Tuesday, March 20, 2018

APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG JUS

Tahukah anda bahawa majoriti ahli masyarakat berpendapat meminum jus itu baik untuk kesihatan sama seperti memakan buah-buahan. Sebenarnya anggapan ini tidak betul. Walaupun jus itu telah diperolehi daripada buah yang sebenar dan dihasilkan secara tulin tanpa penambahan gula dan pengawet, ia tetap tidak sebaik memakan buah tersebut secara kesuluruhannya. Semasa anda membuat jus buah, anda hanya memperolehi gula buah (kebanyakannya sukrosa), sedikit nutrin dan air daripada buah tersebut. Ianya lebih kurang sama seperti meminum air gula/sirap. Semasa membuat jus, anda membuang komponen yang paling penting di dalam buah iaitu serat, fitonutrin, antioksidan dan vitamin yang lebih banyak terdapat dibawah kulit buah, biji buah dan juga di dalam sabut buah yang memerangkap isi dan air buah. SERAT adalah komponen buah yang sangat penting dan dapat mengimbangi kesan negatif pengambilan gula buah. Serat sangat baik untuk fungsi usus, ia memperlahankan penyerapan gula serta lemak, mempercepatkan rasa kenyang dan memudahkan anda membuang air besar.

Ahli Sains pemakanan percaya mengambil kalori di dalam bentuk minuman (jus) tidak sama dengan makan makanan pejal (buah) jikapun kedua-duanya mengandungi nutrin dan kalori yang sama. Otak anda menerima maklumat “saya sudah kenyang” yang berbeza daripada kedua2 bentuk makanan ini. Apabila air jus masuk ke dalam perut, anda merasa penuh dengan cepat tetapi perasaan ini hanya sekejap kerana pergerakan air yang cepat. Pergerakan air yang cepat juga menjejaskan kalori yang masuk ke dalam badan anda. Mengunyah makanan ataupun buah dan menelannya menyebabkan proses penyerapan lebih baik dan makanan lebih lama berada di dalam perut. Apabila Penyelidik memberi minum air jus kepada A dan memakan buah kepada B (jumlah kalori yang sama) 20 minit sebelum sarapan. Mereka dapati B yang memakan buah mengambil kurang kalori semasa sarapan berbanding dengan A, sebab B sudah merasa lebih kenyang.

Sekumpulan Ahli Sains termasuk daripada Harvard School of Public Health di Amerika mendapati bahawa pengambilan buah2an (3 hidangan seminggu) di dalam bentuk asalnya secara tetap boleh MENURUNKAN risiko penyakit diabetes jenis 2 sebanyak 7-26% (buah blueberri, buah anggur,apel, pear dan prun). Walau bagaimanapun pengambilan jus buah-buahan MENINGKATKAN kadar penyakit diabetes jenis 2 sebanyak 8%. Orang yang menukar tabiat minum jus kepada memakan buah-buahan keseluruhannya dijangka dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes sebanyak 7%. Kesan negatif pengambilan jus buah ini dikaitkan dengan peningkatan indek glisemik di samping kurangnya nutrin-nutrin dan serat semasa proses penghasilan jus. Tiga jenis buah-buahan yang memberi kesan mengurangkan risiko diabetes yang agak besar di dalam kajian ini adalah buah blueberri, anggur dan apel. Kajian disiarkan di dalam British Medical Journal tahun 2013 (rujukan di bawah).

Bayangkan jika jus itu tiruan,dimasukkan pewarna, perasa, pengawet dan gula tambahan. Anda nilailah sendiri.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

KENALI SIAPAKAH BIDAN TERLATIH


Untuk memastikan sesuatu proses kelahiran itu berakhir dengan ibu dan anak yang sihat, proses kelahiran tersebut hendaklah dikendalikan oleh petugas yang terlatih ataupun bidan terlatih di dalam persekitaran yg kondusif. Apakah yang dimaksudkan dengan bidan terlatih?. Bidan terlatih merujuk kpd petugas kesihatan yg layak untuk mengendalikan kelahiran seseorang ibu yg hamil sehingga proses kelahiran itu dianggap selamat. Mereka juga layak utk membuat pemeriksaan dan memberi nasihat kesihatan kpd ibu hamil , ibu yg sakit hendak bersalin dan ibu yg di dlm pantang.
Terdapat dua kategori jururawat yg layak untuk mengendalikan wanita yg hamil, menyambut kelahiran dan perawatan semasa pantang (mereka juga layak mengendalikan anak yang baru lahir):

1. JURURAWAT TERLATIH (belang topi/tudung bewarna biru di fasiliti KKM). Jururawat terlatih (JT) perlu menamatkan kursus diploma kejururawatan selama 3 tahun. Kemudian untuk layak mengendalikan kehamilan dan kelahiran ibu, JT ini perlu melanjutkan pelajaran/latihan selama 1 tahun di dlm bidang perbidanan ("midwifery"). Latihan selama 1 tahun ini juga dikenali sebagai Posbasik Kebidanan . Mereka memakai topi/tudung berbelang biru. Hanya JT yg lulus postbasik kebidanan sahaja yg layak utk menjadi bidan terlatih.JT mempunyai bidang tugas yg lebih luas daripada Jururawat Masyarakat.

2. JURURAWAT MASYARAKAT/JM (belang bewarna unggu pd topi/tudung bagi petugas di fasiliti KKM). Mereka mengikuti latihan selama 2 tahun 6 bulan kursus kejururawatan dan latihan kebidanan telah diserapkan ke dlm program ini. Semua JM adalah dianggap petugas yang layak menyambut kelahiran anak.

Kedua-dua jururawat di atas perlu berdaftar dgn Lembaga Bidan Malaysia selepas tamat latihan dan akan diberi kad yg tercatit maklumat peribadi, tarikh pendaftaran dan nombor pendaftaran. Jururawat yg TIDAK memiliki kad Lembaga Bidan Malaysia ini tidak layak mengendalikan kehamilan, kelahiran dan rawatan semasa pantang. Pendaftaran ini adalah di bawah akta Bidan 1966 (Akta 436) yang mensyaratkan bahawa selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja boleh mengendalikan kelahiran.

DOULA pula hanyalah berperanan menemani ibu2 hamil semasa proses kelahiran utk memberi sokongan emosi dan fizikal kpd ibu2 bagi melancarkan proses kelahiran. Doula yg TIDAK mempunyai kelulusan di atas TIDAK layak utk memberi nasihat kesihatan, apatah lagi mengendalikan wanita hamil, wanita yg sakit hendak bersalin dan wanita di dlm pantang. Melahirkan anak di rumah atau mana2 fasiliti tanpa memenuhi syarat yang dibenarkan dan tanpa kehadiran bidan terlatih adalah dianggap KELAHIRAN YANG TIDAK SELAMAT.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
13 hb Feb 2018




PIL PERANCANG MENYEBABKAN KANSER ?

 
Sekarang ini sedang heboh berita pil perancang menyebabkan kanser serviks. Apabila media mengambil maklumat secara selektif dan menyiarkannya tanpa mendapatkan maklumbalas daripada pakar tentang kesan berita yang mereka siarkan, maka orang ramai jadi panik dan takut. Berita yang berat sebelah itu akan menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Saya dengar ramai wanita berhenti serta merta pil perancang apabila membaca berita ini. Saya akan cuba kupas isu ini daripada sudut yang lebih luas.

1. Apa-apa sahaja ubat dan kaedah rawatan ada baik dan buruknya. Doktor yang merawat akan membuat pertimbangan manfaat dan mudarat. Sesuatu tindakan akan disyorkan jika manfaatnya lebih daripada mudarat. Hatta dalam apa sahaja kehidupan kita, inilah prinsip yang kita gunakan utk melakukan sesuatu ataupun tidak melakukan sesuatu. Saya pernah menulis bahawa menarik nafas pun ada risiko tetapi utk hidup kita perlu lakukan juga.

2. Amalan merancang keluarga mempunyai banyak manfaat samada manfaat yang berkaitan dengan merancang keluarga ataupun manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga kerana ubat pil perancang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat banyak masalah kesihatan wanita.

3. Amalan merancang keluarga terutama pil perancang membawa manfaat menjarakkan kehamilan, menghalang kehamilan tidak dirancang (contoh: kes rogol, wanita yang menghidap penyakit serius) dan memberi manfaat kepada anak. Hasil daripada kaedah merancang keluarga, kadar kematian ibu dan anak dapat dikurangkan. Kehamilan yang tidak dirancang seringkali membawa masalah kepada ibu, anak dan keluarga. Pil perancang juga menurunkan kadar kejadian pengguguran haram dan juga masalah kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.

4. Amalan pil perancang juga mempunyai banyak lagi manfaat iaitu mengurangkan masalah haid seperti senggut, haid yang tidak tetap, haid yang banyak dan juga haid yang tidak teratur. Pil perancang boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki yang berlebihan, sindrom pramenstrual, mengurangkan kejadian sista ovari, mengurangkan gejala endometriosis, mengurangkan risiko jangkitan pelvis, mengurangkan risiko fibroid, mengurangkan risiko rheumatoid arthritis, meningkatkan densiti tulang, mengurangkan gejala asma, menurunkan risiko prakanser Rahim dan beberapa lagi manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga (“non-contraceptive benefits”. Pendek kata, pil perancang juga boleh digunakan sebagai ubat untuk mencegah dan merawat pelbagai masalah kesihatan wanita.

5. PIL PERANCANG DAN KANSER.
Mari kita lihat fakta mengenai pil perancang dengan risiko menghidap kanser. Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara dan kanser servik. Walau bagaimanapun kajian ini adalah kajian “observational” yang tidak boleh digunakan sebagai bukti yang kukuh. Perkara kedua adalah pil perancang bukan penyebab kanser tetapi faktor sampingan yang menaikkan risiko. Kanser serviks disebabkan oleh jangkitan virus HPV, manakala punca kanser payudara masih belum diketahui. Seseorang yang tidak terdedah kepada jangkitan virus HPV, contohnya wanita yang belum berkahwin (belum melakukan hubungan kelamin), tidak mungkin akan menghidap kanser serviks walaupun mengambil pil perancang seumur hidupnya. Di samping itu pula risiko kanser payudara hanya dikaitkan dengan pil perancang jenis triphasic dan bukan daripada jenis yang sering digunakan oleh wanita kita. Peningkatan risiko kanser serviks hanyalah 7% ,manakala kanser payudara pula dalam lingkungan 24%. Peningkatan yang sebanyak ini sebenarnya adalah sangat rendah. Contohnya risiko kanser payudara di Malaysia adalah 23 bagi 100,000 orang, maka meningkat 24% bermaksud tambahan lebih kurang 6 kes iaitu daripada 23 kepada 29 kes bagi setiap 100,000 orang. Dengan perkataan lain hanya tambahan 6 kes untuk setiap 100,000 orang. Kadar peningkatan kanser serviks jauh lebih rendah dan memandangkan insiden kanser serviks lebih rendah daripada kanser payudara, maka peningkatan sebanyak 7% itu dianggap terlalu kecil. Kebanyakan kajian mengenai pil perancang ini hanya tertumpu kepada pil yang mengandungi dua hormon iaitu estrogen dan progesterone. Manakala pil yang mengandungi hanya progesterone sahaja seperti provera, noriday dan lain-lain tidak dikaitkan dengan risiko kanser.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENURUNKAN RISIKO 3 jenis kanser iaitu KANSER RAHIM (ENDOMETRIUM), KANSER OVARI DAN KANSER USUS BESAR. Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser Rahim sebanyak 30%, menurunkan risiko kanser ovary sebanyak 30-50% dan menurunkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20%. Manfaat mengurangkan risiko kanser ovary juga akan diperolehi oleh wanita-wanita yang mempunyai mutasi gene BRCA 1 / 2 yang dikaitkan dengan kanser keturunan. Kajian menunjukkan bahawa kesan manfaat menurunkan risiko 3 jenis kanser ini berterusan walaupun pil perancang tidak lagi diamalkan. Jangka masa manfaat itu (menurunkan risiko kanser Rahim, ovary dan usus besar) didapati lebih lama daripada yang dibawa oleh pemberhentian pil perancang untuk tujuan menurunkan risiko kanser payudara dan serviks. Ini bermaksud manfaat menurunkan risiko kanser Rahim, ovari dan usus besar lebih besar daripada mudarat akibat kanser payudara dan serviks. Tambahan pula, kanser payudara dan kanser serviks diketahui mempunyai kaedah pencegahan dan saringan yang sangat berkesan. Sedangkan tidak ada kaedah pencegahan dan saringan yang berkesan untuk kanser ovari dan kanser rahim. Kanser ovari adalah di antara kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal dan sukar diubati, begitu juga dengan kanser usus besar.

6. Berpandukan kepada fakta-fakta di atas, jelas bahawa pengambilan pil perancang mempunyai sangat banyak manfaat berbanding dengan mudarat jika sekiranya diamalkan oleh wanita yang telah disyorkan. Hasil kajian berkenaan dengan pil perancang dan risiko kanser serviks serta payudara tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh kaum wanita untuk menolak terus pengambilan pil perancang jika sekiranya ianya telah disyorkan oleh doktor. Perhatikan manfaat yang bakal anda perolehi. Apa yang paling penting adalah anda telah mendapat nasihat daripada doktor mengenai keputusan untuk memilih pil perancang sebagai kaedah merancang keluarga. Doktor yang memberikan nasihat kepada anda itu tentu telah membuat pertimbangan yang tepat sebelum membenarkan anda menggunakan pil perancang. Amalan pil perancang dan menghadiri lawatan susulan memberi peluang kepada anda untuk melakukan saringan kesihatan termasuk saringan kanser dengan lebih konsisten.

DATO’ DR.MOHD RUSHDAN MD NOOR
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

RUJUKAN

Schindler AE. Non contraceptive benefits of Oral hormonal Contraceptives. Int J Endocrinol Metab, 2013, 11(1):41-47

Burkman R, Schlesselman JJ, Zieman M. Safety concerns and health benefits associated with oral contraception. American Journal of Obstetrics and Gynecology 2004; 190(4 Suppl):S5–22

Bassuk SS, Manson JE. Oral contraceptives and menopausal hormone therapy: relative and attributable risks of cardiovascular disease, cancer, and other health outcomes. Annals of Epidemiology 2015; 25(3):193-200

Wentzensen N, Berrington de Gonzalez A. The Pill's gestation: from birth control to cancer prevention. Lancet Oncology 2015; 16(9):1004-6.

Hunter DJ, Colditz GA, Hankinson SE, et al. Oral contraceptive use and breast cancer: a prospective study of young women. Cancer Epidemiology Biomarkers and Prevention 2010; 19(10):2496–2502

Bhupathiraju SN, Grodstein F, Stampfer MJ, et al. Exogenous hormone use: Oral contraceptives, postmenopausal hormone therapy, and health outcomes in the Nurses' Health Study. American Journal of Public Health 2016; 106(9):1631-1637

Smith JS, Green J, Berrington de Gonzalez A, et al. Cervical cancer and use of hormonal contraceptives: a systematic review. Lancet 2003; 361(9364):1159-1167

IARC Working Group on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans. Pharmaceuticals. Combined estrogen-progestogen contraceptivesExit Disclaimer. IARC Monographs on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans 2012; 100A:283-311

Havrilesky LJ, Moorman PG, Lowery WJ, et al. Oral contraceptive pills as primary prevention for ovarian cancer: a systematic review and meta-analysis. Obstetrics and Gynecology 2013; 122(1):139-147

Wentzensen N, Poole EM, Trabert B, et al. Ovarian cancer risk factors by histologic subtype: An analysis from the Ovarian Cancer Cohort Consortium. Journal of Clinical Oncology 2016; 34(24):2888-2898

Friebel TM, Domchek SM, Rebbeck TR. Modifiers of cancer risk in BRCA1 and BRCA2 mutation carriers: systematic review and meta-analysis. Journal of the National Cancer Institute 2014; 106(6):dju091.

Wednesday, March 7, 2018

ADAKAH RAWATAN KANSER MODEN BERKESAN

 

Untuk menjawab persoalan samada berkesan ataupun tidak rawatan kanser moden, saya perlu menunjukkan data2 statistik. Petunjuk kepada keberkesanan rawatan kanser sebenarnya agak kompleks tetapi saya cuba menggunakan petunjuk yang paling mudah difahami iaitu Kadar Hidup atraupun Survival Rate. Daripada data yg saya pilih ini, anda akan mendapat gambaran sebenar tentang keberkesanan rawatan kanser moden. Saya terpaksa mengambil data yang dikeluarkan daripada luar negara kerana negara kita tidak mempunyai data kadar hidup kanser yang menyeluruh. Proses untuk mendapatkan data kadar hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memakan masa yang sangat panjang. Walaupun begitu, data daripada luar negara itu masih relevan untuk negara kita kerana tidak ada perbezaan yang besar mengenai kaedah rawatan dan kepakaran di Malaysia berbanding dengan negara-negara lain di dunia. 

Kadar hidup ataupun "survival rate" penyakit kanser keseluruhannya telah meningkat semenjak tahun 1970 an (lihat graf di bawah). Walaupun terdapat beberapa jenis kanser yang sukar dirawat dan tidak menunjukkan kemajuan yang memberansangkan tetapi secara keseluruhannya, kadar hidup penyakit kanser telah meningkat dari masa ke semasa. Faktor yang paling utama bagi menentukan kadar hidup ini adalah pada peringkat berapakah kanser itu dikesan. Peringkat 1 kanser payudara umpamanya mempunyai kadar hidup yang sangat tinggi dan majoriti pesakit sembuh sepenuhnya. Kadar hidup kanser di negara kita mungkin lebih rendah tetapi ini disebabkan oleh kanser tersebut tidak dikesan pada peringkat awal dan ini sangat berkait rapat dengan program pencegahan kanser dan juga sikap masyarakat di negara kita.

Data-data ini jelas menunjukkan bahawa kanser sememangnya boleh dirawat dan disembuhkan lebih-lebih lagi jika ianya dikesan pada peringkat awal. Apa yang menarik daripada geraf kadar jangkahayat 5 tahun dan 10 tahun yang saya kepilkan di bawah (geraf warna unggu) adalah jika pesakit dapat bertahan selama 5 tahun, maka kemungkinan besar jangkahayat mereka dapat dilanjutkan sehingga 10 tahun dan peluang untuk sembuh lebih tinggi. Perhatikan kanser payudara di dalam geraf di bawah (bar chart bewarna unggu), kadar hidup 5 tahun adalah 87%, manakala kadar hidup 10 tahun adalah 78%. Perbezaannya hanya 9% iaitu peratusan yang gagal mencapai kadar hidup 10 tahun. Data ini dihasilkan dengan mencampurkan semua peringkat kanser. Jika data ini dipecahkan mengikut peringkat kanser, maka kanser di peringkat 1 tentu akan mempunyai kadar hidup yang jauh lebih baik melebihi 90%. Saya kepilkan contoh kadar hidup 5 tahun beberapa jenis kanser. 

Tetapi mengapa kita lihat ramai yang meninggal disebabkan oleh kanser. Mengapa ramai yang mengadu rawatan kanser tidak berkesan? Ramai yang menerima rawatan dan kemudian meninggal. Dapat rawatan kemo/radioterapi saja sekejap saja meninggal. Jawapan yang pertama adalah kerana ramai dalam kalangan pesakit kanser di negara kita dikesan lewat atau lambat menerima rawatan. Faktor kedua adalah kerana ramai yang sembuh daripada kanser tidak tampil ke hadapan dan tidak menghebuhkan berita baik kepada orang ramai. Apabila pesakit pergi ke hospital, rakan-rakan senasib dengan mereka adalah pesakit-pesakit yang masih dirawat dan ramai juga yang mengalami kanser berulang. Kemudian di klinik dan di wad juga mereka akan lebih banyak mendengar berita kematian. Sedangkan rakan-rakan yang sembuh sudah tidak datang mendapatkan rawatan susulan ataupun jarak lawatan susulan itu sudah dipanjangkan. Begitu juga jika pesakit terlibat di dalam kumpulan sokongan kanser, kebanyakan pengalaman yang dikongsikan adalah masalah komplikasi rawatan ataupun kanser yang berulang sebab inilah matlamat utama kumpulan ini ditubuhkan. Tidak kurang juga pengaruh pengamal rawatan alternatif yang memburukkan lagi persepsi masyarakat kepada rawatan kanser moden utk mempromosi rawatan mereka.

Kesimpulannya, masyarakat kita terdedah kepada lebih banyak berita-berita yang tidak baik mengenai penyakit kanser dan rawatan kanser moden. Berita2 seperti ini lebih menarik perhatian berbanding dengan berita baik yang sebenarnya lebih banyak. Memang tabiat masyarakat kita yang lebih teruja dengan berita-berita sedih dan dukacita. Kesan negatif daripada fenomena ini adalah persepsi masyarakat yang salah tentang kanser dan rawatan kanser moden. Hakikatnya memilih kaedah rawatan moden adalah tindakan yang tepat kerana ianya disokong oleh bukti yang kukuh berbanding dengan kaedah rawatan alternatif. Statistik yang dibentangkan ini adalah bukti yang jelas. Walau bagaimanapun, pakar kanser masih jauh daripada berpuashati dengan apa yang ada, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan keberkesanan program pencegahan, pengesanan awal dan rawatan kanser. Pada waktu yang sama sikap masyarakat kita memainkan peranan yg sangat besar, mereka perlu berubah dan membuat anjakan paradigma jika mahu melihat hasil rawatan yang lebih baik di masa hadapan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
7 hb Mach 2018








Saturday, February 24, 2018

JENIS-JENIS KANSER

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 150 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia. Kanser boleh berasal daripada hampir semua organ badan manusia.

Se-sel yang mempunyai ciri-ciri yang sama akan berkumpul untuk membentuk tisu dan tisu-tisu yang sama akan membentuk organ seperti jantung, buah pinggang, rahim, otak dan sebagainya. Beberapa jenis organ yang bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama akan membentuk satu sistem (contoh: saraf, saraf tunjang dan otak membentuk sistem saraf). 

Di dalam organ-organ ini terdapat pula beberapa jenis sel iaitu sel-sel yang membentuk dinding saluran darah, dinding kelenjar dan juga dinding rongga (contoh rongga urus, rongga Rahim dan lain-lain). Sel-sel ini dinamakan sel epithelial. Manakala tisu-tisu yang menyokong organ2 ini dan terbina di sekeliling saluran darah, kelenjar dan rongga2 ini dinamakan tisu mesenchymal ataupun “soft tissue” dan ada juga yang memanggilnya sebagai tisu penyokong. Contoh2 tisu mesenchymal ini adalah otot, tulang, rawan, tisu fibrous dan lain-lain. Satu lagi jenis sel-sel badan adalah sel-sel darah dan sel-sel limfatik yang terkandung di dalam darah dan juga cecairan limpa. Jadi sel-sel ini boleh bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain. Sel limfatik bertanggungjawab di dalam sistem pertahanan badan ataupun sistem imun. Akhir sekali tubuh badan kita juga mengandungi tisu saraf dan otak. 

Jadi kesimpulannya terdapat 5 jenis sel-sel utama di dalam tubuh badan manusia yang boleh berubah menjadi kanser iaitu (1) SEL EPITHELIUM, (2) SEL MESENCHYMAL (3) SEL DARAH ,(4) SEL LIMFATIK dan (5) SEL SARAF dan OTAK
Rencana ini menerangkan mengenai jenis-jenis kanser yang dikategorikan secara umum bagi memudahkan orang awam memahaminya. Di dalam lebih 150 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia, ianya boleh dibahagikan secara umum kepada  5 kumpulan besar iaitu:

1.   Kanser yang berasal daripada SEL-SEL EPITHELIAL. Kanser ini dinamakan KARSINOMA (“CARCINOMA”). Terdapat dua jenis utama sel-sel epithelial iaitu sel squamous dan sel columnar. Jika kanser berasal daripada sel squamous, ianya dinamakan Squamous cell Carcinoma, manakala jika berasal daripada sel columnar, ia dinamakan Adenocarcinoma. Perkataan karsinoma (“carcinoma”) merujuk kepada kanser yang berasal daripada sel epithelial. Terdapat beberapa lagi jenis karsinoma seperti “transitional cell carcinoma” dan “basal cell carcinoma”. Karsinoma adalah jenis kanser yang paling kerap menyerang manusia iaitu hampir 85% daripada keseluruhan kanser.

2.   Kanser yang berasal daripada SEL-SEL MESENCHYMAL ataupun SEL-SEL PENYOKONG dinamakan SARKOMA (“SARCOMA”). Contoh-conth sel-sel ini adalah sel otot, sel tulang, sel rawan dan sel fibrous. Terdapat dua jenis sel otot iaitu sel otot berjalur (“striated muscle”) dan sel otot lembut (“smooth muscle”). Jika kanser berasal daripada otot berjalur, ia dinamakan Rhabdomyosarcoma, manakala jika berasal daripada otot lembut, ia dinamakan Leimyosarcoma. Perhatikan perkataan “sarcoma” digunakan pada hujung perkataan yang merujuk kepada kanser yang terjadi ke atas sel-sel mesenchymal/penyambung, manakala perkataan pertama pula mewakili jenis sel-sel tersebut. Jika kanser terjadi daripada sel tulang, ia dinamakan Osteosarcoma. Sarkoma adalah sejenis kanser yang jarang berlaku tetapi kebanyakannya daripada jenis yang ganas dan cepat merebak.

3.   Kanser yang berasal daripada SEL-SEL DARAH. Sel-sel darah yang sering dikaitkan dengan kanser adalah sel-sel darah putih. Apabila sel-sel darah putih bertukar menjadi sel kanser, kanser ini dikenali sebagai LEUKEMIA. Pesakit leukemia mempunyai banyak sel-sel darah putih tetapi kebanyakannya adalah pramatang dan tidak boleh berfungsi dengan normal. Sel-sel kanser ini akan berkumpul di dalam darah. Leukemia juga adalah sejenis kanser yang jarang berlaku iaitu 3% daripada keseluruhan kanser. Walau bagaimanapun, leukemia adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh kanak-kanak.

4.   Kanser yang berasal daripada sel-sel di dalam SISTEM LIMFATIK yang bertanggungjawab di dalam sistem pertahanan badan (“immune system”). Sistem limfatik adalah system yang terdiri daripada nodus limpa, saluran limpa dan sel-sel limpa. Ianya berfungsi untuk menapis cecairan badan dan juga melawan jangkitan. Salah satu jenis sel limpa yang berfungsi di dalam system limfatik ini adalah SEL LIMFOSIT (“LYMPHOCYTE”). Kanser yang berasal daripada SEL LIMFOSIT ini dinamakan LIMFOMA. Limfoma merangkumi 5% daripada keseluruhan kanser. Sel-sel limfoma yang menjadi sel-sel kanser ini akan memenuhi saluran limfa dan nodus limfa sehingga nodus limfa (biji kelenjar) menjadi besar. Ia juga akan memenuhi sum-sum tulang dan masuk ke dalam aliran darah. Satu lagi jenis sel-sel di dalam system limfatik ini adalah SEL PLASMA. Kanser yang berasal daripada sel plasma dinamakan MYELOMA juga dinamakan MULTIPLE MYELOMA. Sel plasma bertanggungjawab menghasilkan antibody untuk melawan jangkitan. Multiple myeloma merangkumi 1% daripada keseluruhan kanser. Walaupun sel-sel ini dihasilkan dengan banyak tetapi ia tidak boleh berfungsi dengan normal.

5.   Kanser yang berasal daripada SEL SARAF dan OTAK. Sel-sel ini termasuk sel-sel yang membentuk saraf tunjang. Terdapat 2 jenis utama sel-sel di dalam system saraf iaitu SEL SARAF ataupun NEURON yang membawa maklumat elektrik. Sel yang kedua adalah sel-sel yang membentuk tisu penyokong system saraf mengandungi sejenis sel yang dinamakan SEL GLIAL (“GLIAL CELL”). Dua jenis utama kanser daripada system saraf adalah GLIOBLASTOMA DAN MENINGIOMA. Kanser yang berasal daripada system saraf merangkumi kurang daripada 3% daripada keseluruhan kanser.
Sesatu organ manusia boleh bertukar menjadi beberapa jenis kanser berdasarkan kepada apakah jenis-jenis sel yang terlibat samada sel epithelial, sel mesenchymal , sel-sel darah, sel limpa ataupun sel saraf. Setiap jenis kanser pula boleh mempunyai ciri-ciri yang berbeza, ada yang ganas, sederhana dan ada yang membiak secara perlahan.

Apabila sesuatu kanser itu bermula daripada sesebuah organ ataupun tisu ianya dinamakan KANSER PRIMER (“PRIMARY CANCER”). Manakala terdapat juga kanser yang wujud di dalam organ-organ tertentu yang berasal daripada organ yang lain contohnya kanser yang berasal daripada payudara merebak ke otak. Kanser yang merebak ke otak ini dinamakan KANSER SEKUNDER (“SECONDARY CANCER”).

Seorang pakar kanser tidak semestinya mempunyai kepakaran mengenai semua jenis kanser. Contohnya pakar kanser ginekologi tidak mempunyai kepakaran untuk merawat kanser usus dan begitulah sebaliknya.Jenis-jenis rawatan juga berbeza mengikut jenis kanser, ada yang lebih berkesan dirawat dengan satu kaedah manakala yang lain pula dengan kaedah yang berbeza. Pesakit perlu mengenal pakar kanser yang sesuai untuk merawat penyakit kanser mereka.

KEBERKESANAN RAWATAN KANSER DENGAN KAEDAH RAWATAN MODEN



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Salah satu persoalan penting yang sering diajukan oleh pesakit kepada pakar kanser adalah adakah rawatan kanser yang mereka jalani telah berkesan merawat mereka. Pesakit kanser juga suka membandingkan kanser yang mereka hidapi dengan pesakit-pesakit lain sedangkan mereka tidak menyedari bahawa setiap jenis kanser mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Malahan kanser yang sama boleh mempunyai ciri-ciri yang berbeza di dalam tubuh badan orang yang berbeza.

Apabila pakar kanser diajukan soalan mengenai apakah peluang untuk sembuh dan adakah rawatan kanser yang diperolehi ini berkesan, jawapan yang akan diberikan berpandukan kepada pengalaman dan yang lebih penting adalah berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada kajian-kajian yang telah dijalankan.

Peluang untuk sembuh daripada sesuatu jenis kanser bergantung kepada banyak faktor dan faktor ini dikenali sebagai faktor prognostik (“prognostic factors”). Setiap kanser mempunyai faktor-faktor prognostiknya sendiri. Walau bagaimanapun salah satu faktor prognostik yang sama untuk semua jenis kanser adalah peringkat kanser (“stage of cancer”). Pesakit yang mengalami kanser peringkat 1 mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih besar daripada peringkat 4. Faktor2 prognostik yang lain bergantung kepada jenis kanser, contohnya kanser Rahim, selain daripada peringkat kanser, faktor2 prognostik yang lain adalah usia pesakit, saiz kanser, gred kanser, samada sel-sel kanser sudah merebak ke saluran limpa dan lain-lain. Pesakit yang berusia lebih daripada 70 tahun mempunyai kadar penyembuhan yang lebih rendah berbanding dengan yang berusia lebih muda. Bayangkan pada hari ini terdapat lebih daripada 150 jenis kanser, tentu sekali setiap kanser ini mempunyai faktor-faktor prognostiknya sendiri. Melalui keujudan factor-faktor prognostic inilah pakar kanser akan merancang rawatan yang akan diberikan dan dapat mengagak peluang seseorang untuk sembuh ataupun tidak.

Terdapat dua jenis faktor prognostik iaitu faktor prognostik yang baik (“good prognostic factors”) dan factor prognostik yang tidak baik (“poor prognostic factors”). Jika pesakit kanser mempunyai banyak faktor prognostik yang baik, maka peluangnya untuk sembuh adalah lebih baik. Contohnya peringkat 1 dan usia muda adalah dua faktor prognostik yang baik kepada pesakit kanser Rahim. Pesakit yang mempunyai banyak faktor prognostik yang baik juga mempunyai kadar kejadian kanser berulang yang lebih rendah. Terdapat banyak lagi factor-faktor prognostik yang sebahagiannya ditentukan melalui kaedah penyiasatan yang mendalam dan canggih, tidak perlu untuk saya nyatakannya kerana terlalu banyak. Manakala faktor prognostik yang tidak baik adalah faktor-faktor yang jika ujud kepada pesakit dan kanser yang dihidapi, kadar penyembuhan akan lebih rendah dan kemungkinan kanser itu untuk berulang adalah lebih tinggi. Ada pesakit yang berada pada peringkat 1 kanser, tetapi mempunyai faktor prognostik yang tidak baik, maka pesakit ini dikatakan memiliki peringkat awal yang berisiko tinggi ("high risk early stage"). Selalunya pesakit ini akan dicadangkan untuk menjalani rawatan tambahan.

BAGAIMANA PAKAR MENILAI KEBERKESANAN RAWATAN KANSER

Terdapat beberapa kaedah bagaimana pakar kanser menilai keberkesanan rawatan kanser iaitu:

  1.  Penilaian secara tidak langsung. Melalui sejarah yang diambil daripada pesakit tentang kualiti hidup mereka. Bagaimana selera makan, berat badan dan juga sejauh mana mereka aktif bergerak di dalam satu hari. Seseorang pesakit yang terpaksa menghabiskan banyak masa di tempat tidur disebabkan tidak mampu untuk aktif melakukan aktiviti mungkin merupakan salah satu petunjuk tidak langsung yang rawatan kanser kurang berkesan (melainkan jika beliau sedang di dalam proses rawatan kerana itu mungkin salah satu kesan sampingan yang bersifat sementara).

  2. Kaedah penilaian secara langsung dilakukan dengan menjalankan pemeriksaan fizikal, melakukan ujian darah dan ujian pengimejan. Kadangkala terdapat ketulan yang boleh diukur oleh pakar kanser, maka saiz ketulan ini akan menjadi petunjuk tentang keberkesanan rawatan kanser. Ujian darah yang mengukur tumour markers juga boleh digunakan sebagai petunjuk tetapi tidak semua pesakit kanser mempunyai  tumour markers. Melakukan pengimejan diagnostic seperti CT scan, MRI dan juga PET scan adalah beberapa kaedah yang digunakan oleh pakar kanser untuk tujuan menilai keberkesanan rawatan dan untuk tujuan mengesan kanser yang berulang.

Melalui penilaian-penilaian di atas maka pakar kanser boleh mengkategorikan pesakit kepada beberapa golongan berikut :

Kategori 1: Pesakit yang bertindakbalas sepenuhnya (“complete response”) di mana semua kanser yang dirawat telah hilang sepenuhnya.

Kategori 2: Pesakit yang bertindakbalas separa penuh (“partial response”) di mana selepas rawatan kanser, masih terdapat baki ketulan walaupun lebih kecil daripada asal.

Kategori 3: Pesakit yang bertahan (“stable disease”) iaitu selepas rawatan kanser, kanser itu kekal pada tahap asal, tidak banyak berubah, tidak menjadi sedikit ataupun tidak bertambah banyak.

Kategori 4: Pesakit yang mengalami kanser berterusan (“Progressive disease”) di mana kanser terus merebak dan menjadi lebih banyak walaupun diberi rawatan kanser. Ada juga yang menamakan kanser seperti ini sebagai kanser refraktori (“refractory disease”).

SEMBUH DARIPADA KANSER

Semua Pakar Kanser dan Pesakit ingin supaya rawatan kanser yang diberikan itu akan menghilangkan kanser sepenuhnya (“complete response”). Walau bagaimanapun apa yang lebih penting kepada pakar kanser adalah berapa lama keadaan ini boleh dipertahankan sebab adalah suatu yang mendukacitakan jika hanya selepas beberapa bulan bebas daripada kanser, kanser itu datang semula. Jarak masa di antara tamat rawatan serta bebas daripada kanser hingga kanser itu berulang dinamakan “Disease Free Interval” (DFI). Ada yang mengalami DFI yang singkat untuk hanya beberapa bulan, dan ada juga yang mengalami DFI yang panjang selama beberapa tahun. Pakar kanser sentiasa berharap DFI ini berpanjangan selama sekurang-kurangnya 10 tahun kerana jika ini berlaku maka kemungkinan besar pesakit ini akan  sembuh sepenuhnya. Terdapat banyak faktor yang menentukan DFI ini selain daripada factor-faktor prognostic yang saya sebutkan tadi dan ianya di luar skop penulisan ini. Pesakit yang berada pada peringkat 1 mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih tinggi, contohnya pesakit kanser Rahim (endometrium) peringkat 1A, gred 1 mempunyai kadar penyembuhan sebanyak lebih 90% tetapi jika berada pada peringkat 3, kadar penyembuhannya akan turun mendadak kepada mungkin hanya 15-30%. Jadi adalah tidak benar jika ada pihak yang mengatakan rawatan kanser moden tidak dapat menyembuhkan kanser. Begitu juga kanser payudara, kanser prostat, limfoma, leukemia dan lain-lain kanser yang mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi dengan syarat kanser tersebut dikesan pada peringkat awal. Di samping itu terdapat juga kanser yang ganas dan sukar dirawat seperti kanser paru-paru, kanser pancreas dan kanser hati. Disebabkan oleh sifat kanser itu yang ganas ataupun kesukaran untuk mengesan kanser itu di peringkat awal, maka rawatannya sukar.

Seperti yang saya sebutkan tadi umumnya pesakit kanser yang berada pada peringkat awal mempunyai peluang sembuh yang lebih tinggi lebih-lebih lagi jika mereka menghidap kanser daripada jenis yang kurang ganas. Kebanyakan pesakit-pesakit kanser yang sembuh sepenuhnya jarang menonjolkan diri mereka jadi masyarakat akan lebih terdedah kepada pesakit-pesakit kanser yang menghidap kanser pada peringkat lewat. Apabila ini berlaku, masyarakat akan salah faham dan mengganggap kanser tidak boleh disembuhkan kerana ramai pesakit kanser yang mereka temui mengalami kanser berulang, gagal dirawat ataupun meninggal dunia. Begitu juga di dalam kumpulan sokongan kanser, kebanyakan pesakit yang menyertai kumpulan-kumpulan ini adalah dalam kalangan pesakit kanser peringkat lewat ataupun sedang mengalami kanser berulang. Jika kanser itu tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, pakar kanser akan cuba merawat supaya jangkahayat pesakit dapat dipanjangkan kepada beberapa tahun sehingga mungkin 15-20 tahun. Terdapat ramai pesakit kanser yang hidup lama walaupun kanser tidak hilang sepenuhnya.Data-data yang akan saya bentangkan selepas ini akan memberi gambaran kadar penyembuhan kanser, kebanyakan pesakit yang mampu meneruskan kehidupan untuk selama 5 tahun bebas kanser akan dapat terus hidup untuk selama 10 tahun dan sembuh sepenuhnya.

KADAR HIDUP (SURVIVAL RATE) PENYAKIT KANSER

Salah satu ukuran kepada keberkesanan rawatan kanser adalah Kadar Hidup (“Survival Rate”) iaitu mengukur jangkamasa hayat yang pesakit itu boleh hidup selepas dirawat. Kadar Hidup diukur dengan beberapa kaedah, diantaranya adalah mengukur berapa peratus pesakit yang masih hidup selama 5 tahun, ini dikenali sebagai Kadar Hidup 5 tahun (“5 years survival rate”). Disebabkan oleh kaedah rawatan kanser yang lebih baik, hari ini pakar kanser menggunakan Kadar Hidup selama 10 tahun, malahan ada yang 20 tahun untuk menilai keberkesanan rawatan kanser. Kadar hidup tidak mengira samada pesakit bertindakbalas sepenuhnya ataupun pesakit-pesakit daripada kategori 2,3 dan 4 di atas. Kadar hidup bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan juga keujudan faktor-faktor prognostik yang saya sebutkan tadi. Semakin rendah kadar hidup, semakin agresif sesuatu kanser itu. Faktor kepakaran pakar kanser dan jenis rawatan yang diberikan boleh mempengaruhi kadar hidup pesakit kanser. Faktor pesakit juga sangat penting bagi menentukan kadar hidup, pesakit yang datang lewat menerima rawatan, pesakit yang tidak mengikut jadual rawatan yang betul dan pesakit yang mempunyai system pertahanan badan yang lemah mempunyai kadar hidup yang lebih rendah. 

Kadar hidup keseluruhan sesuatu jenis kanser adalah kadar hidup yang diukur ke atas semua pesakit kanser tidak kira peringkat kanser mereka. Contohnya kanser payudara, kadar hidup 5 tahun kanser payudara sebanyak 80% bermaksud jika dikumpulkan 100 orang penghidap kanser payudara tidak kira peringkat kanser mereka, 80% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Walau bagaimanapun jika dipecahkan bilangan penghidap kanser payudara ini berdasarkan  kepada peringkat kanser, maka data yang akan diperolehi adalah berbeza kerana kanser payudara peringkat 1 mempunyai kadar hidup 5 tahun hampir 100%, manakala jika pesakit itu berada pada peringkat 3, kadar hidup 5 tahunnya jatuh kepada 72%. Apa yang ingin saya sampaikan adalah jika anda tidak faham cara pengiraannya, anda akan keliru dengan data-data ini seolah-olah tidak konsisten. Pesakit kanser payudara peringkat 4 mungkin merasa lega sebab kadar hidup 5 tahun kanser payudara adalah 80% sedangkan yang sebenarnya kadar hidup 5 tahun kanser payudara peringkat 4 adalah hanya 22%. Sebagai pesakit kanser, anda patut tahu jenis kanser, peringkat kanser dan apakah factor-faktor prognostik yang ada miliki sebelum anda membandingkan dengan orang lain. Dapatkan maklumat ini daripada pakar kanser anda. Kadar hidup yang dinyatakan ini adalah pencapaian selepas menerima rawatan kanser moden. Kadar hidup akan menjadi jauh lebih rendah jika pesakit tidak menerima rawatan ataupun memilih rawatan alternatif.

Di samping kadar hidup, salah satu lagi matlamat merawat kanser adalah untuk memberi kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakit-pesakit kanser. Pesakit kanser yang telah dirawat diharapkan dapat meneruskan hidup mereka seperti biasa, kurang tekanan fizikal dan emosi, termasuk boleh kembali aktif di dalam apa sahaja aktiviti rutin termasuk daripada aspek seksual. Kadangkala pakar kanser tidak meneruskan rawatan apabila mendapati rawatan yang diberikan itu akan lebih memudaratkan. Terdapat pesakit yang dirawat hanya untuk tujuan mengurangkan gejala-gejala akibat kanser, manakala kanser yang dihidapi itu sudah tidak boleh disembuhkan lagi. Kaedah rawatan yang memfokuskan kepada gejala dan kualiti hidup ini dinamakan penjagaan paliatif ("palliative care"). Tajuk tentang penjagaan paliatif ini adalah sangat panjang dan memerlukan ruangan lain untuk disampaikan.

ADAKAH RAWATAN KANSER HARI INI LEBIH BAIK

Rawatan kanser moden yang diberikan kepada pesakit kanser adalah sama di seluruh dunia. Jika adapun perbezaan, mungkin ianya lebih kepada pendekatan dan juga pengalaman seseorang pakar kanser. Keseragaman ini disebabkan pakar-pakar kanser di seluruh dunia didedahkan kepada maklumat yang sama tentang hasil kajian terhadap kanser. Terdapat banyak jurnal-jurnal kanser yang dikongsikan oleh semua pakar kanser seluruh dunia di samping terdapatnya konferen-konferen antarabangsa yang mengumpulkan semua pakar-pakar terkenal seluruh dunia untuk membentangkan hasil kajian dan juga pendapat mereka.  Terdapat banyak pusat latihan kanser di seluruh dunia yang menghasilkan ramai pakar-pakar kanser yang kemudiannya kembali ke negara masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat negara mereka. Di negara kita juga terdapat beberapa buah hospital yang menyediakan perkhidmatan rawatan kanser dan juga sebagai pusat latihan. Kesimpulannya, kualiti perkhidmatan rawatan kanser di negara kita tidak jauh bezanya dengan di negara-negara lain di dunia. Apa yang membezakan adalah daripada segi bilangan pusat rawatan dan juga pakar-pakar yang mampu untuk menampung pesakit kanser. Kecekapan kaedah pencegahan dan pengesanan kanser di peringkat awal juga penting bagi memastikan pesakit dapat dikesan pada peringkat awal. Di samping itu faktor kesedaran dan sikap rakyat dan pesakit-pesakit kanser juga sangat kritikal kerana salah satu punca mengapa kanser sukar dirawat adalah pengesanan yang lambat dan datang lewat untuk mendapatkan rawatan.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit kanser pada hari ini dapat hidup 6 kali lebih panjang daripada pesakit kanser 40 tahun yang lalu. Untuk mendapatkan data mengenai kadar hayat penyakit kanser, kajian perlu dilakukan dan selalunya memakan masa yang sangat panjang. Negara kita mempunyai data kanser yang dilapurkan melalui Pendaftaran Kanser Kebangsaan (National Cancer Registry) dan lapuran dikeluarkan secara berkala. Walau bagaimanapun data daripada Pendaftaran Kanser Kebangsaan kita masih lagi bersifat kuantitatif iaitu hanya mengenai bilangan dan insiden penyakit kanser, kita masih belum mempunyai data lengkap mengenai kadar hayat penyakit kanser. Jadi di dalam rencana ini saya akan mengambil data-data yang disiarkan oleh pertubuhan-pertubuhan kanser antarabangsa. Terdapat kajian-kajian kecil yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji tempatan mengenai kadar hayat penyakit kanser di Malaysia tetapi terhad kepada beberapa jenis kanser sahaja contohnya kanser payudara, kanser usus besar dan kanser pangkal Rahim.

Kadar hidup penyakit kanser di negara-negara maju telah menunjukkan peningkatan contohnya di United Kingdom, terdapat  peningkatan 2 kali ganda semenjak 40 tahun yang lalu. Kini purata 50% pesakit kanser di United Kingdom dapat hidup lebih daripada 10 tahun, keseluruhannya (jika dicampurkan ke semua jenis kanser dan peringkat).  Walau bagaimanapun ada jenis-jenis kanser yang sangat agresif dan tidak menunjukkan kadar yang lebih tinggi contohnya kanser hati dan kanser pancreas. Terdapat pula kanser yang kadar hidupnya meningkat kepada lebih daripada 95% seperti kanser testis. Umumnya lebih daripada 80% daripada kanser yang dihidapi oleh penduduk di UK dapat hidup lebih daripada 10 tahun. 

Amerika adalah Negara yang mempunyai penurunan kadar kematian kanser yang paling tinggi di antara negara-negara maju disebabkan oleh keberkesanan program mengesan kanser di peringkat awal dan juga keperihatinan pakar serta pesakit untuk mendapat rawatan pada peringkat awal. Kajian oleh Pertubuhan Kanser Amerika juga menunjukkan bahawa bilangan pesakit kanser payudara yang mati akibat kanser telah menurun sebanyak 40% semenjak 25 tahun yang lalu ataupun melibatkan pengurangan kematian akibat kanser seramai 322,000 orang (DeSantis CE et al). Kadar hidup 5 tahun kanser prostat di Amerika meningkat daripada 68% kepada 99% daripada tahun 1975-2012. 

Di negara Australia juga menunjukkan keberkesanan rawatan kanser yang lebih baik. Kadar hidup 5 tahun penyakit kanser (semua jenis kanser dikumpulkan bersama) di Australia adalah 68%. Manakala kadar hidup pesakit kanser payudara adalah 90% untuk sekurang-kurangnya selama 5 tahun pada tahun 2009-2013 dan kadar ini meningkat berbanding dengan 72% pada tahun 1984-1988. Kemungkinan untuk hidup selama lebih 10 tahun di Australia adalah 83% jika menghidap kanser payudara. Peningkatan kadar hidup kanser ini adalah juga hasil daripada perkembangan kaedah rawatan kanser yang semakin baik. Kanser prostat adalah di antara kanser yang mempunyai kadar hidup dan kadar penyembuhan yang paling tinggi selepas rawatan diberikan sehingga lebih 90% boleh hidup sekurang-kurangnya selama 15 tahun, di samping rawatan yang berkesan, kebanyakan kes kanser prostat dirawat pada peringkat awal.

Kajian menggunakan data daripada WHO daripada tahun 1987-2013 yang dibentangkan  pada tahun 2016 telah menunjukkan bahawa kadar kematian akibat kanser payudara telah menurun dalam kalangan 39 daripada 47 negara yang dikaji. Kajian kadar hidup kanser payudara di Malaysia yang dilapurkan pada tahun 2000-2005 menunjukkan kadar hidup 5 tahun adalah 49.4%. Seperti yang saya sebutkan diawal penulisan tadi, kadar hidup yang lebih rendah ini disebabkan oleh cara pengiraan kadar hidup yang mencampurkan semua peringkat kanser payudara. Jadi negara yang mempunyai program pengesanan kanser yang lebih baik dan sikap penduduknya yang lebih terdidik akan mengesan lebih banyak kanser di peringkat yang lebih awal. Apabila peratusan kanser peringkat awal tinggi, maka kadar hidup keseluruhannya juga akan tinggi. Inilah yang berlaku kepada Malaysia di mana kesedaran dan pengesanan peringkat awal kanser payudara rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju walaupun mutu rawatan kanser payudara di negara kita setaraf dengan negara-negara maju (Abdullah NA, et al). Kadar hidup kanser usus besar di Malaysia menunjukkan peningkatan daripada 40% (1997-2000) kepada 53% (2000-2004). Kadar hidup akan dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesakit dikesan pada peringkat awal (kadar hidup 5 tahun kanser usus bergantung kepada peringkat; peringkat 1(90%), 2(80%), 3(30-60%) dan 4(5-10%)(Veetil SK, et al ).  Kadar hidup penyakit kanser serviks pula adalah 71% untuk 5 tahun dalam kalangan pesakit kanser yang dikesan pada tahun 2000-2003, wanita yang berusia kurang daripada 45 tahun mempunyai kadar hidup yang lebih baik daripada wanita yang berusia lebih 45 tahun (85.2 versus 63.8%). Kaum Cina (73.8%) didapati mempunyai kadar hidup yang paling tinggi berbanding dengan kaum India (69.5%) dan Melayu (59.2%). Salah satu punca mengapa kaum melayu mempunyai kadar hidup yang paling rendah adalah kerana sikap dan pengaruh rawatan alternative dalam kalangan orang melayu. Kaum melayu juga datang lewat untuk mendapatkan rawatan di hospital. (Muhamad NA, et al).

Daripada data-data yang dibentangkan di sini jelas menunjukkan peningkatan kadar hidup kebanyakan penyakit kanser di negara-negara maju. Manakala di negara-negara membangun, perlu dipertingkatkan program pencegahan dan pengesanan awal kanser di samping meningkatkan kesedaran rakyat mereka tentang pentingnya kanser dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Jadual 1 : Kadar hidup 5 tahun beberapa jenis kanser yang dihidapi oleh manusia selepas menerima rawatan


KADAR HIDUP 5 TAHUN (5 YEARS SURVIVAL)


Peringkat 1
Peringkat 2
Peringkat 3
Peringkat 4
1
Kanser payudara
100%
81-92%
54-67%
20%
2
Kanser Paru-paru (non small cell)
45-49%
30%
5-14%
1-2%
3
Kanser Prostat
100%
90-100%
90-100%
29%
4
Kanser Usus besar
90%
80%
30-60%
5-10%
5
Kanser Serviks
80-93%
58-63%
32-35%
15-16%
6
Kanser Rahim
75-88%
69%
47-58%
15-17%

Jadual 1 di atas adalah kadar hidup selama 5 tahun kanser-kanser yang utama jika pesakit mendapatkan rawatan daripada pakar kanser. Data-data ini boleh jadi berbeza daripada seorang pesakit dan pesakit yang lain kerana terdapat faktor prognostik yang berbeza walaupun peringkat kanser yang sama. Data ini diperolehi melalui kajian ke atas beribu-ribu pesakit untuk jangkamasa yang panjang. Terdapat perbezaan kadar hidup mengikut peringkat kanser di antara negara-negara tetapi perbezaannya tidak terlalu ketara. Pesakit yang boleh hidup lebih daripada 5 tahun mempunyai peluang yang lebih cerah untuk hidup lebih panjang mungkin 10, 15 tahun ataupun pulih sepenuhnya jika semua kanser telah dihapuskan.

Walaupun kadar hidup dan keberkesanan rawatan kanser dengan kaedah moden bertambah baik, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Masih ramai pesakit kanser yang tidak dapat disembuhkan terutamanya kanser-kanser yang ganas dan kanser yang berada pada peringkat lewat. Rawatan kanser moden hari ini juga memberi kesan kepada sel-sel badan yang normal dan kesan sampingan yang dialami oleh pesakit kadangkalanya agak serius. Sebenarnya pakar-pakar kanser masih belum berpuashati dengan kaedah-kaedah rawatan kanser moden yang ada pada hari ini tetapi terpaksa akur bahawa inilah yang terbaik yang kita miliki pada waktu ini. Ahli sains sedang giat menjalankan kajian untuk menghasilkan ubat antikanser dan kaedah rawatan kanser yang lebih baik. Banyak kaedah-kaedah rawatan baru yang dikaji dan mempunyai masa depan yang sangat baik seperti ubatan yang tergolong di dalam kategori "targeted therapy" contohnya "PARP inhibitors" dan terdapat juga kaedah rawatan menggunakan sistem imun yang dikenali sebagai terapi imun ("immunotherapy"). Ahli sains juga cuba mengujudkan vaksin yang dapat digunakan untuk merawat kanser. Teknologi nano juga sedang menjalani penyelidikan yang intensif untuk merawat kanser. Vaksin dan teknologi nano akan dapat memastikan sel-sel kanser dimatikan secara lebih selektif supaya lebih berkesan dan kurang kesan sampingan ke atas sel-sel normal. Kajian-kajian ini masih dalam peringkat awal dan kebanyakannya masih lagi dalam peringkat pra-klinikal. Masa depan rawatan kanser menggunakan kaedah moden semakin cerah dan pastinya peluang penyembuhan pesakit-pesakit kanser di masa hadapan akan bertambah baik jika dibandingkan dengan masa sekarang.

KESAN RAWATAN ALTERNATIF KE ATAS PENYAKIT KANSER

Data-data yang saya bentangkan di atas adalah hasil daripada perkhidmatan rawatan kanser moden. Rawatan kanser moden yang diberikan pada hari ini adalah berdasarkan kepada bukti kajian saintifik yang dijalankan oleh ahli sains yang melibatkan kajian pra-klinikal sehinggalah lengkap kajian klinikal. Walau bagaimanapun tidak kurang juga pesakit-pesakit kanser yang mendapatkan rawatan alternative daripada pengamal rawatan alternative. Adakah rawatan alternative dapat menyembuhkan kanser ataupun dapat memanjangkan hayat pesakit kanser. Saya akan mengulas persoalan ini di dalam rencana ini.

Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 5 daripada kajian2 tersebut.

Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit2 ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis2 kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar.

Kajian oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease).

Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.

Joseph K, et al menjalankan analisis yang sama mendapati pesakit kanser payudara yang enggan dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional. Kadar hidup selama 5 tahun (5 years survival) menurun daripada 81.9% (menerima rawatan konvensional) kepada 43.2% (rawatan alternatif).
Semakan sistematik terhadap bukti2 kajian saintifik ke atas kaedah rawatan alternatif menunjukkan belum ada bukti yang meyakinkan bahawa mana2 kaedah rawatan alternatif dapat menggantikan kaedah rawatan konvensional sebagai rawatan utama kanser payudara.

Walaupun terdapat bukti bahawa memilih rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser memudaratkan pesakit, namun disebabkan salah faham, budaya dan juga pengaruh yang kuat oleh kepercayaan bahawa rawatan alternatif ini adalah semulajadi, selamat dan tidak mengandungi bahan kimia, ramai pesakit terpengaruh dan memilih kaedah rawatan ini. Faktor memilih kaedah rawatan alternatif ini boleh menjadi salah satu punca mengapa kadar hidup dan penyembuhan penyakit kanser lebih rendah di kalangan kaum tertentu.

Rencana ini bukan bermaksud untuk mengagung2kan kaedah rawatan kanser konvensional, sebaliknya adalah untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perbandingan kaedah rawatan berdasarkan kepada disiplin ilmu perubatan moden. Sama seperti anda memilih dua bilah pisau untuk memotong, satu yang tajam dan satu lagi yang tumpul. Walaupun tajam, ada juga bahan2 yang tidak mampu untuk dipotong, begitu jugalah rawatan kanser moden yang ada pada hari ini. Kajian masih diteruskan dan masih terlalu banyak ilmu Allah yang perlu digali. Pesanan yang ingin saya sampaikan adalah bertemulah pakar di dalam bidang penyakit berkenaan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang terbaik.

KESIMPULAN

Pakar kanser mempunyai kaedah-kaedah yang sistematik untuk menilai keberkesanan rawatan kanser. Penilaian ini adalah penting bagi menentukan samada rawatan itu perlu diteruskan ataupun digantikan dengan rawatan yang lain. Salah satu kayu ukur keberkesanan rawatan kanser adalah jangkamasa hidup pesakit kanser ataupun kadar hidup (“survival rate”). Terdapat banyak lagi petunjuk yang digunakan. Matlamat paling besar seorang pakar kanser adalah ingin melihat pesakitnya sembuh sepenuhnya daripada kanser iaitu jika pesakit itu diistiharkan bebas daripada kanser lebih daripada 10 tahun. Walau bagaimanapun terdapat banyak factor yang menentukan peluang pesakit kanser untuk sembuh, di antaranya adalah peringkat kanser, jenis kanser, usia pesakit dan lain-lain lagi. Peringkat kanser adalah petunjuk yang sangat penting bagi menentukan peluang pesakit kanser untuk hidup lebih lama ataupun sembuh sepenuhnya. Pesakit yang berada pada peringkat awal terutamanya peringkat 1 mempunyai peluang untuk sembuh yang sangat tinggi berbanding dengan peringkat 3 dan 4. Jadi kadar hidup keseluruhan sesuatu kanser itu bergantung kepada peratusan pesakit-pesakit yang dapat dikesan pada peringkat awal. Kajian telah menunjukkan bahawa hasil daripada program pencegahan kanser dan saringan kanser yang berkesan, lebih ramai pesakit kanser dapat dikesan pada peringkat awal. Kesedaran masyarakat juga penting untuk mendapatkan rawatan awal dan tidak menangguhkan rawatan kerana terpengaruh dengan pengamal-pengamal perubatan alternatif. Ini adalah beberapa faktor mengapa kadar hidup dan kadar penyembuhan kanser di negara-negara maju lebih tinggi daripada negara-negara mundur dan membangun. Kajian juga telah menunjukkan bahawa menggunakan kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser boleh menurunkan kadar hidup dan juga kadar penyembuhan kanser. Walaupun jelas kaedah rawatan kanser moden jauh lebih berkesan daripada rawatan alternatif, pakar-pakar kanser masih lagi belum berpuashati dengan apa yang ada pada hari ini. Kaedah rawatan kanser moden hari ini masih memerlukan penambahbaikan dan kajian masih lagi diteruskan oleh ahli-ahli sains samada memperbaiki kaedah yang sedia ada ataupun mencari kaedah-kaedah lain melawan kanser.

RUJUKAN
DeSantis CE, Ma J, Sauer AG,et al. Breast cancer statistics, 2017, racial disparity in mortality by state. CA:A Cancer Journal for Clinicians, 2017; 67(6): 439-448.

Abdullah NA, Wan Mahiyuddin WR, Muhammad NA, et al. Survival Rate of Breast Cancer Patients in Malaysia: A Population-based Study. Asian Pac J Cancer Prev, 2013;14(8),4591-4594

Veetil SK, Lim KG, Chaiyakunapruk N, Abu Hasan MR. Colorectal cancer in Malaysia: Its burden and implications for a multiethnic country, Asian Journal of Surgery, 2017;40:481-489

Muhamad NA, Kamaluddin MA, Adon MY, et al. Survival Rates of Cervical Cancer Patients in Malaysia, Asian Pac J Cancer Prev, 2015;16(7):3067-3072

Johnson SB, et al. Use of Alternative Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145. Published August 2017.

Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternative therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.

Han E, et al. Alternative therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12

Joseph K, et al. Outcome analysis of breast cancer patients who declined evidence-based treatment. World J Surg Oncol. 2012; 10: 118.

Gerber B, et al. Complementary and alternative therapeutic approaches in patients with early breast cancer: a systematic review.Breast Cancer Research and Treatment,February 2006, Volume 95, Issue 3, pp 199–209.