kekurangan gen-gen tertentu, gen-gen tersebut boleh dimasukkan ke dalam sel stem untuk memulihkan sel tersebut. Kaedah ini dinamakan terapi gen sel stem ( “Stem cell gene therapy”). Salah satu kejayaan awal kaedah ini adalah merawat pesakit kanser yang mengalami masalah sel-sel darah yang terlalu sensitif terhadap rawatan kemoterapi. Apabila mereka menerima rawatan kemoterapi, bilangan sel-sel darah mereka turun dengan mendadak dan ini akan memudharatkan. Kajian menunjukkan , sel-sel darah  mereka kekurangan gen yang boleh memberi kekebalan terhadap ubat kemoterapi. Dengan memasukkan gen tersebut di dalam sel-sel stem mereka, sel-sel darah yang lebih kebal telah dapat dihasilkan dan diberikan kepada pesakit-pesakit ini untuk mencegah kehilangan sel-sel darah akibat rawatan kemoterapi.

C. Sel-sel stem ini boleh dirangsang dan melalui proses yang kompleks mereka boleh berkembang menjadi organ-organ badan tertentu. Ini boleh digunakan untuk tujuan pemindahan organ. Ini mungkin akan menjadi kenyataan satu masa nanti.

D. Rawatan kesuburan (infertility) menggunakan sel-sel stem bagi sel-sel germa.

E. Sel stem dan ujian ubat (“drug testing”). Teknologi sel stem mempunyai potensi yang sangat baik untuk digunakan di dalam bidang farmaseutikal. Keselamatan sesuatu ubat dapat diuji dengan melakukan ujian ke atas sel stem sebelum ujian keselamatan ini dilakukan ke atas haiwan dan manusia. Ujian keberkesanan ubat juga boleh dilakukan dengan cara yang sama, contohnya ujian keberkesanan ubat anti-kanser ke atas sel-sel kanser yang dihasilkan melalui teknologi sel stem. Sel-sel kanser ini kemudiannya boleh didedahkan kepada ubat anti-kanser dan melihat keberkesanan ubat tersebut, sebelum ubat anti-kanser ini diberikan kepada pesakit.

Rajah 2. Konsep kegunaan sel stem. Jika sel stem diambil dari embrio ianya dikenali sebagai sel stem embrionik (“embryonic stem cell”). Sel dari embrio peringkat 8 sel  dan peringkat embrio yang lebih awal dikatakan mempunyai ciri-ciri totipoten bermaksud setiap sel di dalamnya boleh membiak dan  menjadi organisma yang lengkap. Sel-sel dari dalam Blastosis dikatakan mempunyai sifat pluripoten dimana setiap sel-sel ini boleh berubah kepada sebarang sel-sel di dalam badan tetapi ianya tidak boleh menjadi organisma yang lengkap. Sel-sel stem juga boleh diperolehi dari sum-sum tulang dan darah tali pusat. Sel-sel stem yang diambil ini akan dimasukkan ke dalam piring kultur yang mengandungi bahan-bahan nutrin dan faktor-faktor tumbesaran. Melalui kaedah yang sangat kompleks sel-sel stem ini boleh menjalani differensiasi kepada sel-sel tertentu seperti sel-sel darah, sel saraf dan juga sel-sel mesenchyma (contoh sel tulang, rawan, otot,kulit dan lain-lain).


Rajah 3 : Konsep dan penghasilan "Induced Pluripoten Stem Cells" (iPSCs)



Rajah 4 : Di antara potensi kegunaan sel-sel stem pada masa kini dan masa hadapan.


APLIKASI “INDUCED PLURIPOTENT STEM CELLS” (iPSCs)

Penemuan kaedah meransang sel dewasa yang matang untuk kembali kepada bentuk sel stem telah ditemui oleh Ahli Saintis Jepun iaitu Prof Shinya Yamanaka pada tahun 2006. Sel stem ini dikenali sebagai iPSC. Penemuan ini sebenarnya adalah sangat penting tetapi masih di peringkat awal untuk digunakan di dalam kehidupan manusia. Apa yang menarik di dalam penemuan iPSCs ini adalah ianya diperolehi dari pesakit sendiri dan tidak akan timbul isu etika sepertimana sel-sel stem yang lain yang diperolehi dari embrio ataupun sumber manusia lain. Walau bagaimanapun teknologi menghasilkan iPSC  ini adalah sangat kompleks dan memerlukan  teknologi dan makmal yang  canggih. Teknologi memindahkan gen ini juga memerlukan virus dan ahli-ahli sains masih mengkaji kaedah yang lebih baik, cekap dan selamat untuk menghasilkan iPSC. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa iPSC mempunyai banyak persamaan dengan sel-sel stem embrionik jadi potensi kegunaan iPSC di masa hadapan adalah sama seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Potensi masa depan penggunaan iPSC adalah banyak dan di antaranya adalah untuk tujuan penyelidikan memahami penyakit dengan lebih tepat, teknologi ubat-ubatan dan juga terapi pemindahan sel (“cell replacement therapy”). Menghasilkan sel-sel berpenyakit di luar badan dan kemudiannya mengkaji sifat dan ciri-ciri sel-sel ini untuk mencari kaedah rawatan yang terbaik. Ianya juga boleh digunakan untuk menguji keberkesanan ubat dan sejauh mana ianya selamat digunakan ke atas manusia. Di samping itu teknologi iPSC boleh mengubati banyak jenis penyakit (penyakit Alzeimer’s, penyakit Parkinson, Penyakit jantung, diabetes, dan lain-lain) . Contohnya sel-sel jantung seorang dewasa yang menghidap penyakit jantung boleh diambil dan ditukarkan kepada iPSC yang kemudiannya dapat diransang untuk membentuk sel-sel jantung yang boleh berfungsi dan dipindahkan kepada pesakit. Penemuan kaedah untuk menghasilkan sel iPSC kepada sel beta di pancreas telah disiarkan dan anda boleh membacanya di link ini. Pendek kata banyak lagi potensi iPSC yang boleh diaplikasikan di dalam bidang perubatan di masa hadapan. Walau bagaimanapun pada hari ini teknologi ini masih baru dan semuanya masih di dalam peringkat kajian makmal dan haiwan. Masih banyak isu-isu yang perlu ditangani sebelum ianya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

PERKATAAN SEL STEM (STEM CELLS) DI DALAM PRODUK KECANTIKAN DAN SUPLEMEN

Perkataan “stem cell” telah menjadi sebutan ramai disebabkan oleh kecanggihan teknologi yang dikaitkan dengannya. Ramai orang yang mempunyai latarbelakang sains dapat memahami apakah yang dikatakan sel stem dan bagaimana ianya diperolehi dan apakah potensi masa depannya. Melalui pemahaman ini mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk menggunakan nama ini bagi tujuan melariskan jualan dan   mencipta produk yang kononnya boleh meransang sel stem. Produk-produk ini termasuk nutrisi sel stem (stem cells nutrition), sel stem kosmetik (cosmetic stem cells), sel stem suplemen, plant stem cells (sel stem tumbuhan) dan lain-lain lagi. Kesemua produk-produk ini menggunakan label “stem cells” untuk tujuan melariskan jualan sedangkan pada hakikatnya tidak terdapat sel stem sebenar di dalam produk-produk ini. Sel stem nutrisi umpamanya menggunakan suplemen  yang kononnya dapat meransang sel stem di dalam badan untuk aktif dan boleh mencegah, menyembuhkan penyakit serta boleh memberi kesihatan dan memperlahankan proses penuaan. Dakwaan ini tidak langsung berasaskan kepada bukti kajian saintifik yang kukuh, malah dianggap satu bentuk penipuan yang sangat serius. Pihak peniaga menggunakan bukti testimoni semata-mata untuk mengelirukan pengguna sedangkan testimoni adalah bukti keberkesanan yang sangat lemah. Begitu juga sel stem kosmetik yang diaplikasikan pada kulit kononnya untuk tujuan mengembalikan keremajaan dan mengurangkan kerdut di kulit badan dan muka. Majoriti produk-produk ini tidak langsung mengandungi sel stem, ianya gimik semata-mata. Jadi perkataan “stem cells” yang digunakan itu tidak ada kena mengena dengan produk yang dipasarkan. Jelas ianya hanya strategi untuk menarik pembeli membeli produk tersebut. Apabila membaca tulisan mereka di dalam laman web,mungkin ramai yang akan terpengaruh kerana bahasa serta istilah-istilah saintifik yang digunakan seolah-olah penulis adalah seorang pakar sel stem. Sedangkan jika anda memahami apakah itu sel stem, maka anda akan sedar banyak maklumat ditulis tidak berasaskan bukti kajian saintifik yang kukuh sebaliknya hanya teori dan andaian semata-mata. Jikapun mereka menampilkan kertas-kertas kajian, ianya adalah kajian kecil yang dijalankan di makmal dan testimoni belaka. Dr.John Sanderson MD, seorang penyelidik sel stem pernah berkata “most of stem cell cosmetic has nothing to do with stem cells”. Beliau dan beberapa ahli sains sel stem ada mengwujudkan blog bagi memberi penjelasan sebenar mengenai sel stem di pautan ini.

Di samping menggunakan label "stem cells", terdapat juga produk yang kononnya menggunakan sel stem tumbuhan ataupun buah-buahan. Sekali lagi penggunaan perkataan stem cells disalahgunakan kerana sel stem tumbuhan hanya untuk manfaat tumbuh-tumbuhan dan tidak mempunyai fungsi ke atas haiwan. Sedangkan di dalam satu spesis yang samapun sel stem masih lagi di peringkat kajian dan masih belum dapat dimanfaatkan  manusia (selain dari untuk tujuan pemindahan sel-sel darah), inikan pula sel-sel stem yang datangnya dari tumbuh-tumbuhan.

Jikapun ada kajian menggunakan teknologi sel stem untuk tujuan kosmetik, kajian tersebut tidak mengandungi sel stem sebenar sebaliknya adalah bahan yang terdapat di dalam media untuk meransang sel stem seperti faktor tumbesaran (“growth factors”) dan cytokines.Growth factors dan cytokine ini juga dikenali secara kolektifnya sebagai “biosignal”. Bahan-bahan ini sememangnya diperlukan di dalam teknologi pembangunan sel stem tetapi mereka hanyalah bahan peransang dan bukan sel stem. Growth factor dan cytokines ini pula berbeza-beza dari mana sumbernya diambil samada dari sum-sum tulang, sel lemak ataupun sel fibroblast dan tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk tujuan meransang pembiakan sel stem di anggota badan yang lain. Jikapun ianya digunakan, proses ransangan ini perlu dilakukan di dalam makmal di bawah kondisi yang optimum. Ia tidak akan membawa apa-apa kesan jika disapu pada bahagian kulit, apatah lagi jika dimakan atau diminum. Dari segi fakta sains, memang sel-sel stem dari sum-sum tulang boleh membahagi dan mendiferensiasi kepada pelbagai sel di samping dapat menghasilkan “growth factors” dan cytokine yang dapat meransang penyembuhan, penggantian sel-sel mati dan anti-inflamatori.  Sel-sel fibroblast pula dapat menghasilkan kolagen, elastin dan matrik yang merupakan komponen utama kulit. Walaupun dari segi faktanya agak jelas dan mudah difahami tetapi hakikatnya sehingga ke hari ini fakta ini belum dapat diterjemahkan kepada aplikasi klinikal dan memanfaatkan manusia. Manakala sel-sel stem lemak pula boleh menghasilkan cytokine yang pro-inflamatori iaitu ciri-ciri yang boleh mempercepatkan proses penuaan kulit, jadi tidak sesuai untuk kesihatan kulit. Ianya juga dikaitkan dengan ransangan sel kanser. Kesemua maklumat ini diperolehi melalui kajian makmal yang kecil dan juga ujikaji ke atas haiwan. Di dalam kajian-kajian ini sel-sel stem ataupun biosignal yang digunakan diberikan secara suntikan. Jikapun ada kajian yang menggunakan kaedah aplikasi pada kulit ataupun lain-lain organ ianya adalah kajian ke atas kulit atau tisu yang tercedera. Kulit yang normal mempunyai selaput luar yang tebal dan tidak memungkinkan penyerapan biosignal yang bermakna apabila disapu ke atas permukaannya.

Terdapat kajian-kajian penggunaan sel stem ke atas rawatan penyakit ataupun untuk tujuan kosmetik, tetapi ianya bukan kajian besar dan banyak kajian-kajian tersebut masih di peringkat makmal, kajian ke atas haiwan ataupun sebilangan kecil manusia. Terdapat banyak kertas-kertas kajian yang menggunakan perkataan sel stem secara tidak tepat dengan menampakkan seolah-olah kajian itu adalah kajian terapeutik tetapi sebenarnya hanya kajian fasa 1 atau 2 yang masih awal, ini dibuktikan oleh kajian yang dilakukan oleh Scott CT yang menilai ketepatan penggunaan istilah sel stem untuk pesakit jantung di dalam kertas2 kajian yang telah disiarkan (rujukan di sini) . Ada yang meletakkan nama “stem cells” di dalam tajuk kertas kajian yang seolah-olah ianya mengenai sel stem tetapi sebenarnya menggunakan sel mononuklear yang diperolehi dari sum-sum tulang, contohnya seperti di link ini . Sel mononuclear bukanlah sel stem. Hasil kajian-kajian yang kecil ini akan diwar-warkan oleh media dan menimbulkan salah faham anggota masyarakat tentang sel stem dan pada masa yang sama kesempatan ini akan digunakan oleh ahli perniagaan untuk menggunakan perkataan sel stem di dalam label produk mereka. Kebimbangan penyalahgunaan istilah dan fenomena pengaruh media masa yang mengelirukan orang ramai ini telah disuarakan oleh  American Society for Aesthetic Plastic Surgery (ASAPS) dan American Society of Plastic Surgeons (ASPS). ASAPS dan ASPS telah mengeluarkan kenyataan yang sebahagiannya berbunyi beginiTerms such as "stem cell therapy" or "stem cell procedure" should be reserved to describe those treatments or techniques where the collection, concentration, manipulation, and therapeutic action of the stem cells is the primary goal, rather than a passive result, of the treatment. For example, standard fat grafting procedures that do transfer some stem cells naturally present within the tissue should be described as fat grafting procedures, not stem cell procedures. The marketing and promotion of stem cell procedures in aesthetic surgery is not adequately supported by clinical evidence at this time”. Pautannya di sini . Begitu juga sel stem supplemen yang kononnya dapat meransang penghasilan sel-sel stem dan memberi kesihatan kepada manusia, pihak FDA telah memberi amaran bahawa FDA tidak pernah meluluskan dakwaan-dakwaan seumpama itu dan menurut mereka : "There are no scientific and clinical studies that would support or back up its health and therapeutic claims".

KESIMPULAN

Sel stem adalah sel-sel yang wujud di dalam badan manusia dan merupakan sel-sel yang belum menjalani perkembangan dan differensiasi kepada sel induk yang matang. Sel-sel stem ini boleh diperolehi dari pelbagai sumber daripada embrio manusia, darah tali pusat, sum-sum tulang dan yang terbaru adalah dari sel-sel matang manusia dewasa yang diproses. Penemuan kaedah meransang sel matang kembali kepada sel stem adalah teknologi yang terbaru dan sel-sel stem yang terhasil dari teknologi ini dikenali sebagai iPSCs (“induced pluripotent stem cells”). Penggunaan sel-sel stem untuk manfaat manusia masih terhad kepada penggunaan sel-sel stem darah untuk tujuan menggantikan sel darah yang hilang akibat kanser ataupun kesan samping rawatan kanser. Aplikasi sel stem untuk kegunaan lain seperti memindahkan tisu dan organ, merawat penyakit, mengkaji ciri-ciri sel yang berpenyakit, kajian ubatan dan lain-lain memang berpotensi besar tetapi masih lagi di peringkat kajian awal dan belum lagi dapat digunakan untuk manfaat manusia. Penggunaan perkataan sel stem di dalam produk suplemen, produk kosmetik dan juga perkataan nutrisi sel stem adalah semata-mata untuk tujuan perniagaan dan pada hakikatnya tidak mengandungi sel stem dengan erti kata yang sebenarnya. Satu lagi gimik yang digunakan adalah mendakwa ada supplement ataupun produk-produk tertentu yang boleh meransang sel-sel stem dan memberi kesihatan kepada pengguna dengan mengambilnya dalam bentuk minuman ataupun makanan. Pakar-pakar sains yang mempelopori teknologi sel stem tidak pernah mendakwa bahawa perkara ini benar dan bukan ini sebenarnya matlamat teknologi sel-sel stem dicipta. Dakwaan seumpama ini dibuat oleh individu yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan hanya merujuk hasil-hasil kajian makmal yang kecil dan membuat andaian sendiri tanpa ada bukti kajian saintifik yang kukuh tentang manfaatnya kepada  kesihatan manusia. Adalah sangat menyedihkan ramai pengguna terpengaruh dan tertipu sehingga perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk mengambil produk-produk ini. Semoga rencana ini dapat dijadikan pembuka mata kepada orang ramai tentang  apakah sebenarnya sel stem dan apakah kegunaan serta aplikasi yang dikaitkan dengannya.


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN BUKAN MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI.